SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, sudah mengesahkan kehadiran beliau pada sambutan Russia Mei ini bagi memperingati kemenangan Soviet ke atas Jerman pada Perang Dunia Kedua, menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap yang memetik kenyataan jurucakap Kremlin.
Lawatan itu, jika berlaku, adalah yang pertama untuk Kim sejak mengambil alih kuasa di negara itu pada 2011 bagi menggantikan bapanya, Kim Jong Il yang mati mengejut.
Lawatan pertama ke luar negara itu juga kemungkinan besar disusuli lawatan ke China, sekutu utama Korea Utara.
"Kira-kira 20 pemimpin negara sudah mengesahkan kehadiran mereka dan pemimpin Korea Utara adalah antara mereka berkenaan," menurut laporan Yonhap yang memetik jurucakap Kremlin sebagai berkata kepada soalan bertulis untuk Dmitry Peskov, jurucakap Presiden Vladimir Putin.
Korea Utara dan Russia mahu mengeratkan hubungan apabila hubungan politik dengan China menjadi dingin selepas Kim mengambil alih kuasa dan tidak mengendahkan amaran masyarakat antarabangsa serta sekatan PBB untuk melakukan ujian nuklear ketiga pada 2013.
Awal bulan ini, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata Korea Utara memberikan isyarat positif selepas Putin menjemput Kim ke acara sambutan kemenangan itu.
Russia menyambut ulang tahun kemenangan itu setiap tahun pada 9 Mei.
Bapa Kim, Kim Jong Il, dijemput untuk majlis sambutan ke-60 pada 2005 tetapi tidak menghadirinya. - Reuters
No comments:
Post a Comment