Monday, November 23, 2015

Pancaroba


Zahid ‘hidu bau’ dalang cuba jatuhkan Najib


Zahid ‘hidu bau’ dalang cuba jatuhkan Najib

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersalaman dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang pada Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau dapat 'menghidu bau' dalang yang cuba mempergunakan pemimpin akar umbi untuk menjejaskan kepimpinan parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalang tersebut mempergunakan ketua-ketua cawangan Umno untuk mencampuri urusan parti itu termasuk mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meletakkan jawatan.
"Kita fikir eloklah dalang berkenaan sama ada dalang yang nampak atau tidak nampak mengikut perundangan sedia ada.
"Saya tidak berhasrat untuk menghentak hati mana-mana pihak, (kerana) Umno hidup dan terus relevan, perkara ini harus dihormati oleh semua ahli dan kepimpinan Umno," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Najib meletak jawatan sebagai Presiden Umno.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Umno cawangan ugut undurkan presiden ]
Perkara itu diumumkan ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah mengadakan satu pertemuan, di Port Disckson, semalam.
Ini kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti Najib memimpin parti itu.
Mohd Isa juga mendakwa pihaknya mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain di seluruh negara dan bercadang untuk mengadakan himpunan besar-besaran bulan depan.
Bagaimanapun lokasi untuk perhimpunan itu masih belum ditetapkan.
Terdahulu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar kawasan Telok Kemang turut mendesak Najib berbuat demikian, pada bulan lalu.
Manakala Rabu lalu pula sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan Umno di Sepang turut menggesa perkara yang sam
a

3,000 penyumbang YaPEIM tarik diri


ISNIN, 23 NOVEMBER 2015 @ 10:46 AM
KOTA BAHARU: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan memberi penjelasan kepada kira-kira 3,000 penyumbang dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) yang menarik diri daripada menyumbang kepada yayasan berkenaan.
Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin, berkata pihaknya yakin perkara itu hanya bersifat sementara dan mereka akan kembali menyumbang kepada yayasan berkenaan selepas dakwaan mengenai penyelewengan dana dibuktikan tidak benar.
"Saya yakin pemberhentian (sumbangan dana) ini adalah bersifat sementara hingga mereka benar-benar yakin ini adalah fitnah dan mereka akan (kembali) meneruskan sumbangan kepada YaPEIM.
"Kita akan hantar kenyataan akhbar dari semasa ke semasa supaya mereka akhirnya akan memahami perkara sebenar yang sedang berlaku," katanya selepas menghadiri sesi penerangan tertutup berhubung isu yang melanda YaPEIM anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Majlis Profesional Kelantan di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Siti Zaleha Hussien dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Prof Datuk Mahamad Naser Dis.
Mengulas lanjut, Abibullah berkata, YaPEIM kini mempunyai kira-kira 5,000 penyumbang dana di bawah dana Amal Jariah yang menyumbang minimum RM1 hingga maksimum RM500 setiap bulan.
Dalam pada itu, Abibullah berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat berhubung pengurusan kewangannya, namun turut menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk siasatan secara menyeluruh.
Beliau turut mengakui ada pegawai yayasan berkenaan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan kerana ia masih dalam siasatan.
YaPEIM menjadi perhatian sejak minggu lalu, berhubung dakwaan salah guna dana dan lebihan pembayaran gaji kepada pengurusan atasannya. - BERNAMA

SPRM Ulangi Ketegasan Tidak Siasat 1MDB


Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 12:12 PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak menjalankan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, ini kerana pembahagian tugas telah dibuat oleh Peguam Negara kerana siasatan 1MDB di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"SPRM hanya menjalankan siasatan ke atas SRC International dan derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Jeff Ooi Chuan Aun (Jelutong) di Dewan Rakyat yang meminta perdana menteri menyatakan kedudukan semasa dalam usaha SPRM menangkap ahli perniagaan, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low bagi membantu siasatan skandal kewangan 1MDB secara merentasi sempadan.
Paul Low berkata, bagi kes yang disiasat SPRM, suruhanjaya itu telah menghubungi peguam kepada Jho Low bagi menetapkan tarikh percakapannya.
"Bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan hasil perbincangan ini supaya tidak menganggu siasatan yang dijalankan," katanya.
SPRM sebelum ini berkata isu 1MDB disiasat sepenuhnya oleh PDRM dan berikutan itu, sebarang pertanyaan berkenaan isu ini mestilah dirujuk kepada PDRM.

Jakim Patut Dapat Lebih Dari RM1 Bilion Setahun - Asyraf Wajdi


Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 12:20 PM
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memerlukan lebih dari RM1 bilion setiap tahun untuk memenuhi permintaan daripada umat Islam di Malaysia yang semakin meningkat dan untuk memerangi golongan yang menafikan Islam sebagai agama persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian sebagai respons kepada satu artikel oleh sebuah portal tempatan, yang mendedahkan bahawa badan agama itu telah membelanjakan hampir RM1 bilion tahun ini.

Katanya, RM1 bilion tidak mencukupi kerana lebih banyak dana diperlukan bagi pegawai-pegawai dan guru-guru agama memandangkan tugas untuk melindungi agama menjadi lebih mencabar berikutan 'ideologi melampau' yang semakin meluas.
"Pelbagai ideologi ekstremisme mula mengakar termasuklah ideologi radikal seperti IS, ideologi liberalisme, pluralisme termasuklah LGBT yang melonggarkan dan meremehkan agama," katanya dalam laman Facebooknya, Isnin.
Selain menguruskan elaun lebih 30,000 guru Kafa dan lebih 15,000 imam di seluruh negara, beliau berkata, peruntukan untuk Jakim adalah relevan.

