Saturday, May 28, 2011

Semua tangki air perlu dipasang palang besi yang diskru ketat

KESELAMATAN LEBIH KETAT: Majlis bandaran dan pemilik serta pengurus bangunan dikehendaki memasang palang besi seperti ini, yang diskru ketat pada tangki air supaya ia tidak boleh dibuka dengan mudah, menjelang 1 Julai. -- Foto PUB


SINGAPURA
TANGKI yang menyimpan air minuman di semua bangunan kini perlu dipasang palang besi yang diskru ketat pada tangki itu sebagai langkah meningkatkan lagi tahap keselamatan tangki sedemikian.
Ini perlu dilaksana majlis bandaran serta pemilik dan pengurus bangunan menjelang 1 Julai.Dalam satu taklimat media semalam, Pengarah Rangkaian 3P agensi air negara, PUB, Encik George Madhavan, berkata langkah itu merupakan usaha tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan tangki dan bekalan air.'PUB memandang serius kesilapan keselamatan yang berlaku di Blok 686B, Woodlands Drive 73, dan kami menghen daki semua majlis bandaran, jawatankuasa pengurusan hak milik strata (MCST) dan pemilik bangunan mengambil langkah lebih terperinci bagi meningkatkan keselamatan tangki menyimpan air dan menjamin keselamatan bekalan air,' ujarnya.Pada 16 Mei lalu, mayat seorang pembantu rumah warga Indonesia ditemui dalam salah sebuah tangki air di bumbung Blok 686B, Woodlands Drive 73.Selain palang besi pada setiap tangki air, PUB turut menggariskan dengan lebih terperinci beberapa langkah lain yang harus dilaksana, termasuk mengehadkan kakitangan yang dibenarkan ke kawasan tangki air dan boleh mengambil kunci bagi kawasan serta penutup tangki air.PUB telah juga menetapkan hanya mangga berkualiti tinggi dan kunci yang tidak boleh diduplikasi digunakan bagi pintu ke kawasan tangki air dan penutup tangki air.Encik Madhavan berkata PUB akan bekerjasama dengan majlis bandaran, MCST dan pemilik bangunan untuk menilai apa lagi yang boleh dilakukan bagi meningkatkan keselamatan tangki air, termasuk penggunaan sistem penggera atau pantauan dari jauh.
Cyberita Online Singapura

Pembangkang Bhutan: Undang-undang antimerokok 'gila'

NEW DELHI: Seorang pemimpin pembangkang Bhutan semalam mengecam undang-undang antimerokok negara itu dan menyifatkannya sebagai 'gila' selepas tiga lagi orang dipenjarakan kerana memiliki rokok.

Pada 2005, negara itu telah melarang penjualan tembakau.
Tahun lalu, ia telah mengetatkan lagi undang-undang itu bagi menangani masalah penyeludupan tembakau.Para pelanggan perlu mendapatkan resit kastam yang sah bagi produk tembakau dan rokok.Dalam laman blognya yang bertarikh 26 Mei lalu, pemimpin pembangkang Bhutan, Encik Tshering Tobgay, berkata sebuah mahkamah di daerah Paro telah menjatuhi hukuman tiga tahun penjara ke atas tiga lelaki selepas mereka didapati memiliki rokok yang tidak diisytiharkan di lapangan terbang.'Jenayah mereka: Mereka ditangkap kerana menyeludup tiga paket rokok.'Saya menyifatkan Akta Pengawal Tembakau sebagai tindakan kuku besi. Ia lebih teruk. Ia satu tindakan gila,' tulis beliau.Menurutnya, ada ramai lagi orang yang kini ditahan dalam penjara ekoran kesalahan yang sama.Pada Mac lalu, seorang sami Buddha menjadi orang pertama dipenjarakan selama tiga tahun di negara itu di bawah undang-undang antimerokok.Sonam Tshering didapati bersalah menyeludup 48 paket tembakau bernilai AS$2.50 ($3.09) dari India tanpa mengisytiharkannya kepada kastam.Perokok di Bhutan dihadkan memiliki 200 batang rokok atau 150 gram produk tembakau setiap bulan, yang diimport secara sah.Mereka bagaimanapun perlu membayar cukai 100 peratus jika produk itu diimport dari India atau 200 peratus jika diimport dari negara lain.Bhutan merupakan salah satu negara paling terpencil di dunia dan terletak di antara India dengan China.Negara itu telah mengadakan pilihan raya demokratik yang pertama pada 2008.Apabila Akta Pengawalan Tembakau diperkenalkan, ia telah mencetuskan bantahan, termasuk yang dilancarkan oleh golongan muda di laman Facebook. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Dua beranak ikat perut 20 hari




