KUALA LUMPUR - Ibu kepada seorang tahanan polis yang mati dalam lokap Balai Polis Taipan di Subang Jaya, A. Kugan, hari ini memfailkan saman RM100 juta terhadap Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan empat yang lain kerana didakwa gagal memastikan keselamatan anaknya semasa dalam tahanan, tiga tahun lepas.

Pentadbir estet N. Indra turut menamakan Konstabel Polis V. Navindran, bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Indra memfailkan saman itu melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9 pagi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan telah gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati (Kugan) semasa dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009 serta gagal untuk melaksanakan pengawasan dan pengawalan ke atas anggota polis.

Wanita berusia 44 tahun itu turut mendakwa defendan-defendan gagal menyediakan satu sistem yang selamat untuk menyoal dan mengendali suspek dalam polis tahanan serta gagal memastikan jagaan perubatan untuk anaknya.

Indra mendakwa para defendan juga cuba menyembunyikan sebab kematian sebenar anaknya dan/atau mengeluarkan kenyataan yang dikira membebaskan polis daripada tanggungjawab/liabiliti dengan pengetahuan sepenuhnya bahawa kematian itu adalah tidak disebabkan oleh mereka.

Wanita itu menuntut ganti rugi RM100 juta, serta ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Pada 28 Jan tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Navindran daripada dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 20 Jan 2009. - BERNAMA