Friday, December 24, 2010

Sambutan Krismas melampau

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, hiasan dipasang pemilik kompleks beli-belah, pusat hiburan dan tempat awam sempena Krismas kini keterlaluan dan bersifat provokatif.
Pengerusi MUI, Muhyidin Junaedi, berkata walaupun Islam tidak menghalang sesuatu perayaan agama lain diraikan penganutnya, sambutan itu perlu diadakan secara terkawal dan mengambil kira sensitiviti orang lain.

“Hiasan sempena Krismas mesti dibuat mengikut kesesuaian kerana majoriti penduduk Indonesia beragama Islam.

“Jika tidak, hiasan perayaan itu akan menyinggung pihak lain,” katanya kepada media, semalam.

Bagi menjaga sensitiviti semua pihak, kata Muhyidin, MUI mengeluarkan saranan kepada pemilik kompleks beli-belah dan pusat rekreasi supaya lebih berhati-hati menghias premis masing-masing.

Katanya, MUI menerima aduan daripada ramai kakitangan pusat beli-belah di negara itu yang kurang senang kerana dipaksa mengenakan pakaian Santa Claus.

“Kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

“MUI perlu menjaga umat Islam daripada terbabit secara langsung menyertai sebarang perayaan agama lain,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, kata Muhyidin, MUI tidak bercadang menjadikan saranan dikeluarkan Selasa lalu itu sebagai fatwa. - AFP

No comments:

Post a Comment