Friday, April 2, 2010

cabar jangan tak cabar


Jangan cabar saya berlebihan - MB Perak

02/04/2010 5:39pm

IPOH 2 April - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi amaran kepada pakatan pembangkang terutama anggota Parlimen supaya tidak mencabarnya secara berlebihan.
Beliau menyifatkan anggota Parlimen pembangkang melampau apabila menuduh beliau dengan pelbagai dakwaan seperti ”penipu besar” apabila mendedahkan menerima tawaran jawatan itu sekiranya melompat parti.
Beliau berkata, banyak lagi keburukan mengenai pembangkang yang boleh didedahkan sekiranya mereka khususnya pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan mencabarnya dengan pelbagai dakwaan berlebihan.
"Beritahu Ngeh supaya diam dan jangan cabar saya berlebihan. Tanyalah ”bos” dia sendiri yang mengatakan tidak menelefon saya dan keesokan hari pula kata ada menelefon saya.
“Itu sudah cukup membuktikan siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong...jangan nanti saya memanggil dia (Anwar) sebagai ”bankrupt politician” pula kerana mengaku tidak pernah menelefon saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ngeh bahawa tawaran jawatan itu adalah pembohongan serta pengakuan Anwar di Dewan Rakyat semalam bahawa memang wujud pelawaan untuk Zambry menyertai PKR selepas pilihan raya umum ke-12.
Katanya, dengan pengakuan Anwar semalam, ia jelas membuktikan siapa sebenarnya ”pembohong besar” dan sering berdolak-dalik melakukan pembohongan. - Bernama

Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak Bangang


Pemuda BN mohon Sultan Perak tarik gelaran ADUN pembangkang

02/04/2010 7:11pm

IPOH 2 April - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak hari ini bersama-sama 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya mempertimbangkan untuk menarik balik gelaran dan pingat yang dianugerahkannya kepada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Shamsul Baharin Hasan di Istana Kinta pada pukul 4.15 petang tadi.
Ketua pergerakan itu, Maslin Sham Razman berkata, pergerakan itu membuat keputusan untuk menghantar memorandum tersebut setelah dukacita dan tercabar dengan perbuatan melampau ADUN pembangkang yang masih mempertikaikan keputusan Sultan yang melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.
"Tindakan melampau pembangkang itu diteruskan dan dapat dilihat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mereka mencetuskan kekacauan sehingga mengganggu perjalanan sidang dua hari tersebut.
"Perbuatan membuat poster, mengejek dan mencela sehingga mencetuskan kekacauan dan mengeluarkan kenyataan berunsur jahat kepada polis adalah kelakuan terburuk,” katanya kepada pemberita sebelum penyerahan memorandum itu di sini hari ini. - Bernama

Anwar Cabar Najib Jawab Pasal APCO, Shin Bet




KUALA LUMPUR 1 Apr - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan kepada Parlimen berhubung beberapa persoalan yang timbul daripada isu APCO Worldwide sebelum mengambil tindakan terhadap beliau.  
"Suruh dia (Perdana Menteri) jawab dulu soal APCO, jawab soal 'Israel intelligence', Shin Bet. Jawab itu dulu apakah sudah dijawab atau belum, apa nak serang saya lagi?
"Saya dah diserang banyak, sekarang ini Umno ataupun Perdana Menteri perlu jawab mengapa pilih APCO, pertahankan APCO mati-matian, ini aneh dong," kata Anwar kepada media di lobi Parlimen petang tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata hari ini kerajaan membuat keputusan untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Mengenai Hak dan Kebebasan berhubung isu APCO, Satu Israel dan hubungkait dengan 1 Malaysia.

