Monday, August 16, 2010

Tutup kilang arak, bukan pindah ke lokasi baru


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menutup terus kilang arak milik sebuah syarikat antarabangsa di Shah Alam dan bukannya mencadangkan lokasi baru yang lebih luas.
Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (Instac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, langkah menutup kilang itu bertepatan dengan cita-cita politik untuk menubuhkan negara Islam.
"Jika tindakan sebaliknya diambil kerajaan negeri, ia tidak selari dengan hasrat yang diperjuangkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencadangkan kawasan baru lebih luas di Pelabuhan Klang kepada kilang berkenaan ketika Yang Dipertua Pas Shah Alam itu mengadakan lawatan ke kilang tersebut pada 5 Ogos lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai sebahagian pekerja kilang tersebut yang beragama Islam, Mahmood Zuhdi berkata, wajib kepada seorang Islam untuk mendapatkan kerja yang halal memandangkan banyak peluang pekerjaan lain.
"Selain itu, kerajaan negeri juga harus main peranan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang halal kepada pekerja kilang tersebut. Jika gagal, jelas ia tidak memenuhi hak asasi sebagai umat Islam," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, pendakwah bebas, Mohd. Daud Che Ngah berkata, operasi kilang minuman keras di mana-mana lokasi di negara ini harus dihentikan sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.
"Memakmurkan negara dengan benda yang ditegah Islam adalah tidak relevan. Justeru, kilang tersebut harus ditutup.
"Kita boleh import arak untuk kegunaan bukan Islam dan bukan menghasilkannya di negara ini," katanya.
Berhubung pekerja Islam di kilang berkenaan, Mohd. Daud menasihatkan mereka supaya berhenti dan mencari kerja lain yang halal.
"Allah membuka pintu rezeki seluas-luasnya. Pekerja di kilang arak harus sedar rezeki yang diperoleh daripada sumber tidak halal boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada keluarga," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, Khalid harus mengambil peluang untuk mengecilkan operasi kilang arak itu dan bukannya mencadangkan ia dipindahkan ke tempat yang lebih luas.
"Jika mahu berdakwah, tutup terus dan fikirkan cara untuk menghalang penghasilan dan penjualan arak dari akar umbi.
"Sedarkah Khalid, dengan mencadangkan perpindahan itu hanya menguntungkan pihak syarikat arak tersebut," katanya.
Menurut beliau, sepatutnya dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, umat Islam didahulukan dan bukannya memberi peluang kepada syarikat milik bukan Islam menjana keuntungan dalam perniagaan yang tidak sewajarnya.
"Apa pun alasannya, Islam jelas mengatakan orang yang menyedia, membuat, menghidang malah turut mencadangkan untuk memperluaskan lagi tapak kilang arak juga tidak terkecuali daripada menanggung dosa," katanya.
Sementara itu, Dr. Ma'amor turut menasihatkan Kerajaan Selangor supaya memberikan peluang pekerjaan kepada pekerja kilang tersebut yang beragama Islam.
Pendapat yang sama dikongsi oleh Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar yang menyatakan sudah sampai masanya Pas melaksanakan janjinya dahulu untuk menutup kilang arak.
"Kini sudah tepat pada masanya untuk melaksanakan apa yang dilaungkan semasa manifesto dahulu," katanya.
Menurut Feriz, cadangan Khalid untuk memindahkan operasi kilang arak itu ke lokasi baru di Pelabuhan Klang adalah tidak wajar kerana prasarana di situ jauh lebih baik dan hanya menguntungkan pihak syarikat arak itu sahaja.

No comments:

Post a Comment