Sunday, September 11, 2011

Tidak dijajah: Apa pendirian Pemuda Umno

Harakahdaily  
  KUALA LUMPUR, 11 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar pemimpin Umno, khususnya Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian mereka terhadap dakwaan Prof. Zainal Kling daripada Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa “Tanah Melayu tidak pernah terjajah, sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British”.
Ketua DPPM Nasrudin Hassan at-Tantawi berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Zainal Kling tersebut tidak mewakili pendirian seluruh cendekiawan dan ahli akademik tanahair dan ianya perlu disokong oleh fakta dan perbahasan secara ilmiah, khususnya dalam persoalan berkaitan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hubung kait di antara konsep naungan (protectorate), lindungan (protected), kedaulatan (sovereignity) dan kemerdekaan (independence).
“DPPM melihat kenyataan tersebut bukan sahaja membuka ruang perbahasan akademik dan penilaian semua teks sejarah, malah mempunyai implikasi yang lebih besar terhadap status empayar kerajaan British dan negara-negara Komanwel di seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Di samping itu, katanya kenyataan tersebut turut mengundang begitu banyak persoalan sinis dan gurauan di kalangan generasi muda yang popular dengan lagu “Merdeka” oleh Allahyarham Sudirman dan laungan “Merdeka” oleh Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman.
Tambahnya, DPPM berpendirian bahawa British dan sekutunya telah menjajah secara hakiki Tanah Melayu dan bebarapa lagi negara sepanjang tempoh zaman imperialisme dan kolonisme.
Ini, ujarnya berdasarkan nilai kemerdekaan sebenar, yang terletak pada nilai kebebasan manusia daripada penyembahan sesama manusia.
Ini, jelasnya sebagaimana ungkapan masyhur seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Rabi’e bin Amir ketika dipanggil mengadap Panglima Parsi, Rustum, dengan pertanyaan “Atas sebab apakah kamu ke sini?”, lantas dijawab, “Allah yang menghantar kami. Dia membawa kami ke sini untuk membebaskan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada hanya menyembah Allah yang Esa, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan membebaskan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dialah yang menghantarkan kepada kami agamaNya yang diciptaNya, untuk menyeru manusia-manusia kepadaNya”.
Katanya, kenyataan Prof. Zainal seperti memperbodohkan negara, pemimpin dan seluruh rakyatnya yang saban tahun menyambut ulangtahun kemerdekaan.
“Jika negara tidak pernah dijajah sebagaimana yang didakwa, maka untuk apa Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan,” katanya.
Soalnya, bagaimana pula kedudukan silibus pengajian pelajar-pelajar kita di sekolah dari semua peringkat yang mula keliru dengan perbahasan sejarah negara hari ini.
Justeru, ujarnya DPPM amat kesal dengan sikap Umno dan Pergerakan Pemuda Umno yang berdiam diri dalam persoalan ini dan ternanti-nanti pengisian program Pentas Patriot yang akan dianjurkan oleh pihak Pergerakan Pemuda Umno untuk mengenang jasa tokoh kemerdekaan negara.

Hina Islam: Jingga 13 mohon mengadap Agong

Muhammad Faizal   
SHAH ALAM, 11 Sept: Kegagalan serta sikap lepas tangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani isu sebuah laman web yang menghina Agama Islam serta boleh memesongkan akidah, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum berhubung dengan isu berkenaan.

Jurucakapnya, Fariz Musa yang dihubungi mengesahkan NGO terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak malah menyifatkan isu tersebut bukan dalam bidang kuasa mereka.

"Inilah jalan yang perlu kita ambil dan bukan niat kita untuk memanjangkan permasalah tersebut kepada Agong tetapi bila melihat sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak maka kami rasa wajar perkara ini diketengahkan.

"Sehingga sekarang kita belum mendapat apa-apa jawapan dari pihak Jakim mahupun kementerian, jadi kita berpendapat mereka memang tidak mahu bertindak," jelas Fariz

Tambah Fariz lagi pertemuan yang akan diadakan pada 12 September jam 10 pagi itu akan turut disertai pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat.

"Kami bersama semua pemimpin  akan mengadakan satu pertemua dengan Yang di-Pertuan Agong di atas penghinaan kesucian agama Islam telah dihina oleh individu yang tak bertamadun di halaman sosial.

"Jingga 13 akan menyerah memorandum tentang gagalnya Menteri menyelesaikan masalah ini walaupun laporan yang telah di buat," sambungnya lagi.

Beliau juga mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar dapat bersama dengan Jingga 13 pada pertemuan tersebut supaya kesucian Agama Islam terus terpelihara.

"Bagi memelihara kesucian Islam dari terus dihina serta mengharapkan agar Jamil Khir mahupun Jakim tidak memandang mudah tentang permasalah ini, saya menyeru mana pihak diluar turut serta bersama dalam pertemuan itu esok," tambah beliau.

Pada 7 September yang lepas,  Jingga 13 telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet, namun ia gagal diserahkan kerana Jakim memberi alasan bahawa isu menghina Islam itu bukan bidang kuasa Jakim.
-harakahdaily

Mohamad Sabu saman Utusan Isnin ini

Mohd Sabri Said   
BUKIT MERTAJAM, 10 Sept: "Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekaligus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal," jelas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Beliau ketika berucap di majlis mengutip dana Pondok Turith di Kampung Sekolah, Juru, Bukit Mertajam malam tadi menegaskan, masa yang diberikan kepada Utusan Malaysia selama 24 jam untuk menarik balik siaran muka depan ‘Mat Sabu hina pejuang' sudah berakhir dan saman akan bermula Isnin ini.
Katanya, semua maklumat telah pun diserahkan kepada peguam dan terserah kepada peguam beberapa tuntutan yang harus dikenakan selari dengan fitnah yang tidak henti-henti selama 15 hari berturut-turut.
Tambahnya, tindakan itu bukan untuk mencari kekayaan sebaliknya mahu pengamal media di negara ini bersikap adil dan telus dalam setiap penyiaran berita dan tidak mencipta cerita yang bukan-bukan semata-mata untuk mewujudkan prasangka yang tidak baik terhadapnya, PAS dan Pakatan Rakyat.
"Saya diluku sampai hari ini padahal ceramah saya dah lama dan banyak fakta yang direka merapu dan tak wujud.
“Saya tidak langsung diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar yang ada dalam TV, saya bercakap tak dak suara, macam itik," jelasnya disambut laungan Allahuakbar dan reformasi para hadirin.
Berceramah sama pada malam tadi ialah Pengarah Pilihan raya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amirudin Ahmat.
harakahdaily

Kenapa Tunku laungkan merdeka jika tidak dijajah

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 10 Sept: “Rakyat tertanya-tanya, jika negara tidak pernah dijajah, kenapa Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka?
“Kenapa setiap tahun kita menyambut kemerdekaan? Apakah penulisan sejarah perlu dibakar kerana telah tipu pelajar-pelajar sekolah?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
Katanya, sekarang terbukti siapa yang hendak membohongi sejarah.
“Rasa kesian kepada profesor upahan Umno yang mengakhiri hidup mereka yang akan dicemuh oleh semua makhluk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kenyataan mereka memalukan ahli akademik yang jujur.
Justeru, ujarnya ahli akademik perlu bangkit membetulkan kenyataan itu.
“Biarkan Majlis Profesor Umno dengan khayalan mereka semata-mata untuk mendapat sanjungan Umno. Kenyataan mereka juga akan menjadi sejarah hitam dalam negara ini,” katanya lagi.
Justeru, ujarnya, tembelang Umno terserlah bahawa parti itu bukan pelopor memperjuangkan kemerdekaan negara.
Ini, katanya kerana selama ini Umno menipu rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli Umno bahawa Umno yang memperjuangkan kemerdekaan.
Apa tidaknya, kata beliau setiap kali menyambut kemerdekaan, pemimpin Umno menipu rakyat seolah-olah perjuangan kemerdekaan bermula daripada 11 Mei 1946.
Menurutnya, sekarang mereka biarkan orang suruhan mereka yang konon bergelar profesor untuk menjadi penangkis Umno.
“Rakyat tidak pelik dengan kenyataan mereka ini yang memang menjadi Umno sejak di dalam perut emak mereka lagi.
“Rakyat pelik jika mereka ini mengkritik Umno,” ujarnya lagi.
Tambahnya, oleh kerana terlalu hendak menjadi pembodek, sehingga mengeluarkan kenyataan bahawa negara kita tidak pernah dijajah, kenyataan yang diketawa oleh orang pekak dan buta.
“Saya yakin pemimpin Umno pun tersenyum melihat gelagat ayam sabung mereka, sehingga pemimpin Umno pun tidak sanggup untuk menipu rakyat,” katanya.

