Wednesday, June 11, 2014

Nak kebumi guna kabilah


Baha: Penduduk di sebuah kampung di Arab Saudi enggan membenarkan seorang bayi berusia 10 hari dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu kerana perbezaan kabilah.

Menurut laporan media tempatan, ahli keluarga yang menguruskan jenazah itu membawanya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Mereka bagaimanapun dihalang penduduk kampung berhampiran bandar Baha.

“Bapa kanak-kanak itu berkata, keluarganya terpaksa mengebumikan jenazah itu di tanah perkuburan lain yang terletak hampir 15 kilometer dari rumahnya.

“Penduduk kampung bertindak demikian kerana dia bukan kabilah mereka dan bukan penduduk asal kampung itu,” lapor akhbar tempatan.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Isteri ‘sulit’ bekas Raja Saudi tuntut harta


London: Seorang wanita Britain yang mendakwa berkahwin dengan bekas Raja Arab Saudi memenangi pusingan pertama kes tuntutan harta berjumlah berjuta-juta ringgit.

Janan Harb berkata, dia berkahwin secara rahsia dengan Almarhum Raja Fahd pada 1968 ketika Fahd menjadi Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.

Menurut Janan, dia berusia 19 tahun ketika itu dan Fahd berjanji untuk menanggungnya dari segi kewangan sepanjang hayatnya.

Bagaimanapun, dia terpaksa meninggalkan Arab Saudi beberapa tahun kemudian kerana keluarga diraja Saudi tidak merestui perkahwinan mereka.

Janan menuntut bayaran £12 juta (RM65 juta) yang dijanjikan kepadanya serta hak terhadap dua apartmen mewah di tengah London.

Dia memberi amaran kepada Putera Abdul Aziz, anak Fahd hasil daripada perkahwinan dengan wanita lain bahawa dia akan mendedahkan segala rahsia mengenai kehidupan berkahwin dengan seorang raja Saudi jika Aziz gagal membayarnya.

Mahkamah Tinggi di London semalam memutuskan kes itu boleh dibicarakan di mahkamah Britain.

Selepas keputusan itu, Janan memberitahu wartawan, dia merasa lega dan memberi amaran, jika Aziz merayu untuk membatalkan keputusan berkenaan, dia akan menerima tawaran untuk menerbitkan filem mengenai buku yang sudah ditulisnya.

“Saya akan mendedahkan segala-galanya mengenai kehidupan bersama Fahd,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hanan, Aziz sudah bersedia untuk mmenunaikan janji bapanya, termasuk menjelaskan wang berjumlah RM65 juta dan hak terhadap dua apartmen itu.

Bengkel kereta khas untuk wanita elak ditipu


SEORANG mekanik wanita membaiki kenderaan yang dihantar oleh para pelanggan ke bengkel Only Girls untuk dibaiki.- AFP


PARIS - Sebuah bengkel kenderaan khusus untuk kaum wanita yang turut menawarkan perkhidmatan rias kuku dan urutan badan dibuka di ibu kota Perancis di sini.
Bengkel itu, Only Girls mula beroperasi pada Mei lalu dan memberi perkhidmatan kepada wanita yang merasakan mereka kerap ditipu dan dikenakan caj mahal oleh mekanik lelaki di bengkel lain.
Sejak sebulan beroperasi, Only Girls menerima 40 pelanggan setakat ini dengan dua pertiga daripada mereka terdiri daripada golongan wanita.
"Apabila anda seorang wanita, ia seperti ada cop 'ini mangsa' di dahi anda," kata seorang pemilik kereta berusia 42 tahun, Sandrine Hautenne.
"Saya pernah mengunjungi tiga bengkel berlainan dan diberikan tiga anggaran harga berbeza tetapi apabila saya menghantar bapa saudara saya, harga yang ditawarkan menjadi lebih rendah," tambahnya.
Only Girls menyediakan beberapa mekanik wanita berpengalaman yang bukan sahaja bekerja membaiki kereta tetapi turut mengajar pelanggan tentang aspek kenderaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz34Jof7uFX 
Hakcipta terpelihara 

Kos cari MH370 belum ditentukan


GAMBAR fail menunjukkan tentera laut Australia yang terlibat dalam operasi mencari bangkai pesawat MH370.- AFP


SYDNEY - Kerajaan Australia dan Malaysia bersedia untuk membincangkan fasa seterusnya untuk mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, kata pihak berkuasa di sini.
Setakat ini, Malaysia membelanjakan kos keseluruhan operasi mencari sebanyak satu persepuluh daripada AS$84 juta (RM269 juta).
Dalam pada itu, Australia dijangka memperluaskan pencarian pesawat itu yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing tiga bulan yang lalu.
"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak AUD$89.9 juta (RM269.81 juta). Saya rasa kira-kira AUD$25 (RM75 juta) telah disalurkan kepada pasukan pertahanan yang mengendalikan pencarian secara visual," kata Ketua Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), Angus Houston.
Sementara itu, tambahan sebanyak AUD$60 juta (RM180 juta) diperuntukkan untuk operasi pencarian dasar laut di Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai terhempas di kawasan carian Australia dan zon menyelamat.
"Wang berkenaan telah diperuntukkan tetapi kami masih mahu membuat keputusan atau masih mahu berbincang dengan beban perkongsian misalnya dengan Malaysia," katanya.
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Abdul Rahim Bakri dijangka berada di Canberra untuk berbincang dengan pegawai-pegawai Australia.
Beliau berkata kepada pemberita pada Isnin lalu, kos berkenaan akan dikongsi 50-50 antara Malaysia dan Australia.
Terdahulu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kepada Parlimen, kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM27.6 juta untuk minyak, peralatan makanan dan pencarian peribadi.
"Kos yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia sebenarnya adalah sedikit jika hendak dibandingkan dengan aset-aset yang diberikan oleh negara lain.
"Saya amat berbangga kerana ramai rakan negara lain membantu serta menanggung perbelanjaan pencarian sendiri tanpa membuat sebarang tuntutan kepada Malaysia," kata Hishammuddin.
Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac lalu semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Ia membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal semasa hilang daripada radar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz34Ii0PQ3b 
Hakcipta terpelihara