GEORGETOWN - Antara pengalaman yang tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat, mengikat perut selama 20 hari akibat terputus bekalan makanan berikutan tiada wang dengan menjamah baki ‘biskut kering’ yang tinggal.

Abdul Rahim Batcha, 75, mengakui, kehidupannya bersama anak tunggalnya, Zarina Abdul Rahim, 32, bertambah parah apabila dia terpaksa berhenti kerja sebagai anak kapal di sebuah syarikat di Kuala Lumpur kerana faktor usia sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penderitaannya bertambah apabila Zarina disahkan mengidap penyakit jantung sejak 2008 dan berulang alik ke klinik kerajaan terdekat bagi mendapatkan rawatan.

“Kami terpaksa menjalani kehidupan dalam serba kekurangan sejak lapan tahun lalu dan kini hidup menumpang di bilik di bahagian atas ini rumah ini (Kampung Dodol, Jalan Perak). Saya pernah mengambil upah sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran dengan bayaran RM25 sehari namun hanya bertahan selama lebih setahun kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu.

“Saya menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak 2004 sebanyak RM300 sebulan. Dengan jumlah itu juga saya membayar wang sewa rumah malah tiada baki bagi saya membeli keperluan makanan dan hanya bergantung kepada upah mencuci pinggan,” katanya ketika ditemui.

Rahim berkata, dia kini tidak lagi bekerja berikutan tiada majikan yang mahu mengambilnya bekerja memandangkan usianya sudah tua selain pernah memohon kerja sebagai pengawal keselamatan namun permohonannya ditolak.

“Jika tiada wang, saya dan Zarina akan berjalan kaki ke klinik yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat tinggal malah saya sering berjalan kaki jika hendak ke sesuatu tempat kerana tidak mempunyai wang tambang,” katanya.

Menurutnya, dia juga pernah berulang alik ke pejabat Kerajaan Negeri sejak dua bulan lalu bagi mendapatkan permohonan mendiami rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) namun sehingga kini, dia dan anaknya masih menunggu.

Walaupun tidak pernah gagal membayar sewa rumah di Jalan Terengganu, Rahim dan anaknya terpaksa berpindah kerana pemilik rumah mahu mengambil semula rumah berkenaan dan menyebabkan mereka hilang arah tanpa tempat tinggal malah mengharapkan ihsan rakan serta jiran bagi membeli keperluan makanan.

“Dengan dibantu seorang lelaki yang tidak dikenali, lelaki itu meminta rakannya membenarkan kami menumpang di sebuah bilik bahagian atas rumahnya tanpa dikenakan bayaran sejak minggu lalu.

“Jika permohonan rumah PPRT tidak layak, harap mereka dapat maklumkan. Mujurlah pemilik rumah ini baik hati dan membenarkan saya tinggal di sini sehingga mendapat rumah lain, namun saya risau nasib anak saya nanti jika saya tiada lagi kerana kami tiada saudara mara manakala isteri saya sudah meninggal dunia sejak 15 tahun lalu,” katanya.

Bagi orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan, boleh menghubungi Rahim di talian 012-4816236 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0710029000377681 (Abdul Rahim Mohamed Batcha).
SH

Nik Aziz akan raikan 200 ahli Umno sertai PAS


SELAYANG, 27 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan meraikan hampir 200 ahli Umno yang menyertai PAS malam ini di Kampung Setia, Kuang.