Saya perjuang Islam, bukan komunis - Mat Sabu

Nazri Abdullah   
GOMBAK, 11 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia.

Berucap dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak dulu lagi.

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan Umno dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong.

Kira-kira seribu hadirin hadir pada ceramah malam tadi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Umno warisi penjajah

Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi.

Mohamad dalam satu ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.

Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.

Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.

Khairy budak baik

Sementara itu, menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda Umno itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat.

"Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin PAS akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy.

"Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya.
Turut menyampaikan ceramah malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
harakahdaily

Rakyat AS memperingati serangan 11 September

NEW YORK: Rasa gementar dan kemurungan menyelubungi rakyat Amerika Syarikat pada sambutan ulang tahun ke-10 serangan 11 September yang mengakibatkan kematian kira-kira 3,000 orang dan mendorong kepada era peperangan.

Presiden Barack Obama dan bekas Presiden, George W Bush akan menghadiri upacara di tapak Menara Berkembar di New York dan selepas itu Obama akan terbang ke lokasi lain ketika serangan 11 September iaitu Pennsylvania dan Pentagon.
Ketika Pegawai Persekutuan memberi amaran berkaitan ancaman keganasan baru, keselamatan di bandar utama dikawal rapi dan Obama menggesa “supaya tahap berjaga-jaga ditingkatkan serta tahap persediaan”.
Pasukan polis yang lengkap bersenjata dan anjing pengesan bom dikerahkan di seluruh New York manakala pemilik kenderaan yang melalui beberapa kawasan perumahan terpaksa menjalani pemeriksaan. - AFP 

Bakal rosak salasilah

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membantah mekanisme yang dicadangkan kerajaan negeri Terengganu bagi membolehkan anak tak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti kepada nama bapa berikutan tidak bertepatan dengan hukum syarak.
Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip berkata, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada nama bapa berikutan ia menyentuh soal menetapkan keturunan atau pertalian kekeluargaan berdasarkan hubungan darah yang sah iaitu menerusi ikatan perkahwinan yang ditetapkan syarak.

Katanya, jika dilakukan, ia akan merosakkan salasilah keturunan yang pasti akan bercampur dan akhirnya mengganggu proses membabitkan pewarisan harta, wali dan mahram.

“Mungkin tujuan cadangan ini baik iaitu memastikan anak yang tidak berbin atau berbintikan bapa itu nanti tidak mengalami gangguan emosi kerana masyarakat akan mengetahui mereka adalah anak hasil hubungan luar nikah.

“Namun, itu sebenarnya merujuk kepada kepentingan segelintir individu saja. Apa yang kita perlu ambil perhatian sebenarnya adalah mengenai kemaslahatan atau kepentingan dalam masyarakat,” katanya.

Menurut Mohamad Isa, hukum syarak sedia ada menetapkan bahawa anak tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa itu termaktub dalam al-Quran dan bukan boleh diolah sewenang-wenangnya oleh manusia.


Katanya, hukum syarak mesti diberi perhatian terlebih dulu dan bukan pandangan masyarakat atau individu tertentu.

