Tuesday, February 1, 2011

Pelajar kita trauma diacu pistol



Oleh Meor Hisham Zulkifli, Hardi Effendi Yaacob dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/02/01


  • Foto
    ANGGOTA tentera Mesir berkawal di tengah-tengah penunjuk perasaan yang berhimpun di dataran Tahrir, semalam.
  • Foto
    PENDUDUK berebut membeli roti selepas kesukaran mendapatkan makanan akibat rusuhan politik di Mesir.
Penuntut bingung makanan sukar diperoleh, belum dipindah ke lokasi selamat 

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pelajar Malaysia di beberapa bandar yang menjadi medan utama rusuhan politik di Mesir, bingung mengenai nasib mereka kerana sehingga kini belum menerima kata putus mengenai pelan kecemasan untuk memindahkan mereka ke lokasi selamat.
Selain bimbang masa depan pengajian masing-masing andai konflik berlarutan, kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan ancaman keselamatan turut menimbulkan trauma kepada pelajar terbabit, terutama selepas ada insiden penuntut diacukan pistol ketika mahu mendapatkan makanan.
Beberapa pelajar Malaysia yang dihubungi memberitahu terdapat beberapa kes pelajar yang keluar untuk ke kedai berhampiran, didatangi kumpulan rakyat tempatan sambil mengacukan pistol tetapi mereka kemudian dilepaskan selepas memberitahu, mereka adalah pelajar dan rakyat Malaysia.

“Keadaan mencemaskan di Sabi’ iaitu kawasan menempatkan beberapa kediaman dan blok pelajar Malaysia, malah ada di kalangan rakan saya memberitahu, mereka diacukan pistol dan disoal siasat ketika dalam perjalanan membeli barang keperluan selepas waktu perintah berkurung tamat.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan pelajar dilepaskan selepas memberitahu tujuan mereka keluar hanya untuk membeli barangan keperluan dan menjelaskan mereka adalah penuntut universiti,” kata penuntut tahun satu jurusan pergigian, Universiti Al-Azhar, Dhiyauddin Athir Nadzari, ketika dihubungi semalam.

Dhiyauddin berkata, beliau yang kebetulan baru memasuki bandar raya Kaherah selepas menghabiskan cuti di Bukit Sinai yang terletak kira-kira 460 kilometer dari bandar raya itu turut berdepan puluhan sekatan jalan raya, tetapi berjaya melepasinya tanpa masalah kerana sasaran pemeriksaan ditujukan kepada rakyat tempatan. 
Alauddin Mohd Tajul Arifin, yang juga penuntut tahun tiga Pengajian Syariah Universiti Al-Azhar di bandar Dumyat, 200 kilometer dari Kaherah, berkata rakyat Malaysia di bandar itu kebingungan kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika mereka seakan terputus dari dunia luar sejak seminggu lalu kerana sistem telekomunikasi dilumpuhkan.

“Kami tidak dapat menghubungi keluarga. Tiada seorang pun wakil kedutaan menghubungi kami. 

“Panggilan telefon hanya boleh dilakukan sejak beberapa jam lalu,” katanya sambil menegaskan, ketika ini mereka hanya dapat mengikuti perkembangan semasa menerusi rangkaian televisyen kerajaan.

Sementara itu, penuntut tahun dua jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, Muhammad Iqbal Arifin, berkata pelajar berdepan masalah menambah nilai kredit panggilan telefon bimbit kerana kebanyakan kedai sudah kehabisan stok, malah berapa barangan keperluan harian termasuk sayur dan ikan semakin sukar diperoleh.

“Kami turut dinasihatkan beberapa penduduk tempatan supaya tidak keluar membeli barang kerana keadaan semakin tegang dan perusuh tidak lagi mempedulikan arahan pihak berkuasa. Ketika ini kami lebih selesa untuk menginap di asrama dan hanya keluar jika keadaan terlalu mendesak,” katanya.

Asahan tenggelam



Oleh Jaafar Neemat
bhnews@bharian.com.my
2011/02/01


  • Foto
    SUKARELAWAN membantu warga tua berpindah ke pusat pemindahan akibat banjir yang melanda Kampung Bukit Asahan dekat Jasin.
  • Foto
    PENDUDUK Kampung Bukit Asahan menggunakan sampan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.
Persiapan 42 penduduk sambut Tahun Baru Cina musnah rumah digenangi air

ALOR GAJAH: Persiapan sambutan Tahun Baru Cina bagi 42 penduduk masyarakat Tionghua di Asahan, dekat Jasin, musnah apabila kediaman mereka ditenggelami banjir akibat hujan berterusan sejak kelmarin.
Mereka yang menetap Kampung Baru Gunung Emas dan Pekan Asahan itu terpaksa berpindah selepas kediaman masing-masing dinaiki air sedalam dua meter sejak awal tengah hari kelmarin, sebelum bertambah serius pada jam 5 petang.
Mereka kini ditempatkan di pusat penempatan sementara banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan, bersama dengan 264 lagi mangsa bencana itu dari sekurang-kurangnya lima kampung di sekitar Asahan.

