Monday, February 7, 2011

Penjelasan Terhadap Laporan Muka Depan Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 05 Februari 2011


Kenyataan Rasmi Pejabat Menteri Besar Kelantan

Penjelasan Terhadap Laporan Muka Depan
Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 05 Februari 2011
  1. Saya dengan ini merujuk kepada laporan muka depan akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan pada 05 Februari 2011 yang memaparkan tajuk berita “NIK AZIZ SETUJU DEBAT : Sahut Cabaran Ulama UMNO Isu Kenyataan Jejas Akidah.”
  2. Di bawah tajuk tersebut dipaparkan laporan berkenaan persetujuan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk berdebat dengan ulama UMNO, Mohd Nor Deris berkenaan dengan kenyataan YAB Tuan Guru yang didakwa boleh menjejaskan akidah.
  3. Sukalah diperjelaskan bahawa tajuk dan laporan berita tersebut sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku ialah YAB Tuan Guru ditanya berkenaan desakan Mohd Nor Deris agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kenyataan beliau yang di dakwa menjejaskan akidah. Menjawab pertanyaan tersebut, YAB Tuan Guru bersetuju agar kenyataannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Persetujuan tersebut termasuklah mengadakan perbincangan antara beliau dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
  4. Tidak timbul isu berdebat dengan Mohd Nor Deris yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kerajaan sebagai penggubal dasar. Secara logiknya, individu yang layak berdebat dengan Menteri Besar Kelantan yang juga al-Mursyidul Am PAS tentulah tokoh yang mempunyai jawatan berpengaruh di dalam kerajaan atau parti.
  5. Laporan di dalam akhbar Berita Harian yang merujuk kepada kenyataan yang sama lebih berkredibiliti dan menepati maksud sebenar YAB Tuan Guru. Justeru, laporan yang tidak tepat seperti yang tersiar di dalam akhbar SInar Harian Edisi Kelantan tersebut amatlah dikesali.
Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 05 Februari 2011


MEDIU tawar tempat pelajar Universiti Al-Azhar

SH
KUALA LUMPUR - Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menawarkan tempat kepada pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir untuk membolehkan mereka menyambung pengajian yang tertunda ekoran pergolakan di Mesir.

Rektor MEDIU, Prof Dr Mohammad Khalifa Al-Tamimi mengemukakan surat tawaran itu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam MEDIU, Jamaluddin Hussain berkata, dalam surat itu, Prof Dr Mohammad Khalifa menyatakan bahawa tawaran berkenaan akan merangkumi sistem pengajian secara e-pembelajaran dan sistem pengajian secara konvensional di bilik kuliah serba lengkap dengan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa MEDIU di Plaza Masalam, Shah Alam.

Kira-kira 90 peratus modul pengajian bagi bidang pengajian Islam MEDIU diambil daripada Universiti Al-Azhar dan sebahagian besar pensyarahnya berasal dari negara Timur Tengah dan Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan.

Pensyarah universiti itu juga merupakan lepasan peringkat Doktor Falsafah (PhD) Universiti Al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti Islam Jordan, universiti tempatan dan beberapa universiti terkemuka yang lain.

"Kami percaya program ini akan memberi banyak manfaat untuk rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Universiti Al-Azhar yang menerima musibah daripada konflik persengketaan yang menghampiri kejadian perang saudara yang melanda Mesir," kata Prof Dr Mohammad Khalifa.

Beliau juga amat berharap agar MEDIU diberi peluang untuk menabur bakti kepada pelajar berkenaan untuk memastikan mereka mencapai cita-cita dan seterusnya menjadi warga yang berjasa kepada agama, negara dan bangsa.-Bernama

Debat dengan Nik Aziz: PAS minta Umno kumpul ulama - Malaysiakini

Debat dengan Nik Aziz: PAS minta Umno kumpul ulama - Malaysiakini: "Debat dengan Nik Aziz: PAS minta Umno kumpul ulama
Feb 7, 11 7:42am
Kongsi
idris ahmad pas information chief
207

PAS berharap cadangan dialog antara mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan boleh menjadi kenyataan, bahkan disiarkan secara langsung supaya orang ramai boleh menghakimi dan menilainya.

Ketua penerangannya Idris Ahmad berkata, kesediaan Nik Aziz itu menepati amalam dalam sejarah peradaban Islam untuk mencari kebenaran.

