|
BANGKOK - Dua orang terbunuh semalam pada tunjuk perasaan yang diadakan di sini bagi membantah pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan akan diadakan pada 2 Februari tahun depan.
Salah seorang daripada mereka merupakan seorang lelaki yang bertugas mengawal tempat perhimpunan anggota-anggota kumpulan yang dikenali sebagai Rangkaian Pelajar dan Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand.
Dia ditembak mati oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali berhampiran Rumah Kerajaan di sini pada kira-kira pukul 3 pagi.
Mangsa itu dikenali sebagai Jamrieng Jitwat, 31, dari wilayah Prachuab Khiri, Selatan Thailand.
Tiga orang lagi cedera dalam serangan itu.
Kumpulan tersebut adalah antara pihak yang cuba menghalang urusan pendaftaran calon-calon pilihan raya di Stadium Thailand-Jepun di Dindaeng, Bangkok sejak beberapa hari lalu.
Seorang lagi yang terbunuh merupakan penunjuk perasaan yang menentang pentadbiran Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Dia mati terkena peluru senjata api milik seorang lelaki yang melepaskan tembakan rambang pada satu perhimpunan tunjuk perasaan bagi membantah pilihan raya tersebut.
Menurut agensi berita Bernama, sehingga pukul 6 petang kelmarin, kira-kira 153 orang cedera ekoran pertempuran melibatkan anggota-anggota polis pencegah rusuhan dengan para penunjuk perasaan.
Pada pertempuran itu, seorang sarjan mejar polis, Narong Pitisilp, 45, dan seorang lelaki berusia 30 tahun, Wasu Sujantana turut terbunuh.
Dalam pada itu, 53 parti politik telah mendaftar untuk menyertai pilihan raya itu.
Pemimpin penunjuk perasaan itu, Suthep Thaugsuban berikrar akan melumpuhkan Bangkok pada hari mengundi kerana kumpulannya membantah pilihan raya tersebut.
Para penunjuk perasaan itu telah berhimpun di sini sejak bulan lalu sebagai usaha untuk menggulingkan Yingluck yang dianggap sebagai boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan.
Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang berlaku pada September 2006 selepas kerajaannya didakwa para penunjuk perasaan dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Namun, parti pimpinan Yingluck, Pheu Thai dijangka memenangi semula pilihan raya tersebut menyebabkan para penunjuk perasaan berusaha untuk menghalang urusan pendaftaran calon-calon yang bakal bertanding itu. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ook3S8fj
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment