Thursday, November 29, 2012

29 maut serangan bom di Jaramana

Penduduk Syria  melihat sebuah trak yang terbakar  selepas dua bom kereta meletup di Jaramana, Damsyik semalam. - APPenduduk Syria melihat sebuah trak yang terbakar selepas dua bom kereta meletup di Jaramana, Damsyik semalam. - AP BEIRUT: Pengeboman berganda di bandar raya Jaramana berhampiran Damsyik yang diduduki kebanyakan penganut fahaman Druz dan Kristian mengorbankan 29 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera, kata Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR).

“Bilangan yang terbunuh akibat dua bom kereta di bandar Jaramana meningkat kepada 29,” kata pemerhati beribu pejabat di Britain itu, mengemas kini angka terdahulu yang menyatakan sekurang-kurangnya 20 maut.
Penduduk berkata, siri serangan bom berlaku jam 6.30 pagi waktu tempatan di Jaramana, lokasi pasukan militia prokerajaan menubuhkan kumpulan bersenjata untuk mempertahankan bandar raya itu daripada serangan pejuang pembebasan Syria.


“Pengganas meletupkan dua bom kereta yang dipenuhi sejumlah besar bahan letupan di dataran utama Jaramana, membunuh dan mencederakan beberapa penduduk dan merosakkan bangunan penempatan dan kedai,” lapor agensi berita SANA.

Gegar Jaramana

Letupan menggegarkan Jaramana pada masa sama dua bahan letupan diletupkan di bandar itu dalam serangan berasingan, kata SANA, walaupun tiada siapa maut dalam letupan itu.

Penduduk bandar itu panik ketika letupan berlaku. Kejadian semalam adalah serangan bom ke-4 di Jaramana sejak 28 Ogos lalu. Pada 29 Oktober bom kereta membunuh 11 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Semalam juga, pesawat tempur melancarkan lima serangan udara dalam masa 15 minit ke atas wilayah Maaret al-Numan di barat laut yang dikuasai pejuang pembebasan ketika tentera dan pejuang bertempur di pintu masuk bandar itu di selatan, kata SOHR. - AFP

'Anak kecil usap mayat ibu'

Yousef Ghaben
Yousef Ghaben
Kuala Lumpur: “Saya lihat anak kecil ini berdiri di sebelah mayat ibunya sambil mengusap kepala ibunya yang disangka masih hidup,” kata wartawan penyiaran sambilan stesen televisyen al-Aqsa, Yousef Ghaben.

Yousef, 26 dari Gaza berkongsi pengalaman mengenai keganasan Israel yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya, selepas melihat sendiri kekejaman rejim Zionis.
Katanya, masyarakat dunia boleh membayangkan begitu dahsyatnya keganasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Gaza tanpa berperikemanusiaan.


“Israel sering menyasarkan untuk membunuh sebanyak mungkin orang awam yang tidak mampu melawan mereka terutama kanak-kanak dan wanita.

“Bukan itu saja, rejim Zionis turut memusnahkan kediaman penduduk, selain infrastruktur negara kami. Setakat ini, dianggarkan lebih 200,000 bangunan sudah dimusnahkan oleh mereka,” katanya ketika ditemui BH sempena lawatan seminggu ke negara ini untuk menerangkan keadaan di Gaza kepada pelbagai pihak.

Baru-baru ini, konflik lapan hari mengorbankan 162 warga Palestin dan lima penduduk Yahudi sebelum Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 22 November lalu.

Yousef berkata, beliau juga tidak dapat melupakan kejadian mengenai seorang doktor tidak mengetahui anaknya menjadi mangsa pengeboman Israel sehingga dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor itu terkejut serta berusaha untuk menyelamatkan nyawa anaknya, tetapi beliau gagal diselamatkan dan saya sedih melihatnya, ” katanya.

Sementara itu, Yousef berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) akan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara berkenaan kerana ia sudah musnah sekarang.

