Showing posts with label muhyiddin. Show all posts
Showing posts with label muhyiddin. Show all posts

Sunday, October 3, 2010

Pemimpin Pas pertikai keikhlasan Muhyiddin



KUALA LUMPUR -Beberapa pemimpin Pas mempertikaikan keikhlasan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon terbaik Barisan Nasional untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. 

Mereka mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu cuba untuk menjatuhkan kredibiliti Ahli Parlimen Gua Musang itu yang sebelum sebelum bertentang dengan dasar parti termasuk mengenai bayaran royalti minyak kepada Kelantan. 

Tambahan pula pendirian pemimpin veteran UMNO itu konsisten menyokong Kelantan Pas Kelantan yang menyaman Petronas supaya membayar royalti minyak. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapha Ali berkata, Muhyiddin mungkin berniat tidak baik, termasuk untuk membunuh karier politik Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li. 

:"Kita nampak Muhyiddin mahu membunuh karier politik Tengku Razaleigh dengan mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai calon bertanding di DUN Galas. Ini juga menggambarkan BN atau UMNO ketandusan calon berwibawa untuk dipilih bertanding pada pilihan raya kecil itu. 

"Saya menasihatkan Tengku Razaleigh tidak menerima cadangan itu kerana jika dia kalah maka akan berakhirlah karier politiknya. Saya juga yakin Tengku Razalegh lebih bijak membuat keputusan," katanya. 

Mustapha berkata, beliau tidak Tengku Razaleigh akan menerima cadangan itu kerana tidak ada apa yang penting daripada pilihan raya kecil itu. 

"Jika dia menang sekalipun dia tidak akan menjadi Menteri Besar, melainkan hanya sebagai Ahli dewan Undangan Negeri sedangkan Ku Li sudah lama sebagai Ahli Parlimen sejak 1969,” katanya. 

Bendahari Pas, Dr Hatta Ramli pula berkata, mungkin Muhyiddin mahu Tengku Razaleigh menjadi ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. 

“Pas masih memiliki majoriti kerusi dalam DUN Kelantan, dan Ku Li kalau menang hanya sebagai pembangkang. Saya mempertikai keikhlasan Muhyiddin mencadankan Tengku Razalegh bertanding di DUN Galas. 

:"Jika UMNO terdesak sangat untuk menang kerusi DUN Galas setelah gagal memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya kecil lalu, kenapa tidak cadang saja Datuk Seri Najib Razak saja bertanding di kawasan atau Muhyiddin sendiri," katanya. 

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jafaar pula berkata, beliau tidak yakin Muhyiddin ikhlas mencadang Tengku Razaleigh bertanding pada pilihan raya kecil itu. 

"Kita tahu Ku Li adalah seorang yang lantang bercakap bukan setakat isu dalam UMNO, malah membabitkan isu yang menarik perhatian rakyat, terutama royalti minyak yang bertentangan dengan BN. Jadi mungkin Muhyiddin mahu meletakkan Ku Li dalam kedudukan yang sukar," katanya.

Thursday, April 1, 2010

'Kit Siang berniat jahat'





