Monday, December 6, 2010

Terengganu tanggung kos pembedahan plastik mangsa asid




2010/12/06

HULU TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menanggung kos pembedahan plastik kanak-kanak mangsa simbah asid oleh bapanya sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat. 

"Kita harap melalui pembedahan itu nanti wajah Nurul Dahyatul Fazlinda dapat dipulihkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak itu di Kampung Sekayu dekat sini hari ini.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk rawatan penyakit kronik penduduk negeri menerusi dana itu.Nurul Dahyatul Fazlina, 8, mengalami kecederaan teruk di muka dan badan dalam kejadian akibat perbuatan bapannya sendiri pada 15 Ogos lalu. 

Turut cedera, ibunya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, dan adik lelakinya Irfan Firdaus, 2. 

Rozi berkata, pembedahan itu akan dibuat sama ada dalam atau luar negara, setelah mendapat laporan daripada pegawai perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

"Kerajaan negeri akan tanggung sepenuhnya kos pembedahan serta perubatan mangsa asid itu bagi membolehkan mereka hidup seperti orang lain, terutamanya Nurul Dahyatul Fazlinda yang terjejas emosinya berikutan sering kali diejek rakan akibat parut kekal di muka," katanya. 
Che Ku Zaimah pula berkata, beliau dan keluarga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana bantuan itu sekurang-kurangnya mengurangkan beban tanggungan keluarga dan membolehkan anaknya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. 

Akibat kejadian itu, Nurul Dahyatul Fazlinda terpaksa dirawat di HSNZ selama 36 hari. 

Bapa kanak-kanak itu, Mat Haizan Mat Yasin, 32, seorang penganggur telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan setelah mengaku salah terhadap pertuduhan mencederakan Che Ku Zaimah, penjara lima tahun dan dua sebatan terhadap kesalahan mencederakan Nurul Dahyatul dan penjara dua tahun kerana mencederakan Irfan Firdaus. - BERNAMA 

Siasat kegiatan pelacuran mahasiswa - Khaled


06/12/2010 5:07pm

TELUK INTAN: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini meminta polis dan agensi penguatkuasa lain supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dipercayai mereka yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu hanya segelintir sahaja daripada kira-kira sejuta pelajar yang berada di IPT.
Katanya, kegiatan pelacuran merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang tetapi kementerian dan pihak universiti tidak mempunyai badan penguatkuasa untuk menyiasat pergerakan pelajar dan juga mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Teluk Intan bernilai RM15 juta di sini hari ini, beliau berkata pihak berkuasa yang bertanggungjawab perlu bertindak tegas membanteras kegiatan itu.
"Kementerian dan pihak universiti hanya boleh memberi khidmat kaunseling untuk mencari punca kenapa mereka terjebak dalam kegiatan pelacuran,” katanya sambil menambah bahawa sehingga kini, kementerian belum menerima laporan yang membabitkan pelajar IPT dikenakan tindakan undang-undang kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang mendakwa ada pelajar IPT di Sabah yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka seperti yang didakwa Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr Jaina Sintian, Khamis lepas. - Bernama

TV Al Hijrah luaskan medium dakwah baru – Jakim


06/12/2010 7:17pm

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Kehadiran TV Al Hijrah, stesen televisyen berunsurkan nilai Islam yang pertama di Malaysia, akan memperluaskan lagi medium dakwah baru yang selari dengan keperluan masa kini, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pengelola stesen itu.
Stesen itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok sempena sambutan Maal Hijrah seharusnya membuka lebih peluang kepada karyawan, seniman dan penggiat seni tanah air, kata Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
"Harapan Jakim, dengan kerjasama semua pihak dan penglibatan aktif para pendakwah dan penggiat seni, stesen ini akan muncul sebagai sebuah stesen penyiaran Islam terulung di rantau ini,” katanya.
TV Al Hijrah boleh diikuti di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).
Wan Mohamad berkata, perancangan yang baik dalam memanfaatkan stesen itu mampu memberi kesan dakwah yang besar kepada masyarakat global, sekali gus membuka persaingan sihat dalam kalangan media di dalam negara dan menjadi contoh di rantau ini. – Bernama

Perairan Pulau Tenggol berpuaka





DUNGUN – Genap sebulan hari ini tragedi bot karam yang hampir meragut nyawa berlaku berhampiran Pulau Tenggol di perairan Dungun, semalam satu lagi tragedi sama terjadi menyebabkan 10 nelayan diambang maut. 

Bagaimanapun tragedi kali ini berlaku pada lokasi tiga batu nautika berbanding sebelum ini pada kedudukan 16 batu nautika arah Selatan dari pulau itu. 