“Kita melihat ini sebagai satu isu yang akan memberi masalah pada masa depan. Pada masa sekarang, sebilangan masyarakat masih ada rasa takut untuk melakukan maksiat walaupun kes mengenai perkara ini semakin meningkat.

erkara ini dilaksanakan juga, kita khuatir masyarakat pada masa depan akan lebih berani untuk melakukan maksiat hingga melahirkan anak tidak sah taraf tanpa sedikit pun rasa takut,” katanya yang mahu cadangan itu diberi perhatian lebih teliti.

Beliau berkata, jika mahu menutup malu segelintir pihak, tidak mustahil pelaksanaannya nanti akan membuka ruang menjadikan jumlah anak tidak sah taraf semakin bertambah besar.

Kelmarin, kerajaan negeri Terengganu merumus mekanisme dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak berkenaan menanggung tekanan emosi, terutama ketika mula bersekolah.

Nama bapa juga dicadangkan turut dicatatkan dalam kad pengenalan tetapi akan diikuti dengan satu kod rujukan ‘Seksyen 13’ bagi memudahkan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan mengetahui status individu apabila kanak-kanak itu dewasa, terutama untuk proses akad nikah bagi pengantin perempuan.

Mekanisme cadangan itu diumumkan kerajaan negeri dalam mesyuarat khas ketua-ketua jabatan, Isnin lalu membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), JPN negeri, Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengelak tekanan emosi yang terpaksa dilalui anak tidak sah taraf.

Berdasarkan prosedur JPN kini, anak dilahirkan ibu yang bernikah kurang enam bulan perlu dibinkan Abdullah dan bukan nama bapa.

Berikutan mesyuarat itu, JPN bersetuju dengan cadangan itu dan akan membuat beberapa perubahan dalam akta sedia ada di Parlimen untuk dikuatkuasakan.

Kedutaan Israel di Mesir jadi sasaran serangan

KAHERAH: Beratus-ratus penduduk Mesir menyerbu bangunan yang menempatkan kedutaan Israel dan membuang dokumen kedutaan serta bendera rasmi rejim Zionis keluar tingkap.
Dalam pada itu, stesen televisyen Mesir melaporkan semalam, duta Israel dan keluarga serta kakitangannya berlepas pulang ke Tel Aviv dengan pesawat ekoran kejadian itu.

Kementerian Dalam Negeri Mesir berkata sekurang-kurangnya 450 penunjuk perasaan cedera selepas bertempur dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Laporan televisyen mendakwa 46 anggota polis turut cedera.

Ia kali kedua kedutaan itu diserang sejak lima pengawal sempadan Mesir ditembak mati oleh Israel dalam operasi memburu sekumpulan lelaki bersenjata beberapa bulan lalu.

Kejadian itu mendorong Mesir mengancam memanggil pulang dutanya.


Mengundurkan diplomat Israel, walaupun sementara, dari Mesir, negara Arab pertama menandatangani perjanjian damai dengan rejim Zionis, akan menjejaskan keyakinan Israel yang ketika ini sudahpun terbabit dalam pertelingkahan dengan Turki, yang dulunya menjadi antara segelintir negara Islam yang rapat dengannya.

Tunjuk perasaan di Kaherah berlarutan hingga awal pagi semalam dengan polis berdepan kira-kira 2,000 penujuk perasaan berhampiran kedutaan itu.
Kejadian itu membimbangkan Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel. Presiden Barack Obama bertindak meminta kerajaan Mesir mengawal keselamatan kedutaan Israel. - AFP

Mat sabu punya pasal depa naik pangkat


16,000 polis naik koperal
Oleh Wan Faizal Ismayatim

2011/09/11

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan kenaikan pangkat 16,010 anggota polis berpangkat lans koperal kepada koperal secara automatik mengikut tempoh perkhidmatan tanpa perlu menjalani proses temu duga. 

Beliau berkata, proses kenaikan pangkat itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan anggota polis berpangkat rendah.
Menerusi skim itu, katanya, konstabel dinaikkan pangkat ke lans koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, manakala lans koperal selepas lima tahun berkhidmat dinaikkan ke pangkat koperal dengan syarat lulus undang-undang rendah jabatan, tapisan dan perakuan pegawai pemerintah.
Seramai 16,010 lans koperal layak dinaikkan ke pangkat koperal secara time-based mengikut pecahan skim perkhidmatan iaitu Skim Anggota Pangkat Rendah (APR) dan Konstabel membabitkan 13,759 anggota serta Skim APR dan Konstabel Sokongan membabitkan 1,618 anggota. 

