Thursday, October 7, 2010

Pembantu peribadi buat laporan polis


GESA JALANKAN SIASATAN: Leftenan Kolonel Zahari menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kubang Kerian, kelmarin. -- Foto BHM


DAKWAAN MANTAN SULTAN KELANTAN 'DIBAWA LARI' KE THAILAND



KOTA BHARU: Pembantu peribadi Sultan Ismail Petra kelmarin membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, di sini, berhubung dakwaan mantan Sultan Kelantan itu akan dibawa lari ke Thailand secara sembunyi.
Leftenan Kolonel Zahari Bakri, 40 tahun, dalam laporan pada 10.50 pagi itu mahu siasatan dilakukan berhubung Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) diterimanya sekitar 9.21 pagi, 21 September lalu daripada individu tidak dikenali mendakwa terdapat pakatan jahat membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke negara jiran.Leftenan Kolonel Zahari dalam laporan polisnya juga mahu siasatan dilakukan terhadap sebuah laman blog, The Kelantan Insider berhubung tulisan yang bertajuk 'Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand?' bertarikh 3 Oktober lalu.'Saya membuat laporan ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengenai dakwaan berkenaan kerana khuatir boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan menjejas nama baik institusi diraja Kelantan.'Penulis blog The Kelantan Insider perlu disiasat (dan juga bagaimana) sumber itu diperoleh oleh mereka ketika menulis berkaitan dakwaan berkenaan,' katanya selepas membuat laporan polis.Baru-baru ini, akhbar melaporkan terdapat khabar angin mengenai Sultan Ismail Petra akan dibawa secara rahsia ke Bangkok menggunakan pintu sempadan Kelantan-Thailand, menyebabkan pintu sempadan di Rantau Panjang-Sungai Golok dikawal ketat.Perkara itu bagaimanapun dinafikan Leftenan Kolonel Zahari menerusi kenyataannya kepada media pada 3 Oktober lalu yang menafikan khabar angin mendakwa ayah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, akan dibawa masuk ke negara jiran, Thailand, secara senyap.Sultan Ismail Petra sakit sejak Mei tahun lalu dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sebelum mendapat rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.Beliau kembali ke Kelantan pada 4 Mac lalu dan menerima rawatan di HUSM, sebelum dibawa ke Istana Kubang Kerian bagi rawatan fisioterapi.Mengulas mengenai laman blog The Kelantan Insider, Leftenan Kolonel Zahari berkata beliau membaca blog berkenaan pada Isnin lalu, sekitar 11.30 malam sebelum membuat keputusan membuat laporan polis kelmarin. -- BHM.

Malaysia juara lagi


Malaysia catat kadar kes nahas jalan raya paling tinggi


2010/10/07

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara yang paling tinggi dalam kadar kes kematian kemalangan jalan raya di dunia dengan kematian setiap bagi 100,000 penduduk, yang disebabkan kelakuan pemandu.

Pakar psikiatri veteran Tan Sri Dr M. Mahadevan berkata kebanyakan pengguna jalan agresif dan pemandu yang melanggari lampu isyarat warna merah untuk berhenti, adalah mereka dalam kumpulan personaliti Jenis A.
“Orang dalam personaliti Jenis A tidak mudah mengikuti peraturan sehingga dan kecuali mereka dengan secara sedar memberitahu dirinya sendiri untuk berbuat demikian.
“Kebanyakan personaliti Jenis A yang cenderung melanggar lampu isyarat warna merah adalah mereka yang sentiasa bergerak dengan pantas," katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu Presiden Pusat Pakar Psiokologi Malaysia Dr Edward Chan berkata pemandu berdaya saing tinggi dan yang sibuk dengan tugas, sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa untuk sampai secepat mungkin ke destinasi yang dituju dan ini adalah faktor besar yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Personaliti Jenis A adalah mereka yang tidak sabar, dan ini dibuktikan di jalan raya apabila pemandu mencuba untuk memotong kereta yang bergerak perlahan di hadapannya," katanya.

Menurut kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS), daripada 41,560 kemalangan yang dicatatkan pada 2008, 10,862 kemalangan disebabkan kelakuan pemandu yang rakus. 
Antara sebab kemalangan ialah memandu dengan laju, memandu dengan jarak dekat, pemanduan tidak berhati-hati, memotong dalam keadaan berbahaya dan mengingkari lampu isyarat jalan.

Kajian itu juga menunjukkan daripada 9,095 kes kemalangan jalan yang menyebabkan kematian pada tahun 2008, menurutnya 1,630 kes kematian adalah disebabkan pemandu.