Ada nelayan menganggap pulau itu berpuaka dan dahagakan nyawa memandangkan tragedi sebelumnya gagal meragut nyawa mangsa walaupun ada kanak-kanak berusia empat tahun yang terlibat. 

Pada kejadian kali ini, empat nelayan asing warga Vietnam terpaksa bertarung nyawa dengan berenang di tengah laut dalam keadaan ombak besar menuju ke daratan setelah bot nelayan yang mereka naiki karam berdekatan Pulau Nyireh, kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Tenggol, dekat sini, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat di Bilik Gerakan kira-kira jam 11 pagi semalam memaklumkan ada empat nelayan warga asing berjaya menyelamatkan diri dengan mendarat di Pulau Tenggol setelah bot nelayan yang mereka naiki karam berdekatan Pulau Nyireh.

Dahlan berkata, bot nelayan yang memuatkan 10 awak-awak itu dipercayai karam sebaik melanggar bongkah batu di lokasi terbabit.

Katanya, empat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang mengikut arus ke arah Pulau Tenggol, bagaimanapun enam lagi rakannya masih dikhuatiri hilang.

“Sebaik mendapat maklumat berkaitan kejadian bot karam itu, operasi mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih dipercayai hilang itu dilancarkan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin yang berpengkalan di Kemaman dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM).

“Empat mangsa yang selamat itu merupakan warga asing keturunan Vietnam manakala bot nelayan yang karam itu difahamkan milik warga tempatan berdasarkan nombor pendaftarannya,” kata Dahlan.
Menurut Dahlan, lokasi terbabit jarang digunakan nelayan tempatan kerana terdapat banyak batu di dasar laut dan boleh membayakan keselamatan sehingga boleh menyebabkan kejadian bot karam, terutama dalam keadaan cuaca buruk pada musim tengkujuh.

Sinar Harian dimaklumkan, enam lagi mangsa ditemui penduduk Pulau Tenggol masih hidup dan sedang berpaut pada batu berhampiran pulau tersebut pada jam 2 petang.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuantan dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan, Pahang.

Khir Toyo dituduh peroleh lot tanah, banglo harga murah


06/12/2010 12:24pm

SHAH ALAM 6 Dis. – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah yang bernilai RM6.5 hanya dengan harga RM3.5, dua tahun lalu.
Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd., Shamsuddin Haryoni yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Mohamad Khir dan Shamsuddin masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin. - Utusan

Khir Toyo ditahan SPRM, akan didakwa kes rasuah




2010/12/06

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabatnya di Shah Alam kira-kira 9 pagi tadi. 

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali, berkata Khir Toyo akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam untuk dituduh di bawah Sekyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan rasuah.Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan tersebut.
Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Difahamkan, penahanan Khir Toyo berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima rasuah berhubung pembelian tanah untuk "Istana Khir" iaitu rumah ala Bali miliknya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. 

Khir Toyo, 45, menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 pada Ogos 2000 ketika berumur 35 tahun dan penjawat jawatan Menteri Besar yang termuda. - BERNAMA 

Istana Kelantan lucut gelaran Ku Li


Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2010/12/06

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah
Penarikan balik berkuat kuasa Khamis lalu 

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Kelima, menarik Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) serta pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) yang dianugerahkan kepada datuk saudara baginda, Tengku Razaleigh Hamzah, berkuat kuasa Khamis lalu.Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata Sultan Kelantan juga menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) serta pelantikan Jaksa Pendamai (JP) yang dianugerahkan kepada peguam Tuanku Ismail Petra, Dr Yaacob Hussain Merican, juga berkuat kuasa Khamis lalu,” katanya pada sidang media yang diadakan di Istana Balai Besar, di sini, lewat malam semalam.
Hadir sama, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam penasihat Sultan Kelantan, Datuk Shukri Mohamed. 

Aiseri berkata, kedua-dua yang terbabit dalam penarikan sudah dimaklumkan melalui surat yang diserahkan pada Jumaat lalu. 

“Penarikan balik ini hak Sultan Kelantan yang dijalankan mengikut hemah dan budi bicara baginda, sama seperti penarikan balik darjah kebesaran sebelum ini, mengikut kaedah sama,” katanya. 

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan menarik balik anugerah dan darjah kebesaran empat individu termasuk gelaran Datuk kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud. 
Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor. 

Ditanya sebab penarikan anugerah itu, Aiseri berkata, ia berdasarkan kenyataan Tengku Razaleigh dalam akhbar berbahasa China, Shin Chew Daily, bertarikh 14 September lalu. 

