Thursday, June 11, 2015

Gambar kahwin ‘simbol’ MERS

Seoul: Gambar kahwin sepasang pengantin baru bersama tetamu dengan semuanya memakai topeng yang diambil sebagai gurauan menjadi viral dan secara tidak disangka mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana seolah-olah membayangkan betapa teruknya penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di negara itu.
Gambar pasangan itu bersama keluarga dan rakan memakai topeng muka tersebar secara meluas di media sosial selepas dirakam pada majlis perkahwinan mereka, Sabtu lalu.
“Ia sangat menakutkan dan menyedihkan,” kata seorang pengguna Facebook yang memberi komen terhadap gambar terbabit.
Bagaimanapun, perancang perkahwinan pasangan itu Hwang Myung-Hwan meminta orang ramai supaya tidak terlalu mengambil serius mengenainya malah, katanya, pasangan itu yang kini berbulan madu terkejut dengan berita penyebaran gambar itu.
Katanya, majlis perkahwinan itu diadakan seperti ‘biasa’ di Seoul.
“Mereka mengambil gambar berkumpulan seperti biasa, namun mereka memutuskan mahu melakukan lain daripada yang lain,” katanya.
Menurut Hwang, syarikat mereka mengedarkan 200 topeng itu sebagai mesej kepada pasangan itu untuk menjalani kehidupan yang sihat bersama.
“Mereka tidak bermaksud untuk mencetuskan kebimbangan mahupun menakutkan orang ramai terhadap wabak MERS,” katanya.
Sehingga semalam, 100 orang disahkan dijangkiti virus itu. Tujuh daripada mereka maut. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:17 AM


GAMBAR kahwin pasangan itu yang menjadi viral.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56792#sthash.uOlBTy3T.dpuf

Aceh haram wanita keluar rumah selepas 11 malam


Banda Aceh: Pihak berkuasa Banda Aceh semalam mengharamkan wanita berada di luar rumah atau bekerja selepas jam 11 malam bagi melindungi mereka daripada fitnah dan jenayah.

Datuk Bandar Aceh, Illiza Sa’aduddin Djamal berkata, wanita diharamkan berada di luar rumah dan lokasi hiburan seperti pusat sukan dan restoran selepas jam 11 malam.

Wanita juga diharamkan bekerja di premis seperti itu selepas waktu yang ditetapkan itu.

“Lokasi tumpuan seperti restoran dan pusat sukan diarahkan untuk tidak menerima pelanggan wanita selepas jam 11 malam melainkan mereka ditemani suami atau saudara lelaki.

“Majikan juga diarahkan supaya tidak membenarkan pekerja wanita bekerja melebihi waktu itu,” katanya.

Illiza berkata, walaupun peraturan itu dikritik kumpulan hak asasi manusia, langkah itu bertujuan melindungi wanita.

“Tujuan kami melindungi wanita termasuk yang bekerja di lokasi tumpuan pelancong seperti kafe Internet, pusat sukan dan restoran,” jelasnya.

Menurutnya, wanita yang didapati melanggar undang-undang itu akan diberi amaran manakala majikan atau pemilik perniagaan yang membenarkan wanita berada di premis mereka mungkin ditarik lesen perniagaan.

Wilayah Aceh yang mempunyai kuasa autonomi menguatkuasakan undang-undang Syariah termasuk melarang wanita berpakaian ketat.

Pengarah Suruhanjaya Kebangsaan untuk keganasan terhadap wanita, Azriana mengecam peraturan berkenaan yang dianggapnya menyekat kebebasan wanita. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:20 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56798#sthash.X21IpRsk.dpuf