Hampir 200 ahli Umno dijangka akan menyerahkan borang menyertai PAS malam ini kepada beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu.

Ia akan diketuai oleh bekas Ketua Umno cawangan Kampung Setia, Mat Senin Mat Lana.

Mat Senin telah lebih 10 tahun mengetuai Umno cawangan di situ dan beliau juga adalah pengasas kampung Kuang itu sendiri.

Fenomena kemasukan ahli dan pemimpin Umno tempatan ini menjadi rancak apabila kampung jiran mereka, Rahmat Jaya, Kuang memilih seorang wanita untuk mengetuai cawangan PAS di situ.

PAS mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita menjadi ketua cawangannya yang pertama iaitu Puan Eisah A Wahid, 53, untuk PAS Cawangan Rahmat Jaya, Kuang.

Malam ini, kesemua mereka akan diraikan sendiri oleh Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan ini.
Nik Aziz akan raikan 200 ahli Umno sertai PAS

Video seks dimuat naik di 5 negara


ISTANBUL 27 Mei – Siasatan awal pihak berkuasa Turki terhadap skandal video seks yang memaparkan pemimpin Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) mendapati ia dimuat naik daripada lima komputer berlainan di lima negara.

Menurut laporan akhbar Vatan, negara tersebut ialah Amerika Syarikat, Jerman, Greek Cyprus, Belanda dan Portugal.
Sepuluh orang pemimpin MHP meletak jawatan setelah diugut disebarkan video skandal seks mereka setelah video memaparkan Timbalan Pengerusi MHP, Mehmet Ekici melakukan aksi seks dengan wanita bukan isterinya disiar dalam talian.
Pejabat Pendakwa Raya Ankara, yang melancarkan siasatan ke atas sumber video-video selepas laporan polis difailkan oleh Ekici dan lima mangsa yang lain iaitu Deniz Bölükbasi, Ümit Safak, Recai Yildirim, Osman Çakir dan Metin Çobanoglu.
Bagaimanapun, pejabat pendakwa raya tersebut memutuskan kes itu diluar bidang kuasanya dan merujukkan kes tersebut kepada Pejabat Pendakwa Khas Istanbul untuk tindakan lanjut.
Sumber-sumber yang rapat dengan siasatan berkata, mereka kini memohon bantuan pihak berkuasa AS dan negara-negara Eropah di mana video itu dimuat naik.
Sementara itu, Pengerusi MHP, Devlet Bahceli mendakwa, kumpulan yang sama menjadi dalang dalam skandal serupa membabitkan Parti Republik Rakyat (CHP) tahun lalu, yang menyebabkan ketuanya, Deniz Baykal meletak jawatan.
‘‘Kumpulan itu mahu membentuk MHP mengikut kepentingan mereka sendiri. Langkah seterusnya ialah membentuk semula Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP),’’ kata Bahceli.
Kenyataan Bahceli itu senada dengan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang juga pengerusi AKP yang mendakwa wujud kumpulan terancang dalam ‘operasi membentuk semula pentadbiran MHP’.
Erdogan juga meminta kepimpinan MHP dan akar umbi parti itu supaya memberi sokongan kepada AKP dalam usahanya membongkar kumpulan sulit dan rahsia yang merosakkan politik Turki. – AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kerana belalang, padi dibakar



