Kenya: Pengganas Kenya menembak mati seorang pendakwah Islam tersohor di sebuah masjid di Mobasa, kata pihak berkuasa semalam.
Menurut polis, Sheikh Ibrahim Omar ditemui dibunuh bersama tiga lelaki lain dalam sebuah kereta dan percaya ia ada kaitan dengan serangan pengganas ke atas pusat beli-belah di Nairobi baru-baru ini. Jurucakap polis berkata, Sheikh Ibrahim dikaitkan dengan militan Islam Somalia, Sementara itu sumber yang dekat dengan mangsa berkata, ulama terbabit menjadi mangsa terbaru pembunuhan berpilih pasukan keselamatan Kenya terhadap penganut Islam.
Bagaimanapun polis menafikan dakwaan itu dan berkata pihak keselamatan tidak ada kaitan langsung dengan kejadian itu.
Pegawai polis Mombasa, Robert Kitur berkata, polis tidak bertugas untuk membunuh begitu. Kata Kitur, seorang daripada lima lelaki dalam kereta itu terselamat dalam kejadian tembakan itu.
Katanya, kejadian berlaku lewat malam kelmarin dan hanya beberapa ratus meter dari tempat paderi, Abound Rogo, ditembak mati pada Ogos 2012. Pembunuhan Rogo turut dikaitkan dengan kumpulan al-Shabab oleh kerajaan Kenya dan Amerika Syarikat Kitur juga memberi amaran supaya umat Islam tidak bangkit menggerakkan rusuhan ekoran kejadian berkenaan.
“Kami tahu ramai yang mahu mengambil peluang dengan keadaan ini tetapi kami memberi amaran jangan menyertai sebarang rusuhan,” katanya.
Polis anti rusuhan melancarkan rondaan di kawasan perumahan Majengo yang mana Sheikh Ibrahim kerap memberi ceramah. - Reuters