pengorbanan-seorang-abg
KUALA PILAH – “Kami hanya bergantung kepada wang bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk menampung hidup,” kata seorang warga emas, Tong Kow, 71, yang tinggal bersama adiknya, A Keow@Foh Fong Hin, 65, di sebuah rumah kayu di kilang getah Eng Thye Batu 35, Jalan Tampin.

Tong yang sudah tidak bekerja berkata, bantuan itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian mereka berdua.

Menurutnya, bantuan itu banyak dihabiskan untuk membeli keperluan adiknya yang menghidapi penyakit strok sejak setahun lalu.

“Wang itu tidak cukup kerana saya perlu membeli lampin pakai buang, susu khas yang bernilai RM60 dan ubat adik. Itu belum lagi termasuk makanan.

“Adik saya mengalami sakit strok dan hanya terlantar sahaja di atas katil. Selang seminggu, pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) akan memberi rawatan untuknya,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong di rumahnya yang disertai 30 sukarelawan.

Tong berkata, mereka tinggal di rumah itu sejak 30 tahun lalu kerana pernah bekerja di kilang tersebut.

“Atas belas ihsan majikan, kami dibenarkan tinggal di rumah ini memandangkan tiada tempat tinggal lain.

“Walaupun tidak selesa, tetapi kami akur kerana kalau hendak menyewa rumah lain, sudah tentu kami tidak mampu,” katanya.

Dia berkata, kini dia hanya mengharapkan belas ihsan saudara terdekat untuk memberinya makan memandangkan adik-beradik lain sudah meninggal dunia.

“Jika ada duit lebih, saya akan masak dengan mengambil sayur-sayuran yang ditanam sendiri di laman rumah. Jika tidak, kami akan berlapar seharian.

“Rumah ini ada bekalan air dan elektrik. Namun masalah gangguan air sering berlaku memandangkan keadaan rumah ini terletak di atas bukit. Kadangkala saya hanya menggunakan air hujan untuk memasak, basuh baju dan mandi,” katanya.

Katanya, berikutan kesempitan hidup, dia memohon bantuan daripada pihak JKM bagi dirinya dan adiknya.

“Namun adik saya mendapat bantuan ini, tetapi saya tidak dengan alasan hanya seorang sahaja mendapat bantuan­ dalam sebuah rumah.

“Saya tidak mampu bekerja lagi dan hanya mengharapkan ihsan daripada orang ramai,” katanya yang berharap pihak JKM dapat menimbangkan semula permohonannya.dan anggota dari APMM.