Permohonan Umno DBKL Lulus, Pakatan Rakyat Semua Ditolak






Oleh Fazli Othman
KUALA LUMPUR 2 April - Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengelabah apabila ditanya mengenai dakwaan dasar berpilih-pilih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhubung permohonan penggunaan dewan orang ramai oleh anggota Parlimen Pakatan Rakyat.
 Raja Nong Chik kelihatan terkedu apabila terus digasak oleh dua Ahli Parlimen dari Wilayah Persekutuan iaitu Tian Chua dari Batu dan Nurul Izzah Anwar dari Lembah Pantai.
Sebelum itu Raja Nong Chik menafikan dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali bahawa kementerian pilih kasih membenarkan Umno menggunakan kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi sering menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk menggunakan kemudahan seperti dewan dan khemah.
"Permohonan dibuat atas nama badan bukan kerajaan, perkara ini dibuat oleh Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat juga, kalau saya tidak cakap benar, boleh tanya Yang Berhormat Lembah Pantai, dia pernah buat program di Bangsar Sports Centre yang diuruskan oleh DBKL," kata Raja Nong Chik.
Ini menyebabkan Nurul Izzah bangun dan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) bahawa menteri itu telah membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan dan perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
"Dia cakap mengelirukan Dewan, ini bukan kali pertama tapi kali kedua, perkara ini tiada kena mengena dengan saya. Memang saya gunakan dewan tapi terpaksa gunakan nama NGO, itu hakikatnya tetapi menteri boleh guna atas nama menteri dan Umno, apakah dasar kementerian sebenarnya," tanya Nurul Izzah.
Menteri tersebut tidak mampu memberi penjelasan yang menyenangkan hati Ahli Parliman Pakatan Rakyat sehingga tersasul menyebut beliau belum mengerjakan solat maghrib.
 "Mintak tolong sebab saya belum sembahyang maghrib lagi", ujar beliau yang tergesa-gesa untuk menamatkan perbahasan itu.
Semasa beliau memberikan alasan untuk solat maghrib, jam baru menunjukkan pukul 6.42 petang.
Sementara itu Ahli Parlimen Bagan Serai N. Gobalakrishnan yang mencelah sesi menteri menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang DiPertuan Agong diarah keluar Dewan apabila enggan duduk selepas Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkali-kali meminta beliau berbuat demikian.

Kerajaan Guna Alasan Rasis Untuk Tolak Pilihan Raya PBT




Oleh Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR 2 Apr - Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail menyelar kenyataan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang menolak pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di peringkat negeri atas alasan perkauman.
Saifuddin berkata, alasan Lajim bahawa sekiranya pilihan raya itu diadakan ia akan memberi kesan kepada keseimbangan kaum adalah bersifat rasis malah bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang di bawa Perdana Menteri.
"Saya menolak sama sekali pandangan yang diberikan timbalan menteri mengaitkan pilihan raya kerajaan tempatan dengan kesan kepada kesimbangan kaum, Ini adalah satu pandangan yang lahir daripada sudut pemikiran yang berasaskan perkauman," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Menurut beliau lagi kerajaan menafikan bahawa pelaksanaan pilihan raya kerjaan tempatan merupakan satu proses pemerkasaan kepada rakyat untuk memilih ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.
"Dia tidak melihat pilihan raya itu sebagai proses 'empowerment' atau memberi kuasa kepada rakyat. Sebagai rakyat pembayar cukai mereka layak  dan berhak memilih kerajaan tempatan sesuai dengan susur galur politik dan sistem demokrasi di negara kita yang mempunyai kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan pusat. 
"Pandangan itu datang dari sudut pemikiran yang sangat sempit melihat dari kaca mata perkauman semata-mata tetapi tidak melihat rakyat sebagai teman dan rakan yang perlu dilibatkan dalam proses pembangunan sebuah negeri dan negara,"tambah Setiausaha Agung KEADILAN itu.
Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata kenyataan menteri terbabit menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa kerajaan keliru dengan setiap dasarnya yang sering bercanggah dengan perlaksanaan. 
"Saya rasa kerajaan BN perlu lebih jelas dengan pendiran mereka, sekejap kata negara maju, sekejap 1Malaysia, sekejap tidak rasis.
"Kita perlu sedar tahap kita dah melampaui dan merentas garisan bangsa dan gender serta patut berdasarkan merit dan kebolehan seseorang itu membuat perkhidmatan kepada rakyat.Kerajaan sekarang dalam keadaan yang keliru," kata Zuraida.

