Monday, May 3, 2010

Kalau tidak kerana pilihanraya belum tentu dapat air


Sekolah Tamil Di Hulu Selangor Dapat Bekalan Air Selepas Lebih 50 Tahun
HULU SELANGOR, 3 Mei (Bernama) -- Selepas lebih 50 tahun menggunakan baldi untuk mengangkut air bukit, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) Ladang Escot akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih paip Isnin.

SJK Tamil Ladang Escot mempunyai 60 murid yang rata-ratanya anak peneroka ladang kelapa sawit, manakala 11 guru mengajar di sekolah tersebut.

Pemasangan saluran paip itu dilakukan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) selepas mengetahui masalah sekolah itu semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Sebelum ini, sekolah itu yang berdekatan estet terpaksa menggunakan air bukit berhampiran sumber bagi kegiatan harian seperti minum dan menggunakan tandas.

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata Syabas telah memasang paip sepanjang 1,500 meter dari Ulu Bernam ke sekolah itu dengan anggaran kos RM600,000.

"Ini juga sebagai menunaikan janji jika pihak Barisan Nasional menang pilihan raya kali ini, ini kerana kami sebagai badan kerajaan akan menyokong hasrat kerajaan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pemasangan paip itu.

Hadir sama di tapak pemasangan air berkenaan adalah Anggota Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan yang mengucapkan terima kasih kepada Syabas.

"Semua kemudahan yang kami sediakan ini adalah untuk rakyat, dan saya berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri, di mana kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan," kata Kamalanthan.

Guru besar sekolah tersebut, Menon Murugayee, berkata: "Kami berasa amat bersyukur dan gembira apabila kini dapat menikmati bekalan air bersih, dan kami tidak sangka kami akan mendapat kemudahan ini dengan begitu cepat sekali. Ini bagai satu peluang keemasan."

Vijaya Armugam, ibu kepada salah seorang pelajar, juga bersyukur kerana anaknya tidak akan bersusah payah lagi untuk membawa bekalan air dari rumah untuk minum.

"Ini suatu perkara yang sangat baik yang dilaksanakan oleh kerajaan, kerana sebelum ini pelajar-pelajar bergantung kepada air takungan yang adakalanya kotor yang boleh membawa kepada penyakit berbahaya jika meminumnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment