PUTRAJAYA: Polis akan melakukan siasatan berhubung pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan anak perempuan kepada Jamalul Kiram III, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kertas siasatan mengenainya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Beliau menyifatkan perbuatan Nurul Izzah itu seolah-olah satu 'pengiktirafan' kepada Kesultanan Sulu yang berada di belakang tabir pencerobohan di Lahad Datu, beberapa tahun lalu.
"Pertemuan itu sangat tidak dialu-alukan kerana seolah-olah mencabar dan meletakkan orang Sabah sebagai mangsa perbuatan Kesultanan Sulu," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Luhut Binsar Panjaitand di pejabatnya di Perdana Putra, di sini, sebentar tadi.
Nurul Izzah pada 9 November lalu memuat naik gambar pertemuannya dengan Puteri Jacel H Kiram, di laman Facebook miliknya yang mendesak pembebasan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.