Gengster Di Bawa Masuk Dalam DUN Perak?





KUALA LUMPUR 2 Apr - Ahli Dewan Undangan Negeri Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham mahu pihak polis memberi penjelasan berhubung kehadiran ramai individu yang tidak dikenali dan dikhuatiri terdiri daripada gengster semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perak 30 Mac lalu.
Malah Ngeh juga mendakwa pihak polis telah mengeluarkan kata-kata ugutan kepada beliau serta mengertaknya ketika sidang DUN Selasa lalu.
"Saya mahu polis memberi penjelasan mengapa mereka berada di persekitaran Dewan dan di dalam Dewan. Dalam Dewan terdapat ramai orang asing, yang bukan berpakaian seragam, adakah mereka polis atau gengster? Polis mesti bertanggungjawab (terhadap keselamatan) sebab polis periksa semua ADUN yang hendak masuk Dewan, menggunakan mesin pengimbas. Kenapa mereka (polis) masukkan elemen luar ini? Siapa gengster ini yang mereka masukkan untuk mengertak kita, polis mesti jawab," tegas Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas.
Kelmarin Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata kehadiran polis semasa persidangan itu berlangsung adalah di atas permintaan 'Speaker' Datuk R. Ganesan bagi menentukan keselamatan dan ketenteraman awam memandangkan kekecohan pernah berlaku pada persidangan DUN sebelum ini.
"Pihak polis tidak berada di dalam dewan sebaliknya hanya berkawal di luar dewan dan perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri," kata beliau.
Zulkifli juga berkata polis telah memulakan siasatan terhadap Ngeh berhubung dakwaannya terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam DUN semasa sidang pada Selasa dan Rabu lepas.
Pengerusi DAP Perak itu disiasat di bawah Seksyen (1) (a) Akta Hasutan 1948 kerana dipetik sebagai berkata: "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita".
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan kenyataan Ngeh itu sebagai tidak bertanggungjawab dan jahat.
Ngeh bagaimanapun berkata beliau hanya meluahkan kerisauan mengenai keselamatan ADUN dengan kehadiran ramai anggota polis.
"Saya hanya meluahkan rasa kegelisahan saya. Masa perdebatan kita ahli-ahli Yang Berhormat tidak guna kekerasan hinggakan polis beritahu saya semasa saya di luar Dewan, dia (polis) kata kita tak ikut undang-undang kita ikut arahan, inilah kata-kata yang digunakan. Jadi saya kata kalau mereka tak suka hujah-hujah kita dan mereka ikut arahan (dan bukan undang-undang), kita mungkin dibunuh.
"Kenapa polis harus mengerumuni dalam Dewan. BN menggunakan pihak polis untuk mengertak kami samada pada 30 Mac atau semasa sidang di bawah pokok sebelumnya apabila polis menggunakan kekerasan tidak membenarkan kami masuk ke dalam Dewan. Kenapa polis menentang arahan Speaker V. Sivakumar dan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 124 yang membawa hukuman 7 tahun penjara.
Ngeh berkata beliau akan mempertahan kebebasan DUN Perak daripada dicengkam oleh mana-mana pihak.
 "Saya akan mempertahankan kebebasan Dewan Undangan Negeri hingga akhir hayat saya. Kenapa harus saya pergi ke Dewan di mana polis yang menguasai semua, di lorong, di verandah. Saya takut kerana kalau itu kekerasan yang dibuat oleh pihak polis ke atas Speaker V. Sivakumar dia boleh dicekik sampai mati.  
"Saya sebagai seorang demokrat tidak mahu melihat Perak sebagai sebuah negeri polis. Kalau kita cintakan negeri Perak kita mesti pertahankan kebebasan DUN, kalau ada mana-mana pihak hendak polis menguasai DUN atau Parlimen ini menunjukkan mereka derhaka kepada prinsip demokrasi negara kita," tegas Ngeh lagi.

