Monday, August 8, 2011

Tentera, polis miliki 2 kad pengenalan?


RANTAU PANJANG, 8 Ogos: Rahsia Umno dan Barisan Nasional (BN) berupaya mengekalkan kuasa sehingga 54 tahun kini terbongkar sedikit demi sedikit. Sedangkan di negara lain tidak ada lagi parti yang mampu menguasai kerajaan dalam tempoh begitu lama seperti BN di Malaysia. Rahsianya ada di sebalik undi pos dan keupayaan memperalatkan jabatan-jabatan penting kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara dan pasukan polis. Dan hari ini satu lagi kegiatan yang dianggap sulit dibongkar apabila ramai anggota polis dan tentera yang masih berkhidmat dikesan memiliki kad pengenalan awam. “Mereka didapati memiliki dua kad pengenalan. Satunya kad sebagai anggota pasukan keselamatan bagi melayakkan mereka mengundi secara pos ”Dan keduanya kad pengenalan awam. Kad pengenalan ini membolehkan mereka mengundi seperti orang lain. ”Setahu saya kad pengenalan awam disimpan di kementerian sekiranya seseorang anggota keselamatan itu masih berkhidmat,” kata Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun Beliau yang juga Adun Bukit Tuku mempersoalkan kenapa perkara sedeimikian boleh berlaku dan melahirkan rasa amat terkejut.”Adakah ini merupakan satu agenda sulit kerajaan BN bagi mengekalkan kuasa. Saya ada bukti terhadap dakwaan ini. ”Beberapa kenalan anggota polis dan tentera mengakui mereka sekarang memiliki dua kad pengenalan diri,” katanya meluahkan rasa bimbang terhadap perkembangan itu. Abdul Fatah yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata, sekiranya pengakuan anggota polis dan tentera terbabit benar secara jelas menggambarkan kerajaan BN terpaksa menggunakan taktik kotor bagi mempertahankan kuasa. Menurutnya juga sebab itulah kerajaan nampak beriya-iya mahu memperkenalkan kaedah biometrik menggantikan tuntutan Bersih 2.0 mengguna dakwat kekal ketika proses pengundian. Kata beliau berdasar kepada banyak pendedahan yang berlaku sekarang nampak sangat kerajaan BN terpaksa bergantung kepada kaedah tidak bermoral bagi memanjang hayat kuasa.harakahdaily

Akhbar jadi 'gengster' tanpa media alternatif




KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Rakyat khususnya golongan muda diseru menyokong sumbangan media alternatif yang memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini. Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, kewujudan media alternatif dapat menjadi pengekang kepada media arus perdana yang semakin 'samseng'. "Saya fikir sumbangan akhbar alternatif ini mesti disokong kerana hanya melalui akhbar alternatif kita mendapat gambaran yang lebih berimbang, memungkinkan kita untuk menentukan apa sikap kita. "Saya dapati bahawasanya tanpa media alternatif, akhbar arus perdana akan menjadi gengster," kata beliau sewaktu berucap merasmikan pelancaran kempen 'Jom Baca Media Alternatif' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini, petang semalam. Kempen ini dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa bertemakan 'baca dan banding'. A. Samad yang lebih senang dipanggil Pak Samad, 76, juga berkata, media alternatif sangat sesuai untuk anak-anak muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat. "Saya fikir media alternatif ini lebih untuk anak-anak muda, rakan-rakan kita yang lebih berilmu. "Memang benar ia belum sampai ke desa-desa tapi saya fikir yang diperlukan ialah kelompok anak muda yang berilmu pengetahuan dan anak-anak muda inilah nanti yang akan berlegar, akan sampai ke ceruk-ceruk untuk memperjelas apa yang berlaku di negara ini," katanya di hadapan kira-kira 50 anak muda, majoritinya mahasiswa kampus sekitar Lembah Kelang. Ujarnya, tidak menjadi suatu kerugian jika tidak membaca media arus perdana kerana laporannya hanya menyokong kerajaan dan mengakui sudah hampir satu tahun beliau tidak membaca akhbar arus perdana. "Untuk pengetahuan anda sudah hampir satu tahun saya langsung tidak membaca akhbar arus perdana. "Biarpun ada benda yang mungkin saya terlepas kerana tidak membaca akhbar arus perdana tapi saya rasa dengan tidak membacanya pun saya sudah tahu, jadi tidak rugi. "Kita lihat adalah kalau yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang sentiasa salah. Ini yang harus dibetulkan," katanya disambut tepukan gemuruh anak muda. Beliau turut menyatakan pendirian yang meyokong pihak pembangkang. "Saya memang gemar untuk datang dan mendengar daripada mereka yang oposisi. Saya langsung tidak gemar mendengar orang yang sokong (kerajaan). "Saya memang gemar apabila ada yang membangkang dan minat saya membaca akhbar alternatif kerana saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar arus perdana," katanya yang mula menjadi ikon anak muda selepas lantang menyatakan sikap tidak bersetuju dengan kerajaan antaranya dalam isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan terbaru, Bersih 2.0.

