Monday, June 14, 2010

Keganasan merebak

OSH: Perusuh Kyrgyz membakar kampung etnik Uzbek, membunuh penduduknya dan menyerang balai polis untuk mendapatkan lebih banyak senjata ketika sengketa kaum merebak ke kawasan baru di selatan Kyrgyzstan.
Kerajaan sementara negara Asia Tengah itu mengarahkan tentera menembak mati perusuh. Bagaimanapun, langkah itu gagal menghentikan keganasan yang setakat ini sudah meragut lebih 100 nyawa dan mencederakan 1,250 penduduk sejak ia meletus Khamis lalu.
Menurut laporan lain, seorang pegawai kanan tentera berkata, perusuh Kyrgyz membunuh 30 penduduk sebuah kampung di Jalal-Abad, bandar berhampiran Osh apabila sengketa berkenaan merebak ke kawasan itu semalam.

Sengketa itu menyebabkan etnik Uzbek melarikan diri ke sempadan dengan Uzbekistan.

Kerajaan Uzbekistan, lebih 75,000 etnik itu sudah menyeberang sempadan untuk menyelamatkan diri.

Sebahagian wanita dan kanak-kanak etnik Uzbek ditembak mati ketika cuba melarikan diri.

Rusuhan itu adalah yang paling buruk sejak bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev digulingkan April lalu.

Etnik Uzbek menyokong kerajaan sementara Kyrgyzstan dan ramai kaum Kyrgyz di selatan negara itu menyokong kerajaan pimpinan Kurmanbek. Kebakaran yang dilakukan perusuh memusnahkan sebahagian besar bandar Osh, bandar kedua terbesar Kyrzystan. - Agensi

Ejen Mossad ditangkap di Poland

BERLIN: Seorang lelaki dipercayai ejen perisikan Israel, Mossad, yang dikehendaki berhubung pembunuhan seorang pemimpin Hamas di Dubai, ditangkap di Poland.
Lelaki itu yang menggunakan nama Uri Brodsky disyaki bekerja dengan Mossad di Jerman dan membantu mengeluarkan pasport palsu Jerman kepada anggota operasi Mossad yang membunuh pegawai Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di Dubai beberapa bulan lalu.
Menurut pejabat pendakwa raya Jerman, Brodsky ditahan setibanya di Poland awal bulan ini kerana waran tangkap Eropah yang dikeluarkan Jerman. Jerman kini berusaha mendapatkan pengekstradisiannya.

Jurucakap pejabat berkenaan yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, dia tidak pasti berapa lama proses pengesktradisian itu akan mengambil masa. - Reuters

Saudi nafi sekongkol dengan Israel

RIYADH: Arab Saudi semalam menafikan laporan media asing yang mendakwa ia membenarkan Israel menggunakan ruang angkasanya untuk menyerang Iran.
Dalam kenyataan kepada Agensi Berita Saudi (SPA), pegawai Kementerian Luar negara itu berkata: “Arab Saudi menyedari beberapa laporan palsu disiarkan media Britain yang mendakwa negara ini membenarkan Israel menggunakan ruang angkasa kita untuk menyerang Iran.” Sumber itu mengulangi pendiriannya bahawa ia tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk menggunakan ruang angkasa atau wilayahnya untuk menyerang negara lain, lebih-lebih lagi kepada rejim Israel yang tidak mempunyai hubungan dengannya. - Agensi

PGPO bimbang makanan, ubat dirampas Zionis boleh tercemar





2010/06/14

SEREMBAN: Penasihat Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir, bimbang barang makanan dan ubat-ubatan yang kini dirampas oleh Israel boleh menimbulkan kemudaratan jika dihantar terus ke Gaza. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Turki dan Jordan sedang berunding dengan Israel untuk menda-patkan semula barangan yang dirampas sebanyak 1,500 tan itu.
Katanya, pihak yang berunding yakin barang berkenaan akan dikembalikan atau dihantar terus kepada penduduk Palestin di Gaza.
“Bagaimanapun, saya was-was sikit kalau barang makanan dan ubat-ubatan dihantar terus. Pelbagai perkara boleh dilakukan dengan barang berkenaan dicemarkan atau dirosakkan. 

“Akhirnya bantuan itu bukan membantu, tetapi memudaratkan. Kita tidak boleh percaya sangat rejim Zionis,” katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Pantai dekat sini, semalam. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Seremban yang juga ketua Cawangan itu, Datuk Ishak Ismail. 

Mukhriz berkata, usaha juga sedang dilakukan untuk mendapatkan semula tujuh kapal yang ditahan Israel, termasuk dua kapal yang sebenarnya adalah sumbangan rakyat Malaysia melalui PGPO. 

Barang makanan dan ubat-ubatan itu dibawa dengan kapal oleh konvoi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, baru-baru ini. 
Bagaimanapun, komando rejim Israel menyerbu dan merampas kapal berkenaan. 

Walaupun usaha menghantar bekalan itu gagal, beliau berkata perbincangan sedang dijalankan dengan bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway, yang mahu menghantar konvoi 60 kapal untuk misi yang sama, September depan. 

"Kita akan melihat macam mana boleh membantu usaha itu," katanya. 

Sementara itu, katanya, usaha perlu dilakukan sebagai tekanan terhadap rejim Zionis Israel supaya tidak menindas penduduk Palestin. 