Sementara itu, di SYDNEY, beberapa penyelidik daripada Universiti Queensland, Australia yang ditugaskan untuk mengkaji kesan kamera kelajuan dengan menganalisis 35 kajian daripada Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Denmark, Finland, Britain, Hong Kong, Belanda, New Zealand dan Norway mendapati, kamera mengesan kelajuan berjaya mengurangkan kelajuan satu hingga 15 peratus dan peratusan kenderaan melebihi had laju antara 14 hingga 65 peratus.- Bernama/Reuters

Kenaikan harga susu tak dapat dielak – Ismail Sabri



07/10/2010 6:05pm

SEREMBAN 7 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini sekiranya harganya meningkat di pasaran dunia.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.
"Kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan pengeluar dan pengilang tempatan terpaksa menanggung kos belian import yang tinggi.
"Biasalah, apabila kita beli barang dengan harga mahal, sudah pasti kita terpaksa jual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, buat masa ini harga susu kita masih dikekalkan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) satu tan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) satu tan metrik dalam suku keempat tahun lepas. – Bernama

KDN perlu tegas jaga bangsa dan negara


Oleh - Ramlan Husain


Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertindak tegas termasuk menahan dan mendakwa individu yang mempermainkan bangsa Melayu dan menghina agama lain menerusi Facebook, blog dan ceramah. Sehingga kini tiada sebarang tindakan terhadap pemuda dari Muar, Johor, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee kerana menghasilkan klip video berbaur perkauman. KDN perlu segera mengambil tindakan paling keras seperti tarik balik kerakyatan, buang daerah atau didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain. 

Sebelum ini ramai masyarakat menyuarakan kebimbangan, sekiranya KDN tidak mengambil tindakan tegas terhadap Namewee akan melahirkan lebih ramai lagi ‘Namewee’ selepas itu. Benar, kebimbangan kini menjadi kenyataan. Sikap KDN yang berlembut ini telah menyebabkan semakin ramai yang berani menghina Islam. Buktinya, selepas itu muncul pula Katy Lim Li Nian yang menghina Islam di internet termasuk laman sosial Facebook. KDN juga masih berlembut dan tiada sebarang tindakan ke atas individu ini. Terbaru, seorang paderi yang didakwa bernama Benjamin Stephen yang dikatakan menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak. KDN juga masih belum mengambil tindakan sewajarnya. Kita percaya selepas ini akan muncul lagi mereka-mereka yang terus menghina orang Melayu dan Islam. 

Apakah KDN menunggu umat Islam hilang kesabaran dan bertindak sendiri sebelum mengambil tindakan? Ramai yang bercakap mengenai KDN sekarang ini. Orang sudah rindukan satu tindakan bagi menyejukkan keadaan. Ini negara kita, kita sayangkan negara ini. Maka oleh itu apa peduli orang luar cakap mengenai hal ehwal keselamatan kita. Melihatkan suasana mutahir ini, maka ISA harus diteruskan. Ikut trend semasa, orang cuba merosakkan keharmonian ini tidak peduli langsung dengan Akta Hasutan. Repot-repot polis di bawah akta ini juga tidak lagi berkesan. Kita bimbang pada masa siasatan demi siasatan dijalankan, nasi sudah menjadi bubur. 

Justeru, selagi perlembagaan negara yang menjadi tunjang kepada kenegaraan ini terus dipermainkan, selagi isu-isu perkauman yang boleh memporak-perandakan masyarakat terus diperkotak-katikkan, selagi soal agama dipertikaikan, selagi soal raja-raja Melayu diperkecil-kecilkan, ISA masih diperlukan. Persoalannya, apakah kejayaan negara ini selama ini berlaku adalah kerana ISA dihapuskan?. Singapura yang maju itupun masih ada ISA, begitu juga di Thailand. 

KDN khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu tegas dan bertindak pantas untuk menangani kes jenayah yang sangat membimbangkan kini. Terbaru. Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, jutawan kosmetik dan tiga lelaki lain telah menggemparkan negara. Jangan beri sedikit ruang pun kepada suspek-suspek yang terlibat ini untuk terlepas daripada hukuman yang setimpal dan segera diheret ke mahkamah. 

Persoalan timbul mengapakan kes beberapa laporan orang hilang yang turut dikaitkan dengan suspek-suspek pembunuhan Sosilawati sebelum ini tidak diambil tindakan segera oleh PDRM yang diakui mempunyai pasukan perisik antara yang terbaik di dunia. Selepas ini, kami mengharapkan tindakan yang telus dari PDRM tanpa memilih bulu. PDRM juga wajar memberi fokus terhadap ‘kawasan hitam’ yang kerap berlaku jenayah. Tempatkan pondok polis di kawasan tersebut dan rondaan lebih kerap perlu dilakukan. PDRM wajar mengambil tindakan susulan terhadap laporan-laporan kes jenayah dengan segera dan pantas. 

KDN jangan bimbang, Menterinya jangan bimbang. Kami semua rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup di negara berbilang kaum ini, di belakang anda. Jangan berkompromi kepada mereka-mereka yang mengganggu gugat hal ehwal keselamatan negara Malaysia tercinta ini. 



RAMLAN HUSAIN Setiausaha Kehormat Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

Kenapa Melayu sahaja yang salah?



