Friday, July 16, 2010

Mengapa orang Penan tidak lapor polis?


Kumpulan Sokongan Penan, Forum-Asia dan AIWN (Asian Indigenous Women's Network) telah mendedahkan tujuh kes baru penderaan seksual terhadap wanita Penan oleh pekerja balak pada 6 Julai 2010.
Pendedahan ini mengundang kemarahan Ketua Polis Negeri Sarawak, lantas menyangkal tuduhan bahawa polis menyembunyikan kebenaran. Beliau mendakwa bahawa polis belum menerima laporan mangsa atau orang lain setakat ini, malah mempersalahkan mangsa yang enggan bekerjasama, dan bukannya ketidaksungguhan polis sebagaimana yang dituduh.
Pada 9 Julai 2010, Menteri Pembangunan Tanah Negeri Sarawak, James Masing mencadangkan polis untuk memohon kepada mahkamah, agar waran dikeluarkan untuk menangkap mangsa eksploitasi seksual yang enggan bekerjasama, malah mengambil keterangan daripada NGO yang mendedahkan laporan ini.
Menteri Pembangunan Bandar dan Perumahan Sarawak, Amar Abang Johari Tun Openg yang pernah menjaga hal ehwal orang Penan mendakwa dirinya tidak pernah mendengar khabar sedemikian (eksploitasi seksual), dan tidak faham mengapa ia berlaku sekarang.
"Mengapa mereka tidak membuat laporan polis?" Demikianlah persoalan yang dilontarkan terhadap mangsa eksploitasi seksual.
Jauh di pedalaman
Mereka yang tidak pernah menjenguk ke kawasan pedalaman Sarawak tidak akan faham, malah Yang Arif Tuan Hakim yang pergi ke tempat ini dengan helikopter khas polis juga tidak mungkin memahami, betapa susah perjalanannya, dan betapa jauh jaraknya, jikalau mangsa pencabulan seksual ingin membuat laporan polis.
Pada November 2009, saya melawat ke satu perkampungan Penan di Uru Baram dari Miri, mengambil masa tujuh jam dalam kereta penggerak empat roda. Kemudian, kami menaiki sampan selama satu jam untuk sampai ke destinasi. Sekiranya air sungai terlalu cetek, maka kita perlu berjalan kaki untuk dua jam. Perkampungan Penan di Uru Baram terasing dari dunia kita, tanpa sebarang kemudahan telekomunikasi.
Seandainya saya didera secara seksual pada suatu malam, di perkampungan Penan sebegitu, dan saya ingin membuat laporan polis, maka saya perlu melalui halangan-halangan berikut. Pertama, saya perlu menaiki sampan, dengan syarat sampan itu mempunyai petrol yang mencukupi, dan pengemudi sampan tidak memburu di hutan (kerana pemburu perlu meninggalkan kampung untuk beberapa hari jikalau memburu di hutan). Pilihan lain untuk saya adalah, meninggalkan kampung Uru Baram dengan menyusur jalan di tepi sungai.
Sampan akan membawa saya ke jalan yang membolehkan saya menaiki kereta penggerak empat roda. Saya perlu menunggu sebuah kereta yang lalu di situ untuk membawa saya ke balai polis terdekat. Saya perlu menunggu satu atau dua jam kalau bernasib baik, sebaliknya, setengah hari akan disia-siakan begitu sahaja.
Saya perlu membayar sekurang-kurangnya RM100 hingga 200 kepada pemandu kereta penggerak empat roda, dan kereta ini kemungkinan besar dimiliki syarikat pembalak. Saya perlu sekurang-kurangnya tiga jam untuk sampai ke balai polis yang terdekat. Ia dianggap lancar jikalau laporan itu diterima. Tetapi, ia memerlukan perjalanan satu hingga dua jam (dengan menaiki kereta) lagi jikalau ingin menuju ke balai polis yang mempunyaiInvestigation Officer.
Sesungguhnya, saya boleh memilih untuk berjalan kaki. Menurut penduduk kampung, perjalanan dari kampung ke balai polis yang terdekat memerlukan dua hingga tiga hari. Dengan kata lain, saya perlu mengheret diri saya yang terluka dari fizikal dan mental, untuk mengharungi perjalanan ini, malah terpaksa tidur di dalam hutan pada waktu malam.
Terlupa pula saya untuk mengingatkan anda, definisi "fresh case" untuk kes pencabulan seksual oleh polis dan hospital adalah, laporan polis dalam masa 72 jam selepas kejadian berlaku. Pada hemat anda, mungkinkah saya mampu untuk melakukannya dengan syarat yang sedemikian? Andaikan diri anda yang menjadi mangsa, sanggupkah anda membuat laporan polis setelah mengalami penyeksaan sedemikian?
Kesemua puak Penan di pedalaman menghadapi masalah yang sama, iaitu balai polis di yang jauh di tepi langit, menjurus kepada masalah aksesibiliti dan kos pengangkutan yang tinggi.
Bukan soal tidak mahu pergi, tetapi tidak mampu pergi. Jika pun sampai di balai polis, ia perlu menyelesaikan masalah tidak fasih bahasa. Ada pula yang tidak mempunyai kad pengenalan, bagaimana untuk membuat laporan polis? Oleh yang demikian, kebanyakan kes yang didedahkan bukanlah kes yang baru, malah mungkin telah berlaku untuk banyak tahun dahulu. Jadi, bukan mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak tahu kepada siapa mereka boleh mengadu.
Hubungan yang tidak sama rata
Selain faktor "jarak", satu lagi punca "tiada laporan polis dibuat" adalah, orang Penan terpaksa bergantung kepada syarikat pembalakan, khususnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan sosial. Syarikat pembalakan menggunakan hubungan yang tidak sama rata ini untuk mengawal dan mengeksploitasi kaum Penan.
Kereta syarikat pembalakan merupakan satu-satunya alat pengangkutan yang menghubungi dunia luar. Kanak-kanak yang mahu pergi belajar, mendapatkan rawatan di klinik dan hospital, malah urusan dokumen kanak-kanak (seperti surat beranak, kad pengenalan) semuanya bergantung kepada kereta-kereta ini.
Pihak syarikat pembalakan amatlah sedar, bahawa kaum Penan tidak mempunyai saluran aduan, lantaran masalah jarak dan kemiskinan. Maka kaum Penan dieksploitasi sepenuhnya. Tanah, hutan dirampas, malah eksploitasi seksual yang sama dahsyat tahapnya dengan pencabulan seksual.
Segala-gala ini berlaku tanpa kerelaan. Eksploitasi ini sesuatu yang yang terancang dan bersistematik. Jangan terlupa pula, bahawa pencabulan yang dilakukan bukan sahaja pencabulan seksual, malah antaranya termasuklah keganasan, melarikan orang, kahwin paksa, keganasan keluarga dan pelbagai ancaman.
Semua mangsa penderaan yang saya temui pernah menerima ancaman daripada pendera. Pendera akan mengugut untuk mencederakan mangsa dan ahli keluarganya, yang kemudiannya memberi laluan kepada kahwin paksa. Setelah dieksploitasi atau selepas mangsa mengandung, maka mereka akan dibiarkan begitu sahaja.
Malah ada yang terang-terang masuk untuk merampas perempuan di kampung, dan membawa mangsa ke asrama. Punca mereka bermaharaja rela di situ hanyalah satu, pekerja ini yakin bahawa mereka boleh mencabul orang Penan sewenang-wenangnya kerana hubungan yang tidak sama rata ini.
Prejudis kerajaan dan polis terhadap Penan
Biarpun orang Penan berjaya sampai ke balai polis setelah mengharungi pelbagai rintangan, tetapi mereka akan berdepan dengan rintangan satu lagi, iaitu prejudis kerajaan dan polis, yang membantutkan perkembangan siasatan kes sedemikian. Berulang kali ahli politik Sarawak menafikan peristiwa ini, mereka menolak tanggungjawab ini kepada orang Penan. "Mereka (gadis Penan) mudah terpedaya, diperalatkan untuk mencalar imej kerajaan."
"Mereka pandai bercerita", "NGO tempatan dan asing mencemburui pembangunan negara kita," prejudis inilah yang mengakibatkan tidak wujudnya ruang dan suasana yang mesra untuk menyokong mereka, agar mereka memilih untuk membuat laporan polis, atau sekurang-kurangnya mendedahkan peristiwa ini.
Persoalan seterusnya, apakah keadilan akan dikembalikan kepada mangsa seandainya laporan polis dibuat?
Pada tahun 2008, dua orang mangsa yang tidak mempercayai polis tempatan, memilih untuk membuat laporan polis di Kuala Lumpur. Pihak kami (NGO yang disertai Wong Su Zane) yang membantu mangsa ini tidak pernah lewat setiap kali polis memanggil kami ke balai, kecuali sekali apabila anak kepada seorang mangsa jatuh sakit.
Akhirnya, polis mengumumkan bahawa siasatan kes ini tidak berhasil kerana mangsa enggan bekerjasama dan bukti tidak mencukupi. Salah seorang daripadanya tidak dapat membekalkan maklumat pendera, tetapi pada masa yang sama polis telah mengambil DNA anak yang dilahirkan selepas didera.
Untuk kes yang satu lagi, polis mendakwa bahawa pendera yang dituduh itu adalah "suami"-nya. Memang benar, sebab kebanyakan perempuan yang dicabul terpaksa dikahwinkan kepada pendera kerana rasa takut dan malu. Tetapi apakah ini bermaksud pendera tidak perlu bertanggungjawab ke atas tindakan ganas mereka? Bahkan ahli keluarga dan kampung mangsa ini diganggu syarikat pembalakan dan polis, setelah laporan dibuat, sehingga keluarga mereka terpaksa melarikan diri ke hutan buat sementara.
Setelah mereka balik ke kampung dari Kuala Lumpur, "suami" salah seorang mangsa telah mendapat khabar, dan membawa mangsa ini ke balai untuk membatalkan laporan polisnya. Menurut ibu bapa mangsa ini, "suami" (si pendera) ini datang bersama seorang polis, dan membawa anak perempuan pergi dari rumah. Polis membenarkannya untuk membatalkan aduan itu begitu sahaja tanpa mempertimbangkan bahawa ia mungkin membuat keputusan ini kerana "dipaksa". Tiada siasatan daripada polis.
Saya diberitahu seorang rakan dari Sarawak, bahawa dua orang penterjemah yang mengiringi mangsa tersebut ke Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis ini, telah berdepan dengan gangguan, sehingga melarikan diri bersama keluarganya, ke satu tempat dan masih gagal dihubungi sehingga sekarang.
Bukan salah mereka
Jadi, persoalannya bukan "mengapa mereka tidak membuat laporan polis", tetapi "mengapa perlu mereka membuat laporan polis". Melihat kepada malapetaka yang menimpa mereka, apa perlunya mereka membuat laporan polis?
Bukan semua kawan yang berkongsi pengalaman pahit mahu membuat laporan polis. Mereka cuma berharap apa yang menimpa mereka dinampak, didengar, dan tidak diulang pada orang lain. Adalah hak mereka untuk membuat laporan polis atau tidak. Tetapi, ahli politik pula mencadangkan untuk menangkap mereka yang mendedahkan pengalaman mereka, bukankah ia sesuatu yang tidak masuk akal?
Seandainya kerajaan kita gagal menjamin keselamatan mangsa, menjamin agar keluarganya tidak diganggu; seandainya kerajaan gagal mewujudkan sistem yang lebih mesra untuk menyokong mereka; seandainya masyarakat masih diselubungi dengan prejudis terhadap orang Penan -- maka apa yang terpampang di depan mata selepas laporan polis dibuat bukanlah keadilan yang ditegakkan, sebaliknya pencabulan dan penyeksaan bersistematik yang dikitar semula.
Saya tidak menganggap kita layak atau mempunyai hak untuk mempersalahkan kawan-kawan kita ini berikutan keputusan mereka untuk tidak membuat laporan polis, sama ada mereka telah diuji selepas melalui prosedur laporan polis, kehakiman dan sebagainya, atau "mangsa yang mendiamkan diri".
Bukan sahaja mereka merana keseksaan eksploitasi seksual, malah mereka dengan tabah meneruskan hidupnya setiap hari selepas pencabulan berlaku. Mereka sedang mengatasi pengalaman ini. Bukankah kita harus mengkagumi ketabahan mereka?
Mangsa tersebut tidak harus memikul kesalahan berbunyi "tidak membuat laporan polis".
*Wong Su Zane ialah Pengurus kerja sosial Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Life Line Association Malaysia para-counselor dan penyelia para-counselor. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
**Nota Editor: Penulis (Wong Su Zane) menggunakan istilah "kes penderaan" untuk merujuk kepada "mangsa penderaan", dalam tulisan asalnya. Bagaimanapun, istilah "mangsa" digunakan dalam terjemahan ini untuk memudahkan pemahaman kebanyakan pembaca. Sementara itu, perlu dinyatakan bahawa gambar yang digunakan di atas bukanlah gambar kes penderaan sebagaimana yang disebut.
MerdekaReview - Mengapa orang Penan tidak lapor polis?