Selain itu, 633 lans koperal Orang Asli dari Skim APR dan Konstabel Orang Asli turut layak dinaikkan pangkat secara time-based mengikut skim ini, katanya pada majlis terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini malam tadi. 

Ismail berkata, kenaikan pangkat bagi fasa satu sudah dilaksanakan 15 Julai lalu membabitkan 1,294 anggota manakala fasa kedua yang membabitkan 14,716 lans koperal dari ketiga-tiga skim itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat. 

Untuk kenaikan pangkat kategori koperal ke sarjan, sarjan ke sarjan mejar dan sarjan mejar ke sub inspektor, kaedah temu duga masih diguna pakai. Pelaksanaan kenaikan pangkat itu membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan sebanyak RM27,943,508.97, namun ia masih dalam bajet yang diberikan kepada PDRM, katanya. 

Kes cerai tinggi musim Aidilfitri





2011/09/11

Belanja, ziarah raya punca krisis rumah tangga di Arab Saudi naik

JEDDAH: Perunding keluarga Arab Saudi mendedahkan kadar perceraian dikesan meningkat sepanjang musim cuti dan perayaan Aidilfitri tetapi pada masa sama menolak sebarang tanggapan bahawa pertelingkahan terhadap perbelanjaan Aidilfitri yang perlu dipersalahkan. 

Perunding perkahwinan, Muhammad Al-Ahmadi memberitahu akhbar Arab News, ada pelbagai sebab perceraian berlaku dan yang paling penting tentunya masalah kewangan pasangan terbabit.
Pertelingkahan yang membawa kepada perceraian membabitkan banyak sebab termasuk alasan remeh temeh seperti melawat rumah sanak saudara tanpa memberi makluman kepada pasangan, keluar rumah sepanjang perayaan Aidilfitri, tidak suka jenis makanan yang dihidangkan dalam perayaan dan tidak setuju membenarkan anak bermain di luar rumah, katanya.
Malah, ada juga cerita lucu di sebalik perceraian yang dilaporkan berlaku sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini. 

Akhbar tempatan melaporkan, antara kes lucu termasuk seorang lelaki menceraikan dua isterinya kerana mereka menggesanya membelikan pakaian baru untuk perayaan. 

Satu lagi laporan menyebut seorang lelaki menceraikan isteri kerana wanita itu enggan mengikutnya menziarahi kakaknya, malah bertegas untuk ke rumah ibunya. 

Kajian mengenai kes cerai pasangan dijalankan Pusat Al Mawadah untuk Perundingan Keluarga mendapati ada banyak sebab lain menjadi punca dan bukan hanya mengenai perbelanjaan Aidilfitri. 
Menurut hasil kajian itu, separuh daripada responden tidak percaya pertelingkahan terhadap perbelanjaan Aidilfitri menyebabkan punca utama perceraian. 

Kira-kira 63 peratus pula tidak percaya bahawa Aidilfitri adalah perayaan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan manakala 37 peratus lagi masih berpegang yang sambutan itu mampu menguatkan hubungan keluarga. - Agensi 

Gaun pengantin Diana, Kate tetap memukau



kate dengan gaun pengantin berwarna putih semasa berkahwin dengan putera william pada tahun ini. - AGENSI


LONDON 10 Sept. - Aura Kate Middleton dan mendiang Puteri Diana sentiasa disanjung peminat mereka termasuk gaun pengantin yang dipakai kedua-dua puteri tersebut.
Gaun pengantin Kate yang mendapat sentuhan pereka Sarah Burton dan Alexander McQueen ketika berkahwin dengan Putera William berjaya mengutip dana berjumlah 8 juta pound (RM40 juta) dan merekodkan jumlah pelawat yang luar biasa semasa ia dipamerkan di Istana Buckingham pada Julai dan Ogos lalu.
Gaun pengantin Kate mungkin berjaya memukau mata orang ramai, namun legenda ibu mertua Middleton, mendiang Puteri Diana juga tiada tolok bandingannya.
diana dengan gaun pengantin semasa berkahwin dengan putera charles pada 1981. - Agensi