Anak muda kena lakukan perubahan 
Selain itu, Pak Samad menyeru anak muda agar berani melakukan perubahan dengan menukar kerajaan BN yang sudah lama dibiarkan bermaharajalela di negara ini. "Banyak hal lain juga boleh dilakukan anak muda yang cendekia antaranya ialah merubah maksudnya sudah tiba masanya kita adakan "Kita sudah memberi masa kepada orang memerintah ini selama 54 tahun dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu. "Kalau selama 54 tahun kita membenarkan ini berterusan yang salah ialah kita juga. "Oleh itu saya mengharapkan golongan anak-anak muda mengadakan satu tindakan yang berani untuk mengubahnya dan saya percaya hanya di tangan anak muda sahaja regime chance itu mungkin (berlaku)," katanya memberi semangat kepada anak muda. Sementara itu, SMM menganjurkan kepen ini bagi menyeru rakyat menjadikan media alternatif di seluruh Malaysia sebagai sumber media yang kukuh dan dekat di hati rakyat. Sabtu lalu, SMM memulakan kempen dengan  bertemu masyarakat Kuala Lumpur sambil memakai baju khas kempen yang tertera alamat laman sesawang media alternatif di Malaysia termasuk Harakahdaily serta melakukan edaran risalah serta buah tangan kepada warga kota. Sebelum majlis pelancaran semalam, berlangsungnya forum mengenai Lynas di dewan yang sama. SMM merupakan gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).harakahdaily

Tragedi tanah runtuh




SEBUAH jentera pengorek digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, petang semalam. – Utusan/MOHD. NAJIB. MOHD. NOR


CAMERON HIGHLANDS 7 Ogos – Tiga wanita maut, tiga parah manakala tiga lagi dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata di sini petang ini.
Kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu turut mengakibatkan enam buah rumah tertimbus manakala tiga lagi terbenam terus.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahri Wan Busu berkata, tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat sejak semalam dan tiga mangsa yang parah ialah dua lelaki dan seorang wanita.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan kita percaya ramai lagi penduduk yang tertimbus dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Sehingga pukul 12.00 tengah malam ini, katanya, dianggarkan tiga lagi mangsa masih tertimbus dalam runtuhan tanah itu.
Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak di Tanah Rata dan kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat Suku Semai.
Menurut Wan Zahri, mangsa yang terkorban dan parah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus membabitkan 120 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.utusan

Penduduk Sungai Ruil mungkin dipindah ke kawasan lain

Foto Menarik
MANGSA yang maut dalam tragedi tanah runtuh dibawa menaiki trak untuk dihantar ke hospital di Kampung Orang Asli Sungai Ruil dekat Tanah Rata, Cameron Highlands. Foto: L Manimaran (08/08/2011)
Foto Menarik
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan seorang mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Orang Asli Sungai Ruil dekat Tanah Rata, Cameron Highlands. Foto: L Manimaran (08/08/2011)
ANGGOTA bomba dan penyelamat bertungkus lumus menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di Kampung Orang Asli Sungai Ruil dekat Tanah Rata, Cameron Highlands. Foto: L Manimaran (08/08/2011)
ANGGOTA bomba dan penyelamat bertungkus lumus menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di Kampung Orang Asli Sungai Ruil dekat Tanah Rata, Cameron Highlands. Foto: L Manimaran (08/08/2011)
TEMERLOH: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail tidak menolak kemungkinan penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh semalam akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Kerajaan negeri Pahang perlu meneliti setiap aspek berhubung kejadian itu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang semalam, menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.
Tragedi itu meragut tujuh nyawa termasuk empat wanita, manakala dua lagi parah.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, setakat ini, seramai 85 keluarga membabitkan 523 orang penduduk yang terbabit dalam kejadian itu ditempatkan sementara di dewan serba guna Brinchang.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 1,200 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Semai yang tinggal di kampung berkenaan. -Bernamahmetro