Saman RM2j



SHAH ALAM: Seorang bapa melahirkan kekesalan terhadap perbuatan tiga daripada lima anak kandungnya sebagai tidak wajar kerana memaksanya menandatangani pada surat pembahagian harta pusaka, selepas didakwa mengurungnya dalam rumah, tiga tahun lalu.

SEDIH...Baharom tidak dapat menahan sedih ketika menfailkan saman, semalam.


SEDIH...Baharom tidak dapat menahan sedih ketika menfailkan saman, semalam
“Tindakan ketiga-tiga anak saya itu tidak kena pada tempatnya. Saya masih hidup, mereka paksa saya tandatangan kerana mahu rampas harta saya,” kata Baharom Long dengan linangan air mata ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam.

Terdahulu, dia yang menyambut hari jadi ke-85 semalam, memfailkan saman tuntutan ganti rugi berjumlah lebih RM2 juta terhadap tiga anaknya yang didakwa mengurung dan memaksanya menurunkan tandatangan pada satu surat berhubung pembahagian harta pusaka, pada 2007.

Baharom, bekas pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memfailkan saman itu menerusi peguam Muhd Azmi Talib & Co.

Dia menamakan anak sulungnya, Md Hanafiah, 55, pesara tentera sebagai defendan pertama, manakala Zakariah, 52, dan Musa, 50, kedua-duanya bekerja di bahagian kargo syarikat penerbangan, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga. Baharom mempunyai dua lagi anak, Roslan, 48, dan Azizan, 44.

Dalam penyataan tuntutannya, Baharom mendakwa, defendan kedua berjumpanya di Masjid Selayang di pinggir Kuala Lumpur, sekitar November 2007 dan membawanya ke rumah defendan pertama sebelum mengunci pintu dan tingkap kediaman itu.
Di situ, Baharom mendakwa dipaksa menandatangani surat yang tidak diketahui isi kandungannya sekiranya mahu berkahwin kali kedua.

Menerusi salinan surat yang diterimanya kemudian, plaintif mendapat tahu ia surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah di Selayang Baru dan Kampung Nakhoda di Batu Caves, milik dia dan arwah isterinya.
Oleh itu, plaintif mendakwa semua defendan secara bersama atau berasingan menipu dan memanipulasi kedudukannya memaksa dia menandatangani surat akuan bertarikh 3 Disember 2007.

Selain itu, dia mendakwa defendan secara agresif memaksanya menyerahkan geran kedua-dua tanah terbabit tanpa persetujuan atau kerelaannya.

Akibat tindakan defendan, plaintif mendakwa dia mengalami trauma serius sehingga sentiasa hidup dalam ketakutan terutama tinggal berseorangan di rumah.

Dia mendakwa mengalami kemurungan teruk kerana bimbang kejadian sama berulang sehingga memaksanya mengambil ubat khas bagi mengawal masalah itu.

Selain itu, plaintif mendakwa perlu berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan psikologi akibat trauma daripada peristiwa berkenaan.

Sultan ke Singapura

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, semalam, berangkat ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menjalani rawatan susulan selama seminggu termasuk menukar tiub makanan di perutnya.
Baginda tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira jam 10.40 pagi semalam diiringi 11 kenderaan lain termasuk sebuah ambulans Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Bagaimanapun, usaha wartawan dan jurugambar membuat liputan ketibaan baginda bersama rombongan tidak berhasil kerana dilarang polis bantuan yang ditugaskan di pintu masuk.

Difahamkan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid dan anakanda ketiga baginda, Tengku Muhammad Fakry turut menghantar Sultan Kelantan menjalani rawatan di Singapura.

Selepas setengah jam tiba di lapangan terbang itu, Tuanku Ismail Petra dibawa menaiki pesawat khas Kerajaan Malaysia dan berlepas ke Singapura pada jam 11.10 pagi.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat turun dari kenderaan rasminya pada jam 10.15 pagi sebelum diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Abdul Fattah Mahmood, juga hadir di perkarangan lapangan terbang pagi semalam.

Tinjauan ke pintu masuk lapangan terbang itu mendapati permaidani kuning dibentangkan di sepanjang laluan masuk, manakala beberapa orang kenamaan hadir sama.

Sementara itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata Tuanku Ismail Petra berlepas ke Singapura kira-kira jam 11.10 pagi semalam dengan menaiki pesawat M53-01. “Keberangkatan baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis serta kerabat Diraja Kelantan dan ahli keluarga terdekat. “Tuanku akan menjalani rawatan selama hampir seminggu dan dijadualkan pulang ke Kelantan pada 21 Julai ini,” katanya.

Minggu lalu, Abdul Halim berkata, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra memberi perkenan supaya ayahandanya dihantar ke hospital berkenaan sekiranya rawatan diperlukan tidak disediakan di negara ini.

Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM pada 14 Mei tahun lalu bagi menjalani rawatan selepas mengadu mengalami masalah pernafasan sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth.
Selepas menerima rawatan 10 bulan di Hospital Mount Elizabeth, baginda dibawa pulang ke Kota Bharu pada 4 Mac lalu.

Umpan Rolls-Royce

SERDANG: Umpan digunakan sebuah syarikat pelaburan bukan calang-calang kerana dikatakan sanggup mengeluarkan modal menyewa sebuah kereta mewah model Rolls-Royce bernilai RM2.85 juta untuk meyakinkan pelabur asing.

BUKTI
...Abd Razak (kanan) menunjukkan kereta mewah dan plat kuning pada kereta Rolls-Royce, semalam.
BUKTI ...Abd Razak (kanan) menunjukkan kereta mewah dan plat kuning pada kereta Rolls-Royce, semalam.


