|
Gambar terbaru Nurul Dahyatul Fazlinda ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, kelmarin.
|
HULU TERENGGANU 18 Julai – “Mak, bila muka Lin akan baik (pulih) semula. Itu pertanyaan yang sesekali dilontarkan kepada ibunya di rumah, bagi meredakan perasaan.
Setiap kali pula, pertanyaan itu mengharukan Che Ku Zaimah Che Ku Awang,29, kerana tidak mempunyai jawapan meyakinkan, tetapi berusaha memujuk Nurul Dahyatul Fazlinda bahawa akan tiba masanya nanti.
Tiada lagi kedengaran becok kata-katanya, tiada lagi kerap ukiran senyuman atau gelak tawa keriangan - alam kanak-kanak yang dilaluinya bagaikan terbakar ekoran peristiwa Ogos tahun lalu.
Peristiwa yang mengubah kehidupan dan masa depannya, malah keluarganya. Konflik rumah tangga ibu dan ayahnya ternyata membawa padah dan Nurul Dahyatul Fazlinda,9, turut menanggungnya.
Ayahnya kini akan menghabiskan 10 tahun di penjara, harga yang harus dibayar atas perbuatan mencederakannya, ibu, adik dan neneknya dengan simbahan asid.
Nurul Dahyatul Fazlinda menanggung akibat paling buruk apabila asid memamah wajahnya yang mungkin membawa bersama kecacatan kekal sepanjang hayatnya.
Setelah lebih sebulan terlantar di hospital menanggung kesakitan, anak kecil itu dibenarkan pulang ke rumah, namun apa lebih menyakitkan awalnya adalah menatap wajah di cermin.
Justeru dia tahu mengapa ramai yang sebaya seakan takut mendekatinya cuba dijauhi sehingga dia lebih suka menyendiri di rumah dan hanya tangisan menenangkannya.
Malah dia mulanya enggan untuk kembali ke sekolah dengan wajah sedemikian kerana membayangkan reaksi yang sama akan diberikan oleh rakan-rakan.
Namun hampir lima bulan kemudian, sedikit senyuman terukir setelah dia berjaya dipujuk untuk melangkah ke tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Padang Setar awal Januari lalu.
Pengalaman di hari pertama sesi persekolahan membawa keriaan kepadanya, ketika pemergiannya dijemput dan ketibaannya disambut hasil pendekatan pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Daerah.
“Dulu takut nak ke sekolah sebab nanti kawan-kawan ejek dan lari tetapi selepas keluar surat khabar ramai yang mahu berkawan dengan saya,” ujarnya.
Dalam keadaan hari-hari yang ditempoh amat menyiksakan, dia tidak pernah menyalahkan bapanya, Mat Haizan Mat Yasin, 32, yang menyebabkan wajahnya menjadi buruk.
“Lin tahu ayah bukan berniat begitu,” ujarnya sambil mengisi buku-buku ke dalam begnya sementara ibunya memakaikan pakaian sekolah adiknya, ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Ayah dan ibunya bercerai di Mahkamah Syariah Kuala Berang bulan lalu, mengakhiri kekusutan hubungan mereka.
Bagi Che Ku Zaimah, dia tidak dapat membayangkan bagaimana akan menghdapi masa depan, apatah lagi apabila meniti zaman keremajaan kelak.
Ibu kepada empat orang anak itu kini membantu ibunya berniaga sayuran di pasar di Pasar Kuala Berang bagi menambah pendapatan selain bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan.
Kerajaan negeri pula memberi jaminan untuk membiayai sepenuhnya kos rawatan.
“Saya perlu bekerja demi mereka (anak-anak). Saya juga telah banyak terhutang budi kepada pelbagai pihak yang selama ini membantu memulihkan Lin dan juga keluarga kami,”ujarnya.
Mengimbas kembali tragedi itu, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi, 15 Ogos lalu di Kampung Sekayuu, Mat Haizan, dilaporkan memecah masuk rumah ibu mertuanya, Minah Omar,57, dengan membawa bungkusan asid.
Dalam pertelingkahan ekoran kemelut rumah tangganya, asid yang dibawa terkena Che Ku Zaimah, Nurul Dahyatul Fazlinda, anak bongsu mereka, Muhammad Irfan Firdaus,3, dan Minah.
Ketika dihadapkan ke mahkamah, Mat Haizan yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah dan insaf di atas segala perbuatan yang dilakukan.
Pada pada 25 Ogos tahun lalu lalu, dia dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan atas kesalahan itu.
Menurut Che Ku Zaimah, keengganan Nurul Dahyatul Fazlinda memakai topeng secara berterusan menyebabkan parut di mukanya tampak lebih ketara kini, biar pun telah menjalani pembedahan pertama pada awal tahun ini.
“Lin merungut topeng itu buat muka dia rasa sangat perit dan amat tidak selesa, sukar untuk saya memaksa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu di sini, semalam.
Che Ku Zaimah tetap akan memaksa anaknya itu memakai topeng tersebut namun apabila lepas dari pandangannya, terutama apabila tersedar daripada tidur, kanak-kanak itu akan menanggalkannya.
“Dia sepatunya memakai 23 jam sehari tetapi ia mungkin sangat meresahkan dan adakalanya dia menangis mengadu kesakitan.
“Sekarang ini, saya risau untuk bawa Lin untuk rawatan susulan kerana takut dimarahi doktor sebab parut diwajahnya makin serius,” katanya.
Jelasnya, temu janji dengan pakar kulit yang merawat Lin pada Mei lalu juga gagal dipenuhi kerana ketika itu anaknya demam agak teruk.
Sementara itu, Lin memberitahu, dia masih tidak dapat membiasakan diri apabila orang menatap wajahnya dengan reaksi tidak menyenangkan.
“Di sekolah kawan-kawan baik tapi bila pergi pasar atau ke mana-mana orang masih tanya kenapa muka saya jadi macam ni,” katanya sambil menunukkan muka.