SLEMAN, Yogyakarta - Para petani di Dusun Kasuran, Kampung Margomulo, bertindak membakar bendang mereka ekoran mendapat hasil tuaian yang sedikit akibat serangan belalang berkaki coklat (WBC).
Serangan serangga tersebut menyebabkan petani gagal menuai tanaman padi mereka.
Seorang daripada petani tersebut, Sadi Utomo, 80, memberitahu HarianJogja.com, serangga itu akan menyerang padi yang berusia 60 hingga 70 hari dan menyebabkan tanaman tersebut menjadi kering serta tidak berbuah.
"Tanaman padi saya tidak pernah diserang WBC dan kini hanya mampu menuai kira-kira satu guni beras," kata Utomo sambil menjelaskan ia merupakan serangan paling teruk.
Sebelum ini, Utomo yang memiliki petak sawah seluas 1000 meter persegi, pada kebiasaannya dapat menuai enam kuintal padi (600 kilogram) setiap kali musim menuai. - AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Rachel Corrie ibarat 'penjara terapung'



KAPAL 'The Spirit of Rachel Corrie' menurunkan sauh untuk mengisi bekalan air bersih sementara menunggu kebenaran berlabuh di Pelabuhan Al Arish, Mesir hari ini. Kapal ini ditahan sejak 16 Mei lalu selepas diberi tembakan amaran oleh tentera laut Israel kerana melalui perairan Gaza dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan anjuran Perdana Global Peace Foundation (PGPF) ke Palestin. - Foto Rosdan Wahid

AL ARISH (Mesir): Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang hampir dua minggu terkandas di di sini tidak ubah seperti 'penjara terapung' bagi tujuh penumpang yang berada di atas kapal misi kemanusiaan itu berbanding lima krew yang sudah biasa dengan kehidupan dan resam laut.


Terkandas di Al Arish sejak 16 Mei lalu, kapal kargo yang dikemudi Kapten Abdul Jalil Mansor hanya beberapa kali berlayar dalam jarak singkat termasuk cubaan kedua menghala ke Gaza, Isnin lalu, sebelum terpaksa berpatah balik kerana kerosakan teknikal pada enjin dan kemudi.

Selebihnya, kapal kargo yang dinaiki 12 penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia itu melabuhkan sauh di kawasan menunggu pelabuhan Al Arish ketika kapal lain, silih berganti berlabuh bagi menurunkan penumpang dan kargo.
Dengan kata lain, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) setia menunggu kelulusan pihak berkuasa Mesir yang sehingga semalam belum memberi lampu hijau untuk kapal itu berlabuh, sekali pun kelulusan Kementerian Luar Mesir sudah diperoleh beberapa hari lalu.

Kapten Abdul Jalil, 56, berkata tekanan mula dirasai sebahagian besar penumpang kapal kargo itu terdiri daripada aktivis keamanan dan wakil media walaupun mereka tetap tabah dan bersemangat untuk menyempurnakan misi kemanusiaan itu.

"Kita masih tunggu kebenaran untuk masuk, tapi dalam keadaan menunggu terasa bosan juga dan kita kena buat sesuatu supaya moral anak kapal (dan penumpang) tidak turun," kata kapten kapal kargo itu ketika dihubungi dari daratan Al Arish.

Sejak terkandas di situ, kapal kargo terbabit beberapa kali mengalami kekurangan bekalan air bersih untuk kegunaan harian seperti mandi, mencuci dan kegunaan enjin kapal sehingga menyebabkan mereka yang berada di atasnya terpaksa menggunakan air laut dan air mineral bagi menampung keperluan harian.
“Kami terpaksa cedok air laut menggunakan tali yang diikat dengan botol air yang dihantar ke kapal sebelum ini, dari segi bekalan makanan tiada masalah," kata Iskandar Alang Bendahara, 36, wartawan The New Straits Times yang turut berada di atas kapal kargo itu.

Seorang lagi wakil media, Mohd Faizal Hassan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memberitahu mereka mencatu kegunaan air bersih dengan sebahagian besar pakaian mereka tidak dibasuh.

“Jangan lupa beritahu Tan Sri Samsudin Hitam (ketua misi PGPF di daratan) untuk membelikan kami pakaian baru, semuanya (pakaian) tak terbasuh sebab masalah air bersih,” katanya.

Kelmarin, kapal kargo itu menerima bekalan air bersih seberat dua tan lebih yang dijangka bertahan sehingga Ahad ini.