Oleh - Abd Jalil Ali


Saya lahir sebelum merdeka di sebuah kampung terpencil dalam daerah Muar, dan membesar dalam suasana masyarakat majmuk, tanpa sebarang masalah. Baik di sekolah atau di luar sekolah kawan-kawan saya terdiri dari berbilang kaum – Cina, India, Benggali, Jawa dan lain-lain. Sekali lagi, tidak ada masalah. 

Kita berkawan tanpa batasan kaum dan warna kulit. Malah, agama juga bukan penghalang. Memang, dari semasa ke semasa kita bergaduh, dan saling kata-mengata. Tetapi lepas ‘tidak kawan’ dua tiga hari, kita akan baik semula dan bermain seperti biasa. 

Melayu dicap sebagai ‘bodoh makan belacan’. Cina dikata ‘berak tidak cebok’. Kawan-kawan India pula digelar ‘kicap’ atau ‘manggis’. Dan, ada ‘branding’ khas diberikan kepada orang Jawa yang menjadi penduduk majoriti di tempat saya: ‘Wak Tempe’. Tidak kira yang tua atau kanak-kanak, lelaki atau perempuan, orang Jawa akan digelar seperti itu. Dulu-dulu tempe dianggap makanan paling koman. Siapa sangka kini tempe mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah satu sumber protein utama. 

Tanpa prejudis dan tidak ada berasa hati atau dendam, baik Melayu, Cina, India, Jawa menerima panggilan dan gelaran seperti itu sebagai perkara biasa. Sebenarnya ada gelaran-gelaran yang lebih teruk, kalau saya tulis sekarang pasti ada orang buat laporan polis, dan tidak fasal-fasal saya disiasat. 

Dulu gelaran-gelaran itu tidak pernah menjadi punca pergaduhan kami. Dalam majlis-majlis rasmi seperti kenduri kahwin, mesyuarat PIBG dan perayaan-perayaan kaum pun panggilan dan gelaran itu disebut untuk mengeratkan lagi persahabatan. 

Itulah ‘1Malaysia’ zaman saya kanak-kanak lebih setengah abad lalu! Walaupun belum wujud dan tidak diuar-uarkan dalam iklan siang malam, semangat kekitaan itu sudah meresap di jiwa tanpa mengira kaum. 

Hari ini setelah sekian lama merdeka, gagasan ‘1Malaysia’ terpaksa diwujudkan – dan diiklankan pagi petang siang malam hampir di mana sahaja – untuk menimbulkan rasa cinta dan harmoni masyarakat majmuk moden kita. Hairan makin lama merdeka kita seolah-olah makin renggang. 

Hari ini kita tidak boleh sembarangan mengecap atau menggelar satu-satu kaum. Sikit sahaja kita tersilap cakap, ada pihak akan melenting, dan kita akan disiasat polis. Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin, dituduh rasis hanya kerana dia menyebut Cina sebagai ‘Si mata sepet’ dan India sebagai ‘Si botol’. 

Kenyataan itu yang dibuat pada satu majlis tertutup telah disiarkan di sebuah laman portal berita. Bagaimana perkara tertutup boleh disiarkan media? Patut sekali wartawan dan pemilik media tersebut disiasat, manalah tahu kalau-kalau ada muslihat di sebalik penyiaran perkara yang sepatutnya rahsia itu. 

Tetapi, yang kena gasak ialah pegawai BTN berkenaan. Kepimpinan tertinggi cepat sahaja mengarahkan siasatan dilakukan secara terperinci. Laporan polis pun dibuat. Siasatan dalaman dilakukan, macamlah pegawai berkenaan telah melakukan satu jenayah besar. 

Bukanlah saya menyebelahi Hamim. Tidaklah juga saya menyokong mana-mana pihak yang suka mengecap atau menggelar satu-satu kaum dengan gelaran-gelaran yang dikatakan rasis. Kalau betul kita tidak boleh lagi menerima gelaran ‘kicap’, ‘sepet’, ‘Wak Tempe’ dan sebagainya, semua orang mesti tidak boleh menyebut perkara itu. 

Masalahnya ialah kita seperti bertindak tegas sekiranya yang melakukan kesalahan itu adalah orang Melayu. Sebelum kes pegawai BTN yang malang itu, beberapa orang kita, termasuk seorang pegawai khas Perdana Menteri, juga beberapa orang guru, telah diambil tindakan kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan rasis. 

Seperti yang dilaporkan media, seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berbangsa Melayu telah dihadapkan ke mahkamah kerana menulis komen yang dikatakan berunsur perkauman di Facebook. 

Tetapi, betapa pula halnya jika yang mengeluarkan kenyataan negatif itu orang bukan Melayu. Sebagai contoh Katy Lim Li Nian yang terang-terang menghina Islam di internet, termasuk di laman sosial Facebook. Tidakkah itu dianggap menghina kaum juga? Sebenarnya itu lebih teruk dari menghina kaum. Kenapa pihak berkuasa tidak cepat bertindak dalam kes ini? 

