Wednesday, February 8, 2012

Jadi rakan kongsi 'nambikei'



NAJIB (dua dari kiri) dan Rosmah dikalungkan bunga malai gergasi di pekarangan Kuil Sri Maha Mariaman Dhevasthanam
di Batu Caves sempena sambutan Hari Thaipusam semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu masyarakat India di negara ini menjadi rakan kongsi kerajaan berasaskan konsep 'nambikei' iaitu kepercayaan untuk memastikan program transformasi dapat terus dilaksanakan dan mencapai misi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Katanya, dengan adanya rakan kongsi berkonsepkan 'nambikei', banyak lagi yang boleh dilakukan untuk pembangunan rakyat, termasuk masyarakat India.

"Dengan adanya konsep ini, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. I trust you, you trust me," katanya pada sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves di sini semalam.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan bahawa segala janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), sama ada bagi komuniti India mahupun bangsa lain akan tetap dilaksanakan.

Katanya, seperti mana pentingnya Hari Thaipusam bagi masyarakat Hindu, sebagai hari untuk berhajat dan berdoa untuk kehidupan yang lebih baik, kerajaan juga berharap dapat memberi masa depan yang lebih terjamin dan menambah kualiti kehidupan rakyat.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk membantu kaum India dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi, keagamaan dan masalah kewarganegaraan telah menunjukkan kesan positif kerana bantuan yang dihulurkan jauh lebih besar daripada yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Kita tidak pernah mungkir janji... kalau kita janji untuk melakukan sesuatu, kerajaan BN akan laksanakan," katanya.

Najib berkata, selain pelbagai suntikan yang telah diberikan untuk meningkatkan taraf pendidikan kaum India, kerajaan juga akan meluluskan pembinaan enam buah lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baharu di Selangor, Perak, Kedah dan Johor seperti yang diputuskan pada pertemuan dengan guru-guru besar SJKT baru-baru ini. - BernamaKosmo! Online - Negara:

'via Blog this'