Presiden Barack Obama
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama
BERLIN - Ratusan penduduk Jerman mengadakan protes terhadap dasar ketenteraan Washington sewaktu ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke negara Eropah itu, semalam.

Menurut pegawai, kira-kira 400 penunjuk perasaan serta ahli Gerakan Keamanan Jerman berhimpun di ibu negara bagi membantah tindakan Washington melancarkan pesawat perang tanpa pemandu yang telah meragut ribuan
nyawa di Afghanistan serta negara lain.

Kumpulan protes, turut membantah Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) membabitkan pembongkaran beberapa dokumen membabitkan pengumpulan data internet serta telefon jutaan penduduk AS secara sulit.

"Penunjuk perasaan menggesa penutupan penjara Guantanamo yang dijalankan di bawah kerajaan AS di Cuba dan membebaskan tahanan yang didakwa diseksa," katanya yang merujuk kepada tindakan 166 tahanan yang melancarkan mogok lapar selama 100 kerana ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Press TV melaporkan, hari ini, Obama dijadualkan berucap di hadapan 4,000 orang di Brandenburg Gate sekali gus menjadi lawatan sempena ulang tahun ke-50 bekas Presiden AS, John F. Kennedy menyampaikan ucapan Ich bin ein Berliner.