Dan betapa halnya dengan Wee Meng Chee, atau nama penanya ‘Namewee’ yang pernah tidak lama dulu dimaafkan kerana menghina lagu kebangsaan ‘Negaraku’, tetapi baru-baru ini berani pula mengeluarkan kenyataan yang lebih menghina menerusi internet. Laporan polis telah dibuat ke atasnya, tetapi apa tindakan selanjutnya? Bila pula dia akan dihadapkan ke mahkamah? Atau, apakah dia akan sekali lagi dimaafkan? 

Saya bersetuju siapa sahaja yang melakukan tindakan, dan mengeluarkan kenyataan berbau rasis, patut dihukum. Tetapi, janganlah dalam menghukum kita seperti berat sebelah. Janganlah tindakan diambil hanya jika yang rasis itu orang Melayu. Orang bukan Melayu yang rasis pun perlu dikenakan tindakan. Lagi pun apa bezanya Namewee dan Katy dengan Hamim? Saya harap saya tidak dianggap rasis dengan tulisan ini.

Polis nafi Ayah Pin kembali





2010/10/07

BESUT: Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan hari ini menafikan laporan dua akhbar bahawa ketua ajaran sesat Ariffin Mohamad atau dikenali sebagai Ayah Pin kembali bergerak aktif di Hulu Besut dan sedang mengumpul pengikutnya. 

Katanya pemantauan polis mendapati tiada sebarang kegiatan berlaku di perkampungan peninggalan Ayah Pin di Batu 13, Hulu Besut.
"Polis percaya buat masa ini Ayah Pin masih berada di negara jiran," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Besut di Kampung Raja di sini hari ini.
Dua akhbar itu hari ini melaporkan Ayah Pin, 70, dikesan aktif menghidupkan kembali apa yang dikenali sebagai "Kerajaan Langit" pimpinannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, di sini. 

Menurut laporan akhbar itu, pengikut Ayah Pin yang hadir itu ada antaranya datang dari Selangor, Pahang dan Johor dengan menaiki pelbagai kenderaan mewah. 
Tinjauan Bernama di perkampungan berkenaan mendapati keadaan di situ tenang dan beberapa penduduk menjalani kegiatan masing-masing. 

Namun beberapa penduduk luar dan orang tertentu mendakwa masih wujud kegiatan yang meragukan di perkampungan itu terutamanya pada hari Ahad. 
Mereka meminta pihak bertanggungjawab menyiasat kegiatan itu secara terperinci. 

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail yang dihubungi enggan mengulas tentang perkara itu. - BERNAMA

Pelakon Abu Bakar Ariffin meninggal dunia

KANGAR: Pelakon Abu Bakar Ariffin, 58, yang pernah membintangi beberapa filem dan drama sekitar 80-an meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Melangit, Bintong, dekat sini, selepas mengadu sesak nafas malam tadi.

Allahyarham yang agak sinonim dengan watak garang dan penjahat termasuk membintangi drama Gerak Khas, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.30 malam di pangkuan isterinya, Siti Armah Samsuddin, 52.
Selain isteri, Allyarham meninggalkan empat anak berusia 23 hingga 29 tahun serta dua cucu .
Siti Armah ketika ditemui berkata, arwah malam kelmarin secara tiba-tiba mengadu sesak nafas ketika sedang berehat di ruang tamu rumah.
"Saya cuba membantu dengan mengurut dan memicit badan suami untuk memudahkannya bernafas, tetapi takdir sudah menentukan ajalnya sudah sampai dan arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
"Arwah sebelum itu kelihatan biasa saja dan pada sebelah pagi, dia kelihatan begitu ceria berbasikal ke pusat perkelahan di Sungai Batu Pahat. Malah, arwah juga sempat melayari laman sembang facebook beberapa jam sebelum meninggal dunia," katanya.
Siti Armah berkata, arwah mengambil keputusan menetap di kampung asalnya di Perlis selepas bersara sebagai Pegawai Sumber Manusia di Syarikat Apson Toyocom Corporation di Seri Damansara, Kuala Lumpur, sejak Disember tahun lalu.

Anwar paksa tandatangan?





MUHAMAD Rahimi Osman yang mendakwa dipaksa menandatangani dua surat akuan bersumpah pada tahun 2008 hadir untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, Selangor, semalam.