“Usul yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kemukakan di Parlimen baru-baru ini, adalah sama tegas seperti kenyataan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyin Erdogan. Selepas ini, kita mahu melihat tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutama Majlis Keselamatan, terutama membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya.

kutip duit rakyat buat jalan, pemimpin joli sakan, rumah kereta harga berjuta


Kutip derma bantu kerajaan negeri bina jalan

JERANTUT 13 Jun - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sokti/Bukit Puas di sini hari ini melancarkan Kempen Lebuh Raya (KLR) 1Malaysia bertujuan membantu kerajaan negeri membina lebuh raya dari Segamat ke Gambang, Kuantan.
Menerusi kempen itu, JKKK Sokti/Bukit Puas dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut akan mengutip derma sebanyak RM1 daripada setiap penduduk negeri ini bagi tujuan pembinaan lebuh raya tersebut.
Pengerusi JKKK Sokti/Bukit Puas, Saruji Abdullah berkata, matlamat kempen itu ialah untuk membuktikan keprihatinan dan kesedaran masyarakat terhadap kes kemalangan maut yang sering berlaku di laluan berbahaya itu.
''Kami amat terharu melihat kejadian kemalangan terbaru yang meragut nyawa enam sekeluarga di laluan itu, Rabu lalu.
''Justeru, kejadian berkenaan seharusnya menimbulkan kesedaran semua pihak bahawa laluan itu perlu dinaik taraf menjadi lebuh raya," katanya selepas majlis perjumpaan antara JKKK itu dengan IPD Jerantut di Kampung Sokti/Bukit Puas di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Jamaluddin Abdul Rahman dan Penghulu Mukim Burau, Wan Yusgi Wan Nazar.
Pada majlis itu, sebanyak RM100 disumbangkan kepada JKKK Sokti/Bukit Puas, hasil kutipan daripada 100 anggota IPD Jerantut sebagai memulakan KLR 1Malaysia itu.
Menurut Saruji, pihaknya akan mencadangkan kempen tersebut dibawa ke peringkat pentadbiran daerah dan Parlimen Jerantut supaya usaha mengutip RM1 itu dapat dirancakkan lagi.
''Kami berharap kerajaan negeri menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dapat mempercepatkan usaha menaik taraf laluan berkenaan bagi keselesaan dan keselamatan pengguna," katanya.
Saruji menjelaskan, wang hasil kutipan itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri untuk membantu kos penyelenggaraan projek berkenaan.
Sementara itu Jamaluddin berkata, IPD Jerantut menyokong kempen itu bagi mengatasi kes kemalangan maut yang kerap berlaku di laluan sepanjang 156 Kilometer dari Segamat ke Gambang itu.
''Semua rakyat negeri ini perlu menyertai kempen ini untuk menaik taraf laluan berkenaan agar dapat mengurangkan kecelakaan. Laluan Segamat-Gambang merupakan jalan utama ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori dan kenderaan berat lain," katanya.
Selain kecuaian manusia, Jamaluddin berkata, kemalangan berpunca daripada faktor struktur jalan yang sempit, ketiadaan bahu jalan dan permukaan tidak rata yang boleh mengundang kecelakaan.
Tambahnya, kempen itu merupakan antara usaha JKKK di sini membantu pihak berkuasa untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

12 miskin jalani projek akuakultur



Tan Mohd. Aminuddin Ishak sedang melepaskan anak ikan patin ke sangkar di Kampung Paya Pasir, Maran, baru-baru ini.


MARAN 13 Jun – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM180,000 bagi menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar membabitkan 12 penduduk miskin tegar di Kampung Paya Pasir, Chenor dekat sini pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, program yang dikenali ‘Projek Juara‘ itu diusahakan secara bersama dengan dua pembimbing yang dikenali sebagai ‘mentor’ yang dikenal pasti telah berjaya dalam bidang akuakultur.
‘‘Pelaksanaan projek ini bermula pada Julai tahun lalu itu mula menampakkan hasil positif dalam menghapuskan kemiskinan tegar sebelum akhir tahun ini.
‘‘Projek ternakan ini melibatkan dua lokasi dengan peruntukan sebanyak RM90,000 setiap satu yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM180,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran ‘Projek Juara’ peringkat Daerah Maran di Kampung Paya Pasir baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Mutalib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.
Tan Mohd. Aminuddin yang juga ADUN Chenor menjelaskan, peserta projek terdiri daripada kumpulan miskin tegar atau miskin yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.
Menurutnya, pemilihan mentor pula dibuat oleh Pejabat Perikanan Daerah Maran iaitu mereka yang terdiri daripada individu yang berjaya dalam bidang ternakan ikan selama lebih 10 tahun.
Tambah beliau, perjalanan projek itu sentiasa dilaporkan ke mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Sasar Pembasmian Kemiskinan Daerah Maran.
‘‘Dengan bimbingan dan pemantauan Pejabat Perikanan daerah, projek ini akan berjaya mencapai sasaran meningkatkan taraf ekonomi penduduk,’’ katanya.
Tan Mohd. Aminuddin menegaskan, objektif pelaksanaan projek itu adalah untuk membantu kerajaan negeri mencapai sasaran miskin tegar sifar pada penghujung tahun ini dan mengurangkan kadar miskin kepada 2.8 peratus.
Sehingga kini, katanya, jumlah golongan miskin dan miskin tegar mengikut e-Kasih bagi daerah ini ialah seramai 744 orang.
Menurutnya, di bawah senarai Jawatankuasa Kumpulan Sasar daerah pula terdapat seramai 151 orang miskin dan miskin tegar yang masih menunggu untuk didaftarkan di bawah e-Kasih.
‘‘Bagi memantapkan lagi projek ini, Pejabat Daerah Maran melaksanakan projek pembinaan jalan masuk dan jeti bernilai RM50,000 bagi memudahkan perhubungan ke tapak projek.
‘‘Pada masa sama, usaha menambah baik projek ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa mengikut keperluan supaya golongan sasar dapat menambah pendapatan sekali gus bebas daripada dikategorikan miskin tegar,’’ katanya.
Tan Mohd. Aminuddin yakin projek itu dapat membantu kerajaan mencapai sasaran membasmi kemiskinan sebagaimana ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berakhir hujung tahun ini.
Beliau turut meminta peserta projek berusaha keras mengeluarkan diri daripada terus dibelenggu kemiskinan tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata.
‘‘Kerajaan hanya mampu menolong pada tahap tertentu sahaja manakala usaha seterusnya adalah di tangan peserta,” katanya.

depa tak bagi dua juta, depa bagi lapan juta he he he






















Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (duduk tengah) mengadakan sidang media bagi menafikan dakwaan bahawa beliau keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas menerima sogokan kereta dan rumah mewah, di lobi Parlimen, 14 Jun. - Utusan/MOHD NAIM AZIZ

Tak paham2 jugak, haram tetap haram!