Selain itu, kereta mewah terbabit turut menggunakan plat kuning tertera nama DYMM Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Al Marhum YAM Raja Tuah Shah, Raja Kesultanan Melaka Darul Islam diletakkan ketika satu majlis pelancaran sebuah bangunan di Bandar Puteri, Puchong kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Bagaimanapun, gimik pihak terbabit berakhir apabila polis merampas kereta mewah berkenaan dan menahan seorang lelaki selepas curiga dengan nombor pendaftaran digunakan.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, hasil siasatan mendapati kereta mewah terbabit sengaja dipamerkan pihak penganjur bertujuan meyakinkan pelabur asing yang hadir dalam majlis pelancaran berkenaan.

“Sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan, mendapati kenderaan mewah dipamerkan itu menjadi tumpuan terutama kira-kira 150 pelabur asing dari Hong Kong, China dan Vietnam.

“Curiga keadaan itu anggota polis menghampiri kereta mewah itu,” katanya.
Menurutnya, ketika itu ada tiga lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun yang mendakwa sebagai pemandu dan juga penganjur majlis berada di situ sebelum polis menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati pemandu kereta positif dadah jenis ketamin dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dua lagi lelaki dibebaskan dan polis masih menjalankan siasatan dan kemungkinan beberapa individu lain ditahan,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati, kenderaan mewah itu milik syarikat sebuah jualan kereta terpakai dan disewa menggunakan nama Sultan Melaka untuk menarik kepercayaan pelabur asing.

Abd Razak berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan Raja Noor Jan sama ada mengetahui namanya digunakan syarikat pelaburan berkenaan.

“Kita akan merujuk kes kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lelaki ditahan itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Harga gula, petrol naik

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam, mengumumkan subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) serta gula, dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa hari ini.
Subsidi bagi RON 95 dan diesel akan dikurangkan 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan 10 sen sekilogram, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, ini bermakna petrol RON 95 dijual pada RM1.85 seliter manakala LPG RM1.85 sekilogram. “RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan mekanisme harga automatik. Najib berkata, penggunaan RON 97 hanya membabitkan 13 peratus daripada penggunaan bahan api di Malaysia.

“Bagi gula, pelarasan harga 25 sen sekilogram,” katanya.

Menurut Najib dalam kenyataan itu, perubahan minimum itu akan membantu Malaysia mencapai kedudukan tanggungjawab fiskal dan meletakkan negara pada kedudukan untuk mengurangkan defisit.

“Bagi memenuhi objektif ini, kerajaan membuat pelarasan terhadap subsidi.

“Walaupun membuat perubahan ini, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010. Harga bahan api dan gula di Malaysia masih antara terendah di rantau ini,” katanya.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010.

Keputusan mengurangkan subsidi bahan api dan gula berasaskan hakikat pengurangan subsidi bahan api akan memberi impak terbesar ke atas perbelanjaan manakala pengurangan subsidi gula membolehkan kerajaan mempromosi gaya hidup sihat.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu berasaskan tiga perkara penting.

Pertama, subsidi itu turut memberi manfaat kepada rakyat asing dan rakyat tempatan berpendapatan tinggi yang mampu membayar harga tanpa subsidi.
Tumpuan kerajaan sepatutnya membantu keluarga yang berkongsi motosikal atau kereta Kancil untuk ke tempat kerja dan sekolah, tetapi sebaliknya perbelanjaan subsidi turut memberi manfaat kepada mereka yang memandu kereta mewah, katanya.

Subsidi gula yang berlebihan pula memberi manfaat kepada industri dan bukan keluarga. Sektor perniagaan menggunakan hampir dua kali ganda gula bersubsidi berbanding isi rumah.

Kedua, barangan bersubsidi tinggi menjurus kepada aktiviti penyeludupan kerana barangan terbabit berharga paling murah di rantau ini. Pada 2009 saja, Najib berkata, penyeludup membawa keluar lebih 200 tan metrik gula merentas sempadan. “Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran dan bukan memberi manfaat kepada golongan yang kita mahu bantu,” kata Perdana Menteri.

Ketiga, kecuali kerajaan mengurangkan penggunaan bahan api dan gula, negara akan menghadapi kesan yang serius.
Najib berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengadakan perundingan dengan rakyat.

“Beribu-ribu rakyat Malaysia mengambil bahagian pada Hari Terbuka Makmal Dasar dalam proses mendapatkan maklum balas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Bagi reformasi subsidi, bajet, Program Transformasi Kerajaan dan kini Bidang NKEA, kerajaan membabitkan orang ramai, mendengar dan belajar, dan bertindak, mengikut keutamaan negara,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini dilaksanakan supaya ia hanya memberi impak minimum ke atas keluarga, dan pada masa sama memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

“Kerajaan membuat keputusan yang sukar, namun berani,” kata Najib.

Dengan memilih melaksanakan reformasi subsidi ini, kerajaan mengambil langkah penting dan tepat dalam memenuhi komitmennya untuk mengurangkan defisit fiskal, tanpa membebankan rakyat Malaysia, kata Najib.

Perdana Menteri berkata, langkah ini akan meningkatkan kestabilan kewangan Malaysia dan pada masa yang sama melindungi rakyat. - Bernama

Peneroka tanah haram putih mata



LANCHANG – Padah menimpa sekumpulan peneroka tanah haram di sini apabila tanaman yang diusahakan sejak lebih setahun lalu di atas kawasan tanah yang digazet untuk pembangunan penempatan baru akhirnya dimusnahkan pihak berkuasa. 

Kawasan hutan seluas 60 hektar yang dicerobohi dengan tanaman kelapa sawit dan pisang di atas tanah kerajaan dekat sempadan Kampung Bolok dan Felda Bukit Damar dimusnahkan dalam satu operasi semalam. 

Tindakan diambil Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan Penguat kuasa Pejabat Tanah Galian (PTG) Pahang kira-kira jam 10 pagi semalam disertai 34 pegawai dan anggota jabatan berkenaan setelah menerima aduan awam berkaitan kerja pencerobohan yang dilakukan sejak lebih setahun lalu. 

Operasi yang berakhir kira-kira jam 1 petang semalam itu terpaksa diambil setelah beberapa amaran dan notis ditampal pihak berkuasa di tapak penerokaan sejak beberapa bulan lalu. 

Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr Sallehuddin Ishak berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan awam berkenaan pencerobohan berkenaan yang dilakukan di atas tanah yang digazet untuk pembangunan rancangan tanah kelompok penduduk Kampung Bolok Hulu/Sokmik. 

Menurutnya, operasi semalam adalah memusnahkan tanaman baru seperti pisang dan kelapa sawit untuk mengelakkan pembukaan tanah haram itu berterusan. 

“Operasi diketuai PTG dan kita (pejabat tanah) hanya membantu dengan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. 

“Kita hanya jalankan tugas di sisi undang-undang walaupun simpati dengan usaha peneroka berkenaan mengusahakan tanah itu,” katanya sewaktu dihubungi semalam. 

Sallehuddin berkata, tindakan terpaksa diambil kerana ada orang awam yang tidak bersetuju dengan tindakan peneroka berkenaan yang menceroboh tanah secara haram. 

Beliau menasihati mana-mana pihak yang mahukan tanah supaya mengikut saluran yang betul supaya tidak timbul masalah seperti kes tersebut. 

Turut sama dalam operasi semalam tujuh anggota polis yang membantu dari segi keselamatan kakitangan awam yang bertugas dan tiga petugas media.

Anak dakwa Osama masih hidup




OMAR dan isterinya, Zaina semasa mereka belum berpisah.


LONDON - Omar bin Laden yang merupakan anak pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden menyatakan bapanya masih hidup, lapor sebuah akhbar semalam.
"Bapa saya berada di bumi tetapi saya tidak mengetahui di mana dia berada. Dia masih hidup. Jika orang seperti itu (Osama) meninggal dunia, anda tidak boleh merahsiakannya. Dunia akan berubah jika dia meninggal dunia," lapor akhbar The Sun.
Omar, 29, bersetuju untuk diwawancara oleh akhbar itu bagi menceritakan kehidupannya selepas dia berpisah dengan isterinya, Jane Felix-Browne berumur 53 tahun yang merupakan seorang rakyat Britain.
Jane yang memeluk agama Islam selepas mereka mendirikan rumah tangga pada September 2006 di Mesir mengumumkan perpisahan dengan Omar pada awal bulan ini.
Wanita itu yang menggunakan nama Zaina selepas memeluk Islam menyatakan Omar menghidap penyakit skizofrenia dan kerap mendengar suara Osama di dalam kepalanya sebagai alasan perpisahan mereka.
Menyentuh mengenai bapanya, Omar berkata: "Saya masih meyaya- nginya, pastinya saya sayang pada- nya. Dia adalah bapa saya.
"Saya merinduinya sebagai bapa tetapi kami saling berlainan. Saya mahukan keamanan."
Tempat persembunyian Osama tidak diketahui dengan tepat sehingga kini menyebabkan terdapat dakwaan bahawa dia telah meninggal dunia.
Namun, Osama kerap dikatakan bersembunyi di kawasan pergunungan di Afghanistan dan Pakistan.
Omar turut menyatakan bahawa dia mahu memberi nama Osama kepada bayi yang dikandung oleh se- orang ibu tumpang dari Britain sempena nama bapanya.
"Jika bayi itu seorang lelaki, saya akan memanggilnya Osama. Namun, saya berharap dia (anaknya) akan mempunyai sikap pentingkan ke- amanan.
"Adalah sesuatu yang tradisi untuk menamakan anak dengan nama datuk," katanya.
Namun, Zaina yang tidak boleh melahirkan anak mahu memberikan nama Elizabeth jika ibu tumpang ter- sebut melahirkan anak perempuan sempena nama pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.
Wanita itu juga mahu memberi nama William jika anak yang dilahirkan itu lelaki.
Menurut Omar, dia akan menjaga anaknya itu dengan baik termasuk wanita yang bersetuju menjadi ibu tumpang untuk anak mereka, Louise Pollard dari Britain.
BARRYMORE


Pollard hamil dengan menggunakan teknik persenyawaan tabung uji.
Menyentuh mengenai perpisahannya dengan isterinya, dia berkata: "Saya telah berkahwin selama empat tahun dan kami amat gembira.
"Namun, saya memberi- tahu dia (isterinya) saya tidak boleh meneruskan lagi. Saya mahu berpisah, saya tidak mahu kembali semula ke alam perkahwi- nan."
Omar melarikan diri dari Afghanistan pada April 2001 sebelum bapanya menjadi lelaki yang paling dikehendaki di dunia kerana didakwa menaja keganasan.
Pada Mei 1996, Osama meninggal- kan kawasan pergunungan Tora Bora di Afghanistan dan memilih Omar untuk menemaninya dan mewujudkan kem latihan pengganas.
Omar menjadi tukang pembuat teh peri- badi bapanya dan tinggal dalam pondok yang sejuk.
Semasa itu, dia yang masih remaja diberi tunjuk ajar cara untuk menggunakan raifal Kalashnikov dan belajar memandu kereta kebal Rusia.
Omar dilahirkan di Arab Saudi oleh isteri pertama Osama, Najwa.
Dalam wawancara itu, Omar menyatakan bahawa dia meminati penyanyi Madonna dan pemain bola sepak Piala Dunia Argentina, Lionel Messi.
Omar menyatakan impiannya untuk keluar bersama pelakon terkenal Hollywood, Drew Barrymore.
"Saya bujang sekarang dan dia (Barrymore) merupakan wanita paling cantik di Holly- wood," katanya. - Agensi

Saintis Iran ditawar RM160j




SHAHRAM mendukung seorang anaknya di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Teheran semalam.


