|
Surenthiren sayu apabila melihat motor kesayangan mendiang bapanya, mendiang Celladurai yang mati ditembak pada Mac lalu di rumah mereka di Selayang Baru, Selangor, semalam.
|
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Setelah hampir enam bulan kes pembunuhan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), K. Celladuran, 50, yang ditembak mati pada 8 Mac lalu menemui jalan buntu, kini ahli keluarganya boleh berharap agar keadilan untuk mangsa dapat ditegakkan.
Ini berikutan polis kini menyiasat kemungkinan empat daripada lapan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, turut terlibat dalam kes pembunuhan mendiang Celladuran.
Isteri mendiang, Nageswari, 42, berharap perkembangan terbaru itu dapat merungkai misteri kematian suaminya yang sehingga hari ini masih tidak diketahui motif pembunuhannya.
Bagaimanapun, dia dan anak sulungnya, Surenthiren, 21, masing-masing tidak mengenali kedua-dua suspek adik-beradik peguam terbabit.
"Kami ada terlihat gambar kedua-dua lelaki itu menerusi akhbar, tapi tak tahu siapa mereka berdua. Saya dan ahli-ahli keluarga tidak pasti kalau bapa kami kenal mereka.
"Kami juga hanya tahu bahawa siasatan kes bapa ada perkembangan baru menerusi laporanUtusan Malaysia selepas dimaklumkan oleh jiran-jiran yang melanggan akhbar itu," kata Surenthieren.
Berikutan itu, Surenthieren berharap polis akan mendapat petunjuk baru mengenai kes mendiang bapanya kerana kesemua ahli keluarga ingin mengetahui penjenayah kejam yang sanggup membunuh bapanya.
"Ibu dan kami adik-beradik langsung tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Bapa selama ini tidak pernah memberitahu dia ada menghadapi sebarang masalah atau diugut.
"Jika betul suspek-suspek kes Sosilawati itu yang terlibat sama, saya harap mereka akan dihukum mati, barulah bapa boleh bersemadi dengan aman," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Selayang Baru, dekat sini hari ini.
Celladuran mati ditembak dua lelaki kira-kira pukul 7.20 pagi ketika keluar dari rumahnya untuk pergi ke pejabat.
Mendiang Celladuran meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak berusia antara 16 hingga 21 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi memberitahu bahawa kesemua empat suspek telah diserahkan semula kepada Bukit Aman.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas butiran siasatan.
Sementara itu, pembunuhan Celladuran dilihat ada beberapa persamaannya dengan satu lagi pembunuhan membabitkan T. Selvi, 46, isteri kepada seorang pemilik bengkel, sekaligus mencetuskan kemungkinan suspek utama juga terlibat dalam kegiatan ceti haram.
Ini kerana menurut sumber, di sebalik mendiang Celladuran mempunyai pekerjaan tetap sebagai kakitangan pihak berkuasa tempatan, dia juga dikatakan terbabit menjalankan perniagaan pinjaman wang.
Mendiang juga dikatakan mengenali suspek sejak sembilan tahun lalu, namun tidak dapat dipastikan hubungan mereka.
Dalam kes T. Selvi, suaminya, P. Balasandam, 54, mengakui menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006.
Balasandam mendakwa kematian isterinya yang ditikam mati di hadapan kediamannya di Taman Cempaka, Banting pada April tahun lalu, ada kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
Secara kebetulan atau tidak, Celladuran juga mati dibunuh di hadapan rumahnya.