Bantahan lesen judi bola lebih bersifat politik - Dr. Mahathir

14/06/2010 9:39pm

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bantahan banyak pihak terhadap langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan lebih bersifat politik semata-mata.
Katanya, langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010 hendaklah diterima secara terbuka untuk membendung kegiatan itu daripada berleluasa.
"Mungkin pendapat saya berbeza sedikit dengan orang lain. Sama ada lesen judi dikeluar atau tidak, judi tetap berlaku di negara kita kerana orang-orang Cina memang suka berjudi.
"Jadi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada satu cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa. Ini kerana judi tidak haram bagi orang Cina, tetapi haram bagi orang Islam.
"Orang Islam jangan berjudilah. Kalau mereka didapati berjudi tangkaplah mereka,” katanya ketika ditanya mengenai lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia selepas berucap pada program Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, bantahan yang dilakukan oleh parti pembangkang terutama Pas berikutan pengeluaran lesen judi berkenaan, adalah lebih bermotif politik dan bukan kerana Islam.
"DAP pun bantah, takkan DAP pun nak sokong ajaran Islam. Ini politik parti pembangkang yang nak cari isu. Sedangkan dalam muktamar Pas, ada cadangan semua jenis judi diharamkan tetapi Pas tak nak.
"Sekarang ini terdapat judi di Genting Highlands, Sport Toto dan bermacam lagi. Tetapi dia (Pas) kata yang ini saja tak boleh," katanya. - Bernama

Dua beradik hidap glaukoma rayu bantuan

BUKIT MERTAJAM: Hidup dua beradik dari Bukit Kechil, Juru, di sini, yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan semakin suram berikutan penyakit glaukoma dideritai sejak lima tahun lalu masih belum sembuh.
Walaupun menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan tradisional di Kuala Lumpur tahun lalu hasil bantuan seorang penderma, keadaan Abdul Manaf Ahmad, 53, dan Razali, 44, masih tidak berubah.
Berikutan penyakit itu, mereka perlu mendapat bekalan ubat saraf membabitkan kos RM1,400 sebulan seorang, namun tidak mampu kerana tidak mempunyai sumber kewangan. Keadaan itu menyebabkan mereka hanya terperap di rumah dan bergantung pada bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing RM300 sebulan.

Menurut Abdul Manaf, pada tahun lalu, dia dan Razali menjalani rawatan di Pusat Perubatan Keraton, Kuala Lumpur hasil inisiatif seorang individu yang menderma RM10,000.

“Selepas rawatan itu, kami sepatutnya mengambil ubat saraf sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan bagi memulihkan penglihatan, namun kosnya tinggi mencecah RM1,400 seorang.

“Berikutan itu, kami hanya terperap dalam rumah dan tak mampu membuat pekerjaan seperti orang normal,” katanya di sini, semalam.

Abdul Manaf berharap ada sektor korporat atau institusi tertentu sanggup menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka membeli ubat yang disyorkan.

“Kami pernah memohon bantuan dari Yayasan Kebajikan Negara (YKN) tetapi tidak lulus,” katanya.

Buntu cari ayah kandung

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai ayah kandung. Hanya namanya saya tahu iaitu Abdullah Hassan.
“Tapi, disebabkan ketiadaannya, pernikahan saya yang sepatutnya diadakan pada 9 Jun lalu terpaksa ditangguhkan,” kata Junaidah Mohamed Nor, 22, yang terpisah dengan ibu bapanya sejak dilahirkan. Junaidah yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan, berkata dia mula mencari ibu bapanya pada 2007 sebaik dimaklumkan dia anak angkat kepada pasangan Mohamed Nor Yusof, 59, dan Aminah Mohd Zin, 62. “Saya pernah mencari keluarga kandung berdasarkan alamat di dalam sijil kelahiran iaitu di Kampung Pulau Lumut, Klang, namun hampa kerana mereka sudah berpindah,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, baru-baru ini.
Katanya, dia buntu memikirkan cara untuk menjejaki keluarga kandungnya memandangkan tidak banyak maklumat yang diperoleh. “Walaupun tidak pernah menatap wajah mereka, saya berharap mereka tampil dan ayah boleh menjadi wali pernikahan saya. “Saya harap ayah menghubungi saya sebelum 28 Jun ini kerana sebutan kes bagi mendapatkan kebenaran menggunakan wali hakim akan diadakan pada tarikh itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,” katanya.

Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarganya boleh menghubunginya di 019-6916051 atau hadir ke mahkamah pada hari sebutan kes itu.

Lawatan sulung Moussa ke Gaza


MOUSSA memberi reaksi kepada pertanyaan pada satu sidang akhbar semalam, di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengalami kerosakan akibat serangan Israel pada 2008. - REUTERS


RAFAH 13 Jun - Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa yangpertama kali mengunjungi Gaza hari ini selepas wilayah itu diletakkan di bawah sekatan ketat Israel-Mesir sejak 2006 menegaskan, kekangan ke atas Genting Gaza perlu dihentikan.
"Kami berada di sini untuk mengatakan bahawa sekatan ini perlu dihentikan dan pendirian Liga Arab adalah jelas.
"Bukan sahaja negara Arab, seluruh dunia juga perlu menyokong rakyat Palestin yang membantah sekatan terhadap Gaza dan apa yang berlaku di wilayah Palestin yang dijajah terutamanya di timur Baitulmaqdis," kata beliau merujuk kepada pembinaan penempatan haram Yahudi di sana.
Kunjungan Moussa dibuat dua minggu selepas komando Israel menyerang flotila yang membawa bekalan bantuan ke Gaza bagi mencabar sekatan rejim Zionis, yang membunuh sembilan rakyat Turki dalam insiden itu.
Moussa tiba di kawasan Palestin iaitu lintasan sempadan Rafah lebih kurang pukul 10 pagi waktu tempatan (pukul tiga petang waktu Malaysia) di mana beliau disambut pemimpin Hamas, begitu juga dengan perwakilan-perwakilan Palestin.
Kunjungan itu merupakan yang pertama buat beliau yang mengetuai 22 negara anggota Liga Arab, selepas Hamas mengambil alih pemerintahan pada Jun 2007 berikutan penggulingan pergerakan sekular Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Fatah.
Bercakap kepada pemberita di lintasan sempadan itu, Moussa sekali lagi menyeru Hamas dan Fatah supaya menyelesaikan pertelingkahan mereka.
Sementara itu, pegawai Palang Merah Iran, Mojtaba Majd, dalam satu laporan hari ini memberitahu, dua buah kapal diuruskan sebuah kumpulan kemanusiaan sudah bersedia dan sedang menanti kelulusan Kementerian Luar untuk ke Gaza.
"Kami bersedia untuk ke Gaza tetapi perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Luar mengambil kira situasi politik, ketenteraan dan keselamatan di rantau itu," katanya seperti yang dipetik agensi berita Mehr sambil menambah, kapal-kapal itu yang membawa bekalan makanan serta perubatan dijangka berlepas minggu ini.
Tambah beliau, lebih 100,000 rakyat Iran telah berdaftar sebagai sukarelawan di kapal kedua, tetapi katanya hanya 'individu yang mempunyai kepakaran' akan dihantar ke wilayah Palestin. - AFP

