Showing posts with label langgar. Show all posts
Showing posts with label langgar. Show all posts

Wednesday, April 13, 2011

Langgar syarat parol




SEORANG  bekas tahanan penjara yang  mengikuti program parol  menjalankan kerja di ladang ternakan lembu.
SEORANG bekas tahanan penjara yang mengikuti program parol menjalankan kerja di ladang ternakan lembu.


3 peratus terpaksa kembali jalani baki hukuman dalam penjara 


KLUANG: Peluang kembali ke pangkuan masyarakat lebih awal menerusi pelaksanaan sistem parol masih gagal dimanfaatkan kira-kira tiga peratus banduan yang dipilih menyertai program terbabit di seluruh negeri ini sejak 2008, apabila mereka dikesan melanggar syarat yang ditetapkan.
Kegagalan mematuhi syarat parol menyebabkan banduan terbabit terpaksa kembali menjalani baki hukuman dalam penjara, berbanding status sebagai Orang Diparol (ODP) yang membolehkan mereka hidup di kalangan masyarakat sambil melakukan pelbagai pekerjaan halal yang sesuai bagi menyara kehidupan.
Sejak dilaksanakan mulai 2008, seramai 289 banduan dipilih sebagai ODP, tetapi kira-kira tiga peratus daripada mereka dikesan melanggar syarat parol seperti kegagalan ujian kencing kerana kembali terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta mematuhi arahan berada dalam rumah mengikut masa yang ditetapkan. 


Pengarah Parol Johor di Jabatan Penjara Malaysia, Raha Jawahir, berkata berdasarkan jumlah kecil banduan yang gagal mematuhi syarat parol ditetapkan, secara umumnya Johor adalah antara negeri yang berjaya dalam melaksanakan program itu. 


“Setakat ini, 249 ODP berjaya menjalani tempoh parol seperti ditetapkan Lembaga Parol. Ketika ini, ada 21 ODP sedang menjalani program terbabit di seluruh negeri di bawah pemantauan lima Pejabat Parol Daerah. 


“Secara umumnya, seramai 12 banduan menamatkan parol pada 2008, meningkat kepada 79 pada 2009 dan 146 orang pada tahun lalu. Sehingga 29 Mac tahun ini, seramai 12 orang ODP bebas sepenuhnya," katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di sini, semalam. Turut hadir Timbalannya, Murad Daud. 
Parol antara lain bermaksud pelepasan seseorang banduan untuk menjalani sebahagian daripada hukuman yang dijatuhi terhadapnya di luar penjara mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Lembaga Parol yang terdiri daripada sekumpulan pegawai yang dilantik Yang Di Pertuan Agong. 


Raha berkata, antara syarat banduan yang layak dipertimbangkan menjalani parol adalah mereka yang dijatuhi hukuman lebih daripada setahun dan sudah menjalani sekurang-kurangnya separuh daripada hukuman di penjara melalui fasa pemulihan. 


“Contohnya, banduan yang jika dikenakan hukuman penjara tiga tahun, layak menjalani perintah parol selama enam bulan sekiranya sudah memenuhi syarat ditetapkan," katanya. 


Raha berkata, pesalah kes jenayah berat seperti bunuh, rogol, culik, pengedaran dadah serta tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak layak mendapat peluang menyertai sistem parol yang dilaksanakan itu. 


Beliau berkata, penyeliaan dan pemantauan ODP dilakukan Pegawai Parol Daerah yang berkaitan menerusi panggilan telefon, lawatan ke rumah dan tempat kerja secara mengejut pada bila-bila masa termasuk pada waktu malam. 


“Malah, ODP juga boleh diarah menjalani ujian kencing terutama bagi pesalah dadah serta menjalani program pemulihan lanjutan yang ditetapkan selain dirujuk kepada agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama serta lain-lain agensi," katanya. 