TEHERAN - Seorang saintis nuklear Iran, Shahram Amiri mendakwa dia diugut oleh beberapa ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) ketika disoal siasat bagi membocorkan rahsia mengenai program nuklear negara Islam itu.
Dia yang bertugas dengan Pertubuhan Tenaga Atom Iran dan di Universiti Malek Ashtar, Teheran berkata, ejen-ejen perisik Israel turut terlibat dalam sesi soal siasat serta mengugut akan menghantarnya ke penjara negara Yahudi itu jika enggan memberi kerjasama.
Shahram, 32, mendedahkan pengalamannya itu menjadi tawanan CIA pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Imam Khomeini di sini semalam sekembali dari Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, dia diculik semasa berada di Arab Saudi pada 2009.
Menurutnya, dia ditawarkan AS$50 juta (RM160 juta) untuk kekal berada di AS dan menyebarkan berita palsu mengenai kerja- kerja nuklear Iran.
Ditanya kenapa Shahram pulang ke Iran, seorang pegawai AS memberitahu, pihak berkuasa Iran memberi tekanan terhadap keluarganya.
Bagaimanapun Shahram, sambil mendukung anak lelakinya yang berusia tujuh tahun pada satu sidang media di lapangan terbang itu berkata: "Keluarga saya tidak ditimpa masalah."
- Reuters

Kerajaan nafi beri kerakyatan kepada PATI



KUALA LUMPUR 15 Julai - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan kerajaan memberi taraf warganegara kepada pendatang haram dari Indonesia dan Kemboja dengan sewenang-wenangnya.
Menurut Hishammuddin, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana taraf warganegara tidak akan diberikan dengan mudah apatah lagi hanya menerusi pertemuan pada majlis-majlis tertentu.
"Peraturan permohonan untuk menjadi warganegara adalah ketat. Justeru kita tidak mungkin mengedarkan kad pengenalan biru kepada sesiapa dengan begitu mudah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini bahawa pegawai kerajaan mengedarkan kad pengenalan biru pada satu majlis pertemuan yang dianjurkan oleh satu sindiket pada 15 dan 17 Jun lalu.
Mahfuz berkata, majlis pertemuan berkenaan bertujuan memberikan peluang kepada pendatang tanpa izin tersebut memohon menjadi warganegara Malaysia.
Tambahnya, beliau mengesyaki majlis pertemuan berkenaan diadakan secara haram dan ia melibatkan pegawai KDN, Jabatan Imigresen dan polis.
Sementara itu, Hishammuddin yang sedih kerana kementeriannya difitnah sebegitu meminta Mahfuz mengemukakan bukti dakwaannya itu untuk membolehkan siasatan dilakukan.
Menurut beliau, pihaknya sedang memproses permohonan warganegara yang dibuat oleh rakyat asing yang tinggal di negara ini sejak 20 hingga 30 tahun lalu.

Kawalan sempadan Limbang longgar



KUALA LUMPUR 15 Julai - Sesiapa sahaja boleh melintasi sempadan Malaysia di Limbang, Sarawak dengan mudah tanpa sebarang masalah walaupun menggunakan pasport orang lain.
Ia didedahkan oleh Hasbi Habibollah (BN-Limbang) semasa membahaskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat hari ini.
Malah lebih teruk lagi apabila Hasbi mendedahkan: "Pernah berlaku seorang menantu lelaki secara tidak sengaja terambil pasport ibu mertuanya untuk melepasi sempadan, pun boleh lepas juga.
"Sekiranya menantu itu seorang wanita mungkin boleh dimaafkan tetapi dalam perkara ini menantu lelaki guna pasport ibu mertuanya yang sudah pasti seorang wanita.
"Nasib baik mereka ini orang baik- baik, apa cerita pula jika yang melepasi sempadan itu penyangak?" katanya.
Tegas Habibollah, sepatutnya kawalan ketat tanpa kompromi dilaksanakan di setiap pintu masuk sempadan negara tetapi malangnya perkara tersebut tidak berlaku di Limbang, yang penguatkuasaannya dikatakan terlalu longgar.
Beliau juga mencadangkan penempatan setiap anggota penguat kuasa di pintu-pintu masuk sempadan dihadkan supaya tidak melebihi tempoh tiga tahun, bagi memastikan budaya rasuah tidak sempat berakar umbi.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut seperti biasa terus mempertikaikannya dengan mendakwa ia akan menjadi sia-sia sekiranya tahap integriti agensi penguat kuasa tidak dipertingkatkan.

Nor Mohamed Yakcop ada 500 peti besi kat rumah dan setiausaha dia ada 48 peti besi


Pecat Nor Yakcop, Zarinah

KUALA LUMPUR 15 Julai – Perdana Menteri diminta supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar daripada portfolio masing-masing ekoran penjualan dan pembelian saham berkepentingan negara beberapa tahun lalu.
Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) berkata, sebagai contoh, pengambilalihan Hospital Pantai daripada Pantai Holdings Bhd. (Pantai) oleh syarikat Singapura, Parkway Holdings Ltd. (Parkway) pada 2005 melalui pembelian saham bernilai RM312 juta sepatutnya tidak berlaku dan dihentikan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Lebih mengejutkan, dakwa beliau, penguasaan Pantai kemudiannya ditebus (bail out) oleh Khazanah Holdings Bhd. (Khazanah) selepas Nor Yakcop menyatakan pengambilalihan bernilai RM800 juta itu bukannya satu penebusan, sebaliknya merupakan kesediaan pembeli dan penjual dalam pasaran.
“Ini adalah kenyataan bekas Menteri Kewangan II (Nor Yakcop) yang memperbodohkan rakyat Malaysia. Khazanah terpaksa membayar RM800 juta untuk mengambil alih Pantai daripada Parkway.
“Tidak semena-mena sebuah syarikat asing (Parkway) membuat keuntungan sebanyak RM500 juta daripada wang rakyat dan lebih teruk, Khazanah tidak menguruskan Hospital Pantai sebaliknya melantik Parkway menguruskannya. Mengapa?” tegasnya.
Beliau percaya ia berlaku dengan pengetahuan Nor Yakcop dan Zarinah.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat hari ini
Selain dakwaan itu, Choo Keong memberitahu, Nor Yakcop dan Zarinah juga perlu dipecat kerana:
* Nor Yakcop mempunyai sekurang-kurangnya 500 peti besi mengandungi wang tunai berikutan setiausaha politiknya, Hasbie Satar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menyimpan 48 peti besi mengandungi wang tunai.
* Pelupusan 10 peratus saham Telekom Bhd. yang dijual kepada syarikat Singapura, Temasek Holdings dan tindakan Maybank Bhd. membeli saham Bank International Indonesia pada harga yang amat tinggi.
* ‘Gangguan’ terhadap empat wartawan perniagaan berkaitan penjualan saham Kenmark Industrial Co. (M) Bhd. bertujuan melindungi skandal Zarinah dan suaminya, Datuk Azizan Abdul Rahman.
Choo Keong mendakwa kes-kes tersebut membuktikan Nor Yakcop dan Zarinah sengaja ‘membutakan’ mata untuk melindungi para pengkhianat serta perompak negara.
“Ini adalah contoh klasik kepada peribahasa Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi,” tegasnya.