Pasangan pasrah 3 anak hidap penyakit misteri





MOHD. Badli, Mohd. Sayydan (tengah) dan Mohd. Hashim (belakang) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Kemuntung, Alor Keladi, Jertih, baru-baru ini.


BESUT 13 Jun – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dikurniakan anak istimewa mungkin ujian yang cukup berat bagi sebuah keluarga namun pasangan suami isteri, Suhaimi Hassan, 46, dan Noraidah Kadir, 42, pasrah menerimanya.
Bukan seorang malah tiga daripada sembilan cahaya mata mereka merupakan anak istimewa.
Demi kasih sayang terhadap anugerah Allah itu, mereka tidak pernah mengeluh apatah lagi mahu menyalahkan takdir.
Menurut Suhaimi, dia sememangnya tidak pernah menyangka ketiga-tiga anak lelakinya akan menimpa nasib yang sama iaitu disahkan menghidap sejenis penyakit misteri ketika berusia enam hingga 10 tahun.
Ketika kecil, katanya, mereka bertiga iaitu Mohd. Sayydan, 18, Mohd. Badli, 14, dan Mohd. Hashim, 12, seperti kanak-kanak normal lain namun mula berubah apabila menjangkau usia enam tahun.
“Bagi Sayydan, ketika lahir dia normal namun ketika usianya sembilan tahun bahagian buku lalinya mula bengkak sehingga sukar berjalan.
“Dia sering terjatuh di sekolah malah terpaksa dibantu rakan-rakan untuk menaiki tangga ke kelas,” kata bekas tentera itu ketika ditemui di Kampung Bukit Kemuntung, Alor Keladi, Jertih dekat sini baru-baru ini.
Penyakit Mohd. Sayydan semakin serius sehingga berpapah dan berpaut pada dinding untuk berjalan menyebabkan dia terpaksa diberhentikan sekolah.
“Rawatan demi rawatan kami cuba termasuk bomoh namun tiada ubat yang mampu menyembuhkannya,” ujarnya.
Menurutnya, anak keempat pasangan itu, Mohd. Badli juga menerima nasib yang sama apabila lebih awal disahkan menghidap penyakit tersebut iaitu ketika berusia setahun.
Ujian terus datang bertimpa apabila anak kelima pasangan itu, Mohd. Hashim pula mengalami masalah yang sama ketika berusia lapan tahun walaupun sebelum itu sangat aktif bergerak.
Berbanding dua abangnya yang kini terlantar, Mohd. Hashim agak bertuah kerana masih mampu mengesot.
Noraidah bagaimanapun bersyukur apabila dua lagi anak lelakinya iaitu Mohd. Shalihin, 15, dan Mohd. Hanif, 10, selain tiga anak perempuannya iaitu Nor Syaima Amirah, 17, Siti Syazwani, 8, dan Nik Safia, 1, normal.
Bagaimanapun, penderitaan tersebut seakan-akan tidak berakhir apabila anak ketujuh mereka, Mohd. Nashirudin, 6, juga mungkin menerima nasib yang sama apabila mula menunjukkan tanda-tanda serangan penyakit tersebut.
“Doktor pernah memaklumkan anak-anak kami ini menghidap Duchenna muscular dystrophy iaitu sejenis penyakit yang berkaitan sendi dan genetik.
“Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut selain kuasa Allah sahaja, jadi kami reda dengan keadaan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Suhaimi mengakui menjaga ketiga-tiga anaknya itu tidak rumit apabila mereka boleh makan dan minum apa sahaja, namun keperluan lampin pakai buang menyebabkan kos yang tinggi terpaksa disediakan.
Jelasnya, dua anaknya itu terpaksa menggunakan lampin pakai buang dua hari sekali menyebabkan peruntukan sebanyak RM120 sebulan perlu disediakan hanya untuk lampin berkenaan.
“Kami bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan untuk menampung keperluan seharian selain terpaksa menggunakan duit pencen.
“Setakat ini saya tidak boleh bekerja kerana sukar untuk ibunya seorang diri menguruskan ketiga-tiga anak kami itu,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Suhaimi di talian 019-947 1485.

Anwar sudah teruji fizikal dan mental layak jadi orang No. 1 - Nik Aziz


Nik Aziz tidak mahu jadi orang No. 1 pakatan pembangkang

14/06/2010 1:33pm

KOTA BHARU 14 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak mahu menjadi pemimpin nombor satu dalam pakatan pembangkang jika mereka berjaya menawan Putrajaya.
Sebaliknya Menteri Besar Kelantan itu berkata, orang yang paling layak meneraju pakatan ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu.
“Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.
"Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.
Beliau berkata, Anwar juga lulus daripada segi moral.
Nik Abdul Aziz diminta mengulas saranan seorang perwakilan pada muktamar ke-56 Pas yang berakhir semalam agar Menteri Besar Kelantan itu dilantik peneraju pakatan pembangkang berasaskan kewibawaan dan kejayaannya memimpin Kelantan selama 20 tahun. – Bernama

Kami tertekan!




PANDAMARAN - Hampir 100 penghuni flat Taman Permai Indah di sini mengadakan demonstrasi aman kerana tertekan berikutan masalah lif di kediaman mereka berlarutan sejak setahun lalu. 

Bukan setakat satu blok yang mengalami masalah tersebut tetapi keempat-empat blok di kawasan perumahan itu mengalami nasib yang sama. 

Malah, mereka turut melahirkan rasa kecewa terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Ronnie Liu yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN. 

Menurut penduduk, walaupun aduan sering dikemukakan tetapi pengurusan bangunan setinggi 11 tingkat itu tidak pernah bertindak mengatasi masalah itu. 

Malah, perkara itu sudah diajukan kepada Ronnie tetapi sehingga kini masih tidak diselesaikan. 

Seorang bekas penduduk, Mohd Nizam Basran, 40-an, berkata, dia yang sudah hampir lima tahun menetap di situ berkata, apabila keadaan itu berlaku, penghuni tingkat paling atas adalah golongan yang paling merana kerana terpaksa memanjat tangga. 

“Awak boleh bayangkan nasib penduduk di sini apabila semua lif rosak. Yang paling teruk menerima akibatnya ialah warga tua yang terpaksa turun dan naik tangga. 

“Malah, perkara yang sama turut dialami isteri saya kerana beliau mengalami masalah berat badan yang berlebihan. Dia terpaksa menggunakan segala kudrat yang ada untuk menapak dari satu tangga ke satu tangga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

Oleh sebab tidak tahan dengan masalah itu, dia mengambil keputusan untuk berpindah dengan menyewa di Kota Pendamar. 

“Rumah ini saya beli pada tahun 2005 tapi hari ini kami terpaksa menyewa dengan kadar RM550 sebulan kerana tidak sanggup lagi memanjat tangga setiap hari. 

“Saya terkilan dengan sikap pihak berkenaan kerana janji mereka selama ini hanya tinggal janji semata-mata,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Pusat (JKKP) Pandamaran, Francis Pua berkata, setakat ini beliau sudah mengumpulkan aduan penghuni berkenaan untuk diajukan kepada pihak terbabit. 

“Kita memahami apa yang dirasai oleh penghuni di sini dan kita merasa kecewa kerana Ronnie tidak mengambil berat tentang apa yang berlaku di sini,” katanya. 

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Klang, Datuk Dr Teh Kim Poo menggesa ADUN berkenaan lebih prihatin terhadap masalah penduduk dalam kawasan berkenaan. 

“Kenapa masalah ini belum dapat diselesaikan sedangkan penduduk sudah lama mengadu. Ke mana perginya janji-janji yang kononnya mahu menjaga kebajikan rakyat? 

“Kita minta supaya beliau (Ronnie) turun padang meninjau masalah rakyat di sini dan selesaikan secepat mungkin,” katanya. 

Menurutnya, pihaknya telah mengajukan perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tindakan selanjutnya. 

“Kita telah berbincang dengan menteri berkenaan untuk memohon peruntukan untuk membaiki lif di kediaman ini dan kita yakin perkara ini dapat diselesaikan nanti. Oleh itu kita berharap supaya penduduk di sini bersabar,” katanya.

Kuala Nerus kurang pembangunan



KUALA NERUS – Agensi pelaksana yang terbabit dalam perancangan pembangunan di kawasan Kuala Nerus diminta lebih telus dan bersikap adil dalam pengagihan peruntukan tahunan bagi memastikan pembangunan yang dirancang mampu dilaksanakan sebaiknya. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, situasi itu jelas berlaku apabila banyak pembangunan di kawasannya jauh terpinggir jika dibandingkan dengan Bandaraya Kuala Terengganu. 

“Saya lihat banyak perancangan di sini hanya tinggal perancangan, sedangkan kawasan ini juga terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. 

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkenaan lebih peka terhadap keperluan yang seharusnya dirasai masyarakat di sini kerana masih banyak lokasi yang menjadi tumpuan tidak dibangunkan dengan sebaiknya seperti Pantai Teluk Ketapang yang sering mendapat tumpuan pengunjung,” katanya pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen, di sini. 

Menurutnya, kekesalannya itu berasas apabila jelas terbukti kawasan Kuala Nerus masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan terutama membabitkan keperluan masyarakat setempa:t. 

“Pihak berkenaan perlu wujud dengan satu mekanisme terutama apabila membabitkan pentadbiran untuk dua kawasan seperti yang berlaku kepada Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya. 

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 231 daripada 479 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya menempatkan diri di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) menerima wang pendahuluan maing-masing. 

Jalinan kerjasama antara PTPTN dengan Ahli Parlimen seluruh negara dalam menyalurkan wang pendahuluan kaedah terbaik membantu pelajar memperoleh pinjaman terutama membabitkan golongan kurang berkemampuan.

Pasangan kekasih mungkin kenal pembunuh mereka



SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan individu yang menembak mati seorang pemilik kelab malam dan teman wanitanya di Taman Maluri, Cheras, baru-baru ini adalah individu dikenali kedua-dua mangsa itu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, pihaknya percaya mangsa dan pembunuh saling mengenali kerana terdapat beberapa maklumat menunjukkan ada kaitan antara mereka. 

Katanya, kejadian berlaku sangat teratur dan cara pasangan itu dibunuh juga seolah-olah dirancang teliti. 

“Bagaimanapun, siasatan setakat ini, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis, masih belum dapat mengesan identiti individu yang terbabit,” katanya semalam. 

Daripada siasatan awal, katanya, polis tidak menolak kemungkinan motif dendam. 

“Berdasarkan cara tembakan di kepala, polis percaya tembakan itu dilepaskan dari jarak dekat," katanya. 

Polis turut menemui 13 kelongsong peluru di tempat kejadian. 

Menurutnya, polis memerlukan sedikit masa bagi mengumpul lebih banyak bukti dan maklumat lanjut berhubung kes tersebut bagi menjejaki individu yang terbabit dalam pembunuhan itu. 

“Kami sudah ambil rakaman percakapan beberapa saksi, ahli keluarga dan pengawal keselamatan kondominium berkenaan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,“ katanya. 

Beliau berkata, polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis atau talian Rakan Cop Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau 03-9284 2222 (Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras). 

Dalam kejadian 11 Jun lalu, pasangan kekasih, iaitu K C Wong, 52, dan Leong Yang Chen, 32, baru pulang kerja apabila ditembak dari jarak dekat di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium. 