Mahkamah benarkan permohonan Anwar temu bual 15 saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri dan isteri, sebelum beliau memberikan keterangan membela diri dalam kes liwatnya.Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu selepas memutuskan apabila pihak pendakwaan menawarkan saksi kepasa pihak pembelaan, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk pastikan kehadiran saksi ke mahkamah. Mohamad Zabidin berkata, pihak pembelaan ada hak untuk temu ramah saksi berdasarkan syarat saksi itu, yang bersetuju untuk ditemu ramah.bharian

Khir Toyo diperintah bela diri tuduhan rasuah

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini berhubung pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7, di sini bernilai RM6.5 juta, tiga tahun lalu.Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas berpuashati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. Mahkamah menetapkan selama lima hari bermula 26 September depan untuk tarikh membela diri.bharian

Banyak songeh

KUALA LUMPUR: “Kita sedih perkara ini berlaku, malah ada yang menelefon saya pagi tadi (semalam) memberitahu bagaimana dia diperlekehkan ketika meminta bantuan daripada pihak berkuasa sedangkan katanya pihak gereja cepat bertindak.
“Memang ini dakwaan dia, tetapi kita kena siasat dan nilai kembali, adakah benar seperti apa dikatakan, jika betul kita harus bertindak mengubah apa yang patut,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau mengulas tindakan segelintir umat Islam yang mendapatkan bantuan daripada pihak gereja, malah serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya baru-baru ini membongkar segala-galanya. Metro Ahad semalam turut melaporkan luahan seorang wanita dikenali Nur yang tidak mempunyai pilihan lain, dan terpaksa menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja selepas mendakwa sering mendapat cemuhan. Mashitah memberitahu, wanita yang menghubunginya itu adalah salah seorang daripada individu terbabit yang menerima bantuan bulanan selepas dia gagal memperolehnya daripada saluran diusahakan pihak berkuasa.

Katanya, wanita berkenaan yang enggan namanya dikenali, turut mendakwa pernah memohon bantuan dengan pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mendapat layanan sewajarnya menyebabkan dia kecewa.

“Saya mendengar rintihannya. Dia menceritakan bagaimana pengalamannya dengan pegawai bertugas, dengan pegawai agama yang tidak melayan permohonan bantuan seeloknya tetapi, memberikan pelbagai alasan...masih diproseslah...hari ini cuti dan sebagainya.

“Tetapi katanya, pihak gereja cepat bertindak, mereka bertanya dengan lembut, masukkan duit pun cepat...usaha ada apabila pihak berkenaan turun padang berbanding kita yang menunggu orang datang baru bertindak.


“Tak bermaksud menunding jari terhadap mana-mana pihak, sebaliknya sekadar menyampaikan apa yang disuarakan individu ini supaya dapat dinilai bersama....kalau ada kebenaran atas apa yang didakwa, kita perlu perbaiki...harus segera laksana,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mashitah berkata, semua pihak perlu mengambil semangat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengutarakan rakyat harus didahulukan dalam semua perkara, sekali gus mengurangkan birokrasi punca sesuatu bantuan lewat disampaikan.hmetro

Tentera usaha bebas datuk bandar

DAVAO: Pasukan keselamatan semalam meneruskan usaha menjejaki seorang datuk bandar di selatan Filipina yang diculik pemberontak komunis di Mindanao.
Tentera dikerah ke wilayah Davao Oriental, tempat pemberontak Tentera Rakyat Baru (NPA) melarikan diri bersama-sama tebusan, Henry Dano, Datuk bandar Lingig di wilayah Surigao del Sur.

