Friday, December 24, 2010

Bekas tahanan ISA tuntut ganti rugi $1j

SINGAPURA
Oleh
Nurul Dayana Simangoon
BEKAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Encik Michael Fernandez, semalam menuntut ganti rugi $1 juta daripada pemerintah kerana mendakwa diseksa sepanjang sembilan tahun beliau berada dalam tahanan.
Ini dinyatakan peguamnya, Encik M. Ravi, yang berkata beliau memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi semalam.Beliau, yang dihubungi Berita Harian semalam, berkata writ itu menamakan peguam negara sebagai defendan.Pejabat Peguam Negara mempunyai tempoh lapan hari daripada tarikh writ itu difailkan untuk memberi respons.Encik Fernandez, 77 tahun, sebelum ini merupakan aktivis kesatuan berhaluan kiri yang mengadakan mogok selama sebulan melibatkan 11,000 pekerja pada Oktober 1963.Beliau ditahan di bawah ISA pada tahun berikutnya hingga 1973, kerana 'menjejas keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan ekonomi Singapura', menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA).Dalam writ samannya, Encik Fernandez menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan jumlahnya bagi 'kesakitan dan penderitaan', 'perasaan malu dan kehilangan reputasi' serta perbelanjaan perubatan pada masa depan.Beliau juga mendakwa diperlakukan secara kasar beberapa kali dan tidak dibenarkan tidur oleh pengawal.Beliau juga mendakwa disuap secara paksa sementara kedua-dua tangannya digari ke belakang, kakinya dibelenggu pada kerusi dan tiub-tiub tebal dimasukkan ke dalam tekaknya secara paksa.Pada 1971, Encik Fernandez mengadakan mogok lapar selama 135 hari untuk membantah keadaan kehidupan serba miskin dan kekurangan catuan makanan ketika itu.Beliau juga mendakwa bilik penjara yang dihuninya 'tidak sesuai didiami manusia', dinding-dindingnya terkena percikan darah dan dipenuhi serangga dan beliau tidak diberi rawatan mencukupi bagi kecederaan-kecederaan yang dialami akibat dibelasah.Encik Fernandez kini mengalami kesan sampingan jangka panjang akibat penahanan itu, menurut writ saman itu lagi.Beliau juga mendakwa mengalami gangguan tidur teruk sepanjang dan selepas ditahan, halusinasi dan menemui ketulan-ketulan di perutnya akibat sering dicubit pihak penjara.Writ saman itu menuntut ganti rugi berdasarkan undang-undang tertentu yang dapat digunakan semasa Encik Fernandez ditahan iaitu ketika Singapura masih berada di bawah pemerintahan Britain.
cyberita

No comments:

Post a Comment