Tuesday, December 14, 2010

Tiada pelanggaran Planet Nibiru dan bumi


14/12/2010 3:48pm

KUALA LUMPUR — Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa Planet X atau Planet Nibiru akan melanggar Bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata Agensi Angkasa Negara (Angkasa) telah bekerjasama dengan agensi angkasa lepas antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi menjalankan pemantauan berhubung dakwaan tersebut.
"Pihak NASA telah mengatakan bahawa tiada bukti sahih tentang kewujudan Planet Nibiru dalam pencerapannya. Setakat ini tiada satu pun objek dalam angkasa lepas yang dikenal pasti membeli ancaman kepada Bumi secara langsung.
"Sekiranya kewujudan planet itu sahih, ia akan dapat dilihat dengan mata kasar dan pastinya ahli astronomi akan buat pemantauan objek tersebut kerana semakin menghampiri bumi seperti yang dikatakan,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara di Parlimen, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Shamsudin Mehat tentang pendirian kerajaan berhubung dakwaan tersebut.
Dakwaan berhubung Planet Nibiru akan melanggar Bumi mula dibangkitkan pada tahun 1995 namun semakin hangat dibincangkan oleh orang ramai terutamanya di internet sejak tahun lepas. - Bernama

Tuesday, November 30, 2010

Kes Aminulrasyid: Saksi kejar mangsa tuntut ganti rugi



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/11/30

Kereta Aminulrasyid langgar kenderaan lain sebelum dipecut laju 

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu, kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, pada hari dia mati ditembak, bukan saja dikejar kereta peronda polis, malah oleh beberapa penunggang motosikal.
Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau dan dua rakannya mengejar kereta itu selepas ia melanggar kereta milik seorang rakannya bernama Syafiq.
“Saya dan dua lagi rakan bernama Abdul Hadi dan Sufian, mengejar kereta Iswara itu untuk meminta ganti rugi,” katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara jam 1.10 pagi hingga 2 pagi, pada 26 April lalu. 

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda. 
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 

Lokman Hakim berkata, pada jam 11.30 malam 25 April lalu, dia dan rakannya ke restoran Ali’s Corner di Seksyen 7, menaiki kereta Toyota Celica berwarna biru gelap. 
Katanya, pada jam 12.15 pagi, dia terdengar bunyi dentuman pelanggaran kereta Proton Iswara Aeroback putih bernombor BET 5023 dengan kereta Toyota Celica berkenaan. 

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Adilla Ahmad, beliau berkata, bumper depan kereta Toyota Celica itu terjatuh sedikit menyebabkan dia dan rakannya mengejar kereta dipandu Aminulrasyid. 

“Saya dan dua lagi rakan mengejar kereta Iswara itu bermula dari Seksyen 8 terus ke Seksyen 9 hingga ke Bulatan Kayangan dan ke Persiaran Dato Menteri di mana saya terjatuh di tepi jalan,” katanya sambil menambah kereta Iswara itu dipandu laju dan melanggar enam lampu isyarat. 

Ditanya bagaimana boleh terjatuh, Lokman Hakim berkata selepas memasuki Persiaran Dato' Menteri, kereta Iswara itu dipandu perlahan berikutan jalan berbukit dan ketika cuba memotong kereta itu, beliau dihimpit ke kanan jalan menyebabkannya terpaksa menjatuhkan badan bagi mengelak daripada terlanggar pembahagi jalan. 

“Saya tidak dapat kenal wajah pemandu tetapi berdasarkan tangan dan tubuhnya yang kecil, saya lihat pemandu kereta itu seorang budak lelaki lingkungan 17 tahun dan penumpang di sebelahnya juga seorang budak lelaki kurus, kecil dan sebaya dengan pemandu itu,” katanya. 

Terdahulu pada sebelah pagi, saksi pendakwaan ke-30, penjaga stor persenjataan di Balai Polis Seksyen 6, Lans Koperal Madi Samsuddin, memberitahu mahkamah, Konstabel Percubaan Izham Mahayaddin ketika memulangkan senjata HK MP5 yang diperoleh pada 26 April lalu, hanya menyerahkan 90 butir peluru bersama empat kelopak peluru. 

“Izham memaklumkan, dia melepaskan beberapa tembakan. Saya mengira pelurunya dan mendapati ia kurang 10 butir,” katanya. 

Perbicaraan bersambung hari ini.