NEW YORK- AMERIKA SYARIKAT.- Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton menekankan tentang kepentingan Asia kepada Amerika Syarikat semasa beliau mengimbas kembali pada Khamis tentang tugas beliau selama empat tahun sebagai diplomat utama AS.
Semasa perbincangan di Majlis Hubungan Luar, badan pemikir polisi luar AS, beliau berkata lawatan luar pertama beliau sebagai setiausaha negara ialah ke Asia sebagai manifestasi pendadbiran AS untuk menyeimbangi semula kepentingan atau sesetengah orang memanggil paksi Asia.
Beliau berkata menyeimbangi semula kepentingan merupakan antara langkah strategik yang dibuat dalam tempoh empat tahun pertama Pentadbiran (Presiden Barack) Obama.
AS sentiasa menjadi kuasa Pasifik tetapi terdapat "persaan yang tersebar luas dalam kalangan rakan-rakan kita bahawa AS pada dasarnya mengosongkan lapangan," katanya yang disebut-sebut oleh majoriti Parti Demokratik sebagai calon presiden mereka bagi pilihan raya 2016.
"Ini tidak syak lagi kebanyakan sejarah dunia akan dibentuk di Asia. Sebab itu, saya mengambil keputusan untuk ke Asia dahulu. Saya ke Indonesia untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, membolehkan AS menjadi peserta aktif di rantau Asean dan akhirnya menjadi anggota Sidang Kemuncak Asia Timur.
"Matlamat kita ialah untuk menyokong dan menonjol AS dalam pelbagai arkitektur di Asia. Ia juga bagi memastikan pakatan kita seperti Jepun bahawa kita kekal komited kepada mereka.
"Kita mahu cuba mengadakan dialog yang meluas dengan China. Dialog kita dengan China ialah mengenai ekonomi tetapi kita mempunyai banyak persoalan strategik yang perlu ditangani.
"Saya bekerja dengan Tim Geithner (bekas setiausaha perbendaharaan) dan kemajuan sedang dibuat mengenai TPP (Perkongsian Trans-Pasifik). Presiden memerlukan kuasa yang segera dari Kongres (untuk menyegerakan TPP),” kata Clinton.
Presiden Obama yang memberi keutamaan kepada TPP turut membangkitkan perkara ini dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Malaysia baru-baru ini.
Semasa perbincangan itu, Clinton turut memberi pandangan bahawa keadaan di banyak tempat di dunia adalah membimbangkan.
Memoir beliau setebal 656 muka surat 'Hard Choices' telah berada di pasaran, yang antara lain memuatkan fikiran, anekdot menarik bukan sahaja mengenai Jabatan Negara AS tetapi pertemuan beliau dengan pemimpin dunia. - Bernama