Abdul Jalil berkata kebanyakan penumpang bukan pelaut terpaksa belajar ‘untuk hidup’ dan menyibukkan diri bagi mengurang tekanan mental.
Berita Harian Online | Rachel Corrie ibarat 'penjara terapung'

'Bawa anak saya pulang'

MARYAM bersama suami, merayu bantuan membawa anak mereka pulang.
MARYAM bersama suami, merayu bantuan membawa anak mereka pulang.
Ibu sedih janda beranak tiga hidup terseksa di Lombok

KUALA NERANG: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi membawa pulang anak perempuannya yang didakwanya hidup terseksa akibat didera dan hanya makan ubi kayu rebus di Lombok, Indonesia, selepas mengikut teman lelakinya, kira-kira dua tahun lalu.
Maryam Kasim, 49, dari Kampung Kuala Pai di sini, sering menangis setiap kali terkenangkan nasib anaknya yang juga janda beranak tiga, Zarina Abu Bakar, 30.
Malah, Maryam mendakwa anaknya menjadi mangsa janji kosong apabila hasrat berkahwin dengan lelaki dikenali Helmi, 30, tidak kesampaian selepas Zarina melahirkan anak hasil hubungan sulit itu.

“Saya sedih apabila dia menelefon dan memberitahu hanya makan ubi kayu rebus dicicah dengan air asam setiap hari.

“Zarina ke Lombok awal September 2009 mengikut teman lelakinya kerana dia berjanji akan mengahwini anak saya sebaik sampai di sana nanti. Zarina ada tiga anak berusia 6 hingga 10 tahun.

“Dia kata dia jatuh cinta dengan lelaki itu yang dikenalinya tidak sampai sebulan di Negeri Sembilan. Pujuk rayu lelaki itu menyebabkan Zarina mengikutnya ke kampungnya di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamatan Sipur,” katanya ketika ditemui, semalam.
Maryam berkata, selepas bercerai, Zarina ke Negeri Sembilan pada September 2009 untuk mencari kerja dan berkenalan dengan lelaki itu yang bekerja di FELDA di Bahau sebelum mengikutinya ke Lombok sebulan kemudian atas alasan untuk berkahwin.

Bagaimanapun, kata Maryam, impian Zarina bersuamikan lelaki itu berkecai apabila kekasihnya membatalkan hasrat mengahwininya selepas Zarina melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungan sulit mereka.

“Bayi itu kini berusia lima bulan dan dipelihara keluarga lelaki itu dengan baik. Setiap kali dia memberitahu makan ubi kayu yang dicicah dengan air asam, air mata saya bercucuran kerana pilu mengenang nasibnya di tempat orang.

“Kami bukan orang senang tetapi masih makan nasi setiap hari, selain itu Zarina juga mendakwa dia dipukul.

“Saya sangat berharap kepada mana-mana pihak dapat membantu membawa balik Zarina ke negara ini,” katanya.Berita Harian Online | 'Bawa anak saya pulang'

Jual rumah, ikat perut tiada projek


28,588 kontraktor Kelas F bakal gulung tikar


GEORGETOWN: Seramai 28,588 kontraktor Kelas F di seluruh negara kini dalam kesempitan sehinggakan ada yang terpaksa menjual rumah manakala ramai lagi mungkin gulung tikar kerana tidak mendapat sebarang projek baru.
Malah, sejak 2005 hingga sekarang, hampir 7,000 kontraktor sudah bankrap dan sebahagian besar yang lain kini dalam keadaan ‘hidup segan mati tidak mahu.’
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamad Fadzill Hassan, berkata masalah kekurangan projek amat ketara sejak dua tahun lalu dan ia makin terasa di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, khususnya Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kontraktor Kelas F, merayu kerajaan prihatin dengan nasib kontraktor Kelas F yang majoritinya menyokong kerajaan.

“PKMM amat sedih dengan nasib kontraktor Kelas F yang tidak mendapat projek sehinggakan ada yang terpaksa menjual rumah untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya kepada Berita Harian.

Mohamad Fadzill yang juga Yang Dipertua PKMM Pulau Pinang, berkata biarpun kontraktor amat teruja apabila kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang membabitkan projek bernilai puluhan bilion ringgit, tetapi pada hakikatnya kontraktor Kelas F terpaksa terus ‘ikat perut’ kerana tiada projek baru untuk mereka.
“Persatuan amat berharap agensi ditubuhkan oleh kerajaan seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melihat masalah dihadapi kontraktor Kelas F ini,” katanya.

Beliau turut memberi contoh pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar, yang tidak dinikmati oleh kontraktor Kelas F.

Katanya, walaupun ada komitmen untuk memberi peratusan tertentu kerja bagi projek berkenaan kepada kontraktor Kelas F, ia tidak menjadi kenyataan.

Mohamad Fadzill berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan sewajarnya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 bilion nilai projek untuk menampung keperluan kontraktor Kelas F di seluruh negara.

Sementara itu, seorang kontraktor Kelas F mengakui nasib mereka kini amat kronik dan ada yang terpaksa berhempas-pulas meneruskan hayat operasi ketika yang lain gulung tikar.

Pemilik syarikat Ishak Mat Abu Enterprise, Ishak Mat Abu, berkata beliau sendiri dihimpit masalah itu apabila syarikatnya yang berpangkalan di Raub, Pahang, tidak menerima sebarang projek, tahun lalu.

“Tahun ini, cuma ada satu projek. Ini memberi kesan kepada kami terutama kontraktor baru dan masalah ini boleh dikatakan agak kronik,” katanya ketika dihubungi.

Bekas kontraktor kelas F, Sarizat Mohd Nor, 39, dari Seberang Prai di sini, pula terpaksa menjual kuih selepas syarikatnya ditutup kerana kekurangan projek beberapa tahun lalu.

Sarizat yang memiliki Alternative Telecomunications and Construction, menutup syarikatnya selepas kerugian akibat tidak mendapat projek kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Lazimnya ada kontraktor berpakat semasa sendiri menentukan jumlah harga sesebuah projek. Mereka bermain dengan harga dan pihak yang meluluskan projek hanya memilih kontraktor berkenaan.

“Ini menyebabkan kontraktor baru susah mendapat projek dan ada yang gulung tikar seperti saya. Kebanyakan kontraktor Kelas F juga tidak mampu membuat pusingan modal mereka dan pihak memberi pinjaman seperti bank pula mengenakan syarat ketat.

“Mungkin kerajaan boleh meminta bank melonggarkan syarat pinjaman dan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menghulurkan bantuan,” katanya.
Berita Harian Online | Jual rumah, ikat perut tiada projek

Strauss-Kahn bergelar Genghis Khan



Michelle Conti (kiri) dan  Dominique Strauss-Kahn
Michelle Conti (kiri) dan Dominique Strauss-Kahn

Aktres filem lucah dedah nama manja bekas Pengarah Urusan IMF di ranjang

NEW YORK: Seorang aktres filem lucah membuat pendedahan terbaru bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, iaitu aksinya dengan dua wanita selain diberi gelaran Genghis Khan di ranjang.
Michelle Conti, 38, berkata Strauss-Kahn berbual dengannya dan seorang rakan di sebuah kelab pelacuran Paris.
Akhbar The Sun melaporkan, wanita berambut coklat yang membintangi filem lucah seperti Natasha Kiss berkata dia dan bapa anak empat itu bertemu lagi untuk aktiviti seksual bersama seorang lagi rakannya.

Michelle mendedahkan nama panggilan manja untuk Strauss-Kahn adalah Genghis Khan, dan menekankan lelaki itu sentiasa berlembut dan manis.

“Saya masih ingat pelukan hangat dan layanan mesranya,” kata Michelle.

