Malah, paling menyedihkan apabila malam mereka tidak dapat tidur lena terutama ketika hari hujan atau air laut pasang kerana bimbang rumah dimasuki air.
Mariamal Mulusami, 45, berkata, apabila hujan atau air pasang, rumah mereka yang terletak berdekatan laut di sini akan dimasuki air.
Katanya, jika keadaan itu berlaku, hanya ruang tengah rumah sahaja yang tidak dinaiki air kerana kedudukan lantainya yang agak tinggi dan bumbung rumah di ruang itu juga tidak bocor.
“Jika air laut pasang, rumah kami selalunya akan dimasuki air kerana faktor kawasan yang rendah.
“Nasib yang sama juga dihadapi ketika hujan, kami tidak dapat tidur lelap malah pernah beberapa kami anak cucu saya ditimpa hujan ketika sedang tidur,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Mariamal bersama suami, Tan Yoke Koo, 50, tinggal di rumah berkenaan bersama lima anak, tiga menantu dan lapan orang cucu.
Mariamal tidak bekerja manakala Tan melakukan pelbagai pekerjaan untuk mendapatkan wang termasuk mencari ketam, mengambil upah menyembur racun dan menjual tin.
Dua anak lelakinya yang masing-masing bekerja sebagai mekanik dan mengambil upah membaiki penghawa dingin banyak membantu keluarga melalui wang bantuan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka.
Katanya, dua anak lelakinya sudah bekerja, bagaimanapun pendapatan mereka masih belum mencukupi untuk menyediakan sebuah rumah yang lebih luas dan selesa kepada mereka semua.
“Sudah banyak pihak datang membuat bancian berkenaan keluarga kami kononnya untuk memberikan bantuan rumah namun, sehingga kini sudah lebih 20 tahun tidak ada sebarang perkembangan positif yang diterima mahupun bantuan.
“Saya sudah penat untuk membuat pelbagai salinan berkaitan maklumat diri dan keluarga untuk diberikan kepada pihak yang hadir untuk membantu. Namun, kepulangan mereka yang kami nanti dengan harapan belum membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian.-SH