Dano ditawan oleh berpuluh-puluh pemberontak di rumahnya pada 6 Ogos lalu. - Agensihmetro

Rayuan bekas Presiden Israel didengar


BAITULMAQDIS: Mahkamah Agung mula mendengar rayuan bekas Presiden Israel, Moshe Katsav, yang dihukum penjara tujuh tahun atas kesalahan merogol dan serangan seksual.
Katsav dihukum Mac lalu selepas disabitkan kesalahan merogol pekerjanya ketika dia bertugas sebagai menteri Kabinet Israel pada 1998.

Dia turut disabitkan kesalahan serangan seksual terhadap dua wanita di antara 2000 dan 2007.

Mei lalu, hakim memutuskan Katsav, 65, boleh menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuannya diputuskan mahkamah. - APhmetro

Sanggup sepak ibu bapa nak dapat duit


PELATIH Sekolah Tunas Bakti  yang berjaya mengakhiri tempoh hukuman berikrar menjadi individu baik dan berguna.
PELATIH Sekolah Tunas Bakti yang berjaya mengakhiri tempoh hukuman berikrar menjadi individu baik dan berguna.

Pelatih Sekolah Tunas Bakti kini insaf, menyesal perbuatan lampau akibat ketagihan dadah

TAIPING: “Pernah saya sepak dan pukul kedua-dua ibu bapa saya hingga jatuh apabila mereka tidak berikan wang yang saya minta. Kini saya menyesal atas perbuatan itu dan insaf termasuk tidak mahu lagi menagih dadah,” kata seorang pelatih Sekolah Tunas Bakti (STB), di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Ham, 17.

Remaja berasal dari Pendang, Kedah itu yang baru beberapa bulan dimasukkan ke STB atas kesalahan penyalahgunaan dadah berkata, beliau sedih mengenangkan perbuatannya termasuk menengking dan memarahi ibu bapanya yang kini berusia 50-an apabila tidak memberi wang diminta untuk membeli heroin kerana orang tuanya hanya penoreh getah.
“Apabila saya naik berang saya menolak dan memukul mereka. Maki hamun pula sudah tidak terkira,” katanya ketika ditemui di STB.
Menceritakan pembabitannya dalam ketagihan dadah, anak bongsu dari enam beradik itu berkata ia berpunca pergaulan dengan rakan.

Katanya, pada mulanya beliau hanya menghabiskan RM10 hingga RM15 sehari hasil wang torehan getah orang tuanya untuk membeli dadah tetapi lama-kelamaan dia terjebak pula dalam ketagihan heroin yang memerlukan RM100 hingga RM200 sehari.

“Untuk mendapatkan wang itu, saya menipu ibu bapa dengan meminta RM300 dengan alasan mahu membeli seluar berjenama mahal tetapi apabila memperoleh wang itu, saya hanya membeli seluar yang murah dan wang selebihnya digunakan untuk membeli dadah.

“Saya berjaya mendapatkan wang itu beberapa kali hingga akhirnya kedua orang tua saya tidak lagi dapat memenuhi permintaan itu menyebabkan saya marah dan memukul mereka,” katanya.
Katanya, perbuatannya berakhir apabila polis memberkasnya ketika khayal dengan dadah sebelum didapati bersalah oleh mahkamah.

“Disebabkan saya masih di bawah umur, saya dimasukkan ke sekolah ini selama tiga tahun dan sehingga kini sudah berada di sini selama lapan bulan. Saya juga sudah dapat mengatasi masalah ketagihan.Sekarang saya benar-benar insaf,” katanya. bharian

Negeri pantau kegiatan murtadkan umat Islam

Jabatan agama beri amaran kepada gereja cuba pesong akidah
SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk gereja, jika terbukti ada cubaan memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. 

Pengarah JHEAINS, Johani Hasan, berkata pihaknya menyedari ada kegiatan dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gereja yang memesongkan akidah, namun tiada laporan serta bukti mengenainya.

“JHEAINS sentiasa memantau perkara ini, namun pendekatan kita lebih kepada memulihkan semula akidah umat Islam yang terpesong.
“Bagaimanapun, kita mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap gereja terbabit jika kegiatan yang dijalankan melampaui batas sehingga menggugat akidah umat Islam,” katanya kepada Berita Harian. 

Di KOTA KINABALU, Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Nasir Sakaran, mengakui ada pihak cuba mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negeri itu, terutama di kalangan saudara baru, penduduk luar bandar dan perkampungan terpencil. 

“Bilangannya tidak serius seperti dakwaan sesetengah pihak dan kita tidak pernah berdiam dalam soal ini kerana ia membabitkan akidah. 

“Pada masa sama, wujud kekeliruan dari segi nama, misalnya individu bernama ‘Mariam’ yang bukan beragama Islam tetapi ketika memohon MyKad, agamanya dicatat sebagai Islam tanpa disedari. 
“Apabila ini berlaku, ‘Mariam’ akan minta status agamanya ditukar kepada bukan Islam dan permohonan itu diklasifikasikan sebagai cubaan murtad sedangkan hakikat adalah sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 

Di ALOR SETAR, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad mahu kerajaan segera bertindak ke atas kegiatan memurtadkan orang Islam di negara ini bagi membolehkan kesucian agama terpelihara. 

Bagaimanapun, katanya, pihak berkaitan dan badan agama Islam juga perlu memperkukuhkan institusi mereka dalam menangani isu berkaitan kebajikan dan keperluan umat Islam dari semasa ke semasa. 

“Dalam hal ini semua pihak perlu memainkan peranan sama ada pada peringkat penguatkuasaan atau kerja kebajikan untuk kepentingan umat dan agama itu sendiri,” katanya. 

Di JOHOR BAHRU, Kerajaan negeri sehingga kini, tidak menerima sebarang aduan mengenai wujudnya usaha untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman. 

“Walaupun ada pihak menyatakan kegiatan ini sudah menular ke seluruh negara, tetapi di negeri ini tidak ada,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Di KUCHING, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata pemimpin Kristian akan merujuk kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) apabila ada umat Islam menemui mereka untuk meminta bantuan. 

“Memang pernah berlaku umat Islam yang kesempitan hidup mendapatkan bantuan gereja tetapi kerjasama dan hubungan baik pemimpin pelbagai agama di negeri ini dengan merujuk JAIS dapat mengelak berlaku pemesongan akidah umat Islam yang menghadapi masalah kesempitan hidup,” katanya. 

Di KOTA BHARU, Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyerahkan kepada kerajaan Selangor dan PAS Pusat untuk menentukan isu mengenai serbuan JAIS menyerbu sebuah gereja yang dikatakan menyebar ajarannya kepada umat Islam, baru-baru ini. 

“Tiada sebarang masalah yang berlaku di negeri ini, jika ada pun, ia hanyalah sedikit gangguan yang saya boleh diibaratkan seperti nyamuk di luar kelambu, tidak lebih dari itu,” katanya. 

Di GEORGETOWN, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim, berkata pihaknya tidak menerima laporan atau kes berhubung usaha pihak tertentu untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam. bharian

PAS mahu jumpa JAIS, pengurusan gereja

KUALA LUMPUR: PAS membuat keputusan berjumpa secara terus dengan pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi mendapat maklumat lanjut berhubung isu serbuan terhadap gereja berkenaan pada Rabu lalu. 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu dan Kemudahan Awam kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berhubung tindakannya mempertahankan serbuan JAIS selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan adalah tidak mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali diarahkan berhubung dengan pihak berkenaan untuk menetapkan tarikh pertemuan yang akan ditentukan kemudian.
“Kita buat keputusan untuk turun ke medan, PAS akan minta bertemu dengan JAIS dan gereja secara langsung untuk minta penjelasan. Kita tak boleh dengar penjelasan daripada Dr Hasan saja, kena berlaku adil. 

“Penjelasan dari beliau (Hasan) tidak cukup, laporan media (berhubung isu serbuan gereja itu) juga tidak cukup dan tidak boleh dipercayai. 

