Showing posts with label IC. Show all posts
Showing posts with label IC. Show all posts

Sunday, January 20, 2013

Isu IC: Siasat kes sebelum merdeka, kata Dr M

Isu IC: Siasat kes sebelum merdeka, kata Dr MDr Mahathir dan Dr siti Hasmah turut menyanyikan lagu patriotik bersama para jemputan
PERMATANG PAUH - Jika pemberian kerakyatan Malaysia kepada pendatang asing di Sabah menjadi isu sehingga ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menanganinya, adalah wajar langkah sama diambil untuk menyiasat pemberian satu juta kerakyatan kepada orang asing pada peringkat awal kemerdekaan negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membuat saranan itu berkata, jika pemberian kerakyatan kepada kira-kira 200,000 pendatang asing di Sabah dianggap besar, perkara sama perlu dilihat semula kerana pemberian satu juta kerakyatan juga adalah "isu besar."

Beliau berharap perkara itu boleh dipertimbangkan kerajaan kerana sesetengah daripadanya mungkin tidak layak mendapat taraf berkenaan.

“Sebenarnya pendatang di Sabah sudah tinggal lama di negeri itu, ada yang melebihi puluhan tahun. Mereka bercakap dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu.

“Jadi mereka memang layak diberi kerakyatan atau warga Malaysia kerana memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama program Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Malayu Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Naib canselor UiTM, Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Jun tahun lalu, Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah yang dikatakan menjangkau sehingga 500,000 orang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan berkata, kerajaan komited untuk menangani isu itu yang mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.

Beliau berkata, warga negeri Sabah akan mengambil manfaat daripada penubuhan RCI ini dan bersama-sama kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah berkaitan.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak mendesak kerajaan tetapi hanya mengemukakan cadangan agar ditubuhkan satu lagi suruhanjaya diraja untuk melihat semula isu berkenaan yang berlaku pada zaman pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Untuk berlaku adil, kerajaan wajar menubuhkan suruhanjaya itu kerana kedua-duanya melibatkan pemberian taraf kerakyatan kepada orang asing.

“Walaupun menerima kerakyatan negara ini, sesetengah pendatang pada awal kemerdekaan masih lagi memandang negara asal mereka sebagai tempat rujukan utama atau untuk menumpahkan kesetiaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun tidak memenuhi kriteria atau syarat, kebanyakan pendatang terbabit masih diberi kerakyatan negara ini.
“Jadi ia perlu disiasat untuk mendapat gambaran sebenar,” katanya.  

Wednesday, November 23, 2011

Lagi 'sindiket IC' warga asing dikesan

Harakah Daily
SEPANG, 23 Nov: Dewan Pemuda PAS menjejaki satu lagi operasi dipercayai sindiket memberi kad pengenalan kepada warga asing secara tidak sah di Pusat Latihan KIWA di tepi lebuh raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat Adram Musa ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pihaknya mengesan perkara itu petang tadi dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Menurutnya, kira-kira jam 5 petang tadi, orang ramai melihat sekumpulan warga asing berada di situ dan dilihat seperti sedang dipindahkan dari bilik latihan tersebut.

"Pihak polis telah sampai ke tempat kejadian dan telah menahan lima orang suspek yang cuba melarikan diri.

"Apa yang mencurigakan kita, agen atau penganjur nya kita dapati orang yang sama dalam kes serupa yang berlaku di Astana Dugang Desa Putra berhampiran Putra Jaya tempoh hari," katanya.

Kesemua suspek tambahnya, berjaya ditahan dan telah dibawa ke balai polis IPD Sepang.

"Kita serah kepada polis menyiasat kes ini," katanya lagi.

Oktober lalu, sindiket serupa dipercayai ada kaitan dengan pemberikan MyKad kepada warga asing untuk tujuan pilihan raya, dikesan melakukan operasi tersebut di sebuah resort berhampiran Putrajaya.

Ketika itu, enam buah bas didakwa membawa warga asing dibawa ke resort tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman mendakwa bahawa ratusan warga asing yang ditemui di Istana Dugang Country Resort itu menghadiri kursus keusahawanan.

Namun alasan itu dibidas Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Suhaizan mendakwa, alasan itu sama sekali tidak dapat diterima rakyat malah tiada keperluan warga asing mengikuti kursus usahawan kerana mereka memang tidak dibenarkan berniaga di Malaysia. Lagi 'sindiket IC' warga asing dikesan:

'via Blog this'