KLANG 6 Okt. – Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua surat akuan bersumpah pada tahun 2008 bagi mempertahankan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada tuduhan liwat.
Dakwaan dibuat oleh Muhamad Rahimi Osman, 26, dalam satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dengan ditemani seorang peguam.
Beliau yang memakai baju lengan panjang putih, bertali leher merah dan berseluar panjang hitam tiba di situ dengan menaiki sebuah kereta Proton Pesona berwarna kelabu kira-kira pukul 2.35 petang.
Turut berada di dalam kereta itu ialah tiga lagi lelaki selain peguam Muhamad Rahimi.
Difahamkan, laporan polis itu berkaitan dengan dakwaan Muhamad Rahimi bahawa beliau dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah pertama yang membabitkan tuduhan liwat antara Anwar dan pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah hotel di Shah Alam.
Satu lagi surat akuan bersumpah yang dipaksa ditandatangan ialah melibatkan kes fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Old Town, Petaling Jaya.
Salah satu surat tersebut dipaksa ditandatangani dengan disaksikan peguam, Latheefa Koya.
Dalam laporannya, beliau turut meminta perlindungan daripada pihak polis kerana bimbang selepas pendedahan itu dibuat, dirinya dan keluarga akan terdedah kepada bahaya.
Selepas membuat laporan kira-kira sejam, Muhamad Rahimi dilihat keluar dari IPD Klang kira-kira pukul 3.45 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf mengesahkan menerima laporan tersebut.
Beliau berkata, kes itu akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di mana kejadian itu dilaporkan berlaku.
Dalam pada itu, tinjauan di rumah Muhamad Rahimi di sebuah kawasan di Shah Alam malam ini mendapati, beliau berada di rumah bersama beberapa ahli keluarga dan rakannya.
Bagaimanapun, beliau enggan menemui pemberita bagi mengulas lanjut mengenai sidang akhbar yang menimbulkan kekecohan petang ini.
Salah seorang rakannya memberitahu, Muhamad Rahimi akan tampil membuat kenyataan kepada media dalam tempoh terdekat atas nasihat peguamnya, S. Ravichandaran.
Ketika ditanya mengapa sidang akhbar dan laporan polis itu diadakan di Klang, rakannya itu memaklumkan, itu bagi memudahkan peguam Muhamad Rahimi yang berpejabat di daerah itu.

Ibu tunggal rayu bantuan anak menderita sakit lumpuh



Norini Abidin menyuapkan susu khas kepada Mohd. Nor Husaini di Felda Seroja Jengka 18, Kuala Krau, kelmarin.



KUALA KRAU 6 Okt. - Ibu mana yang sanggup melihat anaknya terlantar akibat menderita penyakit lumpuh. Begitulah kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang ibu tunggal yang tabah memelihara dua anak kurang upaya yang terlantar lumpuh di Felda Seroja Jengka 18, di sini.
Norini Abidin, 56, memberitahu, dua daripada empat anaknya diserang demam panas yang menyebabkan mereka cacat malah seorang daripadanya lumpuh seluruh anggota badan.
Menurutnya, anak ketiganya, Mohd. Nor Afendy Samsudin, 27, diserang demam panas ketika berusia 10 tahun.
''Walaupun dia disahkan cacat namun dia masih boleh bergerak manakala adik bongsunya, Mohd. Nor Husaini, 21, lumpuh setelah diserang demam panas ketika berusia sembilan tahun.
''Anak bongsu saya hilang upaya untuk bergerak dan hanya mampu terbaring atas tilam serta tidak berupaya melakukan apa-apa walaupun bertutur dengan kami.
''Mohd. Nor Afendy sangat memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan kesihatannya serta keperluan fizikalnya seperti makan, minum dan mandi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya semalam.
Berikutan keadaan mereka itu katanya, Mohd. Nor Afendy dan Mohd. Nor Husaini bergantung kepada lampin pakai buang sebanyak satu dozen sehari selain satu pek susu tepung seminggu.
''Makanannya hanya nasi bubur dan buah-buahan yang dikisar halus serta susu yang diminum melalui botol. Makan perlu disuap dengan berhati-hati kerana jika tersalah boleh menyebabkan keseluruhan badan Husaini kebiru-kebiruan," katanya.
Menurutnya, setiap hari kedua-dua anaknya itu perlu diusung ke bilik air untuk mandi.
Menurut Norini, setakat ini hanya Mohd. Nor Afendy memperoleh bantuan skim orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM150 sebulan bermula Januari lalu.
''Bagaimanapun, adiknya yang terlantar langsung tidak menerima bantuan walaupun saya membuat dua permohonan," katanya.
Norini memberitahu, dua lagi anak perempuannya yang sudah berkahwin turut tinggal bersamanya dan menjaga ibunya yang berusia 80 tahun yang kurang sihat.
Dia bersyukur kerana dua anak perempuannya dan menantu sering membantu menjaga dua adik mereka yang memerlukan penjagaan rapi untuk meneruskan kehidupan.
Ketabahan ibu tunggal itu menarik perhatian Yayasan Felda yang mengunjungi keluarga Norini di tanah rancangan itu hari ini.
Menurut Pengarah Yayasan Felda, Zalfan Mohd. Rashid, kunjungan itu merupakan antara agenda dalam program Melakar Kasih yang dilancarkan di tanah rancangan itu baru-baru ini.
''Sumbangan Yayasan Felda kepada Norini bernilai RM3,000 dalam bentuk barangan seperti pakaian, tilam, katil dan cadar khas untuk OKU, lampin pakai buang serta wang tunai RM500,'' katanya.
Menurut beliau, Yayasan Felda yang ditubuhkan pada 1998 memperuntukkan sebanyak RM275,000 untuk tujuan bantuan kebajikan.
Turut sama mengunjungi keluarga malang itu ialah Timbalan Pengarah Yayasan Felda 1, Yahya Lim; Timbalan Pengarah Yayasan Felda 2, Mohd. Bainuri Aris; Penolong Pengurus Besar Wilayah Jengka, Zulkifli Md. Naam; Pengurus Felda Jengka 18, Mazlan Abd. Khalid dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 18, Samad Samah.