Kedua-duanya mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) untuk bedah siasat.

siasat jangan tak siasat


Polis siasat tiga video lucah artis 
Polis menjalankan siasatan terhadap tiga selebriti Indonesia selepas video seks mereka telah tersebar di Internet. Pihak berkuasa tersebut akan menyoal siasat tiga selebriti terbabit adalah vokalis kumpulan Peterpan iaitu Ariel, Luna Maya dan aktres Cut Tari di atas tuduhan melanggar undang-undang anti-pornografi. Dalam rakaman klip video tersebut, Ariel telah melakukan hubungan seks bersama Luna yang juga teman wanitanya bersama-sama bekas teman wanitanya, Cut Tari. Ketua Polis, Ito Sumardi berkata, siasatan lebih tertumpu bagaimana rakaman tersebut boleh tersebar di internet serta mencari dalang akan perbuatan tersebut. Rakaman yang diambil daripada telefon bimbit kepunyaan Ariel itu telah disebarkan berikutan rumahnya telah dimasuki pencuri beberapa bulan lalu. Jika bersalah mereka boleh dihukum penjara maksimum 12 tahun. 

Kisah rakaman video tersebut menjadi antara topik paling hangat dibincangkan di laman Twitter bertajuk Peterporn, mengambil nama sempena kumpulannya. 

Luna yang merupakan duta Program Bantuan Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta duta produk keluaran Unilever bagaimanapun masih menanti keputusan daripada pihak Unilever sama ada kontraknya akan diteruskan atau sebaliknya. Sementara Cut pula adalah duta penghawa dingin jenama Sharp.

Arab Saudi nafi bantu tentera Israel


RIYADH - Arab Saudi menafikan laporan media bahawa negara itu membenarkan Israel menggunakan ruang udaranya bagi menyerang Iran, semalam. 

Menurut pegawai Kementerian Luar Negeri Arab Saudi, negara itu menolak pencabulan kedaulatan negaranya dan menggunakan ruang udara atau mana-mana kawasan di Arab Saudi bagi menyerang negara lain. 

Sebuah akhbar Britain melaporkan, sumber yang tidak dinamakan memaklumkan Arab Saudi membenarkan Israel menggunakan ruang udaranya untuk serangan ke atas pusat nuklear Iran. 

Arab Saudi dilaporkan akan memastikan kapal terbang pengebom Israel dapat melalui ruang udaranya tanpa sistem pertahanan peluru diaktifkan, menurut akhbar itu, kelmarin. 

Arab Saudi tidak mempunyai sebarang hubungan politik atau ekonomi dengan Israel dan tidak merancang memulakan sebarang hubungan selagi negara rejim itu tidak menghentikan pendudukan secara haram di tanah Palestin. 

“Kerajaan Arab Saudi menganggap tuduhan akhbar Britain itu sebagai tidak benar dan bertujuan memfitnah,” katanya

Jangan panggil ' suami najib ' panggil ' isteri Rosmah '...he he he melawak saja no...


Nik Aziz tegur wakil guna ‘suami Najib’ guris hati PM

June 13, 2010
Nik Aziz menasihatkan perwakilan PAS agar menjaga hati orang ketika bercakap. — Gambar fail
KOTA BARU, 13 Jun — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang menggunakan perkataan-perkataan yang boleh menyakitkan dan mengguris hati pihak tertentu ketika membahaskan ucapan dasar dan usul.
“Saya ada dengar dalam perbahasan dua hari, saya ada dengar perkataan-perkataan yang tidak senang... yang boleh menyakitkan hati orang,” kata beliau ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini.
Kata beliau, tindakan sedemikian boleh menyebabkan rasa dendam dalam jangka panjang.
Nik Aziz yang tidak pernah ketinggalan dalam melahirkan pendirian keras mengenai tindak-tanduk pemimpin Umno termasuk presiden-presidennya, hari ini berkata, beliau terdengar ada perwakilan menyindir “suami Najib”.
“Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) ini lelaki, tak baik guna perkataan macam itu, kita tidak boleh gunakan perkataan-perkataan yang menyakitkan hati (dalam perbahasan),” katanya.
Ada perwakilan yang menyifatkan “Najib suami kepada isterinya” Datin Seri Rosmah Mansor.
Difahamkan istilah itu digunakan untuk merujuk dakwaan dan persepsi sesetengah pihak tentang “pengaruh” Rosmah ke atas Najib.
Kata beliau, perwakilan boleh menggunakan perkataan-perkataan tertentu untuk bergurau tetapi jangan sampai menyakitkan perasaan orang lain.
Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan sejak 1990 menambah, sebagaimana Nabi Muhammad SAW menggunakan istilah yang halus untuk membuat teguran dan nasihat perwakilan seharusnya sewajarnya menjaga hati orang lain ketika berucap.
“Kita kena mengikut cara Nabi Muhammad yang menggunakan perkataan, ayat (yang halus) untuk mencuri hati orang lain, tidak menyakitkan hati orang lain,” kata beliau.
Muktamar Tahunan PAS Ke-56 yang bermula kelmarin berakhir hari ini.
Dalam ucapan ringkasnya Nik Aziz juga mempertahankan langkah diambil oleh PAS untuk menjalin kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat termasuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Sambil menegaskan ini bukan kali pertama PAS menjalin kerjasama dengan pihak-pihak yang boleh diyakini kalangan bukan Islam, Nik Aziz berkata, parti itu sanggup untuk menjalin kerjasama dengan bukan Islam yang tidak menyusahkan berbanding dengan “Umno yang menyusahkan” parti itu.
“Tolong memberitahu kepada Umno... daripada berkawan dengan yang menyusahkan lebih baik (kami bekerjasama) dengan kaum yang bukan Islam,” katanya.
Terdahulu ahli Jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin juga membidas perwakailan yang tidak menghormati demokrasi dan tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad apabila cepat melenting setiap kali terdapat pandangan negatif atau bertentangan dengan pendapat mereka yang diutarakan oleh anggota parti.
Hanipa memberitahu, sebagai sebuah parti yang melaungkan hak kebebasan bersuara dan mengikut sunnah Rasulullah, pemimpin parti sepatutnya mendengar setiap pandangan dengan fikiran terbuka.
“Seharusnya menjadikan muktamar untuk mendengar pandangan semua pihak dan bukannya mudah naik marah dan tidak boleh terima pandangan yang negatif atau bertentangan dengan pendapat umum ahli parti,” kata beliau dipetik Bernama.
Penasihat undang-undang itu merujuk kepada tindakan meminta perwakilan dari Jerantut, Pahang Amirruslan Manaf menarik balik kenyataannya pada perbahasan semalam yang mendakwa Perlembagaan PAS diciplak daripada Perlembagaan Umno yang dilakukan penambahbaikan mengikut kesesuaian parti.
Timbalan Pengerusi Tetap Hussin Ismail meminta Amirruslan berbuat demikian kerana pemimpin dan perwakilan tidak berpuas hati dan mempersoalkan kesahihan dakwaan itu.
Hanipa yang turut kesal dengan tindakan beberapa mengejek perwakilan Pahang itu, mendesak kepimpinan memohon maaf kepada Amirruslan.
Hanipa turut mempersoalkan kenapa anggota dan pemimpin PAS perlu melenting dan marah sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dan memberikan jawapan pada sesi lain dalam muktamar itu.

Macam-Macam: Seluar dalam mampu jaga anggota badan

SAN DIEGO: Seorang saintis dari Universiti California, Joseph Wang, berjaya menghasilkan seluar dalam berteknologi tinggi dilengkapi pengesan bio elektronik untuk memantau denyutan jantung, tekanan darah dan beberapa isyarat penting tubuh.
Projek seluar menggunakan teknologi nano itu, dibiayai tentera Amerika Syarikat dan keberkesanannya akan diuji ketika di medan perang.

Projek khas ini membabitkan pemantauan kecederaan dialami askar di medan perang bertujuan menghasilkan pengesan bagi menentukan tempat dan jenis kecederaan askar, katanya. Agensi
Sumber : Bharian.com.my

PBB nilai semula senarai hitam terhadap Taliban, Al-Qaeda




KABUL: Bagi mencari jalan penyelesaian politik terhadap peperangan di Afghanistan yang mencecah hampir sembilan tahun mempengaruhi jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menilai semula sama ada beberapa nama mungkin dikeluarkan daripada senarai hitam yang menyebabkan aset mereka dibekukan dan penghadan perjalanan tokoh utama Taliban dan AL-Qaeda.
Wakil tertinggi (PBB) di Afghanistan, berkata peserta persidangan kebangsaan, atau keamanan jirga, yang akan diadakan di Kabul bulan ini menggesa kerajaan dan rakan antarabangsa mengeluarkan 137 nama yang diletakkan dalam senarai itu, iaitu permintaan yang sudah lama dikemukakan. – AP
Sumber : Bharian.com.my

Ketua Liga Arab lawat Gaza




Amr Mussa (dalam bulatan) melambaikan tangan semasa melawat sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Beit Lahiya, utara Genting Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa semalam menggesa supaya sekatan selama empat tahun yang dikuatkuasakan Israel ke atas Genting Gaza, Palestin ditamatkan.
Beliau membuat desakan itu semasa melawat wilayah Palestin berkenaan yang daif akibat sekatan rejim Zionis.
Kunjungan pertama Amr berlangsung ketika memuncaknya desakan agar lintasan-lintasan sempadan ke Gaza dibuka semula setelah pasukan komando Israel membunuh sembilan sukarelawan apabila mereka menyerbu kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu pada 31 Mei lalu.
"Sekatan itu mesti ditamatkan dan pendirian Liga Arab mengenai isu ini adalah jelas," kata Amr selepas beliau disambut oleh pegawai-pegawai daripada beberapa kumpulan pejuang Palestin di lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir.
"Bukan sahaja bangsa Arab, tetapi seluruh dunia perlu bangkit bersama dengan penduduk Palestin untuk menentang kepungan ke atas Gaza," katanya.
Pembantu Musa, Hisham Yussef memberitahu, lawatan 10 jam itu bertujuan untuk menyatakan sokongan dunia Arab kepada warga Palestin di samping menggesa agar usaha untuk menyatukan kumpulan-kumpulan yang berpecah di Palestin dipertingkatkan.
Bercakap kepada wartawan di lintasan Rafah, Amr mengulangi seruan supaya kumpulan Fatah dan Hamas berusaha menyelesaikan jurang perbezaan mereka serta menuju ke arah perdamaian.
"Penyatuan adalah persoalan yang menjadi teras dan dasar. Ia memerlukan daya usaha dan bukan sekadar melibatkan tandatangan pada perjanjian semata-mata. Ia merupakan dasar yang perlu diterjemahkan melalui persetujuan berhubung semua isu," katanya.
Sejumlah 1.5 juta penduduk Gaza yang ditadbir kumpulan Hamas berada di bawah sekatan Israel-Mesir yang dilaksanakan ke atas wilayah berkenaan sejak Jun 2006 setelah kumpulan pejuang Palestin menawan seorang askar Israel, Koperal Gilad Shalit dalam satu serbuan melintasi sempadan. - AFP

Derita rakyat palestin







"KAMI tidak makan sejak tiga hari lalu." Kata-kata seorang penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Tal Al Sultan di Rafah masih terngiang-ngiang di telinga Dr. Jamnul Azhar Mulkan.
Biarpun kejadian itu berlaku lebih setahun yang lalu, namun jawapan kanak-kanak itu membuka matanya terhadap kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Pada masa itu, beliau dan para sukarelawan Misi Keamanan Palestin 2009 sedang melakukan lawatan ke rumah kebajikan yang menempatkan kira-kira 200 orang penghuni.
Jamnul tidak dapat melupakan bagaimana kanak-kanak itu sanggup berbohong di hadapan sukarelawan bagi menyembunyikan kesengsaraannya.





"Saya bertanya sama ada mereka sudah makan? Rata-rata menjawab sudah, tiba-tiba seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan lima tahun menghampiri saya lalu berbisik mereka tidak makan sejak tiga hari lalu," katanya.
Mendengar jawapan itu, beliau berlari ke kenderaan dan mengambil gula-gula yang sempat dibeli ketika tiba di Mesir.
"Kami hanya mampu memberi mereka gula-gula kerana konvoi makanan telah dihalang memasuki Gaza oleh kerajaan Mesir. Walaupun tidak mengenyangkan namun ia sudah cukup menceriakan mereka," katanya yang terharu mengenangkan peristiwa itu.
Malah Jamnul juga tidak dapat melupakan kata-kata seorang remaja Palestin yang beliau temui ketika cuba menghulurkan sedikit wang kepadanya.
"Kami tidak mahukan wang anda. Apa yang kami mahu ialah sokongan dan bantuan daripada negara-negara Islam untuk membantu perjuangan dan membangunkan semula negara kami," kata seorang remaja yang kecewa dengan nasib mereka yang diperkotak-katikkan oleh rejim Zionis Israel.
Serangan besar-besaran


SELAIN terpaksa tinggal di dalam khemah kerana rumah mereka dimusnahkan oleh tentera Israel, wanita ini menunjukkan peti sejuknya yang kosong tanpa makanan.



Perbualan singkat dengan remaja itu membuka matanya terhadap realiti kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Palestin lebih-lebih lagi memikirkan masa depan anak-anak yatim di rumah itu yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.
Bercerita mengenai misi yang dijalankan oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) pada 21 Januari 2009 itu membawa pelbagai barangan asas seperti makanan dan perubatan untuk rakyat di wilayah yang mengalami krisis kemanusiaan selepas dikenakan sekatan oleh rejim Zionis sejak Hamas memenangi pilihan raya pada tahun 2006.
Ia disertai kira-kira 13 sukarelawan, petugas media termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Rombongan tersebut tiba selepas serangan besar-besaran rejim itu yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang rakyat Palestin dan 13 warga Israel.
Biarpun berdepan dengan kerenah birokrasi yang ketat ketika tiba di pintu masuk sempadan termasuk terpaksa menunggu hampir lapan jam, para sukarelawan akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Gaza.


RAKYAT Palestin mendapat bantuan bekalan makanan daripada Agensi Kerja dan Bantuan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Bandar Gaza.



Menceritakan saat sukar di sana, beliau bersama sukarelawan lain terlibat dalam pembedahan bagi menyelamatkan mangsa perang di Hospital Darul Syifa di Gaza.
"Semua wad penuh dengan mangsa pengeboman tapi kepakaran doktor dan peralatan tak cukup, banyak pesakit tak dapat melepasi sempadan kerana ditahan dan terpaksa duduk dalam ambulans selama dua hari sebelum dihantar ke hospital," katanya.
Kekejaman rejim Zionis jelas terserlah apabila menjadikan orang awam sebagai mangsa malah mereka juga menggunakan peluru fosforus putih bagi menghancurkan pejuang Hamas.
Apabila kelongsong peluru dikeluarkan fosforus putih yang terdedah kepada oksigen akan terbakar sehingga mengakibatkan daging dan kulit pesakit luruh dengan sendirinya.


BANGUNAN Kementerian Pendidikan Palestin di Gaza terbakar akibat serangan bom.



Mengakui pertama kali berhadapan situasi itu, pakar perubatan terpaksa menggunakan air zam zam untuk memadamkan api pada luka berkenaan dan mengurangkan penderitaan pesakit.
"Kesudahannya ialah kaki atau tangan pesakit terpaksa dipotong, mereka yang cedera parah pula rata-ratanya mempunyai peluang tipis untuk hidup," ujarnya.
Bom hospital
Sepanjang berada di hospital itu, para sukarelawan juga berdepan dengan situasi mencemaskan apabila hospital itu dibom oleh pihak rejim yang mengakibatkan 12 kematian orang awam.
Bagaimanapun kesemua mereka terselamat dan sempat keluar dari bangunan itu yang menyasarkan sebuah makmal perubatan.


JAMNUL (kanan) melihat keadaan salah seorang mangsa yang terkena serpihan bom.



Beliau menambah, tentera Zionis turut bertindak kejam apabila memusnahkan stor makanan milik Persatuan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ladang ternakan dan tanaman yang diusahakan oleh rakyat Palestin dengan kereta kebal.
"Ini merupakan taktik halus mereka bagi memastikan rakyat Palestin yang dikenakan sekatan sebelum ini terputus bekalan makanan.
"Pada masa yang sama, bekalan air bersih juga sering terputus menyebabkan mereka terpaksa menggali air bawah tanah bagi mendapatkan sumber berkenaan," ujarnya yang kagum dengan perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah luntur.
Perbualan beliau dengan Pengarah Hospital Darul Syifa, Dr. Jaafar Abd. Tayib ketika itu menemukannya dengan satu fenomena luar biasa sebagai bukti kekuasaan Allah.
Beliau diberitahu sebelum serangan besar-besaran pada Disember 2008, kadar kelahiran di Gaza mencatatkan pe ningkatan iaitu sekitar 3,000 hingga 4,000 orang setahun.
"Bagaimanapun pada Januari 2009 kadar kelahiran yang dicatatkan menyamai jumlah dalam tempoh setahun, malah rata-ratanya pula ialah bayi lelaki.


SEBUAH van musnah selepas serangan di Hospital Darul Syifa di Gaza.



"Ia merupakan satu keajaiban, kita tahu bayi-bayi lelaki ini akan membesar dan kemudiannya bakal menjadi pejuang seperti pejuang-pejuang lain yang mati syahid dalam mempertahankan negara mereka," katanya.
Bagaimanapun, para sukarelawan terpaksa keluar dari Gaza berikutan ancaman tentera Israel yang dikatakan mahu memusnahkan terowong yang menghubungkan Palestin ke Mesir.
Walaupun berat hati, mereka terpaksa mengambil keputusan yang menyedihkan itu atas dasar keselamatan kerana mendapat perkhabaran Israel mula menyerang kawasan sempadan.
"Biarpun perjalanan kami agak singkat, pengalaman yang dilalui cukup menginsafkan, apa yang lebih penting kami mahu menyampaikan kekejaman yang berlaku kepada masyarakat di luar sana," katanya.