CHENGDU - CHINA. Impian seorang lelaki yang mahu mengahwini dan menghabiskan hidup bersama wanita pilihan hancur berkecai saat lamarannya ditolak oleh wanita berkenaan di khalayak ramai.
Memetik laporan Shanghaiist.com, lelaki yang tidak mahu dinamakan itu merancang lamarannya dalam bentuk ‘flash mob’ jalanan di daerah ini, baru-baru ini.
Pada mulanya flash mob berbentuk tarian sekumpulan penari itu berjalan dengan lancar dan wanita itu menangis terharu ketika lelaki itu menghulurkan jambangan bunga dan melutut sambil menunjukkan cincin di hadapannya.
Bagaimanapun suasana meriah itu bertukar kepada luar biasa kekoknya sebaik sahaja wanita tersebut meninggalkan lokasi secara tiba-tiba.
Reaksi wanita itu jelas menunjukkan bahawa lamaran lelaki itu ditolak.
Tidak lama kemudian, punca penolakan terhadap lamaran lelaki itu akhirnya terjawab menerusi perbualan wanita itu dengan rakannya.
Menerusi kandungan perbualan yang tersebar di laman sosial itu, wanita itu mengadu bahawa pasangannya itu tersalah memilih saiz cincin yang sesuai dengan jarinya.
“Dia sudah setuju bahawa dia akan membelikan cincin berlian sebesar satu karat.
"Kenapa cincin yang ini terlampau kecil? Adakah dia terlalu cuai atau dia tidak sayangkan saya?” soal wanita terbabit
.