Showing posts with label kembar siam. Show all posts
Showing posts with label kembar siam. Show all posts

Saturday, July 28, 2012

Kembar Siam berjaya dipisah




KEMBAR Muaimin Azli (kanan) dan Muaiman sebelum mereka dipisahkan.



TIONG LAI menziarahi Muaimin Azli (depan) dan kembarnya 
Muaiman Azli yang selamat menjalani pembedahan pemisahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.
Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.
Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.
Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut
“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.
“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.
Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.
Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.
“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Wednesday, January 25, 2012

Kembar Siam masih di hospital ekoran keluarga tidak mampu


Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie masih dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 24 Jan. - Sejak dilahirkan empat bulan lalu, pasangan kembar Siam, Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie sehingga kini terpaksa menjalani kehidupan di hospital.
Puncanya, ibu dan ayah mereka masih tidak mampu menyediakan rumah yang selesa mengikut spesifikasi ditetapkan agar tidak menjejaskan kesihatan kerana mereka masih memerlukan penjagaan rapi.
Ibu bayi itu, Noraini Mohamad, 32, terkilan kerana keadaan masih menjarakkannya dengan anak-anak dan memaksanya berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk melihat mereka.
Katanya, keinginan untuk membawa pulang pasangan kembar itu membuak-buak apatah lagi mereka kini sudah mampu bergerak dan tersenyum apabila disentuh dan dibelai.
"Gembira dapat tengok keletah mereka yang kadang-kadang mencuit hati. Bayangkan kalau dapat tengok pergerakan mereka setiap masa," jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Noraini, pihak hospital telah membenarkan pasangan kembar itu dibawa pulang namun keadaan rumah mertua di Kuala Ibai di sini, tempat dia menumpang tinggal dianggap tidak sesuai.
Katanya, dia kini berusaha untuk mencari sebuah rumah yang selesa di sekitar bandar ini untuk disewa namun kebanyakan harga yang ditawarkan agak tinggi dan di luar keupayaan suaminya.
"Memang ada hasrat hendak membina rumah baru, namun perlu ada RM40,000 hingga RM50,000 dulu. Masalahnya kami memang tidak ada duit sebanyak itu.
"Kalau ada rumah yang sesuai pun, sewanya pula terlalu tinggi sekitar RM400 hingga RM500 sebulan dan kami memang tidak mampu," katanya.
Sebelum ini katanya, dia menyewa bersama ibunya di Kampung Padang, Gong Pak Maseh dekat sini namun telah berpindah ke rumah ibu mertuanya di Kuala Ibai.
"Kami perlu menyewa sebuah rumah yang selesa dan persekitaran bersih, diperbuat daripada batu dan mempunyai siling bagi melindungi kembar itu yang sensitif kepada persekitaran.
"Rumah ibu saya rumah papan manakala rumah mertua pula tiada siling menyebabkan pihak hospital enggan memberikan kebenaran.
"Jadi saya bercadang untuk membawa mereka tinggal di Kemaman memandangkan suami saya menjual ikan di sana dan berharap kerajaan negeri dapat membantu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau rumah kos rendah dengan kadar sewaan yang kecil," ujarnya.
Bayi yang dilahirkan seberat empat kilogram pada 22 september tahun lalu itu bercantum pada bahagian pusat hingga dada dan pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mereka berkemungkinan berkongsi hati dan jantung.
Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan akan membiayai kos pembedahan jika diperlukan untuk memisahkan mereka kelak.

Sunday, June 27, 2010

Kembar siam Iraq tiba di Saudi


15/7

MENTERI Kesihatan Arab Saudi, Dr. Abdullah Al-Rabeeah (kanan), memeriksa kembar Zainab dan Ruqiya ketika tiba di King Abdul Aziz Medical City di Riyadh.

RIYADH – Sepasang kembar siam perempuan Iraq, Zainab dan Ruqiya diterbangkan dengan helikopter dari tempat asal mereka di Najaf terus ke Arab Saudi untuk menjalani pembedahan pemisahan di King Abdul Aziz Medical City di sini kelmarin.
Bapa kembar itu, Naseer Muhammad Hassan menjunjung kasih keprihatinan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz yang mengarahkan pembedahan dilakukan segera dengan pembiayaan baginda sendiri selain meringankan beban keluarga miskin itu.
Bayi tersebut dilahirkan pada 5 Jun lalu dengan bercantum di bahagian dada. Setakat ini, pusat perubatan terbesar itu telah berjaya memisahkan 27 kembar siam dari 16 buah negara termasuk pasangan Malaysia, Filipina, Poland, Cameroon dan Mesir.
Akhbar Arab News melaporkan baru-baru ini, Raja Abdullah turut menanggung pembedahan selama enam jam terhadap kembar siam dari sebuah keluarga miskin Jordan yang berusia tiga bulan, Mohammed dan Amjad. – Agensi
kredit : kosmo.com.my