Pelajar sekolah harapan makin bertambah


Bayi sulung Sekolah Harapan selamat dilahirkan



MELAKA – Seorang pelajar Sekolah Harapan, institusi khas untuk remaja hamil luar nikah di Jasin di sini, selamat melahirkan seorang bayi lelaki Isnin lalu.
Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim (gambar) berkata, pelajar perempuan berusia 17 tahun berasal dari Melaka itu dimasukkan ke Hospital Jasin pada pukul 5 pagi setelah menunjukkan tanda-tanda hendak bersalin.
“Pelajar ini selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.6 kilogram pada pukul 8 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Penubuhan Sekolah Harapan dicetuskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang bertujuan memberi perlindungan kepada remaja hamil luar nikah selain menangani gejala buang bayi yang semakin berleluasa.
Sekolah Harapan yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu menerima kumpulan pertama lima pelajarnya pada 20 September lalu.

Lelaki 'kaki botol' serang, ugut wartawan


PASIR GUDANG – Berang kerana gagal mendapatkan rumah murah, seorang lelaki dipercayai 'kaki botol' menyerang wartawan Sinar Harian Skuad Pasir Gudang, Azizan Inche Harun, dan bertindak memecah cermin tingkap dan pintu rumah kakak wartawan itu, di sini, malam semalam. 

Beberapa anggota polis yang tiba kira-kira jam 9.30 malam ketika lelaki berusia 37 tahun itu sedang mencari parang selepas mengejar dan mengugut hendak mencederakan wartawan itu, tetapi sempat dihalang daripada bertindak ganas. 

Isteri lelaki itu yang turut berada di situ turut menghamburkan kata-kata kesat terhadap wartawan terbabit 

Azizan melaporkan kepada polis bahawa suami isteri itu ’menyerang’ rumah kakaknya kerana tidak ber-puas hati setelah mendapat tahu beliau enggan meneruskan usaha menolong mereka mendapat sebuah rumah murah. 

Menurut Azizan, beliau sebelum ini menyiarkan berita mengenai kesempitan hidup pasangan terbabit yang mempunyai tujuh anak untuk membantu mereka. 

Bagaimanapun, setelah mendapat tahu lelaki berkenaan sebenarnya ’kaki botol’ daripada isterinya sendiri, Azizan mengambil keputusan tidak mahu meneruskan hasratnya kerana merasa dirinya dan akhbar yang diwakili ’dipergunakan’ untuk meraih simpati. 

Azizan berkata, dia bersungguh-sungguh berusaha untuk membantu keluarga itu sehingga hampir berjaya mendapat sebuah rumah murah tetapi menukar fikiran setelah mendapat tahu sikap buruk lelaki itu. 

"Selepas mengejar dan mengugut hendak bunuh saya, lelaki berkenaan mengaku dia menyerang dalam keadaan mabuk," katanya. 

zizan sedih kerana niatnya ingin membantu keluarga yang difikirkan benar-benar memerlukan pertolongan dibalas dengan tindakan biadap. 

Katanya, dakwaan isteri lelaki itu sebelum ini bahawa suaminya itu sakit dan tidak mampu melakukan kerja berat, rupa-rupanya sandiwara semata-mata. 

"Macam mana orang yang kononnya sakit boleh mengejar saya dan menendang pintu rumah hingga hampir pecah?" katanya. 

Azizan berkata, dia terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan diri dan keluarganya. 

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penyewa-Penyewa Rumah Pangsa di kawasan berkenaan, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, mengikut rekod, keluarga itu pernah menerima bantuan daripada Mayang Pasir Gudang pada 2008. 

Katanya, mereka pernah pulang ke negeri asal di Kelantan untuk beberapa ketika, tetapi kembali semula ke Johor. 

”Pasangan itu dipercayai banyak mendapat bantuan masyarakat sejak berita mengenai kesempitan hidup mereka disiarkan dalam Sinar Harian,” katanya. 

Shamsul Bahrin berkata, tindakan menyerang wartawan yang cuba menolong mereka adalah sesuatu yang amat dikesali dan tidak berterima kasih. 

