Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
KUALA LUMPUR - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti memutuskan hubungan baik yang terjalin dengan Pas selama ini.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, presiden adalah pimpinan utama parti dan tindakan menggesa Abdul Hadi keluar PR akan melemahkan Pas dalam PR.

"Abdul Hadi adalah Presiden kepada semua ahli Pas. Pemuda Pas adalah sayap utama menjaga kepentingan pemimpin dan ahli Pas.

"Saya sangat kecewa dengan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden kami. Kami Pemuda Pas mahu Pas kuat bersama PR. Bagaimana Pas boleh kuat bersama PR tanpa Presiden kami? Memutuskan hubungan dengan Presiden Pas adalah umpama memutuskan hubungan dengan Pas," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Putus dengan bapa, kawan dengan anak]

Guan Eng hari ini mengumumkan  memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi ekoran kedegilan Abdul Hadi salam meneruskan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Suhaizan berkata, beliau lebih selesa memilih langkah optimis dalam mencari penyelesaian kemelut dua parti ini.

"Sebesar mana pun masalah pasti ada penyelesaiannya. Mari kita lihat masa depan Pakatan Rakyat yang cerah. Mari kita mencari titik temu bagi menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda Pas sangat optimis bahawa adanya jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Berdamailah. Kerana rakyat Malaysia mahu kita semua berdamai," katanya.