Tokoh perbankan berusia 62 tahun itu kini menanti perbicaraan di New York digelar monyet mengawan oleh wanita Perancis, tetapi Michelle mempertahankan lelaki itu dengan mengatakan Strauss-Kahn bukan seperti anjing yang meleleh air liur.
“Strauss-Kahn tidak perlu merogol wanita. Jika mahu, beliau boleh membayar untuk dapatkan teman,” tambahnya.

Sementara itu, Strauss-Kahn sudah meninggalkan kediaman sewa di mana beliau diletakkan dalam tahanan rumah dan berpindah ke apartmen mewah bernilai £8 juta (RM35 juta).

Penthouse mewah dilengkapi panggung wayang, pusat kecergasan dan spa terletak di kawasan Lower Manhattan, New York.

Bekas ketua IMF itu diikat jamin £3.7 juta (RM18.3 juta), turut ditemani isterinya yang juga wartawan Perancis, Anne Sinclair.

Dalam perkembangan lain, pembocoran maklumat mengenai DNA ditinggalkan Strauss-Kahn semasa serangan seksual berlaku dan disiarkan media turut menyebabkan pertengkaran antara peguam bela dan pendakwa mengenai dakwaan media memanipulasikan isu itu.

Peguam utama Strauss-Kahn, Benjamin Brafman, menulis kepada pendakwa bagi mengadu mengenai dakwaan polis membocorkan maklumat yang boleh menjejaskan keadilan dalam perbicaraan.

Beliau memberi amaran, pihaknya juga boleh memberikan maklumat serius yang akan merosakkan kredibiliti pengadu kes berkenaan. – Agensi Berita Harian Online | Strauss-Kahn bergelar Genghis Khan

Schwarzenegger hadapi siasatan jenayah



 SCHWARZENEGGER di sisi poster filem Terminator pada tahun 2003.
SCHWARZENEGGER di sisi poster filem Terminator pada tahun 2003.

Bekas Gabenor California dituduh guna dana pembayar cukai sorok penipuan, skandal

LOS ANGELES: Pelakon terkenal Amerika Syarikat, Arnold Schwarzenegger mungkin berhadapan dengan siasatan jenayah atas tuduhan beliau menggunakan dana pembayar cukai untuk menyorokkan penipuan dan skandal ketika menjadi gabenor California.
Peguam Negara akan melihat dakwaan itu yang turut merangkumi perbuatannya menggunakan kakitangan untuk menyembunyikan hubungan sulitnya, lapor laman web Amerika.
Seorang bekas anggota polis yang juga ketua keselamatan di Hotel Sacramento Hyatt Regency, William Taylor, berkata Schwarzenegger, 63, menggunakan pegawai pengawal lebuh raya untuk menyeludup masuk wanita ke suite penginapannya.

Bekas bintang filem Terminator itu berpisah dengan isterinya Maria Shriver, 55, selepas mendapati beliau mempunyai anak luar nikah, Joseph, 13, dengan pembantu rumahnya, Mildred Baena, 50.

“Tiga kali selepas gabenor tiba bersendirian, Perkhidmatan Perlindungan Pemimpin CHP tiba dengan kereta rasmi bersama seorang atau dua wanita dewasa.

“Mereka bergegas mengiringi wanita itu menerusi pintu masuk ke lif menuju ke suite persendirian gabenor itu. Umur mereka antara 18 hingga 25 tahun, berambut perang dan memakai pakaian seksi seperti ke kelab.
“Mereka berada di sana dua hingga empat jam. Ini membuatkan saya sangat marah hanya memikirkan apa yang terjadi,” katanya.

Taylor mendakwa, tiada sesiapa pun bersuara kerana khuatir dipecat. Polis dan sumber rapat dengan bekas gabenor itu menafikannya.