“Sebab itu kita kena dapat penjelasan langsung dari JAIS dan gereja,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sini, semalam. bharian

Tukar pemandu bas serta-merta



JPJ akan memeriksa semua bas bagi mengesan pemandu yang mempunyai rekod trafik yang teruk. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Pemandu bas ekspres yang mempunyai rekod kesalahan jalan raya yang serius tidak akan dibenar membawa penumpang pada musim perayaan nanti dan mereka perlu ditukar dengan pemandu lain dengan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, jika syarikat bas berkenaan gagal berbuat demikian, perjalanan bas ekspres terbabit tidak akan dibenarkan sama sekali dan pengusaha berdepan dengan tindakan tegas.
Antara kesalahan yang telah dikenal pasti ialah lesen tamat tempoh serta rekod melanggar peraturan jalan raya termasuk kesalahan memandu dengan laju.
“Saya tidak mahu tengok atau dengar lagi kejadian-kejadian yang tidak diingini sepanjang musim perayaan dan kita akan ambil tindakan tegas termasuk memastikan semua pemandu bas yang mempunyai rekod buruk tidak membawa penumpang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.kosmo

Mualaf harap dapat rumah sendiri



ABDUL RAHIM bersama isteri dan anak merenung masa depan yang kabur kerana terpaksa hidup menumpang di Jasin, Melaka semalam.


JASIN – Entah di mana silapnya, seorang mualaf bersama isteri dan tiga orang anak terpaksa menumpang di rumah orang sejak memeluk Islam sembilan tahun lalu.
Keadaan itu memang menyukarkan Abdul Rahim Tan, 42, dan isterinya, Hoiriah Aman Chik, 36, serta anak-anak mereka untuk menjalani kehidupan sempurna sebagaimana keluarga lain yang mempunyai rumah sendiri.
Lebih membuatkan Abdul Rahim tidak sanggup menanggung situasi itu, apabila dia dan keluarganya sudah menjadi ‘penumpang’ di rumah rakannya, Mohd. Yusuf Abdullah, 50, yang juga seorang mualaf lebih setahun yang lalu.
Malah kata Abdul Rahim, permohonannya mendapatkan bantuan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak setahun lalu, masih belum diluluskan pihak berkuasa.
“Sudah setahun saya menumpang hidup dengan Mohd. Yusof di Kampung Merlimau, namun persoalannya sampai bila saya dan keluarga harus menumpang di rumahnya?
“Kadang-kala terfikir untuk mencari rumah sewa yang lain tetapi memandangkan pendapatan saya sebagai pekerja kilang besi tidak cukup, saya terpaksa membatalkan hasrat itu'' katanya ketika ditemui semalam.kosmo

Lady Gaga kelihatan seperti lelaki



WAJAH LADY GAGA seperti lelaki dalam kulit single terbaharunya, You and I.


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Lady Gaga beraksi seperti seorang lelaki dalam kulit single terbaharunya, You and I, lapor sebuah akhbar semalam.
Penyanyi itu sebelum ini terkenal dengan imejnya yang pelik apabila berada di khalayak ramai.
Dalam kulit single terbaharunya itu, Lady Gaga yang berusia 25 tahun turut menghisap sebatang rokok.
Dia juga mempunyai jambang dan wajahnya disolek seperti lelaki.
Lagu itu akan berada di pasaran pada 23 Ogos depan.
Baru-baru ini, Lady Gaga menyampaikan mesej di laman Twitter dengan menyatakan: "Anda tidak akan mencari apa yang anda mahukan dalam percintaan jika anda tidak menyayangi diri anda." - Agensikosmo

Penampilan America Ferrera berubah




KIRI: PENAMPILAN terbaharu American Ferrera dalam filem End Of Watch in Los Angeles. KANAN:WAJAH America Ferrera dalam drama bersiri Ugly Betty.


LOS ANGELES -Watak Betty Suarez pernah menghangatkan siaran televisyen Amerika Syarikat (AS) menerusi siri TV popular, Ugly Betty, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Peranannya dalam rancangan itu bermula sebagai seorang yang menjadi mangsa fesyen dan mempunyai rupa paras tidak menarik dengan memakai kaca mata besar.
Namun, kini pelakon America Ferrera sekali lagi menukar penampilannya menerusi filem terkininya End Of Watch in Los Angeles.
Dia yang berusia 27 tahun memegang watak lebih hebat berbanding lakonan menerusi Ugly Betty.
Filem terbaharu yang menjalani penggambaran di New York itu menampilkan Ferrera memainkan peranan sebagai seorang polis dengan memakai uniform kalis peluru.
Penampilannya kali ini sungguh berlainan apabila rambutnya disikat kemas dan sentuhan mekap tidak keterlaluan. - Agensikosmo