Satu daripada kaedah yang pa­ling menarik digunakan adalah menubuhkan sebuah kem khas di daerah Daxing, Beijing bertujuan merawat remaja yang mengalami ketagihan Internet dan gajet elektronik dengan menjalani latihan ala-ketenteraan.
Dikenali sebagai Pusat Rawatan Ketagihan Internet (IATC) Daxing yang dibuka pada 2006, lebih 6,000 remaja, kebanyakannya lelaki telah mendapatkan rawatan di situ dan 75 peratus daripada jumlah tersebut dipercayai berjaya mengatasi masalah ketagih yang mereka hadapi.
Menurut laporan portal Mail Online, IATC diasaskan oleh seorang doktor yang juga kolonel Tentera Pembebasan China (PLA), Tao Ran yang merupakan pakar dalam me­ngatasi ketagihan Internet atau di­sebut sebagai ‘wangyin’ dalam bahasa tempatan.
Ran berkata, lebih 24 juta daripada 632 juta pengguna Internet di negara ini menerima kesan masalah mental akibat terdedah kepada dunia alam maya dan 90 peratus pesakit yang dirawat di IATC me­ngalami masalah komunikasi bersosial secara normal.
Selain itu, kata Ran, ramai remaja yang mendapatkan rawatan mengadu mengalami masalah sakit tulang belakang dan penglihatan kerana menghabiskan masa sehingga 14 jam sehari menghadap komputer, manakala satu pertiga daripada jumlah tersebut menghadapi masalah pemakanan.
“Bagi mengatasi masalah terbabit, pesakit dilarang menggunakan gajet elektronik dan dikehendaki menjalani rutin harian yang ketat seperti latihan ala-ketenteraan termasuk berkawad seawal pukul 6.30 pagi setiap hari.
“Malah mereka juga perlu menjalani proses pengurungan seorang diri dan mengambil ubat-ubatan bagi mengatasi ketagihan Internet dan gajet melalui pemantauan pakar psikiatri dan ujian imbasan otak,” katanya.