Beliau turut mencadangkan agar pasangan itu menyerahkan anak-anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dipelihara jika benar-benar tidak mampu. 

Beberapa hari lalu, akhbar ini menyiarkan kisah sebuah keluarga tujuh beranak yang merayu mendapatkan bantuan kerana kesempitan hidup. 

Mereka mendakwa tinggal di rumah sewa dan menunggu masa diarah keluar oleh pemilik rumah kerana tidak mampu bekerja berat selepas menjalani pembedahan:.:

mohon bantuan dan pertolongan anda semua....MANUSIA SENTIASA DIUJI, HARI INI HARI DIA, ESOK MUNGKIN HARI KITA*







Saya Puan Dahlilah. Tujuan saya menulis email ini ialah untuk memohon
belas kasihan dari pembaca kerana anak kedua saya yang bernama
NurHannah Bte Bte Mohamed Helmi berusia 3 bulan, tidak sihat.
Ketika bersalin, anak saya lemas kerana tali pusat keluar lebih kurang
40 minit sebelum saya bersalin. Ini menyebabkan anak saya lemas kerana
tidak mendapat oksigen kerana tali pusat sudah terkeluar.
Apabila doktor scan (MRI) otak anak saya, doktor menyatakan bahawa
anak saya terencat akal kerana sel-sel otak telah mati kerana
kekurangan oksigen. Hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa ketika
itu.

Kaki bagaikan tidak jejak ke bumi. Muka saya pucat bagaikan tiada
darah lagi. Hampir 3 minggu saya mengambil masa untuk terima hakikat
apa yang doctor terangkan mengenai anak saya. Hari-hari saya menangis.
Saya rasakan hati saya kosong.

Selepas 3 minggu saya cuba berkongsi masalah dengan teman sekerja.
Semangat saya mula datang apabila ada rakan yang mengalami situasi
yang sama seperti saya iaitu anak mereka lemas ketika bersalin. Doktor
juga menyatakan anak mereka terencat akal. Tetapi kuasa Allah
mengatasi segalanya dan anak mereka alhamdulillah sihat. Tetapi saya
akui bahawa saya hanya insan yang lemah. Kadang-kadang saya kuat,
kadang-kadang saya lemah sangat.

Rakan menasihati saya agar perbanyakkan solat hajat, baca yassin dan
bersedekah. Alhamdulillah. Saya melakukan semua nasihat yang mereka
berikan. Perkembangan terbaru tentang anak saya ialah dia masih lagi
belum boleh menghisap dan menelan. Minum susu menggunakan tiub yang
dimasukkan terus ke perut. Suction machine pula digunakan untuk
menyedut air liur kerana anak masih tidak boleh menelan.

2 minggu lepas anak dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada
paru2. Ketika itu keadaan anak terlalu lemah menyebabkan doctor sukar
mencari urat anak. Pilihan kedua ialah masukkan line hingga ke tulang.
Sekali lagi anak saya diduga iaitu selepas 3 hari kaki anak bengkak.
Apabila doctor buat x-ray, rupanya kaki anak saya patah kerana dicucuk
ketika memasukkan line.Pergerakan anak saya tidak seaktif bayi kerana
kesan kurangnya oksigen di otak ..tambahan pula kaki kanan anak
bersimen.

Hanya Allah tempat saya mengadu. Jika boleh, biarlah saya yang
menanggung semua kesakitan itu, bukan anak saya yang berumur 3 bulan.
Minum guna tiub, tak tahu menelan…kaki pula bersimen.
Kalian bayangkanlah bagaimana perasaan seorang ibu yang menjaga janin
dalam kandungan bagaikan menatang minyak yang penuh. Tetapi selepas
lahir, begitu besar ujian untuk saya. Terus terang saya katakan bahawa
ini adalah ujian yang maha-maha besar dalam hidup saya. Saya bersyukur
kerana Allah menguji saya kerana Dia sayangkan saya anak beranak.
Dikesempatan ini saya memohon, merayu dan menagih simpati agar kalian
dapat memberi sedikit sumbangan atau meluangkan masa untuk melakukan
sembahyang hajat agar kesihatan anak saya pulih dan jauhkanlah anak
saya dari sebarang kecacatan.

Andainya terlalu berat permintaan saya, bacakanlah Al-Fatihah. Jika
permintaan ini juga berat, cukuplah kalian mengucapkan INSYAALLAH agar
anak saya sihat, dijauhkan dari kecacatan dan dipulihkan kerosakan
pada otaknya. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kalian, doa kalian
dimakbulkan. Hanya Allah yang mampu membalas budi kalian.
Saya juga memohon agar kalian dapat forwardkan email ini kepda
rakan-rakan kalian agar dapat membantu anak saya. Kesihanilah anak
saya kerana dia terlalu kecil untuk memahami erti kesakitan.
Saya berharap dengan melihat gambar Hana, lahirlah sedikit simpati
dari kalian, doa dari kalian agar Hana boleh membesar seperti
kanak-kanak yang sempurna. Jauhkanlah Hana dari kecacatan.
Mudah-mudahan Allah gantikan sel yang rosak di otak Hana dengan sel
yang baru dan dipilih di kalangan sel yang terbaik untuk Hana. Inilah
doa yang tiap kali saya baca setiap sujud yang terakhir, setiap kali
lepas solat fardu dan solat hajat.

