Monday, August 16, 2010

WikiLeaks akan siar lagi dokumen sulit


STOCKHOLM 15 Ogos – WikiLeaks akan menyiarkan baki 15,000 dokumen mengenai perang di Afghanistan dalam tempoh sebulan ini, tanpa menghiraukan amaran daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Pentagon telah memberi amaran, maklumat rahsia tersebut akan membawa kerosakan lebih besar terhadap keselamatan dan mengancam lebih banyak nyawa berbanding kesan daripada kira-kira 76,000 dokumen perang yang disiarkan oleh WikiLeaks sebelum ini.
“Pertubuhan ini tidak gentar dengan ugutan Pentagon atau mana-mana kumpulan lain.
“Kami akan mengambil langkah berhati-hati dan selamat dengan bahan itu,” kata pengasas WikiLeaks, Julian Assange kepada wartawan di sini semalam.
Katanya, jika pegawai pertahanan AS mahu dilihat sebagai memajukan demokrasi, mereka ‘mesti melindungi apa yang dianggap oleh para pengasas AS sebagai nilai utama mereka, iaitu kebebasan media’.
“Sesuatu yang membimbangkan bukan sahaja bagi media tetapi juga bagi Pentagon sendiri jika Pentagon membuat tuntutan berunsur ugutan supaya tapisan dikenakan ke atas sesebuah pertubuhan media,” ujar warga Australia itu.
Menurutnya, WikiLeaks sudah melakukan ‘semakan baris demi baris’ terhadap 50 peratus daripada 15,000 dokumen dan ‘nama pihak-pihak tidak bersalah yang menghadapi ancaman cukup besar’ akan dipadamkan daripada bahan tersebut.
WikiLeaks akan bekerjasama dengan rakan-rakan media semasa menyiarkan baki dokumen itu, kata Assange tanpa mendedahkan identiti mereka.
Fail-fail pertama dalam Afghan War Diary yang disiarkan oleh WikiLeaks mendedahkan dokumen sulit tentera AS mengenai perang di Afghanistan dari 2004 hingga 2010.
Penyiaran dokumen itu membangkitkan kemarahan pegawai AS, menaikkan semangat pengkritik kempen pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu, dan menarik perhatian Taliban yang berikrar untuk menggunakan maklumat yang didedahkan bagi menjejaki rakyat Afghan yang dianggapnya pengkhianat.
Pendedahan maklumat sedemikian turut mencetuskan kebimbangan beberapa pertubuhan hak asasi manusia yang beroperasi di Afghanistan, termasuk Wartawan Tanpa Sempadan yang menuduh WikiLeaks bersikap sangat bertanggungjawab kerana menyiarkan dokumen itu dalam talian. – AP

No comments:

Post a Comment