SHAH ALAM 1 Nov. - Pihak pendakwaan menutup kes terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo yang didakwa atas tuduhan membeli hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu.
Peguam M. Athimulan memaklumkan demikian selepas saksi pembelaan Mohamad Tajuddin Mohamad Ali, 46, seorang pegawai Maybank, selesai memberi keterangan.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki kemudian menetapkan 19 Disember depan untuk mendengar hujahan sebelum membuat keputusan pada 23 Disember.
Terdahulu, saksi pembelaan kelima dan terakhir, pengarah urusan syarikat penilai hartanah profesional, Rahim & Co., Choy Yue Kwong turut memberi keterangannya berhubung penilaian terhadap hartanah tersebut.
Yue Kwong mendakwa, dia tidak dipengaruhi oleh Mohamad Khir dalam membuat penilaian terhadap dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo milik tertuduh di Jalan Suasa 7/1L di sini pada Mei 2007.
Menurutnya, nilai RM3.5 juta yang ditaksirkan oleh syarikatnya adalah berdasarkan kaedah perbandingan dengan mengambil kira harga hartanah di kawasan setempat.
Yue Kwong juga mendakwa Norman Chua, pegawai bank dari HSBC Bhd. hanya memberitahunya bahawa Mohamad Khir adalah kliennya sebelum mereka pergi ke kediaman rasmi menteri besar di sini pada tarikh 14 Mei 2007.
Jurunilai itu juga menafikan mengetahui jumlah pinjaman bank yang dibuat oleh Mohamad Khir dan mendakwa tidak berpakat dengan tertuduh mahupun HSBC dalam menentukan nilai pasaran hartanah terbabit.
Dia juga menolak sama sekali cadangan Mohd. Dusuki bahawa jika nilai hartanah yang dibuatnya lebih tinggi daripada jumlah pinjaman yang dibenarkan oleh bank, penilaian itu akan ditolak oleh pihak bank.
Yue Kwong sebaliknya menyatakan, jumlah pinjaman bank yang dibuat oleh klien tiada kena mengena dengan penilaiannya ketika disoal oleh Hakim Mohtarudin.
Mohamad Khir, 45, membela diri atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta.
Sedangkan hartanah tersebut dibeli oleh syarikat terbabit pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Beliau yang memegang jawatan berkenaan sejak 2002 hingga 2008 didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Selain Athimulan, Mohamad Khir turut diwakili oleh peguam bela Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Kamarul Hisham Kamaruddin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Dusuki Mokhtar.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment