Moscow: Bersemangat mempertahankan keputusan Russia menerima Crimea, Presiden Vladimir Putin berkata, Moscow terpaksa bertindak selepas Barat merancang membawa Ukraine dalam lingkungan pengaruh blok itu.
Bercakap di parlimen dan ucapannya disiar ke seluruh negara, Putin berkata, hak etnik Russia di Crimea didera kerajaan baru Ukraine.
Dia juga mendakwa referendum dijalankan di Crimea hujung minggu lalu selari dengan undang-undang antarabangsa serta menggambarkan hak rakyat wilayah itu untuk menentukan nasib mereka sendiri. “Pada masa sama Russia tidak mahu memecah-belahkan Ukraine,” katanya. Ucapan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Putin meluluskan rang undang-undang menerima Crimea sebagai sebahagian daripada wilayah Russia dalam langkah awal sebelum Moscow secara rasmi mengambil semula semenanjung itu menjadi negaranya. Untuk menghalalkan referendum itu, Putin berhujah, Kosovo juga mendapat kemerdekaan dari Serbia melalui proses sama dan disokong Barat walaupun dibantah Russia. “Pemisahan Crimea dari Ukraine mengulangi proses dilakukan Kiev ketika mendapatkan kemerdekaan dari Soviet Union pada 1991,” katanya. Putin turut menafikan Russia menjajah Crimea menjelang referendum itu.
Katanya, tentera dihantar ke wilayan itu selaras dengan perjanjian Russia Ukraine yang membenarkan Moscow menempatkan sehingga 25,000 tentera di Criema. - AP
Foto
KUMPULAN bersenjata dipercayai tentera Russia meronda di luar pangkalan tentera Ukraine di Perevalnoye.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19