Monday, May 3, 2010

Ketua Polis Memalukan negara



1. Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa kesal dengan reaksi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dalam satu kejadian tembak sampai mati di Shah Alam.
2. Dalam kenyataannya, beliau berkata bahawa beliau akan mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dalam keadaan yang mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya jika itu kehendak masyarakat.
3. Saya melihat Tan Sri Musa Hassan gagal memahami kerisauan dan suara hati rakyat mahupun keluarga mangsa dalam kes yang melibatkan Aminurrasyid mati terbunuh ditembak oleh anggota Polis .

4. Bukan kehendak rakyat mengkritik atau membantah tindakan polis mengadakan sekatan jalanraya untuk memastikan semua pengguna jalanraya mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan .
5. Bantahan atau kritikan itu adalah terhadap anggota polis berkenaan yang telah mengambil tindakan keterlaluan dengan melepaskan tembakan tepat ke arah kepala Aminurrayid dari arah belakang sedang Aminurrasyid hanya seorang kanak - kanak bawah umur yang masih berada di kerusi tempat duduk keretanya .
6. Tidak dinafikan bahawa memandu tanpa lesen pula melanggar sekatan jalanraya adalah salah di sisi undang - undang jalanraya tetapi hukumannya bukanlah ditembak sampai mati . Inilah persoalannya . Apakah pihak PDRM telah kehilangan idea untuk membenteras gejala rempit dan pemanduan tanpa lesen sehingga satu hukuman mati mandatori mesti dijatuhkan ?
7. Jika itu kedudukannya , pihak PDRM mestilah mencadangkan draf pindaan perlembagaan serta undang - undang berkait kesalahan lalu lintas atau siapa jua yang disyaki terlibat dalam sebarang kejadian yang menyalahi undang - undang , hukumannya ialah ditembak sampai mati .
8. Tan Sri Musa Hassan patut mendesak kabinet agar meminda undang - undang tersebut dengan menetapkan hukuman mati mandatori atas kesalahan tersebut , bukannya merajuk tidak mahu mengadakan lagi sekatan jalanraya dan kawalan keselamatan untuk menjamin keselamatan rakyat . Malangnya , Tan Sri Musa Hassan seperti Ketua Pengawas Sekolah yang merajuk dengan banyaknya kes didiplin yang gagal ditangani sehingga tidak mahu lagi bertugas.
9. Tugas menjaga keselamatan negara dan rakyat tetap menjadi tugas PDRM . Kritikan yang diberi bukan kepada seluruh anggota PDRM dan tidak juga menafikan tugas murni pihak PDRM bagi menjaga keselamatan negara dan rakyat . Tetapi apa yang menjadi asas kritikan ialah kepada salah laku dan kecuaian ketara semasa menjalankan tugas oleh anggota - anggota tertentu dalam PDRM sehingga menggunakan senjata api secara wewenang .
10. Jika Tan Sri Musa Hassan tidak bersedia menerima kritikan tersebut sebaliknya yakin dengan tindakan menembak Aminurrasyid sampai mati itu sebagai tindakan yang tepat , maka sekali lagi hanya ada 2 pilihan bagi beliau :
pertama : Sediakan draf pindaan undang-undang kepada kabinet bahawa kesalahan melanggar sekatan jalanraya dan memandu tanpa lesen adalah membawa kepada hukuman mati mandatori sebagaimana yang telah saya sebutkan di atas .
kedua : Tan Sri Musa Hassan wajar meletakkan jawatan segera tanpa perlu merajuk seperti anak kecil untuk tidak lagi mahu mengadakan sekatan jalanraya dan kawalan keselamatan kerana tidak boleh menerima kritikan rakyat . Justeru tindakan itu memalukan seluruh anggota PDRM dan turut menghampakan seluruh rakyat apabila mereka menyedari bahawa mereka mempunyai seorang Ketua Polis Negara yang mudah merajuk .
Oleh itu, DPPP berharap pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta KPN agar lebih profesional bukan sahaja dalam menjalankan tugas menjaga keamanan tetapi juga apabila berdepan dengan masyarakat. Jangan mudah melatah tetapi haruslah memikirkan jalan yang terbaik demi untuk keselamatan negara. Bertindaklah dengan adil berlandaskan undang-undang bukannya bertindak atas arahan pihak-pihak tertentu dan emosi yang tidak menentu .

No comments:

Post a Comment