Thursday, April 1, 2010

Musa Hassan bidas Koo Ham





KUALA LUMPUR 31 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham bahawa seolah- olah polis akan menembak sesiapa tidak disukainya, sebagai tidak bertanggungjawab dan jahat.
Kenyataan Koo Ham itu dikeluarkan selepas istiadat perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.
Menurut Musa, seharusnya sebagai seorang wakil rakyat, Koo Ham perlu berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Beliau turut menyelar tindakan pihak yang menganggap kehadiran anggota dan pegawai polis di bangunan tersebut sebagai 'pencemaran'.
"Kita berada di bangunan itu adalah untuk tujuan keselamatan dan bukannya untuk menyusahkan mana-mana pihak... Kekecohan pernah berlaku sebelum ini.
"Justeru kenyataan (tembak) adalah sesuatu yang jahat dan tidak sepatutnya dikeluarkan seorang wakil rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Koo Ham melahirkan bantahan dengan kehadiran ramai anggota dan pegawai polis di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semasa sidang DUN Perak berlangsung.
Beliau dipetik berkata: "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita".
Ditanya sekiranya Koo Ham akan dipanggil untuk disiasat, Musa menyerahkan perkara itu kepada Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.

No comments:

Post a Comment