53 mangsa kebakaran tuntut janji





Sebahagian daripada penduduk di Rumah Pangsa Kos Rendah Kuala Perlis menuntut hak perjanjian dengan kerajaan negeri mengenai kedudukan tempat tinggal mereka di Kuala Perlis, baru-baru ini.


KANGAR 15 Julai - Semua 53 keluarga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Rumah Pangsa Kuala Perlis di sini, meminta kerajaan menyediakan kediaman kekal buat mereka seperti yang dijanjikan 16 tahun lalu.
Mangsa-mangsa bencana itu mahu kerajaan mengotakan janji selari dengan slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.
Rata-rata mangsa terlibat dalam suasana tidak selesa kerana sejak selepas kebakaran 7 Februari 1994, kehidupan keluarga terlibat ternyata tidak selesa, terutama apabila kediaman sementara sekarang sempit dan rosak teruk.
Mereka yang terlibat mendakwa, pihaknya terpaksa mengadakan sidang akhbar sambil membawa para wartawan menyaksikan sendiri status kediaman sekarang, setelah masalah yang dikemukakan kepada beberapa pihak selama ini tidak mendapat perhatian.
Salah seorang daripadanya, Badelishah Md. Jusoh, 50, berkata, mereka sepakat untuk mengadakan sidang akhbar kerana rungutan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri seperti diabaikan.
"Kami sudah meminta pertolongan daripada semua pihak yang sepatutnya. Ini termasuklah wakil-wakil rakyat dahulu dan sekarang. Namun demikian, nasib kami tetap tidak berubah.
"Jadi, kami sepakat memanggil para pemberita. Mahu diceritakan masalah yang sudah lama. Anda (wartawan) boleh tengok sendiri rumah-rumah kami yang rosak teruk," ujarnya di sini baru-baru ini.
Keluarga Badelishah adalah salah sebuah daripada 53 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi pada pada 7 Februari 1994.
Masalah yang sama turut disuarakan oleh Mohd. Noor Zainon, 27, yang kecewa kerana selepas kebakaran, mangsa dijanjikan ditempatkan di flat di Kampung Padang Cina di sini, tetapi flat tersebut sekarang sudah didiami oleh penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Selepas kebakaran tersebut, kata beliau, keluarga mangsa diberi RM120 sebulan untuk menyewa di kediaman pilihan sebelum ditempatkan di Rumah Pangsa Kuala Perlis.
"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri kedudukan kediaman kami. Flat ini sudah terlalu uzur. Terlalu banyak tempat yang retak. Sekarang, difahamkan kami mesti berpindah ke Pangsa Puri Seri Sena di Kampung Bakau di pinggir bandar Kangar.
"Saya difahamkan kami kena menetap di sana tiga tahun sementara menunggu flat ini siap dibaik pulih. Kami nelayan, kena duduk di bandar dan terpaksa berulang ke sini. Harap kerajaan dapat menyediakan tempat yang sesuai di sini," ujarnya.
Keluhan Mohd. Noor itu turut diakui oleh seorang lagi mangsa kebakaran 1994 iaitu Aishah Mat Hassan, 57.
"Sebahagian daripada mangsa kebakaran itu adalah ibu tunggal yang bekerja di Kuala Perlis. Jika terpaksa tinggal di Pangsa Puri Sena di bandar Kangar, ia membebankan golongan tersebut kerana telah bekerja di sini.
"Saya berharap sangat supaya kerajaan lebih prihatin terhadap masalah rakyat. Kalau kami dibiarkan terus begini, ia tidak menepati apa yang dijanjikan dahulu," ujarnya.
Endon Hamzah, 51, juga kecewa dengan pelbagai janji wakil-wakil kerajaan sekarang dan sebelum ini yang disifatkannya hanya bertindak untuk 'menyenangkan' mangsa kebakaran buat sementara waktu sahaja.
"Dulu kami dijanjikan kediaman kekal. Mereka berjanji dalam masjid. Namun begitu, apa yang kami perolehi sekarang ialah masih menetap di sini," ujarnya.

Mohd. Nor dibebaskan, pulang temui Wook



Mohd. Noor Che Musa, suami kepada Wook Kundor (gambar kanan) keluar dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Besut, semalam.


BESUT 15 Julai - "Sepanjang ditahan, ingatan tak lekang kepada dia. Selepas ni saya nak ke pondok untuk mendalami dan tumpu pada ilmu agama selain mencari pekerjaan yang sesuai bagi menyara kehidupan kami suami isteri."
Itu luahan Mohd. Noor Che Musa, 38, suami kepada Wook Kundor, dipercayai berusia 108 tahun sejurus dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dekat sini hari ini.
Selain itu, dia juga berazam mendekatkan diri dengan orang ramai dan surau supaya tidak berasa terpinggir dalam masyarakat setelah keluar daripada Puspen.
Baginya, pengalaman selama 12 bulan lapan hari semasa di Puspen Sungai Besi, Selangor sebelum dipindahkan ke Puspen Besut akhir tahun lalu membawa keinsafan kepadanya.
Katanya, semasa tempoh itu dia banyak belajar mengenai tanggungjawab bukan sahaja kepada diri dan keluarga malah masyarakat luar dan pembaharuan yang perlu dilakukan dalam kehidupannya nanti.
"Selama ini saya tidak sedar tanggungjawab dan nilai-nilai yang perlu ada pada seorang insan dan manusia tetapi hasil tunjuk ajar daripada kakitangan Puspen di sini telah membuka segalanya," ujar beliau.
Mohd. Noor telah dimasukkan ke Puspen Sungai Besi pada 7 Julai tahun lalu sebelum dipindahkan ke Puspen Besut pada 31 Disember tahun lalu atas permintaan Wook yang sukar untuk menziarahi Mohd. Noor.
"Hasil pelbagai program agama dan kaunseling yang diberikan selain sokongan ahli keluarga, telah memberikan kesan mendalam untuk saya berubah.
"Sepanjang di sini Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk menunaikan solat dhuha dan tahajud setiap hari dan di samping itu program qiamullail dan membaca al-Quran memberikan kekuatan kepada saya," ujarnya.
Mohd. Noor juga mengakui Puspen telah mematangkannya dan menjadi tempat mengadu dan rujukan kepada pelatih yang menghadapi pelbagai masalah.
Dalam pada itu, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan yang sentiasa rindu dan bimbangkan keadaan kesihatan isteri tersayang selama proses dia menjalani pemulihan di Puspen itu.
"Wook sentiasa berpesan supaya tidak tinggal sembahyang dan banyak membaca al-Quran dan nasihat ini saya ikuti kerana percaya dengan cara ini saya mampu pulih dengan cepat," jelasnya.
Sebelum ini, kisah perkahwinan lelaki itu dengan wanita yang 70 tahun lebih tua daripadanya lima tahun lalu dan perkahwinan kali ke-23 bagi warga emas itu mendapat liputan meluas media seluruh dunia.
Mohd. Noor kemudian bertolak ke Tanah Merah, Kelantan untuk ke rumah anak saudara yang menjemputnya hari ini, sebelum menemui isterinya yang kini tinggal sementara di Beris, Bachok.
"Selepas ini saya nak menemui Wook dan akan berbincang sama ada akan mengadakan majlis kesyukuran setelah pulang ke Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang," jelasnya.
Sementara itu, Komandan Puspen Besut, Rohayu Ahmad memberitahu, Mohd. Noor menunjukkan disiplin tinggi dan tidak pernah melanggar peraturan dan melakukan kesalahan sepanjang tempoh berada di Puspen itu.