Seorang mangsa, Lim Ah Bah, 70, berkata beliau sekeluarga terpaksa melupakan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini kerana perlu menyelamatkan diri dari banjir yang terbesar pernah melanda kawasan itu sejak 40 tahun lalu.

Katanya, segala persiapan untuk menyambut perayaan berkenaan sudah lengkap dan beliau bersama enam lagi ahli keluarganya hanya menunggu tarikh 3 dan 4 Februari ini untuk berkumpul bersama sanak saudara.

"Sedih itu memang sedihlah. Tapi apa nak buat, sebab kami tidak sempat berbuat apa-apa kerana air naik terlalu cepat. Habis semua barangan elektrik, kuih muih, langsir dan barangan makanan yang kami sediakan untuk sambutan tahun baru rosak. 
"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat. Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang datang membantu tepat pada masanya," katanya sambil mengakui akan menyambut sambutan berkenaan secara ala kadar sekiranya masih ditempatkan di situ.

Sehingga tengah hari semalam, bilangan keseluruhan mangsa yang banjir yang ditempatkan di SK Asahan adalah seramai 306, termasuk 142 keturunan Melayu dan bakinya, masyarakat India. Jika banjir masih tidak surut, kemungkinan semua mangsa akan terus ditempatkan di situ.

Selain Kampung Baru Gunung Emas, mangsa banjir lain yang ditempatkan di SK Asahan adalah dari Kampung Asahan, Kampung Relau, Sungai Dua dan Ladang Asahan. Tinjauan mendapati bantuan termasuk makanan dan pakaian sudah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Asahan, Abdul Ghani Abdullah berkata, sebanyak dua pemindahan terpaksa dilakukan membabitkan penduduk di semua kampung terbabit apabila air mendadak sehingga setinggi hampir dua meter.

Katanya, proses pemindahan pada jam 3 dan 5 petang itu terpaksa dilakukan segera dan secara berperingkat bagi memastikan tidak ada penduduk yang menjadi mangsa berikutan hujan tidak pernah berhenti sejak pagi kelmarin.

"Memang benar ini, adalah banjir terbesar pernah berlaku di sini. Bagaimanapun, kita sudah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan semua penduduk dipindahkan ke tempat selamat," katanya. 

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Abdul Rahim Jaafar, 42, dari Kampung Asahan, berkata air naik begitu cepat sehingga mereka sekeluarga tidak sempat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan harta benda.

"Banyak perabot kami rosak tapi mujur juga semua buku anak-anak dapat diletakkan di tempat tinggi. Kami sekeluarga berjaya diselamatkan oleh sepasukan penyelamat pada kira-kira jam 3 petang, sebelum dibawa ke sini (SK Asahan)," katanya.

Jayakumar Nayaranan, 28, dari Kampung Relau pula berkata, beliau bersama tiga ahli keluarganya tidak sempat berbuat apa-apa, apabila kediaman mereka dinaiki air dalam sekelip mata kira-kira jam 3 petang kelmarin.

"Saya dan sekeluarga berasa bersyukur kerana sempat dipindahkan ke sini. Kami harap banjir akan surut segera," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara di SK Asahan awal pagi semalam. 

Menanti mangsa



Oleh Johary Indan
bhnews@bharian.com.my
2011/02/01

 
PENDUDUK Jalan Kampung Bunga, Tenghilan meninjau laluan   runtuh yang  belum dibaiki.
PENDUDUK Jalan Kampung Bunga, Tenghilan meninjau laluan runtuh yang belum dibaiki.
Jalan Kampung Bunga, Tenghilan runtuh tidak dibaiki 

TAMPARULI: Seminggu sudah berlalu, namun belum ada tindakan diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaiki jalan Kampung Bunga dan Kampung Lapai, Tenghilan di sini, yang runtuh disebabkan hujan lebat minggu lalu.
Kejadian itu mengakibatkan lebih 100 penduduk dari dua kampung terbabit terpaksa berjalan kira-kira tiga kilometer ke jalan besar untuk ke pekan ini kerana tidak boleh dilalui kenderaan.
Seorang penduduk, Albert Johnny, 39, berkata penduduk terpaksa meredah kawasan berselut, licin dan berbahaya setiap hari kerana tiada pilihan lain. 

"Langkah penduduk membina jalan sementara itu sedikit sebanyak mengurangkan masalah mereka untuk keluar masuk kampung setiap hari. 

