Showing posts with label prk. Show all posts
Showing posts with label prk. Show all posts

Monday, May 2, 2011

4 negeri tiada lagi pilihan raya kecil DUN



KUALA LUMPUR – Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan lagi di empat negeri sekiranya berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran penggal DUN negeri berkenaan telah genap tiga tahun.
Empat negeri itu adalah Sabah selepas tempoh tiga tahun DUN tamat pada 29 April, Negeri Sembilan (25 April), Selangor (22 April) dan Melaka (21 April).
Kedudukan DUN di negeri berkenaan berdasarkan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN seperti yang termaktub dalam undang-undang.
Sementara itu, tiga negeri akan cukup tempoh tiga tahun DUN pada bulan ini adalah Terengganu (6 Mei), Kedah (20 Mei) dan Pahang (21 Mei) manakala DUN yang cukup tempoh tiga tahun bulan hadapan adalah Perlis dan Perak (24 Jun) serta Johor (19 Jun).
Tempoh tiga tahun bagi DUN Kelantan adalah pada 7 Julai manakala Pulau Pinang pula pada 21 Julai.-kosmo

Sunday, February 27, 2011

BN berentap lawan Pas di Kerdau, Merlimau




ROSLAN (kanan) dan Yuhaizad selepas penamaan calon di Merlimau semalam.


KUALA LUMPUR - Seperti yang dijangka, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau di Pahang dan DUN Merlimau di Melaka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu akan diadakan serentak pada 6 Mac ini.
Bagi DUN Kerdau, BN diwakili oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala Pas diwakili oleh Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim, 43.
Bagi DUN Merlimau, BN diwakili Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, manakala Pas pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah, 38.
Pegawai pengurus pilihan raya kecil DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan calon yang akan bertanding di Dewan Tun Razak Majlis Perbandaran Temerloh kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut Tarif, terdapat satu bantahan diterima tetapi telah ditolak.
DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Februari lalu.
Di Merlimau, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff mengumumkan nama kedua-dua calon yang bertanding pada pukul 11.28 pagi selepas setengah jam tempoh bantahan.
Roslan menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.07 pagi manakala Yuhaizad menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi.
Kosmo! Online - Negara