Palestin diramal dapat undi bersejarah di PBB





18-10-12 - 04:32:19 AM 
 
Foto
GAMBAR fail menunjukkan Riyad (tengah), bersama pegawai kanan Palestin membawa kerusi simbolik Palestin ke mesyuarat dengan Pengerusi Perhimpunan Agung PBB, Nassir Abdulaziz Al-Nasser di New York pada 15 September tahun lalu. - Foto AFP
Foto

EKSEKUTIF Pertubuhan pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi (kanan) ketika sidang media di PPB, semalam. Gambar kecil Riyad Mansour, pemerhati Palestin di PBB. - Foto AFP

Sokongan penentu tingkat peluang jadi negara bukan anggota PBB

New York: Rakyat Palestin meramalkan satu pengundian bersejarah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kedudukan Palestin daripada negara pemerhati, kepada status negara bukan anggota di badan dunia itu esok (hari ini). Pengundian dibuat bersempena Hari Perpaduan Antarabangsa bersama Penduduk Palestin, kira-kira seminggu selepas gencatan senjata yang menamatkan serangan Israel selama lapan hari di Semenanjung Gaza.
Pemerhati Palestin di PBB, Riyad Mansour berkata draf terakhir resolusi yang diedarkan kepada negara anggota PBB lewat kelmarin sudah menerima hampir 60 tajaan bersama dan pihaknya menjangka lebih banyak akan diterima menjelang pengundian.

Yakin terima undi majoriti

“Saya yakin majoriti negara akan mengundi menyokong kami kerana penyelesaian dua negara memang mendapat sokongan peringkat global,” katanya.

Kedudukan Palestin untuk diterima sebagai negara bukan anggota dilihat semakin kukuh berikutan sokongan terbaru dari Perancis, Denmark, Switzerland dan beberapa negara Eropah lain yang dilihat sebagai kritikal untuk meningkatkan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.
Amerika Syarikat dan Israel menentang keras resolusi terbabit dan dibimbangi akan memusnahkan harapan Palestin untuk segera meneruskan rundingan dengan Israel bagi menamatkan konflik mereka selama beberapa dekad.

Israel sudah mengatakan mereka tidak akan kembali kepada rundingan selepas undian terbabit dan percaya ia sebaliknya menyukarkan harapan untuk satu rundingan damai.

Tiada undi veto

Tidak seperti Majlis Keselamatan, tiada undi veto pada Perhimpunan Agung dan resolusi berkenaan pastinya akan diluluskan.

Badan dunia 193 negara anggota itu dikuasai kebanyakannya oleh negara yang bersimpati kepada Palestin dan resolusi berkenaan hanya memerlukan undian majoriti untuk diluluskan.

Bagaimanapun, undian untuk meningkatkan status Palestin di PBB tidak menjamin pengiktirafannya sebagai sebuah negara Palestin, sesuatu yang perlu dilakukan secara dua hala. - AP

Yingluck terselamat daripada undi tidak percaya




YINGLUCK


BANGKOK - Seperti dijangka, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra terselamat daripada usul undi tidak percaya di Parlimen semalam.
Disebabkan kerajaan memiliki hampir dua pertiga majoriti daripada 493 perwakilan di Parlimen, beliau memperoleh 308 undi tidak menyokong berbanding 159 undi menyokong, manakala empat anggota Parlimen, berkecuali.
Ini merupakan kali pertama Yingluck berdepan usul tidak percaya sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, Ogos tahun lepas.
Dalam usul tidak percaya, pemimpin pembangkang, Abishit Vejjajiva mendakwa Yingluck tidak cekap, gagal mentadbir negara dan tidak mengotakan janji beliau kepada Parlimen dan rakyat.
Abhisit, bekas perdana menteri sebelum Yingluck juga menuduh Yingluck mengamalkan diskriminasi dan rasuah, tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan mengelak tanggungjawab kepada Parlimen.
Semasa perbahasan usul itu, Yingluck diasak dengan dakwaaan penyelewengan dalam skim bantuan padi, belanjawan tindakan banjir dan gagal menguatkuasakan undang-undang cegah rasuah.
Pihak pembangkang juga mengambil kesempatan menyebarkan dakwaan mengenai kelemahan perdana menteri yang dikatakan amat bergantung kepada maklum balas bertulis yang disediakan pembantunya, semasa menjawab soalan.
Selain Yingluck, Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubamrung, Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chatt Kuldilok turut berdepan undi tidak percaya.
Chalerm terselamat daripada usul itu dengan meraih 287 undi menentang dan 157 undi menyokong, Sukampol (284 menentang, 160 menyokong) dan Chatt (284 menentang, 182 menyokong). - Bernama