'Sebenarnya tindakan Tuan Guru Nik Aziz merupakan ulangan yang berkali-kali diajak oleh pemimpin PAS bagi menyelesaikan kemelut yang ada di negara ini dengan cara ilmiah. Pihak Umno sering menuding jari kepada PAS dengan tuduhan, PAS membawa ajaran yang sesat, parti anti perpaduan, menafsir Islam yang salah, parti yang menyekat kemajuan.

'Malangnya segala tuduhan terhadap PAS hanya disiarkan sebelah pihak melalui media BN. Segala tuduhan ini tidak diberikan peluang untuk PAS menjawab balik,' kata Idris Ahmad (kiri).

Dalam satu kenyataan semalam, Idris juga menyindir parti lawannya Umno supaya 'mengumpul ulama yang ada dalam parti Umno untuk turut serta'.

Beliau berharap, selepas ini tidak berbangkit lagi tuduhan yang sering dilemparkan kepada PAS."

Anwar: Mengapa membisu pendedahan kes Taib? - Malaysiakini

Anwar: Mengapa membisu pendedahan kes Taib?
Stephen Tiong
Feb 7, 11
3:09pm
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lembab menyiasat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan rasuah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud oleh laman sesawang Sarawak Report.

anwar keadilan network launch 230111"Setiap laporan kredibel harus diselidiki. Ini adalah pendirian standard yang kita pegang,” katanya kepada wartawan sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Anwar, jika ada dakwaan dilemparkan ke atas dirinya, SPRM tidak akan berlenggah bagi menyiasat.

"Tetapi ketika tuduhan dilemparkan ke atas Perdana Menteri Najib (Abdul) Razak dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim dan juga ke atas Taib, SPRM lambat bertindak," katanya.

Anwar berkata Malaysia mempunyai dua set undang-undang - satu set undang-undang yang tidak 'bertaring' bagi golongan kaya dan berkuasa, dan yang kedua bagi rakyat biasa, seperti dirinya.

Perlu diubah

"Set undang-undang ini perlu diubah," katanya sambil menambah perkara itu tidaak akan berlaku selagi BN terus berkuasa.

NONEAnwar juga mendakwa BN akan menghalang sistem itu dipinda bagi menjamin kedudukan mereka selagi mereka terus memerintah.

"(Jika) anda ingin memastikan bahawa ada keadilan dan keadilan, maka sistem harus diubah untuk kebaikan selamanya," katanya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Sarawak Report telah mendedahkan laporan yang disokong dengan apa yang dikatakan adalah dokumentari dan bukti bahawa Taib, ahli keluarga serta rakan-rakannya telah menjadi jutawan.

Menurut Sarawak Report juga memuatkan artikel-artikel menuduh keluarga Taib diberikan kontrak melalui perundingan terus bagi projek membina dan menyelenggara jalan, jambatan dan projek-projek besar yang lain.

Krisis politik

Anwar juga memberi amaran akibat daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang kronik mungkin akan menyaksikan bantahan oleh rakyat seperti yang dilihat pada krisis politik di Tunisia dan Mesir .

azlanPerkara yang sama boleh terjadi di negara-negara Islam lain di Asia atau di tempat-tempat lain di seluruh dunia, katanya.

"Kita harus sedar apa yang berlaku di kedua-dua negara tersebut," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan BN supaya tidak memperlekehkan atau menghina penduduk luar bandar dengan memikirkan mereka akan puas dengan sesekali jalan dan jambatan dibina di daerah mereka.

"Mereka ini rakyat Malaysia dan harus diberi hak dan kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri," katanya.

NONESehubungan itu, anwar berkata adalah penting bagi PKR untuk terus memperkukuh dan mempermantapkan kubu-kubunya dan bekerjasama erat dengan rakan kongsi Pakatan Rakyat - DAP, PAS dan SNAP di Sarawak.

"Ini juga adalah tugas para pemimpin nasional parti bagi memaklumkan kepada rakyat di Sarawak tentang perlunya perubahan, membersihkan rasuah dan menghapuskan penyalahgunaan kuasa," katanya.Anwar: Mengapa membisu pendedahan kes Taib? - Malaysiakini

Wan Chik mohon baiki rumah

Utusan Malaysia Online - Utara



Wan Chik Wan Salleh dan Chik Nen Awang Yik menujukkan sebahagian atas dinding rumah mereka roboh dan memerlukan bantuan untuk membaikinya di Kampung Hutan Setali, Kubang Pasu, semalam.