“Antara kenyataan Tengku Razaleigh ialah kerana Sultan (Tuanku Ismail Pe-tra) masih ada dan tidak meninggalkan negeri melebihi setahun atau sukarela mengundur diri, jadi pengumuman pemangku raja sebagai raja adalah diragui.

"Penarikan Dr Yaacob pula disebabkan ucapannya semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan pada 25 Oktober lalu, selain Tuanku Sultan ada sebab tersendiri yang lain menyebabkan penarikan ini dibuat baginda," katanya. 

Klinik gigi kaki lima kembali aktif


DOKTOR gigi jalanan memberikan perkhidmatannya kepada seorang pelanggan di Jalan Pasar, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Selepas sepi seketika, gelagat beberapa warga China yang menyediakan khidmat menanam gigi palsu di jalanan di Jalan Pasar berhampiran Pasar Pudu di sini, kembali aktif.
Khidmat doktor gigi jalanan itu dilihat kembali aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kawasan siar kaki sekitar Jalan Pudu sebagai lokasi untuk mencari rezeki.
Wartawan Kosmo! yang meninjau operasi 'klinik gigi kali lima' itu mendapati, 'doktor-doktor jalanan' terbabit kembali beroperasi seperti biasa selepas terhenti seketika apabila kegiatan haram mereka didedahkan Kosmo! pada 29 Mei lalu.
Berdasarkan risikan daripada beberapa peniaga di kawasan terbabit itu, doktor warga China itu menyediakan perkhidmatan pergigian jalanan tanpa sebarang rasa takut atau bersalah.
Peliknya, 'klinik' doktor gigi jalanan itu tetap mendapat perhatian para pelanggan yang terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing.
Walaupun hanya beroperasi di kaki lima, 'doktor' berkenaan mempunyai penggerudi gigi elektrik untuk menebuk gigi pelanggan yang berlubang sebelum ditampal dengan sejenis serbuk yang dicampur dengan bahan kimia.
Kos rawatan yang dikenakan pula amat murah iaitu di antara RM50 hingga RM100 bagi menampal gigi dan memasang gigi palsu.

Kecewa rumah retak tidak dibaiki




NOR AKMA menunjukkan rumahnya yang mengalami kerosakan kerana kerja-kerja pembaikan tanah di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang semalam.




KUALA LUMPUR - Seorang pemilik butik, Nor Akma Mohd. Desa kecewa dengan sikap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang tidak menunaikan janji untuk membaiki rumahnya yang rosak ekoran kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dua tahun lalu.
Kejadian tanah runtuh pada 6 Disember 2008 itu mengorbankan lima nyawa dan memusnahkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah kecuali rumah Nor Akma.
Nor Akma, 48, mendakwa, sebahagian besar struktur dalaman rumahnya retak ekoran kerja-kerja pembesaran longkang di belakang rumah sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan tanah runtuh selesai.
"Seluruh rumah bergegar ketika kerja-kerja pembesaran longkang dijalankan dan selepas projek siap, saya dapati dinding dan lantai retak," katanya ketika ditemui pada majlis memperingati kejadian berkenaan di Pusat Jawatankuasa Penduduk Zon 5 Bukit Antarabangsa dekat sini semalam.

Bekas guru sambilan cari bapa kandung jadi wali nikah


Norhalilina Zuklifli (belakang) bersama Yunos Ahmad, Fatimah Mansur dan Sarimah Hashim (kanan) di Maran, Temerloh, semalam.


TEMERLOH 5 Dis. - Seorang bekas guru sambilan ingin mencari bapa kandungnya yang terpisah sejak dia dilahirkan 26 tahun lalu untuk menjadi wali pernikahannya yang akan berlangsung pada Mac tahun depan.
Norhalilina Zulkifli, 26, yang kini menetap di Felda Jengka 6, Bandar Jengka, Maran dibesarkan oleh bapa dan ibu angkatnya, Yunos Ahmad, 60, dan Fatimah Mansur, 61, sejak dilahirkan.
Norhalilina yang berkelulusan jurusan Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu, dia dan keluarga angkatnya tidak tahu di mana bapa kandungnya, Zulkifli Mohamad berada pada masa ini.
''Saya dimaklumkan oleh ibu kandung saya, Sarimah Hashim, 46, bahawa bapa saya adalah bekas tentera dan berasal dari Sarawak.
''Emak saya sendiri tidak tahu di mana bekas suaminya itu tinggal sekarang dan saya difahamkan mereka telah berpisah sejak saya lahir dan selepas itu saya diserahkan kepada keluarga angkat yang membesarkan saya sehingga kini," katanya kepada Utusan Malaysiaketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, menceritakan kejadian 26 tahun lalu, Yunos memberitahu, Norhalilina diserahkan oleh seorang rakannya yang juga tinggal di Felda Jengka 6 ketika masih bayi memandangkan dia dan isterinya tidak mempunyai anak.
''Tidak cukup tapak tangan, nyiru saya tadahkan, itulah ibarat pepatah Melayu yang menggambarkan perasaan gembira saya menerima bayi tersebut untuk dibesarkan seperti anak kandung sendiri.
''Mungkin sudah suratan takdir, baru-baru ini ibu kandung Norhalilina datang ke rumah rakan saya yang pernah menyerahkan bayi tersebut tetapi tidak dapat bertemu kerana dia telah meninggal dunia," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, Sarimah meninggal nombor telefonnya kepada anak rakannya itu.
''Anak rakan saya itu telah menyerahkan nombor telefon itu kepada saya dan berdasarkan nombor tersebut, saya berjaya menghubungi Sarimah yang kini bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur," katanya.
Menurut Yunos, Sarimah yang datang ke rumahnya untuk bertemu Norhalilina baru-baru ini memaklumkan dia telah berpisah dengan suaminya selepas anak itu lahir dan diserahkan kepadanya 26 tahun lalu.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Zulkifli Mohamad diminta menghubungi Norhalilina menerusi telefon bimbitnya 019-9765672.

Elia Suhana kekal isteri kedua bekas Sultan Kelantan


NIK Rorhana Wan Abdul Rahman bersama Zainul Rijal Abu Bakar (kiri) di luar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 5 Dis. - Elia Suhana Ahmad, 31, kekal isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan pengesahan lafaz cerai terhadapnya yang difailkan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 9 Mac lalu.
Hakim Syarie, Abdullah Man memutuskannya berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan sepanjang prosiding dan kegagalan pihak plaintif membuktikan lafaz cerai tersebut berlaku pada 12 Februari 2010 ketika baginda dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
''Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan plaintif kerana terdapat beberapa isu berbangkit. Bagaimanapun, permohonan baru boleh dikemukakan dengan saya sendiri sebagai saksi berdasarkan fakta baru mengikut hukum syarak dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.
Nik Rorhana hadir bersama peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar dan Halim Bahari sementara defendan, Elia Suhana tidak hadir dan diwakili oleh peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan.
Hakim dalam keterangannya berkata, penolakan permohonan tersebut disebabkan timbul beberapa isu berkaitan.
''Pertama, ia berhubung dengan permohonan plaintif, isunya bolehkah mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang didakwa berlaku itu sedangkan plaintif tidak mempunyai kaitan dengan Sultan Ismail malah bukan juga isterinya.
''Isu kedua, adakah dakwaan plaintif Sultan melafazkan cerai terhadap defendan boleh disabitkan atau tidak kerana lafaz berlaku di Singapura atau cukupkah syarat-syarat perceraian yang didakwa termasuk saksi.
''Seterusnya, apakah boleh mahkamah mengambil kira pertemuan hakim yang menghadap Sultan Ismail pada 30 Oktober lalu sedangkan kehadiran tersebut secara bersendirian dan tidak memenuhi kehendak prosedur mahkamah," katanya.
Menjawab isu yang beliau kemukakan, Abdullah menjelaskan, berkaitan isu pertama, selepas mahkamah meneliti permohonan, plaintif mempunyai hak mengetahui pengesahan lafaz cerai tersebut mengikut hukum syarak.
''Berhubung isu yang kedua pula, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan lafaz cerai yang didakwa pada 12 Februari lalu kerana melalui dua saksi yang dikemukakan, hanya saksi pertama yang memuaskan hati mahkamah, manakala saksi seorang lagi tidak memenuhi syarat.
''Bagi isu ketiga berkaitan pertemuan hakim iaitu saya sendiri pada 30 Oktober lalu dengan Sultan Ismail di istana tidak boleh dijadikan asas perceraian tersebut," katanya.
Ini kerana, kata Abdullah, walaupun peranannya hadir ke istana sebagai hakim tetapi dalam situasi menghadap sultan seorang diri, peranannya telah berubah kepada saksi.
''Saya sebenarnya seorang hakim tetapi ketika menghadap tuanku, saya seorang saksi kerana untuk melayakkan saya sebagai hakim, pertemuan tersebut sepatutnya mengikut kehendak prosedur mahkamah iaitu disertai plaintif, defendan dan peguam kedua-dua belah pihak.
''Walaupun sebelum ini mahkamah memohon menghadap baginda, tetapi permohonan tidak diizinkan dan hanya seorang hakim yang dibenarkan menghadap," katanya.
Tambahnya, tanpa kehadiran pihak-pihak yang sepatutnya dalam pertemuan tersebut, bagaimana mahkamah boleh mengesahkan lafaz cerai yang difailkan oleh plaintif.
''Saya hanya saksi dan timbul persoalannya, siapa pula yang menjadi hakim. Berdasarkan situasi tersebut saya tidak memenuhi fungsi dan syarat-syarat sebagai hakim," katanya.
Di dalam penggulungan keputusan tersebut, Abdullah juga menawarkan diri untuk menjadi saksi dan kenyataan tersebut mengundang persepsi berbeza kepada peguam plaintif Zainul Rijal.
''Sepatutnya apabila hakim hari ini menawarkan diri menjadi saksi dalam kes pengesahan lafaz cerai tersebut berdasarkan pertemuannya dengan Sultan Ismail pada 30 Oktober lalu, keputusan permohonan sepatutnya tidak dibuang (ditolak) pada hari ini,
''Sebaliknya, beliau mencadangkan untuk menarik diri daripada mendengar kes berkaitan dan meminta mahkamah melantik hakim lain dan perbicaraan dapat diteruskan," katanya.
Katanya, keputusan lebih kepada isu teknikal yang mana hakim telah menghadap Sultan Ismail dan timbul konflik apabila Abdullah lebih layak sebagai saksi dan menawarkan diri apabila permohonan difailkan.
''Bagi pihak anak guam, saya akan mendapatkan arahan selanjutnya khusus daripada Sultan Ismail sendiri untuk memfailkan semula permohonan dan memanggil hakim Abdullah sebagai saksi atau tidak,'' katanya.
Sementara itu, Fakhrul ketika ditemui berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah dan akan berbincang dahulu dengan Elia Suhana untuk memfailkan semula permohonan hak lawatan yang hilang selepas mahkamah menerima permohonan bantahan awal Tengku Anis Tengku Hamid pada 24 Oktober lalu.

Sesak teruk kerana demonstrasi


KUALA LUMPUR 5 Dis. – Semua laluan memasuki ibu kota mengalami kesesakan luar biasa hari ini apabila dua perhimpunan dianjurkan serentak di Masjid Negara dan Stadium Merdeka di sini yang menganggu aktiviti hujung minggu orang ramai.
Perhimpunan pertama oleh mereka yang membantah kenaikan 37 peratus tarif air di Selangor anjuran kumpulan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menjadi antara punca utama kesesakan kerana para penyokongnya berhasrat untuk berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara.
Kumpulan itu memilih Masjid Negara untuk berkumpul bagi mengelakkan pihak berkuasa membuat tangkapan tetapi dalam masa yang sama ia telah menjejaskan aktiviti dan ibadat orang ramai di masjid itu.
Tindakan hampir 4,000 orang yang membantah kenaikan tarif air itu memburukkan lagi kesesakan laluan utama di ibu negara apabila mereka cuba berarak ke Istana Negara, walaupun polis telah melakukan pancutan air bagi meleraikan perhimpunan.
Situasi yang semakin tidak terkawal itu memaksa pihak polis menutup beberapa jalan utama ke ibu negara dari pukul 10 pagi sehingga 5 petang bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, seramai 48 individu termasuk seorang ‘Yang Berhormat’ ditahan kerana cuba berarak ke Istana Negara dan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis lewat petang ini.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.
Tambah Zulkifli, beliau kecewa dengan tindakan kumpulan terbabit yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa malah bertindak agresif dengan membaling batu ke arah anggota polis yang mengawal keselamatan.
“Undang-undang melarang perhimpunan dan perarakan sedemikian kerana selain menganggu ketenteraman awam, ia juga merosakkan harta benda awam, menyusahkan orang ramai dan merugikan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 200 ahli GAPS berhimpun di hadapan Stadium Merdeka di sini hari ini sebagai membantah 30 penyelewengan yang dikatakan dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sejak mentadbir negeri itu.
Mereka bagaimanapun bersurai selepas dinasihatkan pihak polis yang kemudiannya mengiringi Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mengenai penyelewengan itu.
Hamidzun ketika ditemui berkata, tujuan GAPS menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya perkara itu dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang.
Selain daripada menjejaskan perniagaan pusat beli-belah yang sedang mengadakan jualan hujung tahun, difahamkan kesesakan juga menganggu majlis-majlis perkahwinan yang diadakan di beberapa tempat di ibu kota kerana para jemputan tidak dapat hadir.