"Jumlah peruntukan Jakim dilihat relevan malah sebenarnya tidak mencukupi dalam memenuhi keperluan majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam.

"Justeru, kita berterima kasih kepada mereka yang membangkitkan isu ini yang mana dapat membuka mata Kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukan Jakim pada tahun hadapan bagi menampung keperluan yang semakin kritikal khususnya dalam menangani golongan yang cuba menafikan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

"Sudah tentulah peruntukan hampir RM1 bilion tidak mencukupi bahkan perlu ditambah melebihi nilai tersebut," katanya.

Dr Asyraf juga menjelaskan mengenai kewujudan Jakim, mengatakan bahawa penubuhannya bermula daripada unit kecil dibawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 1968 yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Kemudian ia dinaikkan taraf kepada sebuah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) dan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jakim.

"Maknanya kewujudan Jakim adalah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dan menjadi sekretariat penyelaras hal ehwal agama Islam kepada MKI.

Dr Asyraf berkata Jakim menzahirkan kewajipan dan tanggungjawab pemerintah terutamanya kuasa eksekutif untuk melaksanakan sumpah Yang Dipertuan Agung dan perkara 3 (1) Perlembagaan negara iaitu Islam merupakan agama persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sanggup jadi miskin demi anjing

anjing

23 NOVEMBER 2015
CHANGCHUN - CHINA. Seorang jutawan muda yang pernah menghasilkan kekayaan mencecah berjuta yuan akhirnya jatuh miskin selepas membuka sebuah pusat perlindungan bagi anjing jalanan.
‎Memetik laporan sebuah portal antarabangsa, ia dilakukan oleh seorang demi melindungi haiwan terbabit daripada mati dibunuh atau hidup terbiar.
‎Wang Jan, 29, dilaporkan telah menyelamatkan hampir 1,000 anjing terbiar selepas dia kehilangan anjing kesayangannya.
"Saya cuba cari anjing saya, tetapi tak jumpa. Kemudian seseorang cadangkan saya cari di rumah sembelihan haiwan, tetapi apa yang saya jumpa (lihat) di sana lebih menyedihkan daripada apa yang saya dapat bayangkan," katanya.
Memetik laporan itu lagi, selepas kunjungan tersebut, Wang Jan akhirnya membuat keputusan untuk membeli rumah sembelihan terbabit serta menjadikan sebuah kilang besi lama sebagai tempat perlindungan haiwan itu.
Menurut Wang Jan, kini pihaknya hanya memiliki 215 anjing manakala selebihnya telah pun diambil dan dipelihara oleh orang lain.
Disebabkan tindakannya itu, Wang Jan kini terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi.
‎Katanya, dia tidak mengharapkan derma dari orang ramai, sebaliknya hanya berharap orang ramai akan memelihara anjing-anjing yang berada di rumah perlindungan terbabit.

Trump undang kontroversi



Trump berucap semasa berkempen di Kompleks Sivik Jefferson di Birmingham, Alabama kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON – Pendahulu senarai pencalonan Parti Republikan untuk pilihan raya Presiden 2016, Donald Trump dikecam pesaingnya kerana menyokong agar satu pangkalan data diwujudkan bagi mendaftarkan orang Islam di Amerika Syarikat (AS) supaya mereka dapat dikenali dan diawasi.
Bekas Gabenor Florida, Jeb Bush menyifatkan cadangan itu menjijikkan, manakala Senator Florida, Marco Rubio menganggapnya sebagai tidak perlu.
Senator Texas yang sebelum ini mengelak daripada mengkritik Trump sepanjang kempen politik tahun ini, Ted Cruz pula berkata: “Saya bukan peminat cadangan warga AS didaftarkan.
“Perlembagaan AS melindungi kebebasan beragama dan saya menghabiskan masa beberapa dekad dengan mempertahankan kebebasan beragama untuk setiap warga AS,” kata Cruz kepada wartawan di bandar Sioux City, Iowa.
Cadangan pangkalan data itu pertama kali diutarakan Trump dalam satu wawancara bersama portal berita Yahoo News yang disiarkan Khamis lepas.
Ketika ditanya tentang keperluan untuk penduduk Islam didaftarkan dalam sebuah pangkalan data atau memakai tanda pengenalan agama mereka, Trump berkata: “Kita perlu meneliti banyak perkara.”
Bilionair itu diminta mengulas berhubung cadangan pangkalan data tersebut oleh seorang wartawan AS pada hari sama semasa berkempen di Iowa.
Ditanya sama ada sistem pangkalan data perlu diwujudkan bagi menjejaki orang Islam di AS, Trump membe­ritahu: “Ya, saya tentunya akan melaksanakan idea tersebut. Sudah tentu,” kata Trump.
Bilionair itu menambah, beliau akan mewajibkan orang Islam untuk mendaftarkan diri supaya mereka mudah diawasi oleh pihak berkuasa sekiranya terpilih sebagai Presiden AS pada tahun hadapan, manakala proses pendaftaran itu akan dibuat di beberapa lokasi berbeza. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3sGHOkV3K 
Hakcipta terpelihara