Thursday, April 1, 2010

Rakyat semakin menyokong Barisan Nasional - Perdana Menteri



PUTRAJAYA 31 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, trend mutakhir kini menunjukkan sokongan dan kepercayaan rakyat semakin menjurus kepada Barisan Nasional (BN).
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu berlaku kerana banyak angkara yang dilakukan pembangkang termasuk gagal memenuhi janji yang ditabur pada pilihan raya lepas telah terbongkar dan dihidu rakyat.
Sehubungan itu, beliau mahu semua wakil rakyat BN bekerja lebih keras dengan menunjukkan prestasi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
''Kita telah dapat lihat dan merasakan di mana sahaja saya turun sama ada di Sabah dan Sarawak serta kawasan yang saya pergi di Seratok, Simunjan dan rumah-rumah panjang Lacau Hulu, tempat-tempat Melayu, Iban, Bidayuh dan Cina Foochow di Sibu, saya nampak mereka beri sambutan meriah kepada kerajaan BN.
''Seperti yang kita lihat dan baca, penipuan pembangkang yang bermula 16 September (2008) untuk cuba merampas kuasa serta kononnya mendapat sokongan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia sememangnya jelas cuba menipu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama Kelab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Sri Perdana di sini malam ini.
Seramai 212 daripada 241 ADUN hadir pada majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa ADUN Bebas.
Perdana Menteri berkata, beliau sememangnya maklum dengan muslihat pembangkang yang akan menggunakan strategi 'matlamat menghalalkan cara ' untuk berkuasa.
''Mereka tidak kisah pada fakta sebab dalam politik (bagi mereka), fakta tidak penting sebaliknya persepsi itu yang cuba dilakarkan.
''Kalau tidak dapat yakinkan rakyat, buat rakyat ragui pun cukup. Tidak kisah kalau perkara itu tidak benar tapi bila sebut banyak kali, orang akan terima (akhirnya). Inilah 'permainan' pembangkang," katanya.
Namun bagi Najib, beliau tidak khuatir kerana percaya dirinya dan BN berada di pihak yang benar.
''Saya tunggu janji temu saya dengan Zulkifli Noordin (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu), barang kali dia nak cerita... inilah 'permainan' mereka kononnya saya dan isteri saya terlibat dengan (kes pembunuhan) Altantuya.
''Padahal saya sudah bersumpah atas nama Allah, saya tidak kenal Altantuya. Orang lain tidak berani sumpah tetapi saya berani bersumpah. Tidak payahlah buat perancangan sebab ini fitnah," katanya.
Tegas Najib, apa yang beliau akan lakukan sekarang dan seterusnya ialah meneruskan kerja untuk membangunkan negara dan bukannya menabur fitnah kepada pembangkang.
Kata beliau: ''Saya tidak berniat menjatuhkan pemimpin pembangkang dengan cara yang tidak betul."
Dalam aspek ini, Najib percaya jika semua wakil rakyat BN menerapkan beberapa elemen positif termasuk menunjukkan peribadi yang baik, tidak mustahil BN akan mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.
''Kalau kita bekerja kuat, kita boleh berjaya dan mencapai majoriti dua pertiga," katanya.

No comments:

Post a Comment