Gaun yang dipakai Diana ketika berkahwin dengan Putera Charles pada 1981 pula bukan sahaja dianggap sebagai satu hasil yang menakjubkan malah personaliti puteri tersebut menambah lagi 'keajaiban' gaun itu.
Gaun bersejarah yang dipakai Diana itu telah menjelajah ke pelbagai lokasi dunia selama tujuh tahun untuk tatapan umum bagi megubat rindu peminatnya terhadap puteri kesayangan mereka itu.
Untuk tahun ini, gaun tersebut dipamerkan di stesyen kereta api Kansas City dan muzium di Grand Rapids, Michigan.
Sementara itu, bermula Jumaat ini, gaun tersebut kemungkinan akan 'mengembara' ke kompleks kasino di Mashantucket, Connecticut, beserta barangan lain milik Diana untuk menjadi tatapan para pengunjungnya. - AGENSI

Hanya 1.7 juta aktif bayar cukai




MOHD. SHUKOR (depan, dua dari kiri) bersama Abdul Ghafar (depan, kiri sekali) serta guru dan pelajar selepas perasmian Kem Cerdik Cukai di Bandar Baru Bangi semalam.


BANGI - Hanya 1.7 juta orang daripada kira-kira lima juta pembayar cukai di negara ini merupakan pembayar cukai yang aktif bagi semua kategori termasuk individu dan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, daripada jumlah tersebut kira-kira tiga juta orang merupakan pembayar cukai yang ingkar atau tidak aktif.
"Mereka juga dalam kalangan pemilik syarikat domain atau pada masa tersebut berlaku kerugian, atau pendapatan tidak mencapai tahap yang sepatutnya menyebabkan mereka tidak perlu membayar cukai," katanya pada sidang akhbar di Akademi Percukaian Malaysia di sini semalam.
Beliau sebelum itu melancarkan Kem Cerdik Cukai 2011 yang melibatkan seramai 204 pelajar tingkatan enam dan 51 guru daripada beberapa buah sekolah dari sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Amir Shah rayu simpati penderma hati



RAMLAH melihat keadaan kaki Amir yang bengkak akibat sirosis di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja hotel di sini yang menderita penyakit sirosis hati (pengerasan hati) sejak dua tahun lalu merayu bantuan orang ramai untuk menderma hati kepadanya.
Pesakit tersebut, Amir Shah Osman, 55, berkata, dia amat memerlukan hati baharu kerana tahap fungsi organnya itu kini cuma tinggal 10 peratus selepas menderita penyakit tersebut sejak tahun 2009.
“Doktor memberitahu penyakit sirosis hati yang dialami saya boleh mengakibatkan kanser hati sekiranya tidak menerima rawatan yang sewajarnya dengan segera.
“Oleh itu, saya merayu supaya ada pihak yang mahu mendermakan hatinya kepada saya bagi membolehkan saya meneruskan kehidupan seperti biasa bersama keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di Bangsar, di sini semalam.
Amir Shah berkata, akibat penyakit itu, dia terpaksa berhenti kerja sejak awal April lalu. Kini segala perbelanjaan rumah ditanggung isterinya yang bekerja sebagai wartawan di sebuah akhbar tempatan.

16,010 lans koperal naik pangkat



KUALA LUMPUR - Seramai 16,010 anggota polis berpangkat Lans Koperal akan dinaikkan pangkat kepada Koperal berkuat kuasa hari ini.
Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Majlis Malam Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Maktab Polis Kuala Lumpur di sini semalam.
"Kenaikan pangkat itu diluluskan oleh Perdana Menteri dilakukan secara time based," katanya pada satu sidang akhbar khas di sini semalam.
Kenaikan pangkat itu juga dilakukan terhadap anggota yang memenuhi syarat perkhidmatan tanpa melalui proses temu duga.