Kereta nasional terjejas





SHAH ALAM 15 Julai - Proton Holdings Bhd. (Proton) sedang berbincang dengan beberapa institusi kewangan tempatan bagi mengkaji kesan kenaikan kadar faedah pinjaman kepada pembeli, khususnya kereta buatan tempatan.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, tiada sebarang maklumat terperinci boleh didedahkan kerana ia masih di peringkat awal dan pengumuman akan dilakukan sebaik sahaja perbincangan antara Proton dan institusi kewangan terbabit selesai.
"Kenaikan kadar faedah pinjaman sedikit sebanyak menjejaskan penjualan kereta kerana pembeli merasai beban kewangan yang sedikit tinggi berbanding sebelum ini dan usaha kami adalah bertujuan mencari jalan penyelesaian agar industri automobil tempatan tidak terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Proton Exora versi dipertingkatkan di sini hari ini.
Menurut Syed Zainal Abidin, tindakan yang dilakukan oleh Proton ini adalah sebagai usaha membantu meringankan beban pembeli kereta tempatan sekali gus merancakkan semula industri automobil tempatan.
Ketika ini difahamkan kadar faedah yang dikenakan bagi pembeli kereta ialah antara 3.85 peratus hingga 4.1 peratus mengikut kapasiti enjin kenderaan yang dibeli. Kadar yang dikenakan terhadap kereta nasional dikatakan tinggi.
Bagi pinjaman sewa beli kereta nasional baharu untuk tempoh sembilan ialah 4.1 peratus, tujuh tahun (empat peratus) dan lima tahun (3.85 peratus).
Manakala bagi kereta bukan nasional kadar faedah bagi tempoh sembilan tahun ialah 3.85 peratus, tujuh tahun (3.75 peratus) dan lima tahun (3.5 peratus).
Syed Zainal Abidin menambah, Proton dan Perodua kini perlu memikirkan kerjasama antara satu sama lain bagi memastikan kepentingan perniagaan dan pembeli diutamakan.
Ini kerana katanya, kedua-dua pengeluar kereta tempatan itu dilihat mungkin akan terjejas jualannya jika kadar faedah pinjaman jual beli meningkat.
Ujarnya, kerjasama antara kedua-dua pihak amat diperlukan jika mahu terus meningkatkan jumlah jualan kenderaan masing-masing dan mengekalkan penguasaan pasaran sedia ada.
"Secara peribadi saya percaya institusi kewangan juga sedang berkira-kira bagaimana untuk menarik minat pembeli dengan menawarkan kadar faedah yang menarik kerana hasil jualbeli merupakan pendapatan terbesar bagi sesebuah bank," katanya.

Puak Najib,puak Muhyidin, puak Pak Lah, puak MCA, puak MIC berapa banyak puak daaa


Najib tegur sikap berpuak-puak dalam UMNO

ALOR SETAR 15 Julai – Para pemimpin UMNO perlu mengurangkan politik dalaman dan sikap berpuak-puak di bahagian masing-masing jika tidak mahu kemerosotan sokongan seperti dalam pilihan raya umum lalu berulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya mahu mereka menanamkan rasa cinta dan kasih kepada parti seolah-olah UMNO adalah ‘darah daging’ sendiri.
“Kalau kita berjuang semata-mata kerana kasih kepada UMNO, bak kata lagu Melayu dari mata turun ke hati, macam orang dilamun cinta dan dalam konteks UMNO, kita kena tanamkan rasa cinta dan kasih kepada UMNO.
“Ini kerana kita tidak dapat menerima igauan ngeri bahawa UMNO tidak berkuasa dan Kedah terus ditawan pembangkang.
‘‘Jadikan ia sebagai pengajaran dan kita boleh pelajari pengajaran itu untuk bangkit semula serta menang dalam perjuangan,” tegas beliau.
Najib yang juga Presiden UMNO berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Sehubungan itu, Najib berkata, semua pemimpin UMNO bahagian kena bangkit dan jangan leka dengan mainan politik dalaman.
‘‘Kalau boleh kurangkan politik dalaman ini, cari jalan damaikan perselisihan faham antara ketua bahagian, timbalan dan naib serta pemimpin-pemimpin sayap, kita boleh rampas semula negeri yang ditawan pembangkang,” tegas Najib yang turut merujuk kepada masalah UMNO di Kedah ketika ini.
Ucapan beliau disambut tepukan gemuruh sambil Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Latt Shariman Abdullah dilihat berpelukan dengan timbalannya, Datuk Mohd. Jamil Md. Idross dan naib ketua, Muthalib Harun.
Melihat detik mengharukan itu, Presiden UMNO kemudiannya secara berseloroh berkata: “Jangan depan saya sahaja berpeluk, saya nak tengok nanti saya pulang, mereka hendak berpeluk ke tidak?"
Menurut Najib lagi, sikap muafakat sesama pemimpin UMNO bahagian merupakan formula terbaik untuk menjayakan misi memenangi pilihan raya sekali gus menawan semula negeri-negeri pembangkang termasuk Kedah.