Senator Maijol Mahap keluar BN, ketiga di Sabah
(Dari kiri), Lajim Ukin, Senator Datuk Maijol Mahap, Anwar Ibrahim, Wilfred Mojilip Bumburing dan Ketua PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini. - Foto ihsan Malaysian Insider
KOTA KINABALU - Senator Datuk Maijol Mahap dilaporkan telah mengisytiharkan keluar Barisan Nasional (BN) hari ini - pemimpin ketiga negeri itu berbuat demikian dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Beberapa media dan blog memetik beliau berkata, keputusannya keluar BN tidak diambil dalam sekelip mata.

Mahap, Naib Presiden Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (Upko) berkata, beliau telah memikirkan secara teliti dan mengambil masa yang agak panjang mengenai perkara itu.

Langkah itu disambut oleh Pakatan Rakyat (PR) pada satu majlis yang diadakan di Kampung Kokobuan, Kota Marudu, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Jelas Mahap, masalah yang berlarutan di Sabah menjadi sebab utama beliau mengambil langkah tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran, mengisytiharkan peletakan jawatan. Turut keluar ialah pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin yang juga timbalan menteri pusat. Maijol telah berada dalam BN selama 14 tahun.

"Boleh dikatakan, Upko yang saya anggotai adalah sebuah parti yang menarik dan mempunyai budaya yang bagus.
"Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok adalah seorang yang baik dan pemimpin yang berketrampilan. Upko sungguh bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti beliau.

"Bagaimanapun, setelah meneliti tentang masalah yang berlarutan di Sabah sedangkan tiada usaha usaha penyelesaian terlihat, dengan berat hati, saya terpaksa meninggalkan perjuangan itu," kata beliau lagi.

Katanya, beliau tidak lagi menaruh kepercayaan bahawa BN boleh atau akan menyelesaikan isu isu kritikal di Sabah, contohnya seperti isu Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah lama berlarutan, kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah, penyisihan terhadap kaum Kadazan-Dusun-Murut (KDM) dari perkhidmatan awam dan anugerah biasiswa, masalah masalah tanah dan royalti minyak lima peratus.

Kerajaan BN, ujar beliau, telah berjanji untuk mengadakan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah tapi hampir semua orang tahu bahawa ia hanyalah janji manis BN.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan terma rujukan RCI dan anggotanya.

“Terdapat kira kira 900,000 warga asing di Sabah dan saya mengesyaki terdapat beratus ratus ribu lagi yang bersembunyi di sebalik identiti Melayu, Bajau dan kaum Bumiputera yang lain.

"Orang-orang ini tiba tiba menjadi Bumiputera, malah lebih bumiputera dari orang KDM. Cuba bayangkan apa yang kami rasa?" ujar beliau lagi.

Mahap juga mengeluh apabila masalah tanah masih terus menghantui penduduk di kawasan luar bandar, satu-satunya harta asas yang mereka miliki atau lebih dikenali sebagai tanah adat, telah diambil dan dirampas oleh syarikat syarikat besar dan agensi agensi kerajaan dan menjadikan mereka berstatus penghuni haram atas tanah milik mereka sendiri.

"Saya sudah tidak boleh bertolak ansur dalam hal ini. Ini satu diskriminasi terhadap kehidupan rakyat." katanya.