KUBANG PASU 6 Feb. - Setiap malam, tidur 12 sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Hutan Setali, Mukim Padang Perahu di sini sering terganggu kerana bimbang keadaan rumah mereka yang hanya menunggu masa menyembah bumi.

Bahagian tingkat atas rumah milik Wan Chik Wan Salleh, 61, itu sudah reput dimakan anai-anai serta mulai roboh sedikit demi sedikit sejak awal Januari lalu.

Tambah memburukkan keadaan, cuaca berangin di kawasan utara membuatkan rumah tersebut tidak selamat didiami kerana jika angin bertiup kencang, habuk-habuk kayu yang reput terjatuh ke ruang tamu yang juga menjadi ruang tidur separuh daripada ahli keluarga tersebut.

Wan Chik berkata, sebagai ketua keluarga, dia memang ingin menyediakan kediaman yang lebih selesa buat isteri, tujuh anak, tiga cucunya serta bapa mertua yang tinggal di rumah itu namun pendapatannya sebagai pengawal keselamatan tidak mengizinkan.

"Rumah yang saya duduk sekarang adalah rumah pusaka dan saya tinggal di rumah ini sejak kecil lagi.

"Kami semua memang tidak berani naik ke tingkat atas kerana lantai kayunya reput dan apabila angin kuat, kami gerun kerana mungkin kayu-kayu di tingkat atas ini boleh tercabut," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Menurutnya, tiga anaknya berusia antara 12 hingga 17 tahun masih bersekolah dan dia mengharapkan anak-anaknya itu dapat mengulang kaji pelajaran dalam keadaan rumah yang lebih selesa.

"Saya sudah mohon kepada pihak berwajib untuk membantu membina semula rumah saya, namun sehingga kini masih tiada jawapan.

"Ada beberapa pihak datang mengambil gambar rumah saya dan mereka kata akan baiki rumah ini selepas Aidilfitri tahun lalu tetapi rumah saya tetap tidak dibaiki," katanya.

Dalam pada itu, isterinya, Chik Nen Awang Yik, 56, berkata, dia berada di rumah bersama bapanya yang sedang uzur sewaktu dinding tingkat atas rumahnya tercabut kerana ditiup angin, awal Januari lalu.

"Bunyi kayu-kayu dinding jatuh memang menakutkan dan jika musim hujan pula air memasuki rumah ini.

"Saya berharap rumah saya dibaiki segera kerana setiap malam saya tidak dapat tidur nyenyak memikirkan keselamatan anak-anak yang tidur di ruang tamu rumah ini," katanya.

6 tahun tinggal dalam rumah bocor

Utusan Malaysia Online - Utara



RUMAH baru milik Ahmad Salleh dan Zainab Ismail yang terbengkalai enam tahun di Kampung Alor Merah, Tasek Gelugor, baru-baru ini.


TASEK GELUGOR 6 Feb. - Setiap kali hujan lebat, pastinya pondok usang yang didiami sepasang warga emas di Kampung Alor Merah di sini dimasuki air.
Itulah nasib yang dilalui pasangan Ahmad Salleh, 71, dan isteri, Zainab Ismail (gambar), 55, sejak enam tahun lalu.
Bukan mereka tidak mahu berpindah tetapi rumah baru yang sedang dalam pembinaan terbengkalai akibat kesempitan wang.
Zainab memberitahu, suaminya membelanjakan kira-kira RM10,000 selepas mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membina rumah baru itu.
"Dia keluarkan duit untuk bina rumah baru pada 2006 tetapi tidak cukup menyebabkan projek terbengkalai sampai sekarang," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Akibatnya, mereka terpaksa tinggal di sebuah pondok lama yang terletak berdekatan.
Menurutnya, pendapatan suaminya sebanyak RM400 sebulan sebagai pemandu lori tidak cukup menyelesaikan masalah tersebut.
"Lagi pun suami tidak begitu sihat kerana menghidap penyakit kencing manis," katanya.
Jelasnya, dia ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Urus Zakat tetapi tidak mendapat maklum balas.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Alor Merah, Mohd. Faidaus Muslim berkata, dia bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan berkenaan.
"Rumah mereka sampai sekarang tiada bekalan elektrik dan diharap keluarga ini perlu dibantu," katanya.