SEMARANG, Jawa Tengah - Pasukan keselamatan Indonesia memperhebatkan unit antipengganas dengan menubuhkan pasukan khas pertama yang mahir menggunakan kasut roda semasa menjalani operasi antikeganasan.
Unit antipengganas Gultor Yonif 400 Rider mempamerkan kehebatan mereka mengejar sekumpulan 'pengganas' dalam majlis sambutan ulang tahun ke-60 Batalion Infantri 400 Raider di markas komando di sini, baru-baru ini.
Dalam pertunjukan tersebut, sepasukan tentera Gultor Yonif 400 Raider menggunakan kasut roda untuk mengejar pengganas sambil membawa senjata automatik.
Lengkap dengan pakaian serba hitam, pasukan elit itu turut mempersembahkan skil melepasi halangan seperti tiang, dinding setinggi 0.5 meter dan melompat melalui gelung besi berapi.
Aksi hebat itu memukau ribuan penonton sehingga menyebabkan mereka berasa cemas dan terdiam seketika.
Namun sebaik-baik sahaja 'pengganas' ditangkap, ribuan penonton bertepuk tangan dan bersorak atas kejayaan pasukan Gultor menumpaskan 'pengganas'.
Komander Gultor Yonif 400 Raider, Major Infantri Ferry Irawan berkata, skuad antipengganas tidak terhad kepada penggunaan motosikal, kereta dan helikopter sahaja.
Jelasnya, unit khas itu juga mampu beraksi memburu pengganas dengan menggunakan kasut roda.
"Unit ini sesuai digunakan di lokasi yang tidak boleh dimasuki kereta atau motosikal pasukan keselamatan.
"Skuad khas ini ditubuhkan sejak sebulan lalu dan kira-kira 30 anggota telah dilatih untuk menggunakan kasut roda ketika memburu pengganas," katanya kepada TRIBUNJOGJA.COM - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130330/lu_09/Pasukan-khas-antipengganas#ixzz2P8JBqb4p
© Utusan Melayu (M) Bhd