MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
23 OGOS 2015
Abdul Hamid Bador
DAMANSARA - [DIKEMASKINI] Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri hari ini tampil mendedahkan empat perkara kepada umum.
Abdul berkata empat perkara itu adalah mengenai peranan dan tanggungjawab beliau dalam Cawangan Khas; pertukaran beliau ke JPM; tekanan penjawat awam terhadap pihak atasan dan nadi rakyat.
"Hari ini saya tampil menjelaskan mengenai empat perkara ini demi rakyat Malaysia.
"Tiada niat saya untuk popular atau untuk mengkhianati sesiapa," katanya kepada media di Kota Damansara, hari ini.
Mengulas mengenai perananya dalam unit tersebut, Abdul berkata, pelbagai tohmahan dan kata nista dikatakan mengenai Cawangan Khas tetapi beliau tetap menganggap ia sebagai satu badan yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas memelihara negara.
"Yang pertama yang hendak saya sebut ialah tentang Cawangan Khas banyak telah diperkatakan mengenainya dan banyak pernah dipersendakan dengan pelbagai nama sebelum
ini, oleh mereka yang nakal. Ada yang kata kami ini semua bohong, ada yang baik kata semua betul ada yang nakal panggil siput babi, macam-macam akronim mereka bagikan tetapi selepas 36 tahun lebih saya dalam Cawangan Khas.
"...yakinlah kesemua yang mendengar penjelasan saya pada pagi ini, Cawangan Khas adalah sebuah organisasi yang amat bertanggungjawab, menjalankan kerja dengan penuh amanah, dedikasi tanpa takut malahan ramai pegawai-pegawai yang menjalankan tanggungjawab, sebelum ini. Unit ini adalah sebuah organisasi yang dianggotai oleh semua kaum dan bukan badan risikan yang dimonopoli oleh kaum Melayu sahaja.
"Unit ini dianggotai oleh segenap lapisan kaum, masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama, latar belakang sama ada anak orang kaya atau miskin, berdasarkan kepada merit, dan juga berdasarkan siasatan ke atas latar belakang mereka, ini berani saya cakap.
"Sejak penubuhan atau diberikan nama sebagai SB pada tahun 1952 sehingga ke hari ini lebih kurang 63 tahun unit ini dijalankan peranannya untuk mengutip risikan daripada bawah diangkat ke atas dianalisa di peringkat atas, pertengahan selepas itu diangkat dijadikan laporan, dan laporan-laporan inilah akan disampaikan kepada pucuk pimpinan.
"Ia dirangkumkan dalam bentuk amaran, teguran, nasihat cadangan diangkat ke atas, tetapi risikan oleh Cawangan Khas ini akan ditapis, diadun ,disuling edit, akan dibanding dengan maklumat dan sumber-sumber lain, menentukan kesahihan dan ketepatannya, bukan maklumat kualiti rendah atau palsu," katanya.
Sementara mengulas mengenai misteri perpindahan beliau ke JPM beliau berkata perkara itu sudah lama kedengaran.
"Sementara misteri mengenai perpindahan saya, desas-desus mengenai akan berlaku dalam pucuk pimpinan unit sudah lama kedengaran, kami mendapat maklumat-maklumat bahawa ada pihak yang tidak menyukai kepimpinan yang sedia ada, atas sebab apa saya tidak tahulah, mengapa? Saya dijadikan 'alat' dalam perkara ini, sedangkan saya tidak ada membuat apa-apa tindakan yang salah.
"Saya hanyalah seorang pegawai kerajaan yang hanya mengutamakan pelaksanaan tanggungjawab saya, rezeki pangkat saya ataupun jawatan saya itu tidak menjadi perkiraan didalam diri saya, tidak pernah saya, mengatakan saya yang akan mengantikan Pengarah SB, tidak! Tidak meletakkan matlamat saya, untuk jadi pengarah tetapi ada pihak meragui dan tidak menyukai wajah saya ke? Ataupun peranan saya disitu...jadi baru-baru ini keluar perintah ditamatkan. Perkhidmatan kontrak dengan serta- merta.