"Bagaimanapun, mereka berharap kerosakan jalan itu segera dibaiki JKR demi kemudahan semua pihak," katanya yang membawa wakil Berita Harian meninjau keadaan jalan berkenaan, semalam. 

Difahamkan, jalan itu runtuh berikutan saluran air yang dibina tidak berupaya menampung jumlah air berlebihan ketika hujan lebat. 
Kampung Bunga dan Kampung Lapai yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan lebih 12 jam seminggu lalu. 

Kejadian itu turut menyebabkan lebih 20 rumah penduduk dan kira-kira 200 hektar sawah di dua kampung itu yang sedang dituai petani musnah. 

Selain jalan runtuh, beberapa kerosakan lain turut berlaku di kampung itu seperti hakisan tebing sungai dan jambatan dihanyutkan arus deras. 

Sehubungan itu, Albert berharap JKR dapat menyegerakan pembaikan kemudahan itu berikutan kepentingannya kepada masyarakat setempat. 

Pemaju Mukim Tamparuli, Ah Hill Atub, berkata Jahid yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, sudah meminta JKR membaiki segera kemudahan itu. 

Sejuta diminta sertai bantahan





2011/02/01


  • Foto
    PENUNJUK perasaan mula berhimpun lagi di Dataran Tahrir, semalam.
  • Foto
    PENUNJUK perasaan tidur, lepak dan berehat dekat Dataran Tahrir sejak kelmarin.
Penentang Presiden Mesir juga gesa mogok

KAHERAH: Satu pakatan pembangkang menggesa sejuta penduduk Mesir meningkatkan tekanan terhadap Presiden Hosni Mubarak melepaskan kuasa selewat-lewatnya Jumaat depan dengan keluar beramai-ramai memprotes di tengah ibu kota Kaherah mulai semalam.
Seramai 30 hingga 40 wakil pergerakan terbabit juga mendesak supaya mogok umum dilancarkan di seluruh negara itu bagi memaksa Mubarak berundur selepas 30 tahun berkuasa.
Pakatan itu yang kebanyakannya pergerakan belia selain Ikhwanul Muslimin yang diharamkan, merancang untuk berarak dari Dataran Tahrir (Kemerdekaan) bagi memaksa Mubarak menyerah kuasa.

Jurucakap beberapa kumpulan terbabit berkata, wakil mereka berunding sejak petang semalam bagi membentuk strategi bersama menggulingkan Mubarak.
Mereka juga akan memutuskan sama ada pemenang anugerah Nobel, Mohamed ElBaradei akan dinamakan sebagai jurucakap penunjuk perasaan.

Ikhawanul Muslimin pula menyatakan bahawa ia tidak akan menerajui penentangan terhadap Mubarak.
“Kami tidak mahu mengancam revolusi ini,” kata Mohamed Mahdi Alef, bekas pemimpin kanannya.

Mengulas tindakan mogok, salah seorang penaja bantahan, Israa Abdel-Fattah, berkata: “Kami tidak mahu keadaan pulih semula sehingga Mubarak tidak lagi memerintah. Kami mahu penduduk tidak bekerja hingga beliau berundur.”

Israa adalah pengasas kumpulan 6 April, pergerakan belia yang mendesak pembaharuan demokratik dilakukan sejak 2008.

Bank, sekolah dan pasaran saham ditutup buat hari kedua manakala ramai terpaksa berbaris di luar kedai roti untuk menambah bekalan.

Kawat berduri menutup laluan ke Dataran Tahrir dari jalan utama, kawasan plaza yang diduduki penunjuk perasaan sejak Jumaat lalu, menjadikannya pusat kempen menjatuhkan Mubarak yang dipersalahkan atas kemiskinan berleluasa, inflasi, sikap tak peduli pihak berkuasa dan penindasan ke atas penduduk.

Beribu-ribu orang berhimpun di dataran itu sejak awal pagi, ramai yang tidur di kawasan padang atau dalam khemah. Ramai yang mula tiba sejak awal lagi.

Anggota polis dan pengutip sampah juga muncul semula di jalan raya Kaherah manakala stesen kereta api bawah tanah dibuka semula selepas askar dan sukarelawan bersenjatakan cotar dan parang menjaga keamanan semalaman.

Sementara itu, stesen televisyen Al-Jazeera pula menyatakan, enam wartawannya sudah dibebaskan selepas ditahan sehari selepas televisyen itu diarah memberhentikan operasinya. – Agensi

Nik Aziz pertahankan dakwaan jahiliah

 

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa terdapat masyarakat di negara ini yang masih tidak memahami perkataan jahiliah sebagaimana yang digunakannya semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Katanya, setelah 50 tahun negara merdeka, orang bukan Islam masih belum memahami Islam sehingga perkara yang paling asas seperti soal larangan bersalaman antara bukan mahram dipertikaikan.