Dakwaan itu umpama skandal ‘Troopergate’ yang menjatuhkan bekas Presiden Bill Clinton apabila dua anggota polis Arkansas mendakwa menguruskan teman seks kepada ahli politik itu semasa beliau menjadi gabenor negeri berkenaan. – Agensi Berita Harian Online | Schwarzenegger hadapi siasatan jenayah

Tukang urut Blair nafi hubungan seks


pix_gal0
LONDON: Seorang perunding gaya hidup, Carole Caplin, menafikan mengadakan hubungan seks dengan Tony Blair selepas mengurutnya, dalam samannya terhadap sebuah akhbar ketika prosiding di Mahkamah Tinggi, di sini kelmarin.

Akhbar The Telegraph melaporkan, Caplin, yang juga rakan lama Cherie Blair, menegaskan beliau bukanlah jenis suka menggoda sebagai tukang urut dan tidak terbabit dengan sebarang perlakuan tidak senonoh semasa mengurut bekas perdana menteri itu
Penasihatnya, David Price, juga berkata Caplin tidak bertindak sebagai penasihat peribadi dalam perkahwinan keluarga Blair. Caplin membuat penafian luar biasa itu ketika menyaman akhbar itu yang dituduh memfitnahnya.
Beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap persoalan akhbar itu sama ada beliau bercadang untuk menutup rahsia seks Blair dan Cherie.

Caplin adalah penasihat gaya hidup dan jurulatih kecergasan Cherie sepanjang bekas Wanita Pertama itu berada di Downing Street.

Beliau mengundang kontroversi pada November 2002 apabila seorang lelaki penipu warga Australia yang juga teman lelakinya, Peter Foster, berunding mendapatkan potongan harga £69,000 (RM342,847) untuk membeli dua pangsapuri di Bristol bagi pihak Cherie.

Artikel yang diterbitkan Daily Mail pada September lalu, turut menyarankan Caplin mungkin menimbang untuk menjual cerita selama 10 tahun berkhidmat dengan pasangan Blair, selepas gimnasiumnya menghadapi masalah kewangan.
Beliau dilaporkan menolak tawaran £1 juta (RM4.9 juta) untuk mendedahkan cerita 10 tahun itu. Menurut laporan, Caplin sering memberikan Tony urutan leher dan memanggilnya dengan nama manja ‘Toblerone.’

Artikel itu turut mendedahkan komen Ian Monk, bekas pegawai publisitinya, yang berkata: “Masalahnya ialah anda tidak akan dapat menampilkan beliau dalam televisyen kerana sentiasa ada sesuatu mengenai Tony dan urut, dan beliau tidak mahu menceritakannya. – Agensi Berita Harian Online | Tukang urut Blair nafi hubungan seks

Cut Tari digosip tidak tinggal dengan suami




CUT TARI dan suaminya, Johannes Yusuf Subrata.


JAKARTA - Aktres dan pengacara popular, Cut Tari yang pernah mengaku dia adalah wanita yang melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki mirip penyanyi Peterpan, Ariel dalam satu klip video tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya, Johannes Yusuf Subrata, lapor laman Detikhot semalam.
Cut Tari yang berusia 33 tahun itu juga didakwa sudah beberapa bulan tidak muncul bersama suaminya di tempat awam atau majlis formal hiburan.
Khabar angin tentang perpisahan Cut Tari dan Yusuf timbul selepas tempat tinggal pasangan itu di Pondok Kelapa 12, Jakarta Timur seperti tidak berpenghuni.
Suami Cut Tari itu kini dipercayai tinggal bersama anak tunggal perempuan mereka di sekitar Kemang, Jakarta Selatan.
Yusuf selama ini memberi sokongan kepada Cut Tari sehingga dia berusaha untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina mereka sejak tahun 2004.
Cut Tari menggemparkan Indonesia Jun 2010 apabila mengaku bahawa dia merupakan wanita yang melakukan hubungan seks dengan lelaki mirip Ariel dalam satu klip video.
Ariel kemudian dihukum penjara tiga tahun enam bulan kerana didapati bersalah mengedar bahan pornografi yang melibatkan Cut Tari dan wanita mirip kekasihnya, Luna Maya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia