Sunday, October 10, 2010

Derita 11 tahun berakhir


Tan Swee Lan jelas gembira apabila mendapat semula bekalan air paip.


ULU YAM 8 Okt. - Sejak 11 tahun lalu, seorang ibu tunggal, Tan Swee Lan, 44, hidup tanpa bekalan air bersih.
Dalam tempoh tersebut, dia yang mempunyai lapan orang anak terpaksa menggunakan sumber dari perigi berdekatan rumahnya untuk mandi, memasak dan sebagainya.
Bekalan ke rumahnya di Kampung Asam Kumbang di sini dipotong kerana dia tidak mampu melunaskan bayaran bil berjumlah RM895 yang telah tertunggak sejak 1999.
Dia tidak mengeluh kerana tahu dia tidak mampu membayar bil air dan setelah sekian lama bergantung kepada air perigi, dia juga sudah biasa dengan keadaan itu.
Namun, kepayahan yang ditempuhinya itu mendapat perhatian daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan kakitangannya serta kakitangan Puncak Niaga Sdn. Bhd.
Walaupun tahu Swee Lan berhutang tetapi atas rasa prihatin, Syabas turun padang untuk menghulurkan sumbangan bagi membolehkan keluarga itu mendapat semula bekalan air bersih.
Langkah Syabas itu adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan agar turut mendapat bekalan air bersih seperti orang lain dan menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.
Menerusi program itu, Swee Lan mendapat bantuan berupa bekalan air percuma selama enam bulan dan bil airnya yang tertunggak akan dilupus kira.
Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi berkata, program tersebut merupakan inisiatif kakitangan Syabas dan Puncak Niaga bagi membantu pengguna-pengguna daif di Selangor.
Katanya, kakitangan Syabas dan Puncak Niaga yang tinggal di Selangor dengan rela hati akan menyerahkan kelayakan air percuma kepada golongan kurang berkemampuan itu.
"Pemilihan penerima ini telah ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Syabas yang melakukan siasatan bagi membolehkan mereka memilih calon-calon yang layak untuk menerima air percuma .
"Antara kriteria pemilihan tersebut adalah mereka yang berpendapatan rendah, bil tunggakan yang diandaikan tidak akan mampu dibayar dan bekalan air sudah dihentikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas majlis sumbangan bekalan air percuma kepada keluarga yang memerlukan itu di sini semalam.
Turut menerima sumbangan itu ialah Wong Siew Keah, 41, yang tinggal bersama seorang adiknya yang mempunyai masalah mental.
Dia yang tidak berkerja serta menghidap penyakit kencing manis meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jiran-jiran berhampiran.
Kesusahan hidupnya itu menyebabkan dia tidak mampu untuk menjelaskan bil air yang tertunggak sejak sekian lama yang berjumlah RM198.
"Saya berterima kasih kepada Syabas atas usaha murni mereka ini. Mereka benar-benar prihatin dan tidak lupa kepada golongan seperti kami.
"Sudah lama rumah saya tidak mendapat bekalan air bersih akibat tidak mampu menjelaskan bil yang tertunggak," katanya.
Ujarnya, kini dia mampu menggunakan air seperti biasa dan selepas tempoh enam bulan ini, dia akan berusaha untuk tidak membiarkan bilnya tertunggak lagi.

No comments:

Post a Comment