Usaha Gantung Anwar Silap Besar Umno-BN




Oleh Datuk Halik Zaman
Tidakkah Umno sedar terutamanya Datuk Seri Nazri Aziz yang akan merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jelas menunjukkan kegelabahan pihak kerajaan untuk menjawab segala dakwaan dari Anwar. 
Apakah tindakan menggantung itu hanya untuk kerajaan Umno-BN mencari jalan keluar dari digasak bertubi-tubi oleh Anwar?
Kerajaan sepatutnya menjawab dan memberikan penjelasan keatas semua dakwaan yang telah di buat oleh Anwar bukannya mereka terus menyeret beliau ke muka Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dengan tujuan dan penuh harapan agar Anwar digantung dari menghadiri beberapa penggal persidangan Parlimen. 
Bukan Anwar yang membuktikan dirinya tidak bersalah tetapi kerajaan Umno-BN mesti telus membuktikan bahawa beliau bersalah. 
Sekiranya Anwar di gantung ianya merupakan suatu bonus bagi kerajaan kerana untuk beberapa penggal mereka akan terselamat dari serangan-serangan berbukti akan segala kelencongan yang telah mereka lakukan dalam pentadbiran negara ini terus berjalan songsang tanpa sentuhan dari siapa siapa.
Anwar telah pun mendedahkan tuduhannya dengan memberi gambaran jelas bahawa kerajaan Umno-BN ada kaitannya dengan APCO antara lain beliau telah dedahkan bahawa:
“Kerajaan Malaysia ada melantik syarikat APCO Worldwide untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada kerajaan persekutuan secara menyeluruh. APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara".
Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:
“APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people”.
Beberapa bukti yang lain yang APCO ada kena mengena dengan One Israel, Anwar telah dedahkan dalam Parlimen Selasa lalu tetapi masih juga ahli ahli Parlimen Umno-BN tidak berpuas hati lalu bertindak membawa usul untuk membawa beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dengan niat untuk menggantungnya daripada menghadiri sidang Parlimen.
Terfikir dihati rakyat Malaysia, di manakah hak demokrasi bersuara di negara ini? Mengapa apabila salah-laku kepimpinan Umno-BN di dedahkan, kerajaan akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada di tangan mereka untuk menutup kepincangan yang telah mereka lakukan? Di mana sikap professionalisma yang sepatutnya disemat pada setiap diri seorang pemimpin?
Telatah mereka yang senang melatah ini benar-benar menjauhkan lagi jarak antara Umno-BN dengan rakyat Malaysia. Walau macam mana Umno-BN cuba tutupi kesalahan mereka, rakyat bukan lagi bodoh untuk menerima bulat-bulat dengan apa yang di laporan oleh media massa elektronik atau cetak yang 100% di genggam erat oleh kerajaan Umno-BN.
Rakyat kini telah pintar untuk mencari alternatif lain untuk mendapatkan maklumat sebenar. Segala kemudahan moden hari ini memungkin segala maklumat di terima dengan cepat. 
Segala perbalahan, kekecohan di Parlimen dapat di ketahui dengan segera di laman-laman alternatif di internet. Apa yang di paparkan di media elektronik kerajaan hanyalah suatu sketsa ‘cut & paste’ untuk memperbodohkan rakyat Malaysia.
Umno-BN mahu nama mereka yang telah tercemar kembali jernih, maka kerana itulah mereka berusaha sedaya upaya menggagahkan diri mereka dengan apa cara hatta cara itu lebih menampakkan ketidak-pintaran sikap Umno-BN.
Apa pun, tindakan menyeret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan mensahihkan lagi tanggapan rakyat Malaysia bahawasanya Umno-BN kini telah mengaplikasikan sikap diktator dalam sistem pentadbiran negara ini. Syabas kerana anda secara tidak disedari telah memberikan ruang dan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk lebih di sayangi dan di percayai oleh rakyat Malaysia.
Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan. 
Tahniah Anwar, rakyat Malaysia jatuh bangun bersamamu!

