Showing posts with label tauliah. Show all posts
Showing posts with label tauliah. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

Tauliah: Jangan sampai jadi bahan ketawa



KUALA LUMPUR, 7 Sept: Tidak menafikan bahawa pemberian tauliah merupakan satu makanisme bagi menjamin bahawa kesucian Islam dapat dipelihara dan pengajaran agama Islam dapat dipantau dengan baik.
Namun begitu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini menasihatkan agar jabatan-jabatan agama Islam negeri-negeri di Malaysia agar memudahkan pemberian tauliah kepada golongan yang mempunyai taraf keilmuan agama yang diketahui umum yang ingin membantu mendidik masyarakat Islam.
“Pemberian tauliah mengajar agama merupakan satu makanisme bagi menjamin bahawa kesucian Islam dapat dipelihara dan pengajaran agama Islam dapat dipantau dengan baik. Hampir semua negeri mempunyai makanisme tauliah ini.
“Ia adalah satu makanisma yang sangat baik selagi mana ia berjalan di atas landasan yang bertepatan dengan syarak. Apa yang mendukacitakan kini ialah sedikitnya tauliah yang dikeluarkan berbanding keperluan umat yang mengharapkan siraman ilmu,” tegas beliau dalam satu kenyataannya hari ini.
Para ilmuan Islam, kata beliau mempunyai tanggungjawab agama bagi menyampaikan ilmu agama selaras dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah apa yang kamu terima dariku, walau sepotong ayat.”
“Di atas asas ini, maka golongan agama mempunyai amanah menyampaikan ilmu yang wajib disampaikan,” tambah beliau.
Menurut Tuan Ibrahim, tugas utama menyampai dan membimbing rakyat adalah terpikul di atas bahu para pemimpin Islam di akhirat.
Sejajar itu, katanya golongan agama bertanggungjawab membantu para pemimpin ini untuk meringankan hisaban di akhirat.
“Pada masa yang sama, para pemimpin yang dibantu ini hendaklah berterima kasih kepada golongan agama kerana membantunya meringankan hisaban di akhirat dan melepaskan bebanan mengurangkan kejahilan rakyatnya.
“Untuk itu, pemerintah mestilah menyediakan ilmuan Islam yang cukup bagi mendidik masyarakat ke arah penghayatan Islam yang syumul. Adalah satu kesalahan besar bagi seseorang pemimpin untuk membiarkan rakyatnya terus jahil,” terang beliau.
Beliau juga memberikan peringatan bahawa ulamak atau golongan agamawan pula dipertanggungjawabkan mesti memelihara amanah ilmu dengan menyampaikan ilmu tersebut walau pahit sekalipun rintangan yang bakal dihadapinya.
Akibat kekurangan siraman ilmu yang mengekalkan kejahilan, terang beliau adalah sebab berlakunya pelbagai gejala sosial, soal murtad, rasuah, berkembangnya ajaran sesat dan sebagainya.
Lebih malang kini, mereka yang mempunyai taraf keilmuan agama yang diketahui umum dengan kelulusan ilmu agama, jawatan yang disandang seperti pensyarah, mufti, kadhi, guru agama sekolah-sekolah bahkan ulamak yang disegani juga terikat dengan sistem tauliah, tambahnya lagi.
“Jika pihak berkuasa agama membimbangi mereka ini menyampaikan ajaran salah atau bercanggah dengan syarak, bagaimana pula dengan kuliahnya di universiti dan tempat lain?
“Bahkan, kalau seseorang mufti pun kena memohon tauliah, sudah tentu ia menjadi bahan tertawa orang jahil dan ini antara sebab utama mengapa wibawa institusi agama sangat rendah di mata masyarakat,” terang Tuan Ibrahim, sambil menambah ini juga antara sebab mengapa pendakwaan mengajar atau menyampaikan kuliah tanpa tauliah kini mengundang pelbagai gurau senda dalam masyarakat.
Untuk jabatan agama Islam di negeri-negeri, Tuan Ibrahim mengesyorkan agar mereka memudahkan pemberian tauliah kepada golongan yang mempunyai taraf keilmuan agama di mata masyarakat, lebih-lebih lagi apabila golongan ini yang mengajar ini tidak pernah meminta upah dari pengajaran yang disampaikannya.
“Bersangka baiklah terhadap golongan ilmuan agama, dan bertindak adillah dengan kuasa di dalam tangan dalam pemberian tauliah, dan dengan ini diharap kejahilan masyarakat dapat di atasi dan pemimpin akan dirahmati Allah,” nasihat beliau.

Wednesday, December 29, 2010

Mahkamah benarkan bekas Mufti Perlis merayu



Asri Zainul Abidin di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 28 Dis. - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah pemindahan kes mengajar agama Islam tanpa tauliah yang dihadapinya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Md. Yusup Che Teh memutuskan demikian sebulat suara dengan alasan ia melibatkan persoalan undang- undang yang membabitkan kepentingan awam.
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Syarie Md. Yusup, mahkamah berpuas hati bahawa Mohd. Asri mempunyai asas untuk merayu terhadap keputusan pemindahan kesnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Menurut beliau, panel hakim juga bersetuju bahawa kuasa Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk memindahkan kes memberi kesan kepada pemohon serta kes-kes akan datang yang turut melibatkan kepentingan awam.
''Mahkamah setuju bahawa isu kepentingan awam serta kuasa Ketua Pendakwa Syarie dalam kes ini perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.
''Dengan itu mahkamah sebulat suara meluluskan permohonan pemohon untuk merayu. Notis rayuan hendaklah difailkan dalam masa 14 hari,'' katanya.
Mohd. Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah rumah di Lorong 2C Taman Seri Ukay, Ampang antara pukul 8.10 malam dan 9.45 malam, 1 November tahun lepas.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan jika sabit kesalahan, Mohd. Asri berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam prosiding yang sama menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Kes tersebut kemudian diperintahkan dipindah dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mahkamah tersebut menerima permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rendah Syariah.
Berikutan itu, Mohd. Asri memfailkan permohonan untuk merayu terhadap keputusan tersebut mengikut Seksyen 67 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Tuesday, November 23, 2010

JAIS tidak benar Nizar beri ceramah agama



SHAH ALAM 22 Nov. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah meminta pentadbir Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini membatalkan program ceramah agama oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin malam esok kerana tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.
Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, sehubungan itu pihak berkenaan diminta mengubah lokasi ke tempat lain yang tidak terikat dengan syarat-syarat tauliah ditetapkan oleh jabatan berkenaan sekiranya masih mahu meneruskan program ceramah tersebut.
''Saya telah arahkan Kadi Kuala Selangor, Hashim Muhamad yang kemudiannya telah memaklumkan kepada nazir masjid di bawah pemantauan masjid tersebut, Aziz Safri tentang keputusan JAIS itu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, JAIS memang tidak membenarkan Mohamad Nizar memberi ceramah agama di Selangor kerana dia tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.
''Tetapi kita tidak boleh menghalang orang luar daripada memberi ceramah politik di tempat lain seperti dewan atau sebagainya," ujarnya.
Mohammed Khusrin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pentadbir Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh yang menjemput Mohamad Nizar untuk memberi ceramah agama yang dikhuatiri akan bertukar menjadi ceramah politik di masjid tersebut malam esok.
Masjid tersebut yang dipercayai 'dikuasai' oleh sebuah parti pembangkang sebelum ini telah banyak kali menjemput penceramah daripada parti itu untuk menyampaikan kuliah dan ceramah agama atas nama kuliah maghrib, isyak atau subuh.