KUALA LUMPUR 31 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berniat jahat apabila mencabarnya meletakkan jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri sekiranya gagal membuktikan bahawa beliau berpendirian 'Malaysia pertama dan Melayu kedua'.
Sambil menyelar tindakan tersebut, Timbalan Perdana Menteri mencabar Kit Siang supaya terlebih dahulu membuktikan bahawa konsep Middle Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP diterima dan disokong oleh rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
"Kit Siang ada niat jahat. Dia hendak menyaksikan keadaan pecah-belah dan porak-peranda kerana pembangkang cukup takut dengan pengaruh gagasan 1Malaysia," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai desakan Kit Siang yang memintanya meletakkan jawatan jika gagal mengesahkan pendirian beliau bahawa 'Malaysia pertama dan Melayu kedua' atas atasan ketulenan 1Malaysia di hati Muhyiddin boleh dipersoalkan.
Kit Siang semasa membuat tuntutan itu di lobi Parlimen hari ini berkata, desakan tersebut selaras dengan tuntutan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Muhyiddin, beliau tidak akan terpengaruh dengan mainan politik tokoh veteran pembangkang itu walaupun Kit Siang beribu-ribu kali mempersoalkan tentang komitmennya terhadap gagasan 1Malaysia.
"Saya tetap Melayu dahulu, tapi ini tak bermaksud kita rasis dan mempertikaikan semua hak kaum lain. Takkan ia sesuatu yang salah apabila saya sebagai pemimpin Melayu berkata nak tolong masyarakat Melayu. Itu pun tak boleh?
"Ini bukan bermakna kita nak tolong Melayu sahaja dan abaikan masyarakat Cina dan India. Perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan semua kaum kerana itulah intipati gagasan 1Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kit Siang sebenarnya ketandusan isu kerana hasratnya sebelum ini untuk merosakkan hubungan beliau dengan Najib tidak berjaya.
Tambah beliau, melalui 1Malaysia, tiada salah untuk setiap pemimpin kerajaan mempertahan serta memperjuangkan hak kaum masing-masing kerana gagasan itu dicipta berlandaskan perlembagaan negara.
Ditanya mengenai kenyataan Kit Siang yang mendabik dada mendakwa kononnya dirinya sebagai 'Malaysia pertama dan Cina kedua', Muhyiddin berkata, ia hanya sekadar dakwaan bagi meraih sokongan politik.
Jelasnya, dakwaan Kit Siang itu hanya sekadar di bibir sahaja dan tidak dibuktikan melalui semangat serta implimentasi kerana dakwanya DAP merupakan sebuah parti yang cauvinis.
"Saya pun boleh mendakwa sebegitu, tetapi kita di BN lain kerana parti ini sebuah parti kebangsaan yang menghimpunkan pelbagai latar belakang kaum hasil gabungan 13 buah parti komponen," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan bahawa BN kini telah mempunyai tiga calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor nanti.
"Bagaimanapun, kita memang hendak menyelesaikan masalah calon ini seberapa segera yang mungkin," jelasnya.

Wednesday, March 31, 2010

PIBG: Muhyiddin buktikan kerajaan pekak, angkuh

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.
Ini ekoran di Parlimen semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.
Katanya, pandangan itu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga dan bersikap angkuh.
“PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibu bapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Malah, katanya PIBG berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.
Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian Pelajaran menjadikan PIBG rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.
Menurutnya, mesyuarat dan konvensyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara di samping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah.
“Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, di manakah mereka ingin membawa pandangan mereka kerana tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti politik. Jadi, apa salahnya mereka menggunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan,” katanya lagi.
Secara sinis, katanya PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan kerajaan BN kepada rakyat. 
Tambahnya, BN hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik.
“Kalau orang politik sekalipun, apabila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan, bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikkan ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG,” ujarnya.
Justeru, ujarnya PAS menawarkan kepada semua PIBG di negara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka.
Beliau menambah, PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang Dun.
“Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.
“PAS yakin rakyat akan memilih kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihan raya akan datang dan Pakatan Rakyat bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

Monday, March 29, 2010

Muhyidin tolak Muhamad Taib sebagai calon BN Hulu Selangor



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin secara lembut menolak cadangan agar Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib dicalonkan Umno sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya tak fikir Muhamad Mohd Taib setuju," kata Muhyidin ketika ditanya wartawan tentang cadangan Umno Hulu Selangor agar bekas MB Selangor itu dipilih sebagai calon BN.

Muhamad adalah bekas Adun Batang Kali, salah satu DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor. Umno Hulu Selangor mencadangkan beliau dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Mereka yakin, jika Muhamad dipilih, BN akan menang mudah sebagaimana rekod yang ditunjukkan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu masih yakin kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diperuntukkan kepada wakil parti itu walaupun Umno terus menggesa agar ia diserahkan kembali kepada parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.

“Saya berharap begitu, berharap MIC akan dibolehkan bertanding lagi di Hulu Selangor dan kekal pada tradisi yang telah pun dipersetujui selama ini,” kata Samy Vellu (gambar) ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider hari ini.

PKR pula sedang mempertimbangkan lima nama yang telah disyorkan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Kami ada terima tiga hingga lima nama. Pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan nama-nama ini,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh.

Nama yang disebut-sebut ialah Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelan Jaya Syed Shahir Syed Mohamud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin, peguam dan akitivis N. Surendran dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim.

Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan tulisan Ketua Pengarangnya, Zulkifli Sulong yang meramalkan Datuk Zaid Ibrahim bakal menjadi calon PKR dalam pilihan raya Hulu Selangor ini.