16 September Hampir Menjadi Realiti




KUALA LUMPUR 2 Apr - Kemungkinan penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baru pada September 2008 yang diterajui oleh Pakatan Rakyat hampir menjadi realiti sekiranya Perdana Menteri ketika itu dan Speaker Dewan Rakyat tidak menolak untuk mengadakan perjumpaan dan persidangan khas Parlimen.
Malah menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Pakatan Rakyat juga telah mengutuskan warkah yang dipersembahan ke bawah Yang DiPertuan Agong bagi memohon mengadap baginda berhubung perkata itu.
Justeru adalah tidak benar sama sekali dakwaan yang mengatakan '16 September' adalah rekaan dan pembohongan pihak Pakatan Rakyat kata Anwar. 
"Pada 19 September 2008 warkah kepada Yang DiPertuan Agong diputuskan oleh pimpinan Pakatan Rakyat kerana mereka telah beri mandat kita rujuk kepada istana negara, kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memaklumkan sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia mengikut Fasal 43 Perlembagaan Malaysia.
"Kita tidak edarkan surat ini kerana pada ketika itu kita kena jaga kedudukan Yang DiPertuan Agong, kalau jadi kita ikut saluran," tegas Anwar di Dewan Rakyat petang semalam. 
Sebelum itu Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata Pakatan Rakyat juga tekah menghantar surat untuk membuat perjumpaan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi ditolak.
Kemudian  Pakatan Rakyat telah menulis suat kepada Speaker memohon satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri tetapi langkah ini juga ditolak.
"Pada 18 September 2008 setelah mendapat persetujuan ketiga-tiga parti, KEADILAN, PAS dan DAP, Pakatan Rakyat menulis surat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu  petisyen bagi mengadakan persidangan khas Parlimen Malaysia. Ini bagi membincangkan usul bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau.
"Mustahil saya berani tulis surat begini kalau saya tidak ada jumlah dan perakuan daripada rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat kerana kalau ada pada masa itu mesyaurat seperti yang kita minta mengikut Peraturan 11 (3) tapi itu ditolak.
"Kita melakukan tiga proses, pertama minta pertemuan dengan Perdana Menteri ditolak, kedua tulis kepada Speaker juga ditolak," hujah Anwar ketika mencelah penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang DiPertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
Keadaan Dewan menjadi riuh ketika Anwar mengatakan bahawa ramai antara anggota Parlimen yang hadir pada sidang semalam telah menemui beliau bagi membincangkan kemungkinan menyertai Pakatan Rakyat malah ada yang telah menandatangani surat akuan.
"Saya tidak nafikan perkara ini tidak berlaku tetapi saya nak sebut dalam Dewan Ahli-ahli Yang Berhormat tahu dan saya tahu siapa yang beri perakuan dan  siapa yang tandatangan," kata Anwar sambil di sambut dengan laungan," dia orang (Ahli Parlimen Barisan Nasional) dah takut, dah takut".
Bagaimanapun Anwar tidak mendedahkan senarai nama Ahli Parlimen BN yang bersetuju bersama-sama Pakatan Rakyat.
"Yang Berhormat dari Umno boleh ketawa, ada antara yang ketawa ada yang bincang dengan kita, ada yang talipon tapi itu bukan soalnya. Yang penting baik persahabatan atau perbincangan yang kita anggap tertutup kita hormati prinsip itu dan jangan ada langsung keraguan  mengenai perkara ini kerana dalam politik ini ada etika walaupun dengan musuh. Ini kita pertahankan sebab itu saya tidak pernah keluarkan," jelas beliau.
Tegas Anwar Pakatan Rakyat telah mengikut prosedur dan peraturan yang betul yang berlandasan Perlembagaan Persekutuan berhubung perancangan 16 September 2008.
"Jangan kata kita permainkan isu ini kerana kita ikut jalur undang-undang dan kemudian mahu dikatakan ini palsu. Saya sebutkan saya lakukan ini makna setakat menghormati peraturan, undang-undang dan Perlembagaan, tiga-tiga proses kita lakukan, itu tahap yang telah kita lakukan. Soal untuk mengatakan kita tidak ada jumlah itu tidak benar, mustahil saya ambil risiko itu," ujar Anwar lagi.