"Dalam pada itu keluarlah cerita, nombor dua akan dikeluarkan sebab ada kuasa halimunan tidak mahu saya kesitu, Alhamdulillah saya kata, saya dengan penuh kesabaran kalau mereka berkata begituinilah rahmat, saya tidak menjadi sebahagian institusi digunakan seterusnya untuk berbuat atau menggunakan tindakan ikut kehendak kuasa halimunan tadi.
"Sebagai saya seorang insan biasa, tidak lihat kepada jawatan dan pangkat itu sebagai rezeki, saya turut melihat pada kesihatan saya penting.
"Dalam hal ini saya tidak dinamakan dikekalkan dalam jawatan itu sebagai rahmat yang ALLAH berikan. Sedikit saya tidak sedih, saya terima dengan terbuka dan kosongkan pejabat saya.
"Saya terima sekarang selepas ini saya akan tunggu selepas 17 haribulan perintah pertukaran saya, beri tempoh saya sampai satu bulan untuk saya lapor diri kepada PM, yang menghairankan saya apabila saya tanya pihak JPM adalah jawatan itu belum sedia lagi, masih hendak berbincang dengan pihak JPA, Ya ALLAH kalau dah ada jabatan itu dalam cuti ini saya sanggup pergi saya batalkan cuti saya, saya laporan diri, jawatan pun tiada lagi jadi? Kalaulah ini satu pengiktirafan mintak maaf Ketua IGP saya tidak anggap begitulah.
"Kalau JPA tidak tahu, saya tunggu saya lapor atau tidak sebelum 17 saya sekarang saya cuti, saya hendak kosongkan pejabat untuk puaskan nafsu halimunan ini, takut sangat saya duduk disitu, saya okay, saya tidak sempat salam, ramai anak buah saya yang tidak tahu saya sudah kluar dari bukit aman, apabila keluar perintah, mereka tidak tahu.
"Satu masa saya akan jumpa, tiada emosi tiada marah, Apa yang saya cakap itulah kebenaran, saya harap apa yang keluar dari mulut saya kebenaran," katanya.
Manakala ketika mengulas mengenai tekanan penjawat awam dalam menjalankan tugas Abdul berkata tekanan banyak dihadapi oleh pegawai kerajaan dalam bidang pengutkuasaan.
"Saya tidak terbabit langsung dalam menangkap pegawai SPRM atau lain-lain sewaktu saya sebagai Timbalan Pengarah SB.
"Jadi bila berlaku titik hitam ini tindakan maha luar biasa ke atas pegawai SPRM ini saya rasa amat terpanggil untuk beri penjalesan komen, perkara ini sebenarnya menjijikan atas alasan apapun kita mesti lihat semangat undang-undang yang telus.
"Kenapa kuasa tangkap harus digunakan pegawai SPRM yang berintegriti tinggi bukan penjenayah bukan samseng dan ajaran sesat dan bukan IS mereka pegawai SPRM kenapa tangkap mereka?
"Selepas keluar kenyataan untuk takutkan pegawai ini perlakuan jijik dan hina kenapa keluarkan amaran ini malaysia negara maju Kenapa ugut?
"Saya seru kepada mereka yang ada kuasa di Putrajaya jangan gunakan taktik sebegini untuk takutkan pegawai kerajaan, pegawai kerajaan taat kenapa mereka ditakutkan, khusus bidang penguatkuasaan," katanya.
Manakala menyentuh mengenai nadi rakyat, Abdul berkata ada mesaj yang hendak disampaikan terutama sekali kepada 'orang atasan'.
"Saya nak sampaikan mesej di Putrajaya. Mereka yang punya ijazah tinggi melangit, bidang pengurusan universiti ternama, mereka yang ada kuasa politik di Putrajaya saya seru bukalah mata, buka telinga, jangan pekakkan telinga.
"Buang 'denial syndrom'. Ni adalah faktanya. Rakyat gelisah, rakyat keliru, tertekan dibawah. Segenap lapisan tanpa kira kaum, agama, umur, profession, wilayah. Sama ada di Tawau atau di Kuala Perlis. Rakyat gelisah, marah dengan apa yang berlaku sekarang," ujarnya.