Showing posts with label terbiar. Show all posts
Showing posts with label terbiar. Show all posts

Tuesday, February 22, 2011

Sampainya hati ibu



PASIR GUDANG – Tiga beradik malang yang ditemui terkurung di dalam rumah mereka sendiri di Taman Chendana di sini bukan sahaja tidak terurus malah keadaan mereka, malah begitu kelaparan.

Setiap kali ibu mereka pergi ke tempat kerja, setiap kali itulah mereka akan terkurung di dalam rumah tanpa disediakan bekalan makanan.

Tetapi kali ini nasib anak-anak itu lebih malang apabila ibu mereka langsung tidak pulang menyebabkan mereka hampir kebulur.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, ibu ke kanak-kanak malang itu dikatakan mencari rezeki di sebuah stesen minyak untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, wanita tersebut yang merupakan ibu tunggal langsung tidak mengambil berat soal keselamatan anaknya yang ditinggalkan dalam keadaan rumah tidak terurus.

“Saya kerap melihat mereka bertiga ditinggalkan kelaparan dan pernah sebelum ini salah seorang daripada mereka memakan najisnya sendiri kerana terlalu lapar.

“Jiran ada membantu menghulurkan makanan kerana kasihan melihat tetapi ibunya akan mengamuk dan memukul anaknya jika mengetahui mengambil makanan daripada kami,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerap melihat asap keluar dari rumah kanak-kanak yang dikurung itu kerana adik yang masih kecil bermain api, tetapi sempat dipadam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, ibu kanak-kanak itu adalah penerima bantuan perumahan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai tiga kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian sejak keluarga itu menetap di rumah pangsa itu tiga tahun lalu.

“Kita difahamkan kanak-kanak itu pernah dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini, tetapi diambil ibunya, kecuali anak sulungnya berumur 10 tahun masih di Rumah Anak Yatim Darul Hanan Pasir Gudang.

Menurutnya, hasil bantuan anggota polis dari Balai Polis Pasir Gudang, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke balai polis untuk dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak JKM kerana keselamatan di tempat itu lebih terjamin.

Dalam pada itu, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di wad selama semalaman untuk pemeriksaan perubatan sebelum dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah perlindungan siasatan selama 30 hari.

“Dalam tempoh 30 hari kanak-kanak itu akan dihantar ke Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Juwita, Johor Bahru sebelum siasatan terhadap ibu dilakukan untuk mengenal pasti siapa layak menjaga mereka,” katanya.

Thursday, December 2, 2010

Lagi lembu terbiar



Oleh Mohd Nur Hafidz Nordin
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02

LEMBU yang dilepaskan tanpa kawalan di jalan menuju ke Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya.
LEMBU yang dilepaskan tanpa kawalan di jalan menuju ke Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya.
Pengguna mahu tindakan tegas dikenakan kepada pemilik haiwan berkeliaran 

KULAIJAYA: Puluhan lembu yang berkeliaran tanpa diawasi pemiliknya di sekitar Jalan Kulai-Pekan Nenas di sini, sejak bertahun lalu terus menghantui pengguna yang menggunakan laluan berkenaan.
Walaupun masalah itu sering ditimbulkan pengguna jalan raya, malah ada yang membuat aduan, ia terus berulang apabila lembu dibiarkan mencari makan di tepi jalan terbabit yang sememangnya sibuk dengan kenderaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab penternak haiwan itu bukan saja menyusahkan pengguna jalan raya, malah mengundang risiko apabila boleh menyebabkan berlakunya kemalangan maut ketika pengguna jalan raya cuba mengelak haiwan terbabit terutama pada waktu malam dan awal pagi. 

Pengguna, Nazley Saaban, 50, berkata dia hairan dengan sikap penternak yang melepaskan lembu sesuka hati untuk memakan rumput di tepi jalan. 

“Penternak seolah-olah tidak mengambil berat keselamatan pengguna yang melalui jalan berkenaan lebih-lebih lagi pada waktu malam. 

“Jika keadaan berterusan, laluan ini pasti menjadi perangkap maut kepada pengguna dan tidak mustahil satu hari nanti, ada yang kehilangan nyawa kerana kedegilan penternak terbabit,” katanya. 
Tinjauan Edisi Johor di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati kira-kira lima hingga enam ekor lembu berkeliaran di sekitar jalan itu serta tidak menghiraukan kenderaan yang lalu lalang. 

Perkara itu boleh mengundang bahaya terutama kepada penunggang motosikal kerana lembu terbabit sentiasa melintas jalan bagi mencari kawasan ragut yang sesuai. 

Seorang lagi pengguna, Tan Chien Hoe, 32, berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pemilik lembu terbabit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. 

“Masalah ini berlaku kerana tiada tindakan tegas dikenakan terhadap penternak, kesudahannya mereka bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan soal keselamatan pengguna. 

“Saya harap pihak berkuasa tempatan dapat memantau kegiatan terbabit dan mengenakan tindakan tegas terhadap penternak supaya ia menjadi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya. 

Difahamkan baru-baru ini satu kemalangan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal yang cedera apabila terlanggar lembu ketika hendak ke tempat kerja. 

Kejadian itu dikatakan berlaku kerana lembu terbabit melintas secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum terjatuh daripada motosikal ditungganginya.