Matthias Chang Mogok Lapar Dalam Penjara




KUALA LUMPUR 2 Apr - Bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang dikatakan bertindak mogok lapar dalam Penjara Kajang kerana membantah Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Azian Shaari yang didakwa 'menindas' peguam dan anakguam
Matthias yang di jatuhkan hukuman penjara selama sebulan atas kesalahan menghina mahkamah setelah enggan membayar denda RM20,000 memberitahu keluarga beliau melalui sistem pesanan ringkas, SMS.
Keluarga beliau mengatakan peguam itu akan terus mogok lapar sehingga hakim tersebut yang menjatuhkan hukuman ke atas beliau bersetuju untuk menghentikan 'penindasan' ke atas peguam dan anakguam.
Beliau juga mahu pihak berkenaan menyemak semula peruntukan undang-undang menghina mahkamah di bawah Perintah 52 1(A) Peraturan Mahkamah Tinggi 1980.
Matthias didakwa menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.

145 Ahli Parlimen Seluruh Dunia Tuntut Gugurkan Kes Anwar



BANGKOK 2 Apr - Mesyuarat ke-122 Himpunan Ahli-ahli Parlimen Sedunia (IPU) di Bangkok hari ini sebulat suara mendedak kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kepada dua laporan perubatan yang menolak kemungkinan perbuatan tersebut berlaku.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bangkok, IPU berkata badan tersebut amat bimbang terhadap pertuduhan dan prosiding terhadap Anwar yang dianggap tercalar dan hampir sama dengan perbicaraan kes yang serupa pada 1998.
Mesyuarat IPU semalam yang menghimpun Ahli-ahli Parlimen dari 145 negara diseluruh dunia menyatakan bahawa Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen akan melaporkan keputusan sebulat suara berhubung perbiacraan Anwar kepada Lembaga Pengelola IPU.
Resolusi tersebut dibentangkan kepada Lembaga Pengelola IPU oleh pengerusi jawatankuasa tersebut, Senator Aquilino Q Pimentel Jr untuk diterimapakai.
"Adalah amat membimbangkan anggota pasukan pendakwaan yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang pertama, yang mana Ketua Pendakwa ketika itu kini dilantik sebagai Peguam Negara. Beliau dituduh merekacipta bukti terhadap Anwar dan kini terlibat sekali lagi dalam perbicaran terkini. Pasukan pembelaan Anwar telah dinafikan dokumen dan bukti dan dihalang daripada menyediakan pembelaan yang tuntas.
"IPU berpendirian bahawa pembelaan adalah sebahagian daripada elemen keadilan dalan sesuatu perbicaraan dan kegagalan memberi hak kepada pasukan pembelaan dan sebarang keputusan mahkamah hasil daripada tindakan itu dianggap pada dasarnya ditolak," tegas IPU.
Badan itu juga meminbta Setiausaha Agung IPU supaya memastikan wakil IPU akan berada sebagai pemerhati dalam perbicaraan akan datang.
IPU juga meminta Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen agar terus meneliti kes yang sabitkan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan menyediakan laporan pada mesyuarat IPU ke-123 pada Oktober 2010. 
 Tiga wakil Pakatan Rakyat yang hadir termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan Senator Mumtaz Md Nawi.  
IPU adalah sebuah organisasi yang dianggotai oleh Ahli Parlimen dari seluruh dunia dan ditubuhkan pada 1889.
Ia berfungsi sebagai wadah dialog antarabangsa yang berjuang untuk keamanan dan kerjasama serta mengukuhkan sistem demokrasi.