“Islam adalah rahmat. Sekular pula warisan jahiliah. Ada yang marah saya apabila saya membangkitkan soal jahiliah. Sukalah saya ulangi, setiap perkara yang bertentangan dengan Islam ialah jahiliah.

“Datangkanlah apa jua jenis nama ideologi sekalipun, jika tidak selari dengan Islam, pastinya ia jahiliah walaupun tidak memakai nama jahiliah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, label jahiliah terhadap mereka yang tidak mengundi Pas itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang yang dikatakan Mursyidul Am dan dipanggil ustaz.

Nik Aziz turut mempersoalkan sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang menghentam beliau semasa mengeluarkan kenyataan jahiliah.

“Kita dituduh sebagai kuda tunggangan DAP. Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri menyebut Pas tidak pernah menggugurkan agenda negara Islam, UMNO pula bagaimana?” katanya.

Hakim pun kena tangkap khalwat!


Hakim Syarie didakwa khalwat


ADAM dan Nurul Izani berjalan keluar dari Mahkamah Rendah Syariah George Town atas tuduhan berkhalwat semalam.


GEORGE TOWN - Seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dan pasangannya dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas tuduhan berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan dekat sini pada Disember tahun lalu.
Adam Tumiran, 43, dan penasihat kewangan, Nurul Izani Md. Isa, 34, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya pada pukul 10.30 pagi.
Mereka didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember tahun lalu, di rumah nombor 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri.
-Kosmo

Hadiah kemenangan di Tenang!


Harga petrol RON97 naik 10 sen seliter

KUALA LUMPUR - Harga petrol RON97 naik 10 sen menjadi RM2.50 seliter mulai tengah malam tadi, kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti.
Beliau berkata, kenaikan itu berlaku akibat peningkatan harga minyak mentah kepada AS$105 setong minggu ini berbanding AS$100 sebelum ini.
"Penggunaan minyak mentah meningkat mendadak di Amerika Syarikat dan Eropah akibat cuaca sejuk melampau di sana sekali gus menimbulkan kebimbangan kekurangan minyak mentah," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Zulkifli berkata, harga minyak mentah dunia akan kembali turun sebaik musim panas tiba pada Jun ini dan harga petrol akan kembali stabil pada waktu itu.
Pada 4 Januari lepas, harga RON97, yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik 10 sen menjadikannya RM2.40 seliter. - Bernama
-Kosmo

Nik Aziz difitnah lagi



Tindakan Nik Aziz lebih teruk - Dr. M



KUALA LUMPUR 31 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih mengutamakan peluang untuk memburukkan musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan Nik Aziz itu yang dilihat seperti merelakan perbuatan Kuan Yew sebenarnya lebih teruk daripada sikap pemimpin Islam nasionalis di Malaysia.
"Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk daripada Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Kuan Yew dengan menganggap cadangan supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk berbanding apa yang dilakukan Islam nasionalis Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian di dalam entri terbarunya 'Nik Aziz dan Kuan Yew' melalui bloghttp://chedet.co.cc hari ini.
Dr. Mahathir berkata, jika rakan bukan Islam Nik Aziz iaitu Pengerusi DAP, Karpal Singh; Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menuntut supaya amalan dan ajaran Islam di negara ini dilonggarkan, Nik Aziz berkemungkinan bersetuju dengan cadangan itu memandangkan beliau berpandangan bahawa Islam nasionalis lebih teruk daripada Kuan Yew.
Beliau berkata, banyak perkara yang dilakukan oleh pemimpin Islam nasionalis di negara ini telah memberi manfaat kepada orang Islam.
"Sebaliknya, apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar adalah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam," katanya.
Menurut Dr. Mahathir lagi, sebagai contoh, Pas memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia apabila ia mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO dan mengeluarkan larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO.
Beliau berkata, parti itu juga melaksanakan pengasingan kubur orang Pas daripada orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga, Pas inginkan perpecahan di kalangan orang Melayu Islam terus berlaku.
Selain itu katanya, tindakan Pas yang mendakwa UMNO menjadi kafir apabila bekerjasama dengan orang bukan Islam juga menyebabkan orang Melayu bertambah berpecah.
Dr. Mahathir menegaskan, walaupun Pas beranggapan sedemikian tetapi parti itu sendiri mengadakan kerjasama dengan DAP bagi menubuhkan pakatan pembangkang.
"Dengan ini, Nik Aziz telah menentukan kali ini bahawa perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.
"Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Satu daripada ajaran Islam yang penting iaitu orang Islam itu bersaudara tidak dihiraukan oleh Nik Aziz," tegasnya.
-utusan