Mudah-mudahan Allah makbulkan segala doa dan Allah berkati segala
usaha saya. Selebihnya saya bertawakal. Amin.
Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan ke;

Puan Dahlilah Yahya (Ibu NurHana) Maybank A/C No : 114496106565
"....segala usaha yang kalian lakukan diucapkan jutaan terima kasih dan didoakan akan diberkati oleh Allah, hendaknya....."

Masjid, al-Quran dibakar



RAMALLAH - Penyerang tidak dikenali membakar sebuah masjid dan beberapa naskhah kitab al-Quran selain menconteng dinding masjid dengan kata-kata kesat yang ditulis dalam bahasa Hebrew di sebuah kampung di Tebing Barat, Isnin lalu. 

Pendatang haram Yahudi dilaporkan bertanggungjawab atas perbuatan yang meningkatkan lagi ketegangan dalam proses damai Timur Tengah yang tergendala selepas dimulakan, awal bulan lalu. 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan mengecam serangan itu dalam percubaan menyelamatkan imej Israel selepas dikritik pemimpin dunia kerana enggan melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. 

Pembinaan penempatan haram Yahudi menjadi halangan utama dalam proses damai Palestin-Israel apabila negara rejim itu terus membina rumah di atas tanah milik Palestin bagi 300,000 warga Israel. 

Tiada sebarang tahanan atau dakwaan berhubung serangan itu dibuat. 

Sementara itu, wakil pendatang Yahudi yang mengecam serangan itu menghadiahkan beberapa naskhah baru al-Quran kepada mas-jid tersebut, kel:marin.

Pas tak akan beri menang percuma




KOTA BHARU 6 Okt. – Pas tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya beliau dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, parti itu sebaliknya akan tetap memberi tentangan kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu meskipun beliau dilihat menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak.
Katanya, Pas bukannya melawan Tengku Razaleigh atas sifat peribadi tetapi kerana fikrah atau pegangan parti yang didokongnya.
“Tidak boleh jadi (beri kemenangan percuma), kita lawan parti, bukan lawan separuh-separuh. Kita lawan dasar dia, dasar agama dan politik mesti diselaraskan. UMNO ini Melayu, kalau UMNO berbangsa Arab pun kita akan lawan juga.
“Kita akan lawan, kita lawan UMNO ini bukan (kerana) lawan batang tubuh, (kita) lawan fikrahnya, lawan teori dia (yang memegang konsep) agama lain dan politik lain.
“Ini bahaya, agama bukannya begitu. Agama (Islam bergantung sepenuhnya kepada) al-Quran, tidak boleh kurang satu juzuk atau satu huruf. Jadi bagaimana mahu pisahkan agama daripada politik (kerana) bila dipisahkan, maka tidak adalah agama itu sendiri.
“Agama ini maknanya peraturan hidup. Peraturan hidup macam mana kalau kita hidup cara kita, tidak hidup cara al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Markas 8 Briged, Brigadier Jeneral Abdul Rahim Abdul Mutalib dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Makhtar Mustaffa.
Nik Abdul Aziz turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa bukan taraf Tengku Razaleigh untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil tersebut kerana semasa menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dahulu, beliau juga tidak pernah meletakkan dirinya sebagai calon di DUN.
“Ku Li sendiri tidak letak diri dia sebagai calon negeri semasa jadi pengerusi perhubungan UMNO negeri, beliau lebih layak jadi calon negeri (kerana jadi pengerusi badan perhubungan) tapi beliau tidak buat, beliau pun barangkali tidak mahu.
“Kalau beliau mahu, mana orang boleh sekat sebab beliau pengerusi perhubungan, sebab itu saya kata, memang bukan taraf Ku Li,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nik Abdul Aziz berkata, Pas sudah bersedia dan mempunyai senarai calon berkelayakan yang panjang untuk dipilih.
“Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita telah tunjukkan yang Pas di Kelantan telah berjaya menarik minat orang Cina dan India, sehinggakan mereka sudah ada Kelab Penyokong Pas,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri yakin orang bukan Melayu akan menyokong Pas dalam pilihan raya tersebut kerana mereka sudah tidak ‘fobia’ kepada Islam.
Katanya, sikap ‘Islamophobia’ tidak ada di negeri ini kerana perjuangan parti itu telah berjaya membawa banyak perubahan kepada pemikiran orang bukan Melayu di sini.